Followers

Wednesday, October 7, 2009

Sabah&Sarawak: 200 pelajar guna 2 jambatan usang

Kemudahan rapuh perlu dibaiki segera

KOTA BELUD: Demi ilmu, seramai 200 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kesapang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi dari Kampung Tawadakan di sini, bergadai nyawa dengan bergantung kepada dua jambatan kayu berlantai usang dan rapuh untuk ke sekolah sejak Januari tahun lalu.

Jambatan merentangi Sungai Tawadakan itu perlu dibaiki atau diganti segera kerana tidak lagi selamat dan selesa untuk digunakan.

Ketua Kampung Tawadakan, Jamri Asoim mendakwa masalah itu sudah dikemukakan kepada Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Pejabat Daerah Kota Belud, tetapi hingga kini belum ada sebarang tindakan.

"Kami harap jambatan ini dibaiki segera demi kepentingan pelajar kerana kita bimbangkan keselamatan mereka," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Jamri berkata, jambatan itu berbahaya tetapi pelajar dari kampung itu yang belajar di SMK Taun Gusi dan SK Tawadakan tiada pilihan lain.

Malah, katanya, ada murid mendakwa pernah terjatuh dan terpaksa pulang ke rumah menukar pakaian.

Beliau berkata, penduduk kampung tidak mampu mengeluarkan membaiki jambatan berkenaan dan berharap ia diberi perhatian serius oleh kerajaan.

"Kami harap kerajaan memberikan keutamaan menyelesaikan masalah ini, seelok-eloknya gantikan dengan jambatan konkrit demi kepentingan semua pihak," katanya.

Penduduk kampung, Maugan Mustapha berkata, Abdul Rahman pernah berjanji membawa isu jambatan itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Rakyat berpegang kepada janji dan ia mesti dikotakan segera," katanya.

Samdin Umpong meminta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bertindak segera membaiki kedua-dua jambatan itu sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

"Sepatutnya masalah jambatan usang kini hampir tidak dapat digunakan sudah lama diatasi dan kita harap keperluan rakyat diutamakan.

"Kami bersyukur kerana anak masih sanggup ke sekolah walaupun saban hari berdepan kekurangan kemudahan asas,” katanya.

Sabah&Sarawak: Pemaju dibenar mula kerja sebelum lesen dikeluarkan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju membenarkan pemaju perumahan di negeri ini memulakan kerja penyediaan tapak sebelum pengeluaran lesen pemaju perumahan bagi memulakan pembinaan projek baru secara bersyarat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Mohd Noor, berkata kelonggaran itu diberi kepada projek yang memerlukan kerja penebusgunaan tanah yang diperakui jurutera berkelayakan.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak harus membabitkan kerja penggondolan bukit.

Beliau berkata, pemaju juga perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) meliputi Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran, Lembaga Bandaran dan Majlis Daerah untuk Plan Kerja Tanah terbabit.

"Keputusan ini dilaksanakan untuk memenuhi permintaaan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) yang dikemukakan kepada kementerian awal tahun ini," katanya ketika melancarkan Ekspo Hartanah Shareda 2009 (Propex 2009) di Pusat Dagangan Sabah (STC), Kota Kinabalu, kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Edward Yong.

Hadir sama, seorang lagi Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Ghulam Khaidar Khan dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim.

Propex 2009 menyediakan 80 gerai pameran pelbagai produk hartanah, agensi hartanah dan institusi kewangan dengan menawarkan 5,000 unit kediaman serta lot komersial dan industri bernilai RM2.2 bilion.

Sebanyak RM500 juta hartanah berjaya dijual sepanjang pameran tiga hari mulai Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Yong ketika ditemui berkata, kementerian itu memahami masalah pemaju perumahan kerana ada ketikanya tapak binaan perlu ditebus guna berikutan struktur tanah yang lembut.

Katanya, kawasan berkenaan mengambil masa lama untuk mendap dan yang memerlukan lebih setahun sebelum pemaju memulakan kerja pembinaan.

Beliau berkata, adalah tidak adil bagi pemaju terpaksa menunggu lesen dikeluarkan sebelum mereka memulakan kerja penyediaan tapak.

"Kita faham adalah sukar menyiapkan projek itu dalam tempoh dua tahun seperti diperlukan," katanya.

Yong berkata, kementerian sedang menilai rumusan Persidangan Perumahan Sabah 2009 pada Ogos lalu untuk mempercepatkan pengeluaran geran tanah dibahagi kecil, pelantikan Pesuruhjaya Bangunan, kaji semula beban pemaju bagi mendapatkan bekalan elektrik untuk projek mereka dan kekurangan pekerja mahir bangunan.

"Ia memerlukan pembabitan semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Pejabat Peguam Negara, Jabatan Tanah dan Ukur, PBT, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), " katanya.

Isu "berperang" tidak jejas hubungan Malaysia-Indonesia: TPM

PUTRAJAYA: Isu segelintir rakyat Indonesia yang dikatakan mahu "berperang" dengan Malaysia tidak akan menjejaskan hubungan di antara kedua-dua negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Padang selagi diperlukan.

Gempa bumi sederhana berhampiran Papua New Guinea

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter berlaku di berhampiran Papua New Guinea pada jam 11.23 malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam satu kenyataan di sini, berkata gempa bumi itu berpusat pada kedudukan 530 kilometer (km) di barat laut Port Moresby dan 3,188 km ke tenggara Kunak di Sabah.

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan kesan daripada gempa bumi itu. - Bernama

Perancis mahu bidang baru diterokai dengan Malaysia: Najib

PARIS: Perancis mahu hubungan baiknya dengan Malaysia dikekalkan serta meminta negara menimbang kemampuan teknologi syarikat negara itu dalam bidang pengurusan sisa pepejal, pengangkutan darat dan tenaga nuklear untuk meneroka bidang baru dalam hubungan antara kedua-dua negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Perancis, Francois Fillon, kepada Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan mereka di kediaman rasmi Perdana Menteri Perancis itu di sini semalam sempena lawatan rasmi empat hari Najib ke Perancis bermula Ahad.

Bercakap kepada pemberita Malaysia, Najib berkata dalam pertemuan itu beliau juga menyampaikan hasrat AirAsia untuk mendapatkan hak pendaratan di Paris.

Langkah penjagaan H1N1 calon PMR diteruskan: TPM

PUTRAJAYA: Langkah penjagaan wabak H1N1 akan diteruskan termasuk kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula hari ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, kebimbangan mengenai wabak itu bagaimanapun sudah tidak begitu ketara dan berada dalam keadaan terkawal.

"Alhamdulillah semua dalam keadaan persiapan yang baik dan kebimbangan H1N1 sudah dapat kita kawal, tidak ada apa-apa masalah," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 di sini hari ini.

Tahun ini, 475,182 calon menduduki PMR.

Muhyiddin turut mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran telah membenarkan pengambilan Cuti Peristiwa pada 20 Oktober ini sempena perayaan Deepavali yang akan disambut pada 17 Oktober.

Katanya, sekolah yang telah kehabisan Cuti Peristiwa dibenarkan untuk mengambil cuti yang harus diganti semula pada 31 Oktober.

Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran mengambil maklum bahawa terdapat banyak permohonan daripada pihak sekolah dan juga ibu bapa supaya sekolah dibenarkan mengambil cuti tambahan.

"Ini untuk memudahkan ibu bapa membuat persiapan awal dan merancang perjalanan balik ke kampung," katanya. - Bernama

Fakulti perubatan Universitas Andalas dibuka 15 Oktober

PADANG: Penuntut Fakulti Kedoktoran Universitas Andalas di sini akan memulakan semula pengajian yang tertangguh akibat gempa bumi kuat Rabu lalu pada 15 Oktober ini.

Timbalan Dekannya, Prof Dr Eryati Darwin, berkata 323 penuntut Malaysia yang mengikuti pengajian di situ juga diminta melapor diri pada pada tarikh itu atau selewat-lewatnya 19 Oktober ini.

"Kami faham pelajar Malaysia masih trauma akibat kejadian gempa itu, oleh kerana itu kami ingin memberi masa yang lebih kepada mereka.

H1N1: 195 pesakit baru ILI dikesan, calon PMR diminta berwaspada

KUALA LUMPUR: Seramai 195 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 227 kes dibenar pulang sehingga 9 pagi ini.

Tiada kes kematian baru akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan dalam tempoh sama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sehingga kini sebanya 769 kes ILI yang masih dirawat di 90 hospital di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 40 pesakit atau 5 peratus adalah kes Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.

"Daripada 40 orang pesakit Influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak 13 kes atau 33 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Dua kemasukan kes baru ke Unit Rawatan Rapi sementara tiga kes dibenar pulang hari ini.

"Untuk makluman, 10 daripada 13 kes yang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko seperti berikut; kanak-kanak bawah lima tahun (5), penyakit kronik (3) dan obesiti (2)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Ismail turut menasihati ibu bapa calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) sentiasa memantau tahap kesihatan anak mereka.

Katanya, mereka perlu memastikan anak mereka yang menunjukkan simptom ILI mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran.

"Selain itu, ibubapa atau penjaga juga dikehendaki memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai kesihatan anak masing-masing supaya tindakan yang bersesuaian dapat diambil oleh pihak sekolah," katanya.

Dr Mohd Ismail Merican berkata, petugas peperiksaan itu juga perlu mengasingkan pelajar yang mempunyai gejala ILI daripada pelajar sihat.

Katanya, pelajar yang mempunyai gejala ILI dikehendaki memakai topeng muka.

"Ini kerana selagi pelajar itu masih mempunyai tanda-tanda atau gejala, pelajar tersebut masih menjadi punca jangkitan kepada pelajar lain," katanya.

Unit kesihatan ATM dapat sambutan di Padang

PADANG: Unit Kesihatan Bergerak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat sambutan luar biasa apabila tidak putus-putus dikunjungi pesakit dari sekitar Kota Padang, di sini.

Ketuanya, Kapten Mahamud Tukimin, berkata jumlah pesakit yang datang mendapatkan rawatan mencecah 120 orang sejak hari pertama ia dibuka semalam.

"Sambutan cukup menggalakkan, kami pun tak menyangka begitu ramai yang datang pada hari pertama semalam sehingga terpaksa melanjutkan waktu operasi yang sepatutnya tamat pada 10 malam sehingga 12 tengah malam. Kami jangka lebih ramai yang datang hari ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, unit yang didirikan di depan Rumah Sakit Selasih, Jalan Khatib Sulaiman di sini yang bermula jam 8 pagi hingga 10 malam dikendalikan dua doktor, masing-masing daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan rumah sakit berkenaan serta dibantu lapan kakitangan yang bekerja mengikut shif.

Mahamud berkata, ramai pesakit yang hampir keseluruhannya terdiri daripada pesakit luar mengalami demam dan batuk.

"Setakat ini tiada (penyakit) yang serius, bagi yang batuk mereka mungkin terhidu banyak habuk yang berterbangan di kawasan runtuhan bangunan akibat kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa (gempa bumi)," katanya.

Sementara itu, penduduk yang datang mendapatkan rawatan melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Malaysia yang banyak memberikan pelbagai bentuk bantuan sejak gempa bumi kuat melanda kawasan itu, Rabu lepas.

Seorang suri rumah, Nelly Dalip, 39, yang membawa anaknya Indah Alwis, 1, mendapat rawatan akibat demam melahirkan penghargaan tidak terhingganya kepada rakyat Malaysia terutamanya yang sering menjadi antara yang pertama menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara ini.

"Ini memang bagus, kami amat senang sekali dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia," kata ibu kepada dua orang anak itu.

Pendapat Nelly itu dipersetujui Faridah Sumpu, 49, yang menerima rawatan akibat sakit kaki.

Beliau berharap bantuan perubatan seperti itu dapat diteruskan lebih lama lagi di situ. - Bernama

Mustapa jelas konsep 1Malaysia kepada pelajar

KAHERAH: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, memulakan bahagian kedua misi perdagangan dan pelaburannya ke tiga negara Arab dengan satu dialog bersama pelajar Malaysia di sini.

Sejurus mendaftar masuk di sebuah hotel lewat Selasa, beliau bertolak ke Dewan Malaysia di Khazindar Street Abbasiyah.

Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah itu penuh sesak dengan pelajar Malaysia yang tidak sabar-sabar hendak mendengar versi rasmi konsep 1Malaysia.

Semasa dialog itu, beliau menjelaskan teras 1Malaysia ialah untuk memelihara perpaduan dan memastikan tiada rakyat Malaysia yang merasakan dirinya dipinggirkan.

"Perpaduan, keadilan di bawah konsep 1Malaysia adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata, ia tidak langsung menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara mahupun keistimewaan yang dinikmati orang Melayu.

Antara isu-isu lain yang ditimbulkan oleh pelajar-pelajar itu ialah saranan memperluaskan pengajaran J-Qaf kepada sekolah menengah, dan keperluan menggalakkan pelancongan kesihatan dalam semua aspek termasuk kejuruteraan perubatan.

Turut dibangkitkan kebimbangan mengenai merosotnya bilangan pelajar Malaysia yang dihantar ke Kaherah untuk mengikuti pengajian Islam sedangkan mereka yang mengikuti pengajian perubatan semakin meningkat bilangannya.

Pelajar Malaysia di Mesir berjumlah kira-kira 8,000 orang dan di Kaherah saja terdapat seramai 3,413 orang dan daripada jumlah itu, 891 mengikuti pengajian perubatan manakala 2,522 lagi mengikuti pengajian Islam dan bahasa Arab.

Selepas dialog itu, Mustapa menikmati makan malam ringkas bersama wakil syarikat Malaysia di Mesir.

Beliau kemudian mengadakan pertemuan dengan pengerusi Majlis Perniagaan Mesir-Malaysia, Dr Sherif El-Gabaly.

Terdahulu, sebelum meninggalkan Doha, Mustapa membuat kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Bin Jassim Bin Al Thani.

Beliau juga menemui pengerusi Bank Islam Qatar, Sheikh Jassim Bin Hamad Bin Jassim Bin Jabr Al Thani dan Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Qatar, Abdul Aziz Rahim Al Emadi.

Bank Islam Qatar menguasai 51.4 peratus agihan pasaran perbankan Islam tempatan dan memegang 70 peratus ekuiti dalam Asian Finance Bank Malaysia.

Di Doha, Mustapa meluangkan masa selama tiga hari bagi usaha menggalakkan perdagangan dan pelaburan dengan Qatar.

Beliau berangkat ke Jeddah, Arab Saudi esok sebelum meneruskan perjalanan ke Riyadh. - Bernama