Followers

Saturday, October 31, 2009

2,000 CCTV akan dipasang di Iskandar Malaysia

JOHOR BAHRU: Sebanyak 2,000 kamera televisyen litar tertutup (CCTV) akan dipasang di Iskandar Malaysia dengan kos berjumlah RM41.4 juta menjelang akhir tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, pemasangan kamera itu yang terkandung dalam Pelan Induk Keselamatan dan Perlindungan Iskandar Malaysia bermatlamat menjadikan koridor itu sebagai Bandar Selamat sekaligus menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan indeks jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada akhir tahun depan.

"Sebagai sebuah kawasan pembangunan futuristik, Iskandar Malaysia mesti meletakkan soal keselamatan dan ciri-ciri Bandar Selamat sebagai perkara utama. Ini membawa impak dan kesan langsung kepada kepercayaan pelabur, pelancong, warga asing dan rakyat negara ini sendiri untuk hidup aman dan selamat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan dan peralatan Balai Polis Danga Bay, di sini, hari ini.

Selain CCTV, katanya, turut diberi penekanan dalam pembangunan koridor itu adalah penempatan polis bantuan yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM7 juta serta 138 Pos Komuniti Polis dengan kos RM55 juta.

Beliau turut meminta lebih banyak syarikat swasta tampil membantu kerajaan dengan menyediakan kemudahan termasuk balai polis komuniti, CCTV, balai polis bergerak dan kereta peronda di kawasan perumahan yang dibangunkan.

Sambil memuji langkah Danga Bay Sdn Bhd yang menyediakan Balai Polis Danga Bay, beliau berkata inisiatif itu patut dicontohi syarikat swasta lain dalam melaksanakan tanggungjawab korporat sosial yang menjurus kepada usaha memperkasakan keselamatan komuniti setempat.

Balai Polis Danga Bay yang beroperasi di rumah tradisional, Rumah Limas dikendalikan seorang anggota berpangkat sarjan dan dua anggota sokongan bersama tiga anggota dari bit polis.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff; dan Pengerusi Danga Bay Sdn Bhd, Datuk Dr Shahir Nasir.

Mengulas perpecahan dalam parti pembangkang, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, perkara itu menunjukkan bukan mudah bagi sesebuah parti untuk melaksanakan pemerintahan dengan cekap.

"Ini membuktikan memang mudah untuk kita tuding jari lihat kelemahan orang lain. Tapi bila diberi peluang untuk perintah lima negeri, diberi sokongan dan diberi sedikit kuasa akhirnya apa yang berlaku kepada mereka (pembangkang) jauh lebih buruk daripada apa yang mereka tuduh Barisan Nasional (BN) lakukan sebelum ini.

"Mereka tuduh Umno dan BN sebelum ini rakus, tamak dan sombong tetapi apabila mereka mentadbir sebahagian negeri, mereka tahu itu bukan perkara mudah dan mereka sendiri tidak dapat melakukannya," katanya. - Bernama

Kerjasama pembangkang dilumpuh masalah dalaman

KUALA LUMPUR: Bagi kebanyakan pemimpin dan pemerhati politik, krisis dalaman yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas di Selangor sejak kebelakangan ini bukan sesuatu yang memeranjatkan.

Malah, ada di antara mereka percaya masalah ini akhirnya akan melumpuhkan kerjasama tidak rasmi di antara parti pembangkang itu.

"Inilah yang akan berlaku apabila beberapa parti bergabung secara tidak rasmi untuk mentadbir kerajaan. Mereka bekerjasama dengan parti yang berlainan ideologi untuk mentadbir rakyat, tapi pada masa sama nak kena jaga wakil rakyat dan pemimpin masing-masing," kata pemerhati politik, Prof Madya Shaharuddin Badaruddin.

Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara itu membayangkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, keluar dari PKR sebagai bukti kegagalan PKR menjaga wakil rakyatnya.

"Malah saya menjangka akan ada lagi wakil rakyat kerajaan pakatan pembangkang ini yang akan keluar parti, masing-masing sebab tak puas hati," katanya kepada Bernama.

Menghurai lanjut permasalahan yang melanda PKR dan Pas dan kesan permasalahan itu kepada pakatan pembangkang, Shaharuddin berkata keadaan mungkin berpunca daripada dasar "ketelusan" yang cuba diamalkan oleh kerajaan pakatan, selain kegagalan pemimpin parti memisahkan ideologi parti dan dasar kerajaan.

"Kadang-kadang ada keputusan kerajaan tidak disenangi oleh beberapa pemimpin parti dan mereka meluahkan perasaan masing-masing berasaskan prinsip ketelusan, tetapi dalam hal ini akan ada pihak dari parti lain yang tersinggung maka timbullah masalah baru," katanya.

Semua itu, katanya, berpunca daripada perbezaan ideologi parti masing-masing dan ketiadaan saluran rasmi untuk menyelesaikan masalah berbangkit telah memburukkan keadaan.

"Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang mempunyai saluran rasmi dan setiap masalah diselesaikan melalui saluran itu, pakatan pembangkang tidak ada dan ini menyukarkan mereka untuk bekerja menyelesaikan masalah antara parti," kata Shaharuddin.

Beliau berpandangan cara terbaik untuk pakatan pembangkang menyelesaikan masalah di antara mereka adalah menubuhkan gabungan secara rasmi.

"Sekarang cuma bergabung secara 'sleeping partners', tak ada satu ideologi yang dipersetujui semua, justeru tidak boleh mentadbir sebagai satu parti. BN walaupun dianggotai pelbagai parti tetapi mereka mentadbir sebagai satu parti.

"Pada saya pakatan sepatutnya begitu. Tambahan pula ROS (Pendaftar Pertubuhan) dah kata syarat tujuh anggota itu tidak terpakai kepada parti politik, jadi apa lagi yang ditunggu? Rasmikan saja dan jadikan sistem politik negara kita sebagai sistem dua parti," katanya.

Bagaimanapun, Prof Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia, berkata agak sukar untuk pakatan pembangkang merasmikan gabungan mereka.

"Masing-masing berpakat cuma untuk menang pilihan raya, dan sama sekali tidak mempunyai kesefahaman daripada segi ideologi, khususnya antara Pas dan DAP, malah Pas dan PKR pun.

"Malah saya tidak pasti perbezaan ideologi antara Pas dan DAP ini boleh diatasi sebab terlalu jauh berbeza," kata pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu.

Azeem juga berpendapat ketiga-tiga parti itu memerlukan masa lebih lama untuk membentuk gabungan rasmi kerana ada isu tertentu seperti penentuan parti induk dan ideologi bersama yang harus dipersetujui terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Azeem menyifatkan pakatan pembangkang adalah rapuh dan hanya berpaut pada satu dahan iaitu ketua pembangkang dan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya melihat Anwar sebagai gam yang menyatukan ketiga-tiga parti ini tetapi sekarang beliau sendiri menghadapi masalah, yang bagi saya akan menjejaskan kerjasama pakatan itu sendiri, " katanya.

Beliau juga berpendapat kegagalan parti pakatan pembangkang menyelesaikan masalah dalaman masing-masing akan beransur-ansur melumpuhkan kerjasama di antara mereka.

"Kalau dasar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diterima baik rakyat, tidak mustahil pakatan pembangkang akan menghadapi masalah mengekalkan pentadbiran di negeri yang ditawan mereka sekarang," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemerhati politik yang juga sumber dalaman Pas memberitahu Bernama adalah mustahil untuk parti bertunjangkan agama Islam itu mengenepikan matlamat mereka iaitu menubuhkan negara Islam.

Malah, katanya, perbezaan ideologi adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada pertelingkahan antara Pas dan DAP di Selangor.

"Saya akui memang payah untuk pakatan ini menjadi satu gabungan rasmi sebab Pas tidak akan sekali-kali mengetepikan perjuangannya untuk menubuhkan negara Islam, dan DAP pula tidak akan bersetuju.

"Tetapi saya akui ada di kalangan pemimpin Pas Selangor ini yang tidak kisah untuk menggadai perjuangan parti asalkan dapat kuasa dan ini yang sedang berlaku sekarang," katanya merujuk kepada siasatan oleh jawatankuasa disiplin parti terhadap beberapa pemimpin Pas Selangor yang didakwa bermasalah.

Meneliti hujah yang dikemuka pemerhati politik ini timbul persoalan sama ada parti dalam pakatan pembangkang itu mampu mencapai kesepakatan sebenar seperti yang berlaku dalam BN atau akhirnya akan terungkai seperti yang berlaku sebelum ini. - Bernama

Kajian semula dasar bahan api hampir siap: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kertas kerja kajian semula dasar bahan api negara kini hampir siap.

"Kita dalam proses mengkaji semula 'fuel mix' negara kita. Ia tidak akan berubah dalam jangka masa pendek tetapi dalam jangka masa sederhana dan panjang," katanya.

Najib berkata, negara perlu mengurangkan penggantungan kepada gas asli dan arang batu serta melihat kepada sumber lain seperti hidroelektrik dan tenaga boleh diperbaharui.

"Gas asli adalah satu punca tenaga yang tinggi nilainya. Tidak seharusnya digunakan untuk penjanaan elektrik semasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perayaan ulangtahun ke-60 Lembaga Letrik Negara (LLN)/Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Ketika ditanya sama ada tenaga nuklear turut termasuk dalam kajian tersebut, Perdana Menteri berkata ia sedang dikaji.

Najib berkata, penjanaan tenaga nuklear mengambil tempoh yang agak panjang.

"Dari proses perancangan sehingga tenaga pertama dihasilkan ia mengambil masa 12 hingga 15 tahun," katanya. - Bernama

Pelajar Malaysia diperalat sindiket pemalsuan kad kredit

CHENNAI: Tiga pelajar perempuan Malaysia didakwa telah diperalatkan oleh satu sindiket pemalsuan kad kredit yang diketuai seorang lelaki Sri Lanka untuk membeli barangan mahal di bandar raya ini.

Pelajar terbabit yang dipercayai mengikuti kurusus dalam bidang persolekan di beberapa kolej di sini, bagaimanapun telah pulang ke Malaysia beberapa bulan lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Chennai (Bahagian Jenayah Khas), C Sridhar, berkata kegiatan jenayah mereka itu terbongkar selepas polis Chennai menangkap lelaki berusia 25 tahun itu yang kini menjadi warga negara Kanada.

"Ketiga-tiga pelajar perempuan itu diperalatkan ketua sindiket berkenaan bagi membeli barang kemas dan telefon bimbit bernilai hampir 50 lakhs (RM500,000). Bagi setiap pembelian, pelajar terbabit diupah kira-kira 5,000 rupiah India (RM500).

"Gadis-gadis ini sah menjadi sebahagian daripada kumpulan itu. Kami sedang mengenal pasti nama sebenar, alamat dan nama kolej mereka. Sebaik saja mendapat semua maklumat ini, kami akan tulis kepada Interpol bagi mendapatkan bantuan mereka untuk menyiasat gadis terbabit," katanya.

Sementara itu, Times of India melaporkan bahawa dalam menjalankan kegiatannya, lelaki warga Kanada itu memasang kamera pengintip pada tas tangan gadis terbabit bagi meninjau kedai yang boleh dijadikan mangsa dan membuat pemantauan melalui televisyen mini di dalam keretanya serta memberi arahan kepada mereka melalui telefon bimbit.

"Apabila berada di dalam kedai, mereka akan diberitahu barangan yang patut dibeli dan menggunakan kaunter pembayaran yang dikendalikan remaja lelaki, yang selalunya tidak begitu teliti tentang kad kredit yang digunakan," kata seorang pegawai polis Chennai yang dipetik akhbar berkenaan.

Selain lelaki itu, polis Chennai juga menahan seorang warga Singapura dan beberapa warga India kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket pemalsuan kad kredit yang begitu licik di selatan India.

Setelah disoal siasat, lelaki itu memberitahu polis bahawa kumpulan terbabit menjalankan kegiatan jenayah mereka dengan menggunakan kad kredit kosong milik bank Malaysia, tetapi tidak mendedahkan mereka yang menjadi orang perantaranya di Malaysia.

Ketua sindiket itu berkata, dia kemudian mencetak nama pada kad kredit kosong yang diperoleh itu di rumah sewanya di Porur, sebuah kawasan di pinggir Chennai. - Bernama

Taufan keempat landa Filipina

MANILA: Taufan kuat melanda ibu negara Filipina, membawa bersama hujan lebat dan angin kencang, menyebabkan bekalan elektrik terputus, pokok tercabut dan banjir di kawasan yang sudah ditenggelami air akibat taufan sebelum ini.

Lebih 100,000 penduduk berlindung di lima kawasan di timur dan selatan Manila yang berada di laluan Taufan Mirinae di pulau Luzon.

Sebuah sungai di Laguna di selatan Manila melimpah, menyebabkan banjir di bandar Santa Cruz and menyebabkan penduduk terpaksa memanjat ke bumbung.

“Kami tidak boeh bergerak...Air naik tinggi dan kami perlukan bantuan," kata Datuk Bandar, Ariel Macalas.

Tiada laporan awal mengenai sebarang kemalangan jiwa. - AP