Followers

Sunday, June 7, 2009

H1N1: Penumpang pesawat AirAsia X D7 2723 digesa lapor diri

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan, hari ini, menggesa semua penumpang pesawat AirAsia X D7 2723 yang tiba di Kuala Lumpur dari Melbourne, Australia, Jumaat lalu supaya menghubungi kementerian itu berikutan pengesanan kes ketujuh yang positif Influenza A (H1N1) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata penumpang tersebut khasnya yang berada di tiga baris dari kerusi bernombor 31A (dari arah hadapan, belakang, kiri dan kanan) diminta menghubungi kementerian itu di talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari jam 8 pagi hingga 9 malam.

Semalam, Malaysia mengesahkan kes ketujuh positif H1N1 membabitkan seorang pelajar perempuan warga Australia yang datang ke Malaysia bersama-sama ibunya untuk menziarah saudara mara mereka di negara ini.

Mereka tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dari Melbourne pada jam 7 pagi dengan menaiki penerbangan itu yang membawa 258 penumpang dan pelajar terbabit duduk di kerusi bernombor 31A.

"Sehingga semalam, tiada kes baru dilaporkan. Jumlah kes yang disahkan Influenza A (H1N1) masih kekal tujuh kes import. Kelima-lima kes yang dilaporkan pada 4, 5 dan 6 Jun masih dalam rawatan dan telah beransur pulih serta berkeadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehingga kini, katanya, 153 orang kontak sedang dikenakan kuarantin di rumah dan kesemuanya dalam keadaan sihat tanpa gejala jangkitan Influenza A (H1N1).

Dr Ismail turut menggesa pelajar Malaysia di luar negara yang sedang bercuti musim panas supaya menangguhkan perjalanan pulang ke tanah air jika mereka mempunyai tanda-tanda penyakit itu.

Katanya, bagi mereka yang sudah pulang dan mempunyai tanda-tanda jangkitan, haruslah segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan.

Beliau berkata, setakat ini, sejumlah 20 notifikasi kes yang mempunyai tanda jangkitan selepas kembali dari luar negara sudah diterima di seluruh negara dan dimasukkan ke empat hospital rujukan Influenza A (H1N1) bagi tujuan rawatan dan penyiasatan.

"Daripada 20 kes itu, 16 adalah negatif terhadap Influenza A(H1N1) dan empat masih menunggu keputusan," katanya. - Bernama

0 comments: