Followers

Sunday, October 24, 2010

Pemimpin parti politik diingatkkan tidak bangkit isu sensitif di Batu Sapi: Polis

SANDAKAN: Pesurahjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim, hari ini mengingatkan pemimpin parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi supaya tidak menjadikan isu sensitif seperti agama dan aspek yang sudah termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahan kempen semata-mata untuk meraih undi.

Bekas pengerusi perhubungan PKR calon Pakatan Rakyat di Batu Sapi

SANDAKAN: Bekas Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Ansari Abdullah hari ini dipilih sebagai calon Parti itu bagi merebut kerusi Parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya kecil, 4 November depan.
Pengumuman itu dibuat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Hakka, Batu 6, di sini, sebentar tadi.

Balu bekas Ahli Parlimen Batu Sapi calon BN

SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) mengumumkan Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) bahagian Elopura, Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, 4 November ini.

Tsen, 54, adalah balu kepada Datuk Edmund Chong Ket Wah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Coastal, Kota Kinabalu, 9 Oktober lalu.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman, di Hotel Sanbay di sini, sebentar tadi, yang turut dihadiri semua pemimpin parti komponen BN Sabah.

Program transformasi dijangka pacu Malaysia maju: Pelabur

KUALA LUMPUR: Esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan Program Transformasi Ekonomi : Hala Tuju Untuk Malaysia".

Program Transformasi Ekonomi (ETP) itu menurut Presiden Persatuan Pelabur Malaysia akan mengangkat pembangunan ekonomi negara, sekaligus meletakkan negara pada landasan yang kukuh untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.
Presidennya, Datuk Dr P H S Lim, berkata :"Kita kini hanya sedekad untuk melangkah ke sempadan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu merealisasikan Malaysia sebagai negara maju dengan perkapita tinggi, rakyat berilmu, berbudaya, sihat, bertamadun tinggi dan hidup mewah.
Najib yang juga Menteri Kewangan, akan melancarkan maklumat lanjut berkaitan 131 projek permulaan (EPP) dan 60 Peluang Perniagaan (BO) menerusi pelan tindakan itu yang meliputi 12 bidang ekonomi utama negara (NKEA).

"Projek-projek ini sudah pasti akan menyumbang beberapa trilion ringgit kepada Malaysia, lebih banyak berbanding permodalan Bursa Malaysia yang kini sebanyak RM1.1 trilion.

"Sektor swasta akan memain peranan penting sebagai enjin pertumbuhan dengan sokongan pelabur swasta," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut Lim, kerajaan mengenal pasti beberapa projek utama pembangunan strategik termasuk Aliran Transit Berkapsiti Tinggi (RM40 bilion), Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (RM26 bilion), pembangunan tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh (RM10 bilion) dan Warisan Merdeka (RM5 bilion).
Projek lain termasuk pembinaan lebuh raya, pusat perubatan dan hospital pengajar, pemulihan sungai, industri bioteknologi, industri farmaseutikal, industri pelancongan perubatan.

Lim berkata Malaysia mesti mencatat keluaran dalam negara kasar 7 peratus setahun bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Faktor ini banyak bergantung terhadap persekitaran global memandangkan Malaysia masih merupakan negara berorientasikan eksport.

"Kami terpencil sepenuhnya dan banyak perkara diluar kawalan pengeksport dan pengeluar kita," katanya.

Beliau juga berkata faktor permintaan dalam menggunakan sepenuhnya kapasiti bekalan juga sangat penting.

"Bekalan dan permintaan mesti sepadan. Jika tidak gelembung akan meletus seperti yang kita alami semasa krisis kewangan Asia pada 1997. Jika tidak, pembangunan tidak dapat bertahan.

Lim juga berkata, bagi merealisasikan negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlukan mata wang yang bernilai kukuh memandangkan mata wang yang kukuh dapat menjadikan negara lebih kaya berdasarkan nilai aset yang lebih tinggi.

"Ringgit Malaysia masih di bawah nilai walaupun sudah mengukuh daripada RM3.80 kepada RM3.04 Tahun ini, ia meningkat 11 peratus berbanding dollar Amerika Syarikat," katanya. - BERNAMA

Kerajaan Sarawak anggap media rakan kongsi sebarkan maklumat

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak menganggap kalangan media di negeri itu sebagai "rakan kongsi" mereka untuk menyebarkan maklumat tepat, terutamanya berhubung pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), kata Menteri Kedua Perancangan dan Pengurusan Sumber negeri, Datuk Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, adalah mustahak untuk memperbetulkan tanggapan salah oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar negara, yang sengaja menggambarkan pelaksanaan SCORE sebagai membawa kesan buruk kepada alam sekitar manakala penduduk setempat pula kehilangan tempat tinggal akibat projek pembinaan empangan Bakun.
"Sebaliknya, media tempatan perlu menonjolkan aspek positif pembangunan Score, yang menjana peluang pekerjaan dan pendapatan tinggi untuk rakyat," katanya pada majlis anugerah peraduan Esei Kenegaraan dan Apresiasi Media 2010, anjuran Jabatan Penerangan Sarawak di sini, malam tadi.
Empangan hidro Bakun di Belaga terletak di bawah SCORE.

Awang Tengah turut berharap jabatan tersebut dapat memberi tumpuan kepada usaha untuk mengajak rakyat supaya tidak lari daripada melihat SCORE sebagai peluang keemasan untuk mengembang dan mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri ini.

"Memang mudah untuk mempengaruhi pemikiran rakyat yang bukan sahaja setakat adik kakak yang berada di kampung dan pedalaman tetapi termasuk mereka yang bijak pandai dengan pemikiran yang sempit dan tidak berpandangan jauh", kata Awang Tengah, yang juga Menteri Kemudahan Awam Negeri.

Terdahulu, Pengarah Penerangan Sarawak, Resat Salleh, berkata peraduan itu dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sejarah negara, dasar dan program pembangunan kerajaan serta komitmen rakyat dalam proses pembangunan negara melalui budaya membaca dan menulis.
Tajuk menarik dan relevan dipertandingkan tahun ini termasuk SCORE, Gagasan 1Malaysia, Pembangunan negeri Sarawak, Program Transformasi Kerajaan dan Bajet 2010 yang merangkumi kategori Bahasa Malaysia, Inggeris dan Iban. - BERNAMA