Followers

Sunday, July 5, 2009

Pyongyang uji Washington


GAMBAR fail 5 Januari lalu menunjukkan ujian peluru berpandu di satu lokasi di Korea Utara.

Korea Utara lancar peluru berpandu ketika kempen AS di PBB

SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu ketujuhnya di pantai timur negara itu semalam, kata pegawai Korea Selatan, dalam apa yang kelihatan sebagai mesej bantahan ditetapkan bersamaan cuti sambutan Hari Kebangsaan Amerika Syarikat.

Pelancaran itu menyemarakkan ketegangan serantau selepas ujian nuklear negara komunis itu Mei lalu, yang berkebetulan dengan cuti Hari Memperingati Amerika.

Ia dilakukan ketika Washington cuba mendapatkan sokongan mengenakan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lebih ketat bertujuan menutup program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.

Kementerian Luar Korea Selatan berkata, empat senjata pertama dilancarkan ke Laut Jepun adalah peluru berpandu balistik, yang diharamkan ditembak oleh Korea Utara menurut pelbagai resolusi Majlis Keselamatan.

Tentera Korea Selatan berkata, peluru berpandu kelima, keenam dan ketujuh adalah jenis sama. Peluru berpandu ketujuh dilancar pada jam 5.40 petang waktu tempatan.

Ia kali pertama dalam masa tiga tahun Korea Utara menembak banyak peluru berpandu balistik. Ia melancarkan peluru berpandu jarak jauh Taepodong-2 bersama-sama enam peluru berpandu jarak sederhana pada Hari Kebangsaan Amerika 2006.

Ketua Turus Staf Korea Selatan berkata, mereka memiliki peluru berpandu dengan jarak sasaran 400 hingga 500 kilometer.

Agensi berita Yonhap melaporkan, ia sama ada Scud atau peluru berpandu Rodong-1, yang jarak maksimumnya dikurangkan daripada 1,300 kilometer. - AFP

5 peserta APPC antara 11 kes terbaru H1N1

Jumlah jangkitan tempatan meningkat kepada 55

KUALA LUMPUR: Lima rakyat tempatan yang juga peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) di Pulau Pinang dari 27 hingga 30 Jun lalu, antara 11 kes terbaru jangkitan tempatan selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Sebelum ini, 12 daripada 165 peserta persidangan sama sudah dikesan dengan H1N1.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata jumlah itu menjadikan kes jangkitan tempatan meningkat kepada 55 berbanding 44, kelmarin. Sejumlah 24 lagi kes baru H1N1 yang dilaporkan adalah kes import.

"Ia menjadikan 35 kes baru dikesan semalam, menjadikan 362 kes H1N1 dicatatkan setakat ini. Sehingga kini tiada kematian akibat wabak berkenaan, manakala 1,016 orang sudah dikenakan kuarantin di rumah," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Dr Ismail berkata, daripada 362 kes, hanya 87 yang masih dirawat, manakala 239 yang lain sudah sembuh dan dibenarkan.

Katanya, daripada 35 kes baru, 28 adalah warga tempatan dan bakinya masing-masing tiga rakyat Indonesia dan Australia serta seorang dari Singapura.

Bagi 24 kes import, kebanyakan mereka mengakui pernah melawat negara dan bandar yang terjejas dengan wabak H1N1 seperti Singapura, Melbourne, Jakarta, Manila, Bangkok dan London.

Bagaimanapun, untuk kes 313 dan 314, mereka dikesan masuk ke Malaysia dengan menaiki bas dari Singapura. Kes 314 membabitkan seorang tukang cuci warga Malaysia berusia 28 tahun yang menaiki bas nombor 170. Dia ditahan di pintu masuk ke Malaysia dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

Sementara 313 kes pula membabitkan warga Singapura berusia 18 tahun dikesan memasuki Malaysia menaiki bas PZ 1577U . Dia sudah dihantar pulang ke Singapura untuk rawatan.

Dr Ismail berkata, bagi mengelakkan risiko jangkitan H1N1, orang ramai diminta menundakan perjalanan ke negara yang dilanda wabak kecuali jika ia benar-benar tidak dapat dielakkan.

"Mereka yang menjalani kuarantin di rumah diminta mematuhi arahan tidak berada di tempat awam, menghadiri kelas tambahan atau kelas agama," katanya.

Tiada masalah kekal istilah H1N1

KUALA LUMPUR: Tiada masalah jika Kementerian Kesihatan masih dengan keputusan untuk menggunakan istilah Influenza A (H1N1) bagi wabak yang kini menular di seluruh dunia.

Bagaimanapun, sebagai kementerian yang bertanggungjawab memberi kefahaman dan penerangan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan merasakan istilah selesema babi lebih sesuai digunakan kerana mudah difahami orang ramai.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, bagi memastikan masyarakat faham maksudnya, terma selesema babi dan Influenza A (H1N1) sebaiknya digabungkan iaitu selesema babi (H1N1) atau H1N1 (selesema babi).

“Kalau orang kampung, H1N1 mereka tak faham. Kalau Kementerian Kesihatan masih terus hendak menggunakan H1N1, tiada masalah...tetapi kementerian ini sebagai kementerian yang bertanggungjawab menerangkan lebih mengutamakan pemahaman. Terma itu sebaiknya digabungkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Senam Seni Malaysia sempena Majlis Pelancaran Logo 1Malaysia di Dataran Merdeka, di sini, semalam. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melancarkan logo itu.

Menegaskan perkara itu, Dr Rais berkata, istilah `swine flu' atau selesema babi turut digunakan di semua televisyen luar negara dan internet.