Followers

Wednesday, August 11, 2010

Nelayan ditahan tuang air panas ke atas anak gadis, belasah isteri

KUCHING: Seorang nelayan hari ini ditahan kerana disyaki mencederakan anak perempuannya yang berusia 15 tahun dengan menuangkan air panas ke atas badan anaknya itu di Kampung Stapok, Batu Kawa di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kok Keong, yang mengesahkan kejadian itu berkata mangsa melecur pada separuh badan dan kini mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak.
"Polis menahan lelaki yang berusia 39 tahun itu untuk membuat siasatan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, abang mangsa yang berusia 16 tahun yang baru balik dari bekerja mendapati ibunya pengsan dipercayai dibelasah bapanya manakala adiknya itu melecur separuh badan akibat dituangkan air panas.

Lelaki berkenaan dikatakan seorang yang panas baran dan selalu memukul keluarganya. - BERNAMA

Virus leptospirosis dikesan di dua tempat di Sibu

SIBU: Virus yang mengakibatkan penyakit kencing tikus atau leptospirosis, kini dikesan di dua tempat di sini.

Pejabat Kesihatan bahagian, dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata dua tempat itu ialah tasik rekreasi Jalan Permai dan kawasan kolam di Kem Latihan Khidmat Negara Junaco Park.
Pegawai kesihatan bahagian, Dr Muhamad Rais Abdullah, meminta orang ramai supaya menjauhi kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pejabatnya akan memaklumkan kepada orang ramai sekiranya kedua-dua kawasan itu disahkan selamat untuk dikunjungi nanti.

Leptospirosis mula mendapat perhatian ramai akhir Jun lalu apabila lapan orang meninggal dunia disyaki dijangkiti bakteria melioidosis dan leptospirosis selepas menyertai operasi menyelamat di Lubuk Yu, Maran, Pahang.

Sabtu lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mengarahkan setiap pegawai kesihatan daerah mengawal selia kebersihan kawasan rekreasi terutamanya tapak perkhemahan yang menjadi antara punca wabak ini berleluasa di seluruh negara. - BERNAMA

Suami isteri maut sebelum sempat berbuka puasa

SEREMBAN: Sepasang suami isteri tidak sempat menghabiskan hari pertama ibadah puasa mereka hari ini apabila terbunuh dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di KM253.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Senawang petang tadi.

Seorang kanak-kanak berusia 3 tahun yang dikenali sebagai Mohd Daniel, iaitu anak angkat kepada pasangan terbabit, bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami luka di mata dalam kemalangan 4 petang itu.
Pasukan bomba dan penyelamat dari Senawang mengeluarkan mayat suami isteri yang tinggal di Tampoi itu dari kereta mereka.
Menurut polis, mereka yang terbunuh dikenali sebagai Jamat Yaacob, 49, yang dipercayai bekerja sendiri dengan membekalkan bola golf terpakai di kelab golf sekitar Kuala Lumpur.

Ratusan bola golf bertaburan di sekitar kawasan kemalangan.

Isteri Jamat, Rosmah Omar, 48, cedera parah di kepala.

Pemandu lori treler itu, Alghazi Khamis, 48, berkata beliau bersama isteri dan anaknya yang berumur 5 tahun sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor apabila treler yang dipandunya mengalami kerosakan.
"Treler saya tidak dapat bergerak akibat kerosakan pada 'long shaft'. Saya tidak dapat bergerak ke lorong kecemasan dan terpaksa berhenti di lorong tengah," katanya kepada Bernama.

Beliau kemudian turun dari lorinya untuk meletakkan kon amaran kecemasan di belakang trelernya sebelum naik semula ke dalam treler.

"Tidak sampai tiga minit kemudian, tiba-tiba treler saya bergegar dengan kuat dan saya nampak sebuah Toyota Unser terperosok ke bawah treler saya," katanya.

Dalam kejadian berasingan di Nilai, seorang wanita yang berusia lingkungan 20-an terbunuh selepas tercampak dari kereta Kancil yang turut dinaiki tiga rakannya.

Menurut polis, wanita terbabit yang duduk di sebelah pemandu tercampak selepas kereta itu terbabas ke lereng bukit pada jam 3.50 petang di KM273 berhampiran kawasan rehat Seremban.

Kereta Kancil terbabit dipercayai sedang dalam perjalanan dari Nilai menuju Melaka.

Tiga lagi penumpang termasuk pemandunya terselamat. - BERNAMA

Bayi ditemui dalam tong sampah ketika sahur

MELAKA: Seorang pengawal keselamatan sebuah kilang di Ayer Keroh di sini menemui seorang bayi perempuan di dalam sebuah tong sampah berhampiran tempat kerjanya, awal pagi ini.

Mohd Asri Shaari, 44, berkata beliau yang ketika itu baru lepas bersahur di kantin kilang, memeriksa tong sampah berkenaan selepas terdengar suara tangisan bayi pada jam 5.15 pagi.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sini beliau berkata selepas diperiksa beliau menemui bayi yang masih bertali pusat itu dalam sebuah beg di dalam tong sampah tersebut.
Katanya, beliau terus menghubungi polis dan bayi itu kini berada di Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah, berkata polis sudah menahan seorang remaja lelaki dan remaja perempuan yang bekerja di kilang berkenaan, bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua mereka yang berumur 18 tahun dan berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu dipercayai pasangan kekasih yang baru bekerja di kilang berkenaan sejak sebulan lalu.

"Kedua-dua suspek direman mulai hari ini sehingga Sabtu ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya. - BERNAMA

Mayat wanita separuh bogel ditemui di Sungai Petani

SUNGAI PETANI: Mayat seorang wanita dalam keadaan separuh bogel ditemui di sebuah ladang getah berhampiran Taman Kelisa Ria di sini pagi tadi.
Mayat yang tidak dikenali itu hanya berbaju T manakala seluar dalamnya terlondeh sehingga paras lutut dengan muka tersembam ke tanah dan tangan kirinya diikat dengan dawai.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali, berkata mangsa dipercayai berketurunan Melayu atau Siam berumur awal 20-an ditemui seorang penoreh getah kira-kira 10 pagi tadi.
"Polis masih menyiasat punca kematian mangsa dan belum boleh memastikan sama ada mangsa telah dirogol, dibunuh di tempat lain atau di tempat mayatnya ditemui," katanya.

S Shanmugam, 50, yang menemui mayat itu berkata badan mayat ditutup dengan daun semasa ditemui.

Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mengetahui tentang kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Teh Boon Keong di talian 012-3284837. - BERNAMA

PSG beri keterangan kes penderaan seks wanita Penan

KUALA LUMPUR: Penan Support Group daripada Suara Rakyat Malaysia (SUARAMA) hari ini memberi keterangan di ibu pejabat polis Bukit Aman di sini berhubung pendedahan tujuh lagi wanita Penan yang didakwa terlibat dalam kes penderaan seks oleh pekerja pembalakan tahun lalu.

Seorang anggota kumpulan itu, John Liu yang ditemui sejam selepas memberi keterangan di Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak itu, berkata beliau diminta memberi kenyataan saksi mengikut seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.
"Sebenarnya ini adalah respons kepada laporan kami bulan lepas mengenai kes yang kami dedahkan dalam laporan bertajuk 'A Wider Context of Sexual Exploitation of Penan Women and Girls in Middle and Ulu Baram, Sarawak'," katanya.
Beliau berkata, mereka turut memberi maklumat yang telahpun terkandung dalam laporan itu dan menyerahkan dua naskhah laporan berkenaan kepada Bukit Aman.

Liu mengulangi gesaan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat masalah yang diketengahkan dalam laporan itu.

Dalam laporan itu, Penan Support Group yang terdiri daripada 36 badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan bahawa tujuh lagi wanita Penan mengadu kepada kumpulan itu pada November tahun lepas bahawa mereka telah dirogol atau didera secara seksual oleh pekerja balak di Ulu Baram. - BERNAMA

Gempa bumi bermagnitud 6.0 gegarkan Vanuatu

SYDNEY: Gempa bumi kuat pada magnitud 6.0 menggegarkan kepulauan pasifik di Vanuatu, sehari selepas gegaran besar semalam yang turut mencetuskan tsunami kecil.

Jabatan Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa itu dicatatkan pada jam 2.35 pagi (waktu tempatan) dengan kedalaman 41 kilometer, barat-barat laut Port Vila.
Susulan kejadian terbaru itu, tiada amaran tsunami dikeluarkan setakat ini. - AFP