Followers

Monday, October 5, 2009

Indonesia usah bangkit isu keruh hubungan Malaysia

KUALA LUMPUR: Indonesia tidak harus membangkitkan isu yang boleh mengeruhkan hubungannya dengan Malaysia yang sentiasa bersedia menyalurkan bantuan setiap kali berlaku bencana alam di republik itu.

Pengarah Lembaga Pengkajian Masalah Sosial Pekerja Indonesia, Khairuddin Harahap, berkata baik kerajaan mahu pun rakyat Indonesia, perlu menitikberatkan soal setiakawan yang terjalin dengan Malaysia sejak sekian lama dan terbukti pada saat-saat getir dihadapi Jakarta, seperti sekarang.

"Janganlah diungkit lagi isu yang boleh mengeruhkan hubungan. Malah, baik kerajaan mahu pun rakyat Indonesia harus bersyukur kerana masyarakat Malaysia tidak menyimpan dendam bahkan masih sudi menghulur bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa di Padang, Sumatera," katanya.

Beliau mengulas keprihatinan Malaysia kepada mangsa gempa bumi di negara itu biarpun sebelum ini dikecam teruk gara-gara tarian Pendet selain tewas hak perebutan batik dari Unesco yang menyebelahi Jakarta, baru-baru ini.

Khairuddin memuji sikap Malaysia yang disifatkannya pemaaf dan kaya rasa kemanusiaan.

"Sehubungan itu, keprihatinan Kuala Lumpur sewajarnya dibalas Jakarta dengan tidak membuat tuntutan remeh-temeh. Malah Kerajaan Indonesia perlu menggesa rakyatnya berganding bahu dengan sukarelawan negara ini menangani kegawatan dan kesengsaraan akibat bencana gempa," katanya.

Khairudin berkata, daripada menimbulkan isu sosial yang membuahkan sentimen benci, Indonesia sepatutnya memikirkan kesan tuntutan dan kritikan itu terhadap rakyatnya yang bertugas di sini.

Penduduk pedalaman menderita


ANGGOTA Persatuan Bulan Sabit Merah memasak untuk juadah makanan tengah hari untuk pasukan-pasukan Bantuan Menyelamat dari Malaysia.

Banyak kawasan luar bandar belum terima bantuan makanan, ubat-ubatan

PARIAMAN: Selepas lima hari gempa bumi menggoncang Sumatera Barat dengan angka korban mencecah lebih 600 orang, beratus lagi masih hilang atau tertimbus, masih banyak kawasan khususnya luar bandar tidak menerima sebarang bantuan.

Antara kawasan yang terjejas teruk dengan gempa bumi, tetapi belum menerima bantuan sepatutnya ialah Padang Pariaman, Kota Pariaman dan Pessel, menyebabkan penduduknya menderita kekurangan bekalan makanan serta ubat-ubatan.

Pihak berkuasa dan pasukan bantuan asing terutama dari Barat dilihat hanya memberi tumpuan di kawasan Padang, ibu negeri Sumatera Barat, manakala kawasan pedalaman 'ditinggalkan'.

Penduduk Kampung Desa Tiram Tapakis di Pariaman mendakwa sehingga kini tiada langsung bantuan disalurkan kepada kira-kira 500 penduduknya yang hampir semuanya kehilangan tempat tinggal mereka.

Tinjauan Berita Harian mendapati kira-kira 90 peratus rumah di kampung yang terletak di tepi Pantai Wisata Tiram Ulakan Tapakis, kira-kira 70 kilometer dari Padang dan 25 kilometer dari pusat bandar Kota Pariaman sudah ranap.

Kebanyakan rumah yang dibina dari kayu ranap menyembah bumi manakala kediaman berasaskan batu bata mengalami keretakan teruk dengan sebahagiannya juga roboh, menyebabkan penghuninya tidak berani masuk kediaman mereka.

Anton Caniago, 40, berkata penduduk kehilangan harta benda dalam kejadian itu dan hidup dalam kesusahan.

"Bayangkan, kami sudah tiada rumah dan kini terpaksa tidur di dalam khemah sementara dan sesetengahnya hanya tidur di atas rumput di padang terbuka.

"Sudahlah kebanyakan penduduk di sini terdiri daripada petani dan nelayan miskin, kini semuanya bertambah miskin kerana tidak mempunyai mata pencarian," katanya.

Sam Anan, 35, berkata nelayan kini tidak berani turun ke laut kerana bimbangkan tsunami melanda kerana diberitahu gempa susulan masih terjadi beberapa hari selepas gempa berkekuatan 7.6 Skala Richter itu, Rabu lalu.

Beliau yang menganggap kerajaan menganaktirikan penduduk kawasan pedalaman, berkata ketika ini penduduk hanya makan apa yang ada dan sangat berharap bantuan segera.

"Kami tahu, di bandar itu (Padang) kerajaan memberi sepenuh tumpuan dan segala bantuan sedangkan kami di sini, air sebotol pun tidak dihantar, apatah lagi memberi perlindungan lain," katanya.

Sementara itu, di Pariaman yang kebanyakan kampungnya dilanda gempa bumi menyebabkan tanah runtuh menghempap ratusan kediaman, bantuan masih berkurangan dengan hanya beberapa pasukan bantuan asing termasuk Mercy Malaysia saja yang berada di kawasan berkenaan.

Jurucakap Mercy berkata, pihaknya menghantar beberapa sukarelawan untuk meninjau keadaan kawasan itu dengan sedikit bekalan ubat-ubatan sebelum bantuan seterusnya tiba.

Sementara itu, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) yang terdiri daripada 25 anggota memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di dua hotel yang runtuh, semalam, namun tiada mangsa ditemui.

Pelajar tetap ditaja ke Indonesia

Gempa di Sumatera tak jejas usaha lanjut pengajian ke luar negara: Muhyiddin

SELAMA: Kerajaan tidak akan menghentikan penaajaan pelajar di negara yang berisiko tinggi menghadapi bencana alam seperti Indonesia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga membuka peluang kepada ibu bapa memilih negara dan menaja sendiri program yang dikehendaki anak mereka di negara lain.

H1N1: 123 pesakit baru dengan ILI dikesan

KUALA LUMPUR: Seramai 123 pesakit baru dengan gejala seakan influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 106 kes lagi sudah dibenar pulang sehingga jam 9 pagi tadi.

Dalam tempoh sama, tiada kematian baru akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan dan angka korban kekal pada 77 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata pada masa ini 743 kes ILI masih dirawat di 89 hospital, termasuk tujuh hospital swasta di seluruh negara.

Tiada rancangan jual Plus: Nor Mohamed

KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada rancangan untuk menjual pengendali lebuh raya bertol, Plus Expressways Bhd (Plus), kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini.

"Pada pihak kerajaan, tiada rancangan untuk menjual lebuh raya bertol itu," katanya.

Nor Mohamed yang mengetuai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menjawab soalan sama ada kerajaan telah menerima sebarang cadangan mengenai pengambilalihan Plus.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Tahunan Khazanah Megatrends dan melancarkan buku bertajuk "From Asian to Global Financial Crisis."

Plus mengendalikan Lebuh raya Utara-Selatan, lebuh raya terpanjang negara yang terentang sepanjang Semenanjung.

Cabang pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd memiliki secara langsung 23.66 peratus di dalam Plus dan kepentingan secara tidak langsung 40.21 peratus melalui anak syarikat milik penuh Kumpulan UEM itu.

Nilai pasaran semasa kepentingan itu bernilai RM10.5 bilion. - Bernama*