Followers

Tuesday, August 31, 2010

Hayati kemerdekaan, jadikannya milik kekal: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu pelajar menghayati dan memahami erti kemerdekaan dengan penuh keinsafan agar mereka mampu menggalas tanggungjawab dalam menjadikan kemerdekaan milik selama-lamanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam perutusannya sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-53 hari ini, mahu warga pendidik dan murid-murid bersatu hati serta berusaha mengekalkan kemerdekaan demi kemakmuran dan kegemilangan negara, tanpa mengira kaum dan warna kulit dan dengan semangat perpaduan jitu.
Katanya, perjuangan dan pengorbanan tokoh dan pemimpin terdahulu seperti Panglima Rentap, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan wajar dihargai dan dihayati.
Muhyiddin berkata, keberanian dan kecekalan tokoh pejuang kemerdekaan itu wajar dihayati dan dihargai kerana sifat kepahlawanan mereka telah membawa kebebasan hari ini untuk mencorakkan masa depan negara tercinta.

"Telah tiba masanya untuk kita pula menyambung perjuangan mereka dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara. Kita juga perlu mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini dengan sebaik mungkin agar anak-anak dan generasi seterusnya akan turut dapat mengecapi kebebasan seperti mana yang kita miliki sekarang.

"Janganlah nanti kita pula yang menjadi penyebab kehilangan kebebasan ini untuk dinikmati oleh generasi masa hadapan," katanya.

Muhyiddin berkata warga pendidik dan para pelajar harus bersyukur kerana negara tidak lagi dijajah sebagaimana dahulu dan berupaya menentukan pentadbiran negara sendiri.
Namun, katanya jika tidak berhati-hati dan asyik bertelagah, keharmonian dan kebebasan yang dinikmati pada hari ini tentunya tidak akan bertahan lama.

"Maka saya amat mengharapkan agar murid-murid sekalian selaku bakal pemimpin di masa hadapan dapat terus bersatu padu demi menjaga warisan kemerdekaan negara kita," katanya.

Beliau berkata, Gagasan 1Malaysia yang digerakkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah satu usaha bersepadu bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan latar belakang.

"Sejarah telah membuktikan bahawa perpaduan amat penting dalam usaha mengekalkan keamanan kerana apabila tidak ada semangat bersatu padu, bukan sahaja negara, bahkan tamadun hebat turut musnah sebagaimana terjadi kepada tamadun Islam Uthmaniah di Turki dan Dinasti Ming di China," katanya.

Muhyiddin berkata, dasar baru yang diperkenalkan kementerian serta pelbagai program dan aktiviti dijalankan, menjurus kepada usaha memupuk perpaduan di kalangan para pelajar sejak di peringkat awal persekolahan lagi.

"Saya percaya murid-murid daripada pelbagai kaum dan latar belakang tidak menghadapi masalah untuk belajar bersama-sama di dalam satu bilik darjah, bersama-sama menyertai acara sukan dan kokurikulum, serta bersama-sama menyokong pasukan rumah masing-masing tanpa mengira perbezaan warna kulit," katanya.

Beliau berkata, pembabitan pelajar pelbagai kaum dalam aktiviti berkenaan memberi ruang cukup luas kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dan seterusnya mewujudkan persefahaman di antara mereka.

"Perpaduan sebenarnya telah pun terjalin di kalangan murid-murid melalui aktiviti-aktiviti ini secara tidak langsung dan tanpa kita sedari. Inilah yang perlu terus dipupuk dan dijaga dengan sebaik mungkin kerana murid-murid merupakan bakal pemimpin negara satu hari nanti," katanya.

Muhyiddin berkata, pihak sekolah dan guru perlulah menggunakan kebijaksanaan serta lebih kreatif dalam menyusun aktiviti di dalam dan luar bilik darjah, serta menjurus kepada penglibatan semua murid agar matlamat untuk pemupukan perpaduan dapat dicapai. - BERNAMA

22 pasangan kekasih dicekup JAIS malam merdeka

SHAH ALAM: Seramai 22 pasangan kekasih dipercayai berkhalwat ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam "Operasi Sayang" sempena sambutan ambang Merdeka ke-53 malam tadi dan awal pagi ini.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Nurhamizah Othman, berkata semua pasangan itu ditahan di beberapa hotel bajet sekitar Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya sepanjang operasi yang bermula pada 11 malam tadi hingga 4 pagi ini.
Beliau berkata, pelbagai taktik licik dikesan cuba digunakan pasangan kekasih bagi mengelakkan mereka daripada ditangkap seperti mendaftar masuk ke hotel atas nama masing-masing tetapi hanya menggunakan sebuah bilik.
"Curiga dengan tindakan itu, pihak kami pada mulanya pergi ke sebuah bilik yang didaftar namun tiada orang di dalamnya sebelum menyerbu ke sebuah bilik lagi.

"Di bilik itu, anggota JAIS yang terpaksa memecah masuk setelah pintu tidak dibuka mendapati ada seorang lelaki dan wanita yang bukan muhrim berada di dalamnya," katanya.

Selain pasangan itu, Nurhamizah berkata terdapat seorang wanita yang disyaki berkhalwat dengan lelaki bukan Islam menggunakan nama kekasihnya dalam buku pendaftaran bilik sewa hotel bagi mengaburi JAIS.

Katanya, semua pasangan berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dibawa ke ibu pejabat JAIS di sini untuk diambil keterangan dan diikat jamin sebelum dibebaskan.
Beliau berkata, pasangan yang disyaki berkhalwat itu akan didakwa mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, katanya lelaki bukan Islam itu tidak akan didakwa oleh JAIS. - BERNAMA

Rumah rakyat Malaysia di Kalimantan Barat dilempar batu

JAKARTA: Rumah seorang jurutera Malaysia telah dilempari batu besar dalam tindakan usir atau "sweeping rakyat Malaysia" oleh sekumpulan lima lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di daerah Ketapang, Kalimantan Barat, Ahad lalu.

Difahamkan dalam insiden 2 petang itu, kumpulan lelaki berkenaan yang memakai pelekat di baju dengan tulisan "Ganyang Malaysia" telah membaling seketul batu besar ke arah jurutera berkenaan yang ketika itu membuka pintu untuk meninjau keadaan setelah mendengar bunyi bising di luar rumah.
Mereka menjeritkan kata-kata "You Malaysia balik!"
Jurutera berusia 60 tahun itu bagaimanapun sempat menutup pintu banglonya sebelum batu berkenaan menghentam pintu tersebut.

Beberapa anggota polis yang menyedari kejadian itu berjaya menghalang kumpulan lelaki berkenaan daripada memanjat pagar rumah tersebut untuk masuk dan
melakukan tindakan lebih ganas.

Akibat kejadian itu, jurutera berkenaan kini dalam keadaan trauma dan telah meminta pihak syarikatnya membenarkan beliau pulang ke Malaysia lebih awal daripada jadual tugasnya di sana.
Semasa kejadian, beliau tinggal bersendirian di rumah itu kerana isterinya sudah dihantar pulang Malaysia.

Pihak syarikat ladang berkenaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Pihak polis dikatakan telah mengenal pasti mereka yang terbabit dalam insiden itu, namun belum ada sebarang maklumat bahawa mereka telah ditahan.

Difahamkan kumpulan lelaki itu telah mencari rakyat Malaysia di ladang berkenaan sejak Sabtu lalu dalam aksi sweeping mereka, tetapi hanya menemui jurutera itu pada hari Ahad. - BERNAMA

Sambutan kemerdekaan tetap meriah tanpa perarakan

KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 peringkat nasional meriah dan mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya diadakan di ruang tertutup di Stadium Putra di Bukit Jalil.

Stadium yang sering kali menjadi tumpuan acara sukan, pelbagai konsert hiburan dan acara pertandingan berprestij seperti Anugerah Juara Lagu, hari ini bertukar wajah apabila dilimpahi dengan warna-warni semangat 1Malaysia.
Bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi", sambutan Hari Kemerdekaan kali ini memuatkan pengisian agenda yang berbeza dari tahun sebelum ini apabila tiada acara perbarisan dan perarakan.
Tampil segak, berwajah segar serta bersemangat waja, lebih 10,000 orang hadir bersama keluarga masing-masing dengan menggenggam erat Jalur Gemilang untuk dikibarkan pada acara kemuncak sambutan.

Acara sambutan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, tepat jam 8 pagi diikuti dengan tiupan nafiri.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta Menteri Kabinet tiba lengkap berbusana batik 1Malaysia selain duta-duta asing dan pemimpin parti politik.

Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan kira-kira 940 kontinjen pelambai yang berbaris di sepanjang jalan yang terdiri daripada 500 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan 440 pelajar Unit Diploma Pengurusan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).
Sebaik tiba, Seri Paduka mengambil tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja.

Tuanku Mizan kemudian memeriksa kawalan kehormat utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 107 anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Ahmad Muzaimi Mohd Ali.

Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam sebanyak 14 das, dan kemudian diikuti dengan bacaan ikrar oleh 53 orang terdiri daripada wakil pendidik, perkhidmatan awam, swasta, perbadanan bukan kerajaan, seni dan budaya serta orang kurang upaya dari pelbagai kaum, diketuai oleh Pegawai Ko-Kurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Gombak Mohd Faizullah Buyong.

Semangat patriotik mula menyelubungi seluruh stadium apabila kata keramat Merdeka dilaungkan sebanyak tujuh kali diikuti dengan laungan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang turut dilaungkan dengan penuh semangat oleh orang ramai yang memenuhi stadium.

Suasana kemudiannya bertukar lebih meriah apabila Persembahan Khas 1Malaysia yang mengandungi lapan segmen ditampilkan dalam bentuk penceritaan menerusi elemen penataan cahaya, kumpulan koir, kumpulan bicara berirama, penggunaan laser di lantai serta pergerakan formasi unik dan kreatif oleh kumpulan persembahan arena yang membentuk mesej 1Malaysia.

Bermatlamatkan mengimbau kembali perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu, segmen pertama iaitu Gagasan 1Malaysia membawa tetamu kehormat dan orang ramai menonton antaranya potret bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra, Yang di-Pertuan Agong pertama hingga ke-13 serta Perdana Menteri pertama hingga kini menerusi paparan visual yang disediakan.

Arena stadium kemudian mula dibanjiri seramai 1,640 peserta terdiri daripada kumpulan persembahan yang membentuk pergerakan formasi penceritaan, juga dibantu kumpulan bicara berirama serta kumpulan koir menerusi segmen kedua iaitu Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Segmen itu mengisahkan mengenai RMK-10 yang antara lain menekankan bidang pendidikan sebagai satu daripada agenda utama ke arah membangunkan insan bertaraf dunia.

Keasyikan penonton semakin terasa menerusi segmen seterusnya seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kreatif dan Inovatif, Model Baru Ekonomi, Kejayaan Negara, dan Kepantasan Bertindak di mana pengisiannya bukan saja bermesejkan 1Malaysia malah menjelaskan rancangan dan transformasi kerajaan berdasarkan pada pergerakan formasi manusia, visual, kumpulan koir dan kumpulan bicara berirama yang dipersembahkan.

Paling mencuri tumpuan ialah drama aksi terjunan dari Unit Lawan Keganasan yang cuba menyelamatkan tebusan menerusi segmen Kepantasan Bertindak.

Dalam segmen tersebut turut dipersembahkan Tempur Tanpa Senjata, Gerak Para, Kawad Senyap dan Aksi Komando dari pasukan anggota keselamatan negara.

Konsep penceritaan persembahan kali ini bukan sahaja berpandukan pada pergerakan formasi manusia, penggunaan audio visual, penataan cahaya malah ketekunan dan ketangkasan kumpulan bicara berirama dan kumpulan koir dalam meningkatkan semangat patriotik di kalangan penonton yang hadir, jelas dapat dirasai.

Sebagai persembahan penutup, nyanyian lagu 1Malaysia, Joget Malaysia dan Jalur Gemilang oleh kumpulan koir dari penuntut Universiti Lim Kok Wing, Institut Pendidikan Guru (IPG), artis kebudayaan dan peserta persembahan menyemarakkan lagi suasana apabila kemerduan lagu patrotik itu disemarakkan lagi dengan laungan nyanyian oleh semua peserta persembahan yang terlibat dalam menjayakan acara sambutan kemerdekaan kali ini.

Sambutan yang berlangsung kira-kira 90 minit itu, dijayakan 8,727 kontinjen yang terdiri daripada jabatan dan institut dari Kementerian Pelajaran seperti Institut Pendidikan Guru, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutan.

Ia turut disertai oleh Pasukan Anggota Keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kumpulan Sokka Gakkai Malaysia, pasukan PDRM tanpa uniform, Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dari setiap negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Universiti Lim Kok Wing dan Intan.

Di MIRI, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng mengetuai sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 peringkat negeri yang diadakan di Stadium Tertutup Bandaraya Miri.

Acara dimulakan sebaik Salahuddin menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormat utama yang terdiri daripada 108 orang anggota dari Batalion ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Kem Sri Miri.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Simfoni Orkestra Negeri Sarawak, bacaan ikrar oleh wakil suku kaum Sarawak serta persembahan tarian Kasih Malaysia.

Lebih 5,000 orang menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan di stadium tertutup itu yang bermula jam 8.30 pagi ini.