Followers

Tuesday, July 7, 2009

75 kes baru jangkitan Influenza A


PELAJAR Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur membersihkan kelas, semalam selepas diarah tutup seminggu oleh Kementerian Kesihatan berikutan kes selesema babi.

Negara berada pada fasa kedua penularan tempatan

PUTRAJAYA: Sebanyak 75 kes baru Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 8 pagi semalam dengan 41 adalah kes import dan 34 jangkitan tempatan, menjadikan jumlah terkumpul 434 di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata 75 kes baru itu membabitkan 64 rakyat tempatan dan 11 warga asing termasuk empat warga Indonesia, Filipina (tiga), manakala masing-masing seorang Libya, Oman, Singapura dan Australia.

Beliau berkata, semua 41 pesakit kes import mempunyai sejarah melawat negara yang terjejas dengan H1N1 antaranya Indonesia, Australia, Filipina, Thailand, Singapura, United Kingdom, Brunei, Russia dan Oman, manakala 34 kes jangkitan tempatan pula membabitkan 33 warga tempatan dan seorang warga Filipina.

“Sembilan daripada 34 kes jangkitan tempatan itu ialah sebahagian 165 peserta yang menyertai Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) di Pulau Pinang dari 27 hingga 30 Jun lalu. Ia menjadikan jumlah keseluruhan peserta APPC warga Malaysia disahkan positif H1N1 sehingga ini (semalam) adalah 15 orang.

“Empat lagi pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Jalan Loke Yew, Cheras, Kuala Lumpur yang dikuarantin di rumah disahkan positif H1N1 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan tempatan sehingga kini 101 kes,” katanya kepada media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Datuk Dr Ramlee Rahmat dan Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Liow berkata, 79 peratus atau 343 daripada 434 pesakit H1N1, sudah pulih dan dibenarkan pulang, manakala baki 91 pesakit stabil dan menjalani rawatan di hospital.

Liow berkata, kementerian terus meningkatkan pengawasan dan pemantauan di semua pintu masuk negara sebagai langkah berjaga-jaga kerana Malaysia kini berada pada fasa kedua penularan tempatan.

“Saya ingatkan mereka yang dikuarantin di rumah supaya tidak ke tempat awam atau tumpuan ramai termasuk kelas tuisyen atau kelas agama bagi mengelak jangkitan,” katanya.

Mengenai situasi global, Liow berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan jumlah terkumpul kes H1N1 seluruh dunia meningkat kepada 91,457 kes termasuk 387 kematian di 126 negara.

Sementara itu di MELAKA, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol, berkata dua lagi individu disahkan positif H1N1 di negeri ini sehingga pagi semalam.

Mangsa terbaru ialah jurutera lelaki berusia 26 tahun yang pulang bercuti di di Bali, Indonesia pada Sabtu lalu dan seorang pengurus lelaki berusia 52 tahun, tiba dari Manila, Filipina sehari sebelum itu.

Sabah&Sarawak: KPD buat kajian potensi tanaman Stevia di Sabah

Herba pengganti gula makin popular dalam industri makanan

SANDAKAN: Koperasi Pembangunan Desa (KPD) giat menjalankan penyelidikan saintifik terhadap kesesuaian penanaman herba 'Stevia' di Sabah berikutan potensi pasarannya yang luas, selain penggunaannya dalam industri makanan dan minuman yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Herba itu digunakan sebagai bahan pemanis yang sesuai untuk kesihatan terutama penghidap penyakit kencing manis kerana tidak mengandungi kalori dan karbohidrat.

Pengurus Besar KPD, Datu Basrun Datu Mansor, berkata walaupun herba `Stevia' sesuai di kawasan beriklim tropika, penyelidikan saintifik tetap perlu dilakukan dan jika didapati sesuai, KPD akan membuka ladang yang memanfaatkan penduduk luar bandar dan pedalaman sebagai kumpulan sasar peningkatan ekonomi.

"KPD juga akan mempelawa pelabur mengusahakan herba ini. Kita yakin dengan potensi dan keselamatannya berdasarkan rekod Jepun yang mengharamkan penggunaan bahan pemanis tiruan sejak 1970-an, sekali gus menjadi pengimport terbesar herba ini dari China dan India.

"Hakikat itu dengan sendirinya membuktikan `Stevia' adalah bahan pemanis asli," katanya dalam taklimat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalannya, Datuk Yahya Hussin yang melawat gerai pameran KPD sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Sabah di Padang Bandaran di sini, kelmarin.

Hadir sama dua Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bobbey Suan dan Datuk Musbah Jamli; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Ujang Sulani dan Pengerusi KPD, Ahmad Bujang.

Herba yang dikenali sebagai `Stevia Rebaudiana' itu adalah sejenis tanaman berasal dari Paraguay. Ia terkenal dengan daunnya yang manis dan penduduk asli Paraguay sudah menggunakannya sebagai bahan pemanis dalam minuman, masakan dan teh herba sejak dua abad lalu.

Tanaman itu semakin popular sebagai pengganti gula serta daun kering herba itu adalah 40 kali lebih manis daripada gula manakala ekstraknya dikatakan 300 kali lebih manis berbanding gula.

Negara pengeluar utama `Stevia' adalah China dan diikuti India, manakala pengimport dan pengguna terbesar adalah Jepun dengan 41 peratus daripada bahan pemanis yang digunakan berasaskan herba itu.

Datu Basrun berkata, kemanisan daun `Stevia' disebabkan dengan dua komponen dikenali `Stevioside' dan `Rebaudioside', selain mengandungi vitamin dan antikulat serta antibakteria.

"KPD menjangkakan lebih banyak negara meliputi negara maju seperti Amerika Syarikat meningkatkan penggunaan `Stevia' yang membuktikan potensi pasarannya terbuka luas," katanya.

Sabah&Sarawak: Pelaksanaan projek PPR dipantau Kerajaan Pusat

Pembinaan diutama kawasan bandar atasi masalah setinggan

BEAUFORT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan akan berfungsi secara langsung dalam membantu kerajaan Sabah menampung keperluan pembinaan kira-kira 10,000 unit kediaman menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negeri itu.

Timbalan menterinya, Datuk Lajim Ukin, berkata fokus usaha itu akan menjurus kepada penyediaan rumah lebih selesa untuk kemudahan golongan berpendapatan rendah.

"Untuk peringkat awal, keutamaan kita ialah pelaksanaan PPR di bandar besar seperti Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan kerana tinjauan mendapati permintaan terhadap keperluan PPR di kawasan berkenaan sangat tinggi bagi mengatasi masalah setinggan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan perabot di Sekolah Menengah (SM) St John dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Pengelola SM St John, Datuk Kimjus Duim dan Pengetua SM St John, John Seah Soo Lin.

Sementara itu, Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, faktor lokasi kurang strategik dan ketiadaan kemudahan infrastruktur asas dikenal pasti sebagai antara punca utama 57,000 unit rumah di seluruh negara belum terjual.

Katanya, sesetengah pemaju didapati tidak melakukan kaji selidik keperluan setempat dan tidak mengambil berat aspek menyeluruh sebelum melaksanakan projek perumahan.

"Kementerian akan menetapkan mekanisme khusus bagi pelaksanaan projek perumahan baru, termasuk memastikan lokasinya sesuai dan kemudahan asas seperti sekolah, masjid, landskap dan premis perniagaan didirikan di kawasan yang akan dimajukan.

"Faktor ini penting bagi menarik minat bakal pembeli yang mahukan pakej lengkap, sekali gus berupaya membantu perkembangan sektor pembinaan di negara ini," katanya.

Lajim berkata, pihaknya turut meneliti latar belakang kontraktor yang ditawar melaksanakan projek perumahan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mengelak kemungkinan berdepan masalah projek gagal disiapkan.

Katanya, kemampuan kontraktor terbabit akan dinilai berdasarkan pengalaman dan kualiti kerja terdahulu sebelum diluluskan.

Mengulas isu PPR tergendala di Kampong Kiansom, Inanam, Lajim berkata, Jabatan Perumahan Negara sudah menamatkan kontrak pemaju projek bernilai RM57 juta itu.

"Tender baru sudah dibuka dan kita harap projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh setahun.

"Setakat ini, ada 13 syarikat pemaju berminat membangunkannya dan kita menjangkakan tambahan peruntukan RM30 juta diperlukan bagi meneruskan projek itu," katanya.

H1N1: 34 kes baru hari ini

PUTRAJAYA: Sebanyak 34 kes baru Influenza A (H1N1) di laporkan sehingga 8 pagi tadi dengan 22 kes import dan 12 kes jangkitan tempatan menjadikan kes terkumpul 468 di seluruh negara.

Malaysia mungkin didenda, tarik diri daripada AYG

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin didenda kerana menarik diri daripada menyertai Sukan Belia Asia (AYG) di Singapura yang berakhir hari ini walaupun atas alasan bimbang terhadap jangkitan Influenza A (H1N1).

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berkata ketika ini pihak penganjur belum memutuskan lagi sebarang tindakan terhadap Malaysia, satu-satunya negara daripada 40 negara Asia yang menyertai temasya itu, menarik diri sebelum kejohanan bermula.

"Mungkin penganjur akan mengenakan sedikit denda kerana mereka sudah menyediakan persiapan untuk semua negara termasuk Malaysia tetapi kontinjen negara menarik diri," katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Sieh berharap penganjur kejohanan tidak mengenakan denda tersebut berdasarkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Beliau sebelum itu mewakili MOM menerima dokumen penajaan pakaian sukan bagi kegunaan kontinjen negara ke Sukan Asia ke-16 yang akan berlangsung di Guangzhou, China pada 2010, daripada 361 degree (China) Co. Ltd, sebuah syarikat pengeluar pakaian sukan dari China.

Syarikat tersebut akan membekalkan 800 set pakaian sukan kepada kontinjen Malaysia ke Guangzhou.

Ketika ditanya jumlah sebenar perbelanjaan Malaysia bagi tujuan penyertaan di temasya AYG, Sieh berkata, jumlahnya melebihi RM100,000.

Difahamkan MOM dan Majlis Sukan Negara sudah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM120,00 untuk bayaran penginapan, peralatan dan pakaian sukan kontinjen negara ke temasya sukan tersebut.

Kontinjen negara yang majoriti terdiri daripada pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan sekolah lain terpaksa menarik diri selepas Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan melarang pelajar sekolah daripada menyertai sebarang kejohanan ke luar negara kerana bimbang dengan penularan wabak selesema babi. - Bernama

H1N1: 335 pesakit sudah pulih

PUTRAJAYA: Seramai 335 atau 72 peratus daripada 468 pesakit Influenza A (H1N1) di negara ini sudah sembuh dan dibenar keluar dari hospital, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, jumlah kes baru yang dilapor sehingga jam 8 pagi ini juga menurun kepada 34 kes iaitu 22 kes import manakala 12 kes jangkitan tempatan, berbanding 75 kes yang dicatat semalam.

Liow berkata, seorang daripada 12 kes jangkitan tempatan itu adalah peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) yang diadakan di Pulau Pinang 27 hingga 30 Jun lalu.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kes yang dilapor di seluruh negara setakat ini ialah 468 dengan 355 kes import dan 113 jangkitan tempatan.

Tiada kematian dilapor, katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bas untuk kegunaan Pusat Darah Negara, di sini hari ini.

Liow berkata, seramai 133 orang masih dirawat di hospital iaitu 22 orang di Hospital Kuala Lumpur manakala di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu ialah 16 orang; Hospital Sungai Buloh (13); Hospital Melaka (sembilan); Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar (sembilan); Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (lapan); Hospital Pulau Pinang (tujuh); Hospital Tawau (tujuh); Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu (tujuh); Hospital Bintulu (lima); Hospital Miri (lima); Hospital Batu Pahat (empat); Hospital Umum Sarawak (empat); Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (empat); Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (tiga); Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu (tiga); Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (tiga); Hospital Labuan (dua); dan masing-masing satu kes di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Tumpat.

Beliau berkata, jumlah kontak yang menjalani kuarantin di rumah pula ialah 1,031 orang dan tiada di antara mereka yang mempunyai simptom, manakala tiada sekolah baru yang ditutup kerana jangkitan itu.

Mengulas situasi global, Liow berkata, Pertubuhan Kesihatan Dunia memaklumkan jumlah terkumpul kes Influenza A (H1N1) adalah sebanyak 95,528 kes dengan 44 kematian daripada 134 negara, iaitu pertambahan sebanyak 4,071 kes.

Lima negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi adalah Argentina (898), Thailand (662), Australia (435), Peru (378) dan Jepun (273), katanya. - Bernama