Followers

Saturday, April 17, 2010

Najib berlepas dari Amerika ke Jepun

NEW YORK: Datuk Seri Najib Razak mengakhiri lawatan kerjanya selama seminggu di Amerika Syarikat pada Jumaat dan berlepas dari New York ke Jepun. 


Perdana Menteri dijangka tiba di Tokyo esok untuk lawatan rasmi selama empat hari, yang pertama sejak memegang jawatan itu.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Maharaja Akihito dan Maharani Michiko, serta mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Jepun Yukio Hatoyama.

Najib akan diiringi oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. - Bernama

Petronas jelaskan kedudukan jualan gasolin ke Iran

KUALA LUMPUR: Petronas menjelaskan bahawa jualan gasolin ke Iran, adalah berasaskan kepada transaksi komersial.

Petronas berkata menerusi anak syarikatnya, Petronas Trading Company (PETCO), ia menjual gasolin setempat daripada pedagang pihak ketiga dan membekalkannya kepada para pelanggannya di Iran.
Penghantaran terakhir gasolin ke Iran dibuat pada pertengahan Mac lepas, katanya dalam satu kenyataan bagi menjelaskan pelbagai laporan media mengenai status bekalan gasolin ke Iran.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa laporan media asing yang memetik beliau sebagai berkata Malaysia sudah menghentikan bekalan gasolin ke Iran, sebagai tidak tepat.

"Ia tidak betul dan keputusan itu bukan diambil bersendirian oleh Petronas. Ia membabitkan jualan setempat dan ia tidak lagi diperlukan, oleh itu mereka tidak lagi melakukannya (menjual)," katanya kepada wartawan Malaysia pada Jumaat.

Najib berkata ia adalah transaksi komersial semata-mata dan jika ada permintaan untuk jualan setempat, terpulang kepada pihak-pihak terbabit memutuskannya.

Laporan media mengaitkan penghentian jualan itu akibat tekanan antarabangsa terhadap Iran membabitkan program nuklearnya dan pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington minggu lalu, Najib mengadakan pertemaun dua hala dengan Presiden Barack Obama. - Bernama

Rais dahului berita terbaru Najib-Obama bersalaman

NEW YORK: Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Barack Obama menamatkan mesyuarat dua hala pertama mereka di Washington minggu ini, delegasi Malaysia telah bersiap sedia untuk meninggalkan tempat itu.

Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dan dua kali menjadi menteri luar sebelum ini, mengiringi Najib bagi pertemuan bersejarah yang berlangsung selama 40 minit.

"Saya ternampak Presiden Obama memberi isyarat kepada Perdana Menteri sekali lagi. Saya fikir ini satu detik keemasan, kamu tahu cara beliau menepuk Perdana Menteri di belakang, tapi pada masa itu tiada jurugambar," Rais memberitahu Bernama.




Nasib baik, Rais, seorang peminat fotografi, sentiasa membawa sebuah kamera bersama beliau.




"Saya kata ''Mr President'', boleh tak kamu tunggu sekejap dan beliau berkata: ''ya, sudah tentu'' dan apabila beliau melihat kamera saya, beliau bersalaman dengan Perdana Menteri dan saya merakamkan gambar mereka berdua yang kelihatan berseri-seri," kata Rais.




Selepas itu, penasihat media kepada Najib Datuk Jalaludin Bahaudin mengambil peluang itu dan meminta Obama untuk menandatangan buku hasil karangannya, "Audacity of Hope", dan Rais terus merakamkan gambar mereka berdua.




"Hanya satu perkara saya terlupa, apabila saya keluar dari pintu itu, saya sedar saya tidak mempunyai gambar yang diambil dengan Presiden Amerika Syarikat itu," kata Rais sambil tertawa mengingatkan peristiwa itu.

Rais menghasilkan bukunya bertajuk "Cabinet Governing in Malaysia" pada 2006 dan edisi keduanya akan dikeluarkan tidak lama lagi. Beliau bercadang untuk menyimpan gambar Najib-Obama untuk edisi berikutnya.




Beliau juga memberikan sekeping salinan gambar itu kepada Najib dengan mesej ''Kepada Datuk Sri PM, ini saat-saat bersejarah kepada anda dan begitu juga dengan kami di Malaysia'' dan kepada Bernama yang mengeluarkan gambar itu kepada media Malaysia yang lain.




Media Malaysia dibenarkan masuk hanya buat beberapa ketika sebelum mesyuarat dua hala itu bermula dan diberikan masa kurang daripada seminit semasa berada di dalam sebelum diminta beredar. - Bernama