Followers

Sunday, August 29, 2010

Gempa bumi 5.2 skala Richter gegar Indonesia

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan wilayah Irian Barat pada jam 6.02 petang tadi.

Menurut satu kenyataan Jabatan Meteorologi, pusat gempa bumi itu berlaku di 654 km timur laut Ambon, Indonesia dan 1,726 km tenggara Kunak, Sabah.
Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami, menurut kenyataan itu. - Bernama

Kapal penggerudi minyak pertama direka, dibina di Malaysia belayar dua hari lagi: Mokhzani

SITIAWAN: Kapal KM-1, iaitu kapal penggerudi minyak yang pertama direka dan dibina sepenuhnya di Malaysia akan memulakan pelayarannya dua hari lagi.
Ketua Eksekutif Kumpulan Kencana Petroleum Bhd, Datuk Mokhzani Mahathir, berkata kapal yang dibina dengan kos kira-kira AS$150 juta itu akan memulakan tugasnya untuk Petronas Carigali di perairan sabah.
Beliau berkata demikian pada sidang media di atas kapal itu di sini, pagi tadi.

Hasilkan video bangkit sentimen perkauman perlu dikenakan tindakan tegas: Rais

KUALA LUMPUR: Perbuatan menghasilkan video yang membangkitkan sentimen perkauman perlu dikenakan tindakan tegas supaya ia tidak menjadi amalan di kalangan rakyat negara ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, perbuatan seperti itu boleh dikategorikan sebagai perkara yang menyalahi seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Perbuatan seperti itu, katanya, tidak harus dilihat semata-mata sebagai kebiasaan, malah ia sangat menyedihkan kerana selepas sekian lama berjuang untuk mencapai kemerdekaan dan membina negara, sepatutnya masyarakat negara ini menjadi lebih matang.
"Apalah seronoknya bagi kita, misalnya memperkecil-kecilkan lagu Negaraku, mengubah senikatanya, menconteng wajah Yang di-Pertuan Agong atau membuat video seperti itu.

"Ini jelas merendahkan lagi martabat kita sebagai satu negara dan satu bangsa di bawah gagasan 1Malaysia," katanya ketika mengulas tindakan Wee Meng Cheng atau dikenali sebagai Namewee yang mengulangi perbuatan yang dianggap biadab dengan menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Terdahulu, Rais menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini yang berlangsung hampir dua jam.

Namewee, seorang pemuda dari Muar, Johor seperti mana yang disiarkan dalam laman web YouTube, membuat klip berbaur perkauman dengan merujuk kepada kes seorang guru yang dikatakan membuat kenyataan berbaur perkauman, antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.
Rais berkata, dalam hal ini, kementeriannya berharap Peguam Negara bertindak lebih tangkas bagi membendung perkara-perkara yang berunsur perkauman daripada terus berlaku.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama untuk menonton video itu dan menilainya secara objektif namun terserah kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak penguatkuasaan sama ada tindakan undang-undang layak diambil.

"Kalau di Britain orang tak conteng muka Queen... kenapa kita di Malaysia suka sangat buat perkara seperti ini. Jadi, untuk mencegahnya undang-undang harus tegas," katanya. - Bernama

Indonesia digesa jaga kepentingan pelabur Malaysia: Mukhriz

KULIM: Kerajaan Indonesia diminta supaya menjaga kepentingan dan keselamatan pelabur Malaysia di negara tersebut seperti mana yang dilakukan oleh pihak Malaysia di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata hubungan erat antara kedua-dua negara yang telah terjalin sekian lama perlu dijaga termasuk dalam soal ekonomi.
"Kita tidak mahu berlaku insiden-insiden yang mencemarkan perhubungan yang sentiasa baik itu,” katanya di sini, semalam.
Beliau tidak menolak kemungkinan tunjuk perasaan terhadap Malaysia di republik tersebut didalangi oleh pihak yang cemburu melihat hubungan erat antara kedua-dua negara.

“Kita tak mahu membuat spekulasi yang bukan-bukan tetapi kita yakin bahawa ada pihak yang cuba membuat (kacau) semata-mata untuk meleraikan pertalian baik kedua-dua negara,” katanya.

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dilempari dengan najis manusia Isnin lalu oleh sekumpulan penunjuk perasaan dari Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA). - Bernama

Demonstrasi boleh jejas hubungan Malaysia-Indonesia

JAKARTA: Demonstrasi baru-baru ini depan Kedutaan Besar Malaysia di sini oleh Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) nampaknya telah mengubah senario diplomasi hubungan dua hala Indonesia-Malaysia.

Pelemparan najis manusia di perkarangan kedutaan itu dan mengotorkan bendera Malaysia sebagai membantah penangkapan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia di perairan Riau, pada 13 Ogos itu nampaknya telah menjejas hubungan itu.
Kuala Lumpur berpendirian pegawai penguatkuasa berkenaan telah menceroboh perairan Malaysia dan menculik nelayan-nelayan Malaysia pada tarikh berkenaan.
Manakala, Jakarta pula mendakwa bahawa nelayan Malaysia menceroboh dan mencuri ikan di perairannya.

Sementara suasana baru mula panas di Malaysia, situasi di Indonesia sudah meningkat ke tahap mendesak diputuskan hubungan diplomatiknya dengan Malaysia.

Pensyarah Kanan bidang Hubungan Antarabangsa Universiti Indonesia, Andi Widjojanto, dan peneliti Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Ikrar Nusa Bhakti, misalnya sudah mencadangkan supaya Indonesia menurunkan tahap hubungan dengan Malaysia, jika tidak memutuskan terus hubungan itu, sebagai langkah terapi kejutan terhadap Malaysia.

Namun, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), yang sering dipersalahkan masyarakat kerana tidak tegas menangani persoalan ini berkata, jalan terbaik menyelesaikannya ialah melalui perundingan namun Indonesia tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan wilayahnya.
Susilo sudah mengirim surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyatakan harapan supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan baik dan rundingan mengenai masalah perbatasan diteruskan.

Aktivis masyarakat yang tidak suka melihat hubungan baik Malaysia-Indonesia cepat menggunakan peluang daripada insiden ini untuk mencetuskan semangat nasionalisme dan menyalahkan SBY, yang didakwa terlalu mengalah dalam perundingan dengan Malaysia.

Ahli politik termasuk menteri kabinet Indonesia cepat menyalahkan Malaysia kerana insiden Riau itu, yang diburukkan lagi dengan laporan media yang menggambarkan Malaysia sebagai angkuh.

Tekanan yang terus meningkat memaksa Menteri Luar, Dr Marty Natalegawa untuk mengirim nota diplomatik kepada Malaysia bagi membantah tindakan Polis Marin Malaysia itu, dengan menyatakan bahawa insiden itu berlaku di perairan Indonesia.

Indonesia mendasarkan keputusan itu pada peta tahun 2009 berbanding Malaysia yang menggunakan peta 1979.

Malaysia menjawab dengan menegaskan kejadian itu berlaku di luar pantai Johor. Kawasan ini berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

Dalam pada itu, media Indonesia terus memainkan isu seperti layanan buruk terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia dan isu ratusan warga Indonesia menghadapi hukuman mati di Malaysia kerana kesalahan dadah dan jenayah berat, untuk menambah rasa benci rakyat Indonesia terhadap Malaysia.

Undian pendapat oleh harian Republika pada 23 Ogos menunjukkan 3,607 responden atau 72.91 peratus daripada responden mengatakan Malaysia negara paling kurang mesra dengan Indonesia, di kalangan tujuh negara lain termasuk Australia, Singapura, Brunei dan Filipina.

Malaysia sendiri berdepan dengan pelbagai masalah di Indonesia termasuk tanah kediaman Duta Besar Malaysia di Kemang, Jakarta Selatan dirampas oleh pihak tententu.

Ia mengambil masa 12 tahun untuk mahkamah mengembalikan tanah itu sedangkan ini adalah tanggungjawab Jakarta untuk melindungi kepentingan perwakilan asing.

Tanah ladang kelapa sawit milik Sime Darby berjumlah 48,000 hektar, yang sebahagian besarnya di Kalimantan kini terancam akan dilelong manakala Petronas yang diminta melabur di Indonesia dengan janji dapat menjual bahan bakar bersubsidi tidak diberikan hak itu kecuali di Sumatera dengan jumlah yang amat kecil.

Pertemuan Anifah dan Dr Marty yang dijadualkan pada 6 September di Kota Kinabalu bagi membincangkan soal sempadan bersama adalah perkembangan positif.

Oleh kerana pertikaian sempadan ini tidak mungkin dapat diselesaikan dalam jangka masa singkat, insiden seperti ini berkemungkinan berulang.

Kita harap segala mekanisme sudah tersedia dan hubungan bilateral ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya nanti. - Bernama

Seorang lelaki dihukum gantung, bersalah bunuh tunang

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas seorg lelaki kerana didapati bersalah membunuh tunangnya, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Zamani A Rahim, membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapti pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Tertuduh, Raja Saiful Nizam Raja Ali, 27, dituduh melakukan kesalahan itu pada 29 ogos 2006, jam antara 12.01 tengah malam hingga 4 pagi di lereng bukit Tanjung Jaga, Yan dengan sengaja melakukan pembunuhan menyebabkan kematian Rohayu Kasa, 28.
Dia didakwa mengikut seksyen 302 kanun keseksaan yang mana jika sabit keslahan membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timb Pendkwaraya Ridha Abdah Subri, manakala tertuduh diwakili G Ravishankar.

Suasana mahkamah menjadi sebak apabila ahli keluarga tertuduh yang hadir menangis dan berpelukan sebaik hukuman dijatuhkan.

Tertuduh yang berkemeja kuning dan berseluar gelap bagaimanapun kelihatan tenang.

Indonesia keluarkan amaran berbahaya selepas letusan gunung berapi

JAKARTA: Indonesia dalam keadaan berhati-hati selepas gunung berapi di pulau Sumatera meletus, meluahkan asap dan abu sedalam 1,500 meter ke udara sehingga memaksa sekurang-kurangnya 12,000 penduduk berpindah.
"Pada awalnya kami menganggap abu dan asap itu disebabkan hujan, tetapi ini kami tahu punca kejadian itu adalah tekanan daripada magma. Ia jelas berbahaya...jadi kami meningkatkan amaran ke tahap tertinggi atau peringkat merah," kata Ketua Pusat Amaran Bencana negara itu, Surono di sini, sebentar tadi. - AFP