Followers

Tuesday, June 1, 2010

Senarai menteri, timbalan menteri baru

KUALA LUMPUR: Berikut senarai menteri dan timbalan menteri baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini:
* Datuk Seri Kong Cho Ha
Menteri Pengangkutan (jawatan lama: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan)
* Datuk Wira Chor Chee Heung
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
(jawatan lama: Timbalan Menteri Kewangan)

* Datuk Rohani Abdul Karim
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(jawatan lama: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani)
* Jelaing Mersat
Timbalan Menteri Pengangkutan
(jawatan lama: Timbalan Menteri Dalam Negeri)

* Datuk Lee Chee Leong
Timbalan Menteri Dalam Negeri
(jawatan lama: Timbalan Menteri Luar)

* Senator Heng Seai Kie
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
(jawatan lama: Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan)

* Senator Datuk G Palanivel
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
(pelantikan baru)

* Datuk Richard Riot Jaem (Ahli Parlimen Serian)
Timbalan Menteri Luar Negeri (pelantikan baru)

* Chua Tee Yong (Ahli Parlimen Labis)
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (pelantikan baru)

* Senator Datuk Donald Lim Siang Chai
Timbalan Menteri Kewangan (pelantikan baru)

* Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (pelantikan baru)

* Senator Gan Ping Sieu
Timbalan Menteri Belia dan Sukan (pelantikan baru) - Bernama

Misi Gaza: 12 rakyat Malaysia selamat, ditahan di Haifa

PUTRAJAYA: Wisma Putra mengesahkan 12 rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marvara yang ditawan Israel semalam selamat tetapi kini ditahan di Haifa.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata usaha membawa pulang 12 rakyat Malaysia itu sedang dilakukan dengan kerjasama beberapa negara seperti Turki, Jordan, Ireland dan Filipina.

Najib umum rombakan Kabinet

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi mengumumkan rombakan Kabinet yang akan berkuatkuasa Jumaat ini.
Dalam satu kenyataan media, Najib mengumumkan Datuk Seri Kong Cho Ha dilantik sebagai Menteri Pengangkutan bagi menggantikan Datuk Seri Ong Tee Keat yang ditamatkan pelantikan sebagai menteri.
Datuk Wira Chor Chee Heung pula dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Turut ditamatkan pelantikan ialah Datuk Wee Jeck Seng yang sebelum ini adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Bagi jawatan timbalan menteri, Ahli Parlimen Labis Chua Tee Yong dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; Senator Datuk Donald Lim Siang Chai sebagai Timbalan Menteri Kewangan; dan Senator Gan Ping Shou sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz dilantik sebagai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan; Senator Datuk G Palanivel sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti; dan Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri.

Perdana Menteri juga mengumumkan pertukaran portfolio tiga timbalan menteri iaitu Datuk Rohani Abdul Karim dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Jelaing anak Mersat dari Kementerian Dalam Negeri ke Kementerian Pengangkutan; Datuk Lee Chee Leong dari Kementerian Luar Negeri ke Kementerian Dalam Negeri.
Najib berkata, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, telah memperkenankan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Baginda pada jam 3.30 petang Jumaat ini di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Israel rancang serangan besar-besaran terhadap Gaza: Ahmadinejad

TEHRAN: Presiden Mahmoud Ahmadinejad berkata Iran memiki maklumat tepat mengenai rancangan Israel melancarkan "serangan besar-besaran" terhadap Gaza selepas serangan maut terhadap konvoi kapal bantuan kemanusiaan semalam yang mengorbankan beberapa sukarelawan.
“Kami mempunyai maklumat tepat ia merancang serangan besar-besaran terhadap Gaza bagi membalas dendam terhadap kekalahan lalu.
“Saya memberi amaran bahawa jika kali ini anda melakukan jenayah terhadap terhadap Gaza, taufan kemarahan negara rantau akan mencabut anda," kata Ahmadinejad dalam ucapan umum di bandaraya Ilam di barat Iran yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen negara itu.
Pemimpin yang tegas mengecam Israel itu juga mengutuk negara yang disifatkan beliau sebagai "menyokong rejim Zionis".

"Kali ini jika anda menyokong jenayah rejim Zionis, kemarahan negara rantau ini tidak akan hanya terhad kepada sempadan Palestin tetapi akan mengheret anda dan rakan subahat ke muka pengadilan," katanya sambil disambut sorakan hadirin.

Ahmadinejad juga mengecam Washington kerana mengambil "pendirian lemah" terhadap Israel berhubung serangan maut terhadap konvoi kapal misi kemanusiaan ke Gaza semalam.

“Kerajaan AS mengambil pendirian yang lemah dan berat sebelah," katanya. - AFP

Belum ada keputusan muktamad mengenai subsidi: PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum lagi membuat sebarang keputusan muktamad mengenai pengurangan atau pemotongan subsidi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya kerajaan masih lagi meneliti apa yang patut dilakukan dalam perkara ini.
"Cuma kita gambarkan kalau kita tidak melakukan apa-apa (dalam hal ini), kesannya (kepada negara pada masa depan) sudahpun kita maklumkan," katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang memotong insentif kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) yang diberikan sekarang, seperti cadangan memotong atau mengurangkan subsidi kepada pelbagai barangan yang diberikan sekarang.
Terdahulu, Perdana Menteri melawat Pameran Inovasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX) di sini hari ini.

Najib berkata insentif kepada SME akan diteruskan.

"SME dan subsidi isu berlainan. Tak (perlu) campur aduk," katanya.

Menjawab satu soalan lain, Najib berkata Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) yang akan dibentangkan nanti akan mengandungi elemen berdasarkan pada Model Baru Ekonomi (MBE).
Ditanya mengenai bantahan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap MBE itu, Najib berkata: "Dia bagi pandangan dia (yang) tertentu. Nanti tunggulah saya buat ucapan dulu (pembentangan RMK-10)." - Bernama

Tumpahan minyak beri kesan minimum kepada negara

KUCHING: Tumpahan minyak di perairan Pengerang dan pesisir pantai sekitarnya akibat pelanggaran kapal MV Waily dengan MT Bunga Kelana 3 minggu lalu hanya memberi kesan minima kepada alam sekitar di negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, berkata tumpahan itu hanya memberi kesan minima kepada Malaysia kerana kebanyakan tumpahan dibawa arus ke perairan Singapura.
"Bagaimanapun, Malaysia dan Singapura mempunyai prosedur operasi standard dalam mengawal sebarang krisis tumpahan minyak di kawasan perairan masing-masing," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamanannya sempena sambutan Hari Gawai Dayak di sini hari ini.
Beliau berkata, ketika ini kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak itu giat dijalankan oleh kira-kira 200 petugas termasuk mereka yang diupah oleh syarikat perkapalan berkenaan.

Perlanggaran berlaku pada 25 Mei lalu di lokasi empat batu nautika Barat Daya Tanjung Stapa, Pengerang dan kira-kira 3.7 batu nautika dari perairan Singapura.

Ketika kejadian, MT Bunga Kelana 3 membawa 63,054 tan metrik "light crude oil" milik Petronas dari Bintulu ke kilang penapis Petronas di Melaka, manakala kapal MV Waily membawa kargo bijih besi dan sedang dalam pelayaran dari India ke Hong Kong.

Nahas itu menyebabkan 2,000 tan metrik minyak tumpah setelah berlaku koyakan sepanjang 10 meter pada MT Bunga Kenanga manakala MV Waily hanya mengalami kerosakan kecil.
Bunga Kelana 3 didaftarkan di Pelabuhan Klang manakala MV Waily berdaftar di Kingstown, Saint Vincent and The Grenadines. - Bernama

Serangan Israel perbuatan tidak bertamadun abad ini: Abu Zahar

KUALA LUMPUR: Tindakan Israel menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dan membunuh serta mencederakan sukarelawannya disifatkan sebagai perbuatan tidak bertamadun abad ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata pihaknya kesal perbuatan sedemikian masih berlaku pada zaman era dunia moden hari ini.
"Saya kesal atas perbuatan dan tindak tanduk Israel membunuh orang tidak berdosa. Mereka bukan tentera tapi sukarelawan yang ke sana semata-mata untuk menghantar bantuan kepada rakyat Palestin yang memerlukan.
"Saya menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak lebih rasional kerana ini soal kemanusiaan," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat delegasi Jawatankuasa Perhubungan Luar Chinese People's Political Consultative Conference (CPPCC) diketuai Zhao Qizheng di Bangunan Parlimen hari ini.

Gempa 6.1 Richter landa Costa Rica

WASHINGTON: Gempa berukuran 6.1 Richter menggegarkan Costa Rica, hari ini yang terletak di 74 kilometer barat daya ibu negara itu, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Gempa berlaku jam 9.26 malam waktu tempatan (0326 GMT) di kedalaman 29 kilometer.
Setakat ini tiada laporan mengenai kerosakan akibat bencana itu. - AFP

Gempa kuat 6.4 Richter melanda Kepulauan Andaman

NEW DELHI: Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter melanda Kepulauan Andaman, awal pagi tadi tetapi tiada ancaman tsunami dilaporkan.
Gempa berlaku di 120 kilometer dari ort Blair di Kepulauan Andaman Islands, yang terletak di Lautan Hindi. - AFP

Indonesia bahasa paling banyak digunakan pengguna Facebook Asia

JAKARTA: Bahasa Indonesia adalah bahasa paling banyak digunakan di rangkaian sosial Facebook dan kelima paling popular di dunia, menurut kaji selidik terkini bahasa yang digunakan di laman itu.

Kaji selidik yang dijalankan syarikat Inside Network menemui Lebih 20 juta pengguna bahasa Indonesia kini menjadi ahli Facebook.
Bahasa Inggeris adalah bahasa paling biasa digunakan, di mana mencatatkan lebih separuh daripada 400 juta pengguna, diikuti Sepanyol, Perancis dan Turki.
Bagaimanapun, Indonesia jauh meninggalkan rakan negara jiran yang lain, di sebalik infrastruktur komunikasinya yang kurang menggalakkan dan akses komputer yang masih berkurangan bagi negara dengan jumlah penduduk 234 juta. - AFP