Followers

Tuesday, March 2, 2010

Ada dalang jual organ rakyat Malaysia ke luar negara: KDN

PADANG BESAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mendedahkan wujud kegiatan menjual organ membabitkan mangsa rakyat Malaysia ke luar negara.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata kebanyakan mangsa yang dilaporkan adalah terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

"Mereka ini ada yang diculik dan dibawa ke negara asing sebelum organ mereka dicuri dan dijual kepada yang memerlukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pelancaran kempen Anti Pemerdagangan Manusia di sini hari ini.

Beliau yang tidak mendedahkan tahap keseriusan kegiatan itu berkata ada juga mangsa yang diperdaya untuk menjual organ mereka di negara asing tetapi tidak dibayar seperti dijanjikan.

"Penjualan organ ini yang berlaku sama ada dalam bentuk paksaan, tidak sedar atau dalam keadaan sedar adalah salah dan tertakluk kepada Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya.

Mengulas mengenai kegiatan pemerdagangan orang di negara ini, Abdul Rahim berkata dalam tempoh 28 Februari 2008 hingga 7 Februari lalu, seramai 186 orang telah didakwa mengikut akta berkenaan.

"Kebanyakan yang menjadi mangsa adalah kaum wanita dan perangkaan menunjukkan daripada 231 mangsa kes itu sejak dua tahun lalu, 154 orang adalah wanita," katanya. - Bernama

Guru di Malaysia belum sedia ajar pendidikan seks

KUALA LUMPUR: Guru-guru di Malaysia masih belum bersedia mengendalikan pendidikan seks di sekolah kerana mereka kurang latihan profesional dalam subjek itu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Katanya walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah tetapi sesuatu yang menyedihkan guru-guru kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.

Beliau berkata, guru takut mereka mungkin disaman ibu bapa jika melakukan kesilapan dalam menyampaikan pengetahuan seks kepada murid-murid.

"Malaysia adalah negara pelbagai bangsa, agama dan budaya dengan setiap etnik mempunyai tanggapan masing-masing mengenai subjek itu yang menjadikan pengajarannya lebih mencabar," katanya.

NUTP adalah kesatuan guru yang terbesar di negara ini mewakili 160,000 guru, iaitu kira-kira separuh kerjaya perguruan.

Lok berkata kesatuan itu berharap Kementerian Pelajaran berbincang dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai baik buruk usaha itu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Ketika ini, subjek itu diajar secara sambil lalu dari sekolah rendah hingga sekolah menengah tanpa kursus yang dirangka dengan sempurna.

Pendidikan seks menjadi satu isu yang sangat penting sejak kebelakangan ini di Malaysia berikutan peningkatan kes ibu-ibu muda yang tidak berkahwin, kebanyakannya pelajar.

Sementara itu, tinjauan di kalangan pelajar, ibu bapa dan guru menunjukkan kumpulan itu menyokong usaha itu tetapi tidak pasti bentuk dan kandungan kursus itu.

Seorang pelajar, Jayaraman, 17, berkata: "Saya menyokong penuh tetapi saya tidak pasti apa dan bagaimana guru-guru akan mengajar kerana kita ada lebih ramai pelajar perempuan daripada lelaki dalam kelas dan kebanyakan guru adalah wanita".

Abdul Raof Bidin, 38, yang mempunyai dua anak yang bersekolah, merasakan adalah perlu untuk mengajar subjek itu, tetapi ia perlu ditangani secara berhati-hati kerana ia mudah disalahtafsirkan dan boleh menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika tidak disampaikan dengan betul.

Sementara itu, M Arumugam, 44, berkata adalah lebih baik jika profesional dalam bidang perubatan seperti jururawat dan doktor menyampaikan subjek itu kepada pelajar.

"Mungkin Kementerian Pelajaran boleh berunding dengan Kementerian Kesihatan dan mendapatkan beberapa kerjasama di mana anggotanya dapat memberikan guru-guru latihan ketika waktu kerja," katanya.

Betty Lee, 50, seorang guru dengan 24 tahun pengalaman, merasakan subjek itu lebih baik dilaksanakan oleh guru-guru yang merupakan ibu dan tahu mengendalikan subjek yang kompleks itu.

"Bukan semua guru boleh mengajar subjek itu, dan kementerian perlu teliti dalam memilih calon yang sesuai untuk kerja itu," katanya. - Bernama

Wanita muda mangsa jangkitan terbaru H1N1

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 22 tahun mati Ahad lepas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kerana jangkitan berhubung Influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata wanita itu dimasukkan ke HUSM pada 15 Feb lepas kerana mengalami demam dan batuk selama lapan hari.

Mangsa telah mendapat rawatan di klinik swasta dan dirujuk terus ke HUSM pada hari yang sama.

Wanita itu disahkan sebagai jangkitan Influenza A (H1N1) pada 16 Feb dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat komplikasi jangkitan paru-paru keesokan hari.

"Pesakit meninggal dunia dua minggu kemudian dengan penyebab kematian dicatatkan sebagai ''septicemic shock with acute respiratory distress syndrome secondary to H1N1 infection''," Liow berkata dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, angka kematian tempatan akibat H1N1 ialah 77.

Liow berkata walaupun jangkitan Influenza A (H1N1) bagi kes itu dikatakan sebagai ''secondary'', namun ia menunjukkan penularan H1N1 walaupun masih rendah boleh menyebabkan kematian jika rawatan awal tidak diambil.

"Walaupun kematian akibat jangkitan Influenza A (H1N1) tidak banyak berlaku pada masa ini, Kementerian Kesihatan ingin menegaskan penularan jangkitan itu masih aktif di Malaysia dan berharap masyarakat akan terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang telah disarankan bagi membendung penularan jangkitan di kalangan masyarakat," katanya. - Bernama

Wanita mati akibat jangkitan H1N1 di Kubang Kerian

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 22 tahun mati kerana jangkitan berkaitan Influenza A (H1N1) di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ahad lalu. - Bernama

Gempa di Chile: 5,000 askar tambahan dikerah jaga keamanan

CONCEPCION: Penduduk yang marah dan kelaparan berikutan kemusnahan akibat gempa bumi kuat di Chile, Sabtu lalu mencetuskan keadaan huru-hara sehingga kedai dibakar serta berleluasanya kegiatan mencuri.

Ini menyebabkan Presiden Michelle Bachelet terpaksa mengerahkan lebih 5,000 askar tambahan untuk mengawal keadaan di kawasan bencana.

Di tengah bandar raya ini kelihatan api marak serta asap tebal dengan pasukan penyelamat terus bertungkus-lumus mencari mangsa yang mungkin terselamat di celah sisa runtuhan.

Setakat hari ini, gempa berukuran 8.8 magnitud yang turut membawa tsunami itu sudah mengorbankan 723 orang.

Kawasan paling terjejas ialah di pesisir pantai selatan negara dan perkampungan nelayan termasuk di Concepcion - kawasan bandar paling teruk musnah.

Menteri Dalam Negeri, Patricio Rosende, berkata seorang ditembak mati oleh pasukan keselamatan terdiri polis dan askar kerana mengganas serta mencuri dengan lebih 160 lagi ditahan.

"Kami memantau keadaan terkini dengan mendapat bantuan tentera ditempatkan di Biobio dan Maule.

"Sehingga esok (hari ini) lebih 7,000 tentera sudah dikerah ke sana," katanya. - AFP

Gempa 6.1 magnitud landa utara Filipina

MANILA: Gempa kuat berukuran 6.1 magnitud melanda utara Filipina hari ini tetapi tiada laporan segera mengenai kerosakan atau mangsa yang terbabit.

Gempa berpusat di 130 kilometer di utara Bandar Tuguegarao di Kepulauan Luzon, lapor Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina sebentar tadi. - AFP

Gempa bumi bermagnitud 5.0 gegar Kyrgyzstan

WASHINGTON: Gempa bumi 5.0 pada skala Richter menggegarkan Kyrgyzstan, berdekatan ibu negara Bishkek, lapor Pusat Penyelidikan Geoologikal Amerika Syarikat (USGS).

Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 17.38 kilometer (km) dan 77.25km di tenggara Bishkek pada 7.55 pagi (9.55 pagi waktu Malaysia) tadi.

Gempa bumi bermagnitud 5.0 di anggap sederhana tetapi boleh menyebabkan kerosakan agak teruk. - Reuters