Followers

Wednesday, May 12, 2010

Piala Thomas: Malaysia dahului Denmark 2-0

KUALA LUMPUR: Malaysia mendahului Denmark 2-0 dalam perlawanan suku akhir Piala Thomas di Stadium Putra di sini hari ini.
Lee Chong Wei memberi mata pertama selepas menewaskan Peter Hoeg Gade 21-17, 21-17 dalam permainan perseorangan pertama.

Pasangan negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong meraih mata kedua selepas menewaskan pasangan Denmark, Carsten Mogensen/Mathias Boe, 21-17, 21-19.
Dalam permainan perseorangan kedua sekarang, Wong Choong Hann tewas set pertama 20-22 kepada Jan O Jorgensen.

Dua permainan lain ialah bergu kedua antara Zakry Abdul Latif/Hoon Thien How dan Lars Paaske/Jonas Rasmussen; dan perseorangan ketiga antara Muhd Hafiz Hashim dan Joachim Persson.

Shahrizat bantah ujian kehamilan ke atas peserta PLKN

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, hari ini berkata kementeriannya membantah ujian kehamilan dijalankan sebagai keperluan bagi semua pelatih wanita dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Beliau berkata, ini kerana ia membabitkan isu privasi sebagai perkara dasar.

Sehubungan itu, beliau meminta Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) untuk menimbangkan semula cadangan kementerian bagi memperkenalkan modul kesihatan reproduktif dalam kurikulum PLKN.
Beliau menjelaskan mengikut undang-undang sedia ada, sebarang prosedur yang membabitkan kanak-kanak di bawah 18 tahun memerlukan kebenaran ibu bapa.

"Saya amat bimbang dengan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak. Adalah malang jika wanita muda melahirkan anak di dalam situasi itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas laporan berita hari ini bahawa seorang pelatih PLKN wanita berumur 18 tahun melahirkan anak di dalam tandas di Kem Ovai di Papar, Sabah.

Berikutan insiden itu, MLKN mencadangkan untuk mewajibkan ujian kehamilan bagi pelatih wanita pada masa akan datang.
Katanya, kementerian akan terus menyokong pandangan bahawa mendidik generasi muda mengenai reproduktif dan kesihatan sosial adalah penting bagi memberikan pengetahuan dalam hubungan yang sihat dan mengelak kehamilan remaja.

Katanya, cadangan untuk memperkenalkan modul itu pada mulanya dicadangkan pada 2008 dan diluluskan Kementerian Pertahanan. - Bernama

Pesawat Libya terhempas: Kanak-kanak 8 tahun mangsa tunggal terselamat

TRIPOLI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun warga Belanda adalah satu-satunya mangsa yang terselamat daripada 104 penumpang Afriqiyah Airways, yang terhempas di lapangan terbang Tripoli di sini, hari ini.
Menteri Pengangkutan Libya, Mohammed Ali Zidan, berkata kanak-kanak itu berada dalam keadaan baik.

“Nyawanya tidak terancam. Satu-satunya mangsa yang terselamat dan kini berada di Hospital Tripoli,” kata pada sidang media di sini, sebentar tadi. - AFP

Inisiatif ekonomi kerajaan lonjakkan ekonomi negara: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin Model Ekonomi Baru (MEB), program transformasi ekonomi dan Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEA) mampu menjadi pemangkin untuk mengeluarkan Malaysia dari kepompong negara berpendapatan sederhana sejak 1992.
Timbalan perdana berkata, inisiatif yang dirangka juga mampu meletakkan negara sebagai pesaing di persada global dan melonjak ekonomi negara.

Laporan kajian beban guru siap seminggu lagi

PUTRAJAYA: Laporan jawatankuasa mengenai kajian beban guru akan siap dalam tempoh seminggu lagi, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata, ahli jawatankuasa kini di peringkat akhir mengumpulkan semua maklumat sebelum dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Mesyuarat akhir akan diadakan hari ini dan saya rasa dalam masa seminggu lagi semua laporan dan cadangan dapat dikemukakan kepada Menteri Pelajaran untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini, hari ini.
Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung guru di seluruh negara selepas kementerian mendapati aduan tersebut berasas kerana terdapat guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan untuk mengajar.

Sementara itu, Alimuddin berkata, sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan yang akan diadakan Ahad ini di Gambang, Pahang, Muhyiddin akan mengumumkan tawaran insentif baru sebagai menghargai jasa dan prestasi pengetua serta guru besar berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

"Insentif baru itu akan turut meliputi guru kerana mereka turut menyumbang kepada prestasi dan pencapaian sekolah masing-masing, sama ada di bandar atau luar bandar. Ini adalah antara perkara menarik untuk guru sempena Hari Guru tahun ini. Pengumumannya akan dibuat sendiri oleh menteri dalam sambutan Ahad ini," katanya. - Bernama

PM umum bantuan RM18 juta untuk sekolah Cina di Sibu

SIBU: Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumum dan menyampaikan terus peruntukan RM18 juta kepada 65 sekolah Cina dan dua sekolah mubaligh di Sibu bagi pembangunan sekolah terbabit.

Penyampaian cek bantuan itu dibuat ketika Perdana Menteri menghadiri majlis ramah mesra Persatuan Sekolah Persendirian Cina Sibu dan Persatuan Sekolah Rendah Bantuan Cina Sibu, di sini.

Bantuan itu membabitkan RM10 juta untuk semua 60 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) di Sibu, lima sekolah menengah persendirian Cina Sibu (RM5 juta), Sekolah Kebangsaan St Mary Sibu (RM1 juta) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart Sibu (RM2 juta).

Enam lagi kes kluster ILI dikesan

PUTRAJAYA: Sebanyak enam laporan kejadian kluster baru penyakit serupa influenza (ILI) dikesan di enam negeri sehingga jam 8 pagi ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Enam negeri berkenaan ialah Kedah, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.

Katanya, sehingga jam 5.30 petang semalam, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat di hospital seluruh negara adalah sebanyak 713 kes.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 131 kes disahkan positif Influenza A (H1N1).

"Bilangan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 13 kes dengan sembilan daripadanya mempunyai faktor risiko," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga 5.30 petang semalam, sebanyak 64 kes disahkan H1N1 dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes itu adalah 14,202.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan H1N1 boleh melayari laman sesawang http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau hubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300. - Bernama

Program 'Melayu Bangkit' ditangguh

KUALA TERENGGANU: Program Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bertemakan "Melayu Bangkit" yang dijadual diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, esok ini ditangguhkan ke tarikh lain selepas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengarah Jabatan Integriti Terengganu, Arpin Draman, berkata program bersama bekas Perdana Menteri itu terpaksa ditangguhkan berikutan bantahan beberapa pihak yang tidak mahu ia diadakan pada 13 Mei.

"Kita sepatutnya mengadakan raptai jam 3 petang ini tetapi terpaksa membatalkan semuanya. Sebenarnya, inisiatif Jabatan Integriti mengadakan program ini dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) timbul selepas melihat ramai golongan muda Melayu terbabit dengan kes jenayah dan salah laku sosial serta moral.
“Program bertujuan membangkitkan kesedaran di kalangan generasi muda Melayu mengenai peranan mereka dalam menentukan hala tuju negara pada masa depan ditangguhkan selepas kita menerima nasihat Perdana Menteri yang disampaikan wakil Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kira-kira jam 2 petang,” katanya pada sidang media petang ini.

Akhbar hari ini melaporkan, MCA dan Pas membantah pemilihan tarikh 13 Mei iaitu ulang tahun peristiwa berdarah sebagai hari perhimpunan Program Melayu Bangkit di sini, dan menyifatkan tindakan itu boleh menjejaskan hubungan perpaduan antara kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, Arpin berkata, tarikh 13 Mei yang dipilih pihaknya tidak langsung berkaitan dengan peristiwa berdarah seperti didakwa beberapa pihak, sebaliknya ia diputuskan selepas Dr Mahathir tidak mempunyai kelapangan pada tarikh awal yang dijadualkan iaitu 11 Mei.

"Tarikh 13 Mei tidak ada makna apa-apa bagi penganjuran program ini. Tarikh asal dicadangkan ialah 11 Mei, tetapi Dr Mahathir tidak lapang pada hari itu, begitu juga dengan Menteri Besar menyebabkan kita ubah kepada 13 Mei.
Bagaimanapun, saya harap isu ini tidak diperbesarkan kerana pihak yang membuat provokasi tidak tahu pengisian sebenar program ini," katanya.