Followers

Friday, December 31, 2010

Kumpulan pelaksanaan bersama Malaysia-Singapura selesai mesyuarat akhir

KUALA LUMPUR: Kumpulan Pelaksanaan Bersama Malaysia dan Singapura (MSJIT) selesai mengadakan mesyuarat keenam dan terakhir di republik pulau itu, menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini.
Delegasi Malaysia ke mesyuarat dua hari itu yang tamat semalam, diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman manakala Singapura pula diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar, Bilahari Kausikan.
Kenyataan itu menyebut sejak mesyuarat pertama pada 26 dan 27 Julai tahun ini di Kuala Lumpur, MSJIT telah meneruskan tugasnya yang berkaitan dengan pelaksanaan Perkara-perkara Dipersetujui dan Pernyataan Bersama yang dicapai antara kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Singapura pada 24 Mei dan 20 September.
"Sebagaimana mandat yang diberi oleh kedua-dua Perdana Menteri dalam pernyataan bersama mereka, MSJIT telah mengemukakan draf Instrumen Bertulis kepada kerajaan kedua-dua pihak untuk pertimbangan dan kelulusan," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Gelombang kedua banjir landa daerah Kemaman

KUALA TERENGGANU: Gelombang kedua banjir musim tengkujuh melanda daerah Kemaman apabila 63 mangsa daripada 22 keluarga dari Kampung Teladas, Air Putih dipindahkan ke pusat pemindahan semalam.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman Ghazali Awang berkata mangsa-mangsa berkenaan berpindah ke balai raya Kampung Teladas kira-kira 7 petang setelah air melimpahi kawasan rumah mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan telah kembali pulih dan ramai di antara mangsa dibenarkan pulang kira-kira 9 pagi ini, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata hanya tiga keluarga mengandungi seramai 10 orang yang berada di pusat pemindahan kerana kawasan rumah mereka masih ditenggelami air.

Ghazali berkata semalam jambatan Kampung Teladas yang menghubungkan Kampung Air Putih terputus hubungan apabila ditenggelami air berikutan hujan di kawasan pedalaman.

Bagaimanapun, beliau berkata perhubungan antara kedua-dua buah kampung itu kembali pulih berikutan air telah surut dan berada kira-kira tiga kaki di bawah jambatan pagi ini.

Namun begitu, Ghazali menasihatkan terutamanya penduduk-penduduk yang tinggal di tebing Sungai Air Putih supaya berwaspada memandangkan keadaan cuaca mendung dan hujan yang berlarutan.
Beliau berkata banjir gelombang pertama di daerah Kemaman berlaku di kawasan Kijal dan Kemasih awal bulan ini melibatkan lebih 1,000 mangsa berpindah. - BERNAMA

TWU cadang kerajaan kurangkan cukai import alat ganti tulen

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menurunkan cukai import alat ganti tulen kenderaan, khususnya bagi pengangkutan awam seperti bas.
Setiausaha Agung TWU, Datuk Zainal Rampak, berkata harga alat ganti import yang tinggi berikutan cukai dikenakan, antara faktor terdapatnya segelintir pengusaha syarikat bas mengambil langkah mudah menggunakan alat ganti palsu yang jauh lebih murah, tetapi kurang berkualiti.
"Kita boleh bertanya mana-mana workshop (bengkel) sekalipun, memang mereka menggunakan alat ganti tiruan kerana kosnya yang jauh lebih murah. Kalau original (tulen), yang berjenama, ada yang mencecah sehingga RM7,000 ke RM8,000 sedangkan alat ganti tiruan hanya sekitar RM200 ke RM500.
"Sering kali kita perhatikan, apabila berlakunya kemalangan melibatkan bas ekspres, pasti pemandu yang dipersalahkan. Tetapi kalau brek tak makan (tidak berfungsi) sebagai contoh, akibat penggunaan alat ganti tiruan, tak haruslah kita salahkan pemandu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 28 Disember lalu, Zainal telah menyifatkan alat ganti tiruan sebagai antara faktor utama kemalangan melibatkan bas ekspres di negara ini.

Bagaimanapun, kenyataannya disangkal Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Semenanjung Malaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Ali yang meminta Zainal membuat laporan kepada pihak berkuasa jika benar ada bukti menunjukkan keadaan itu wujud.

Sehubungan itu, Zainal berkata adalah lebih wajar bagi semua pihak bekerjasama untuk mengenal pasti usaha dan strategi bagi memastikan kemalangan bas ekspres yang melibatkan nyawa terkorban.
"Banyak bukti telah ditunjukkan oleh media-media, betapa mudahnya kita untuk mendapatkan alat-alat ganti palsu kerana faktor kos minimum... kita seharusnya lebih rasional dan telus kerana keutamaan kita adalah nyawa penumpang kenderaan berkenaan," katanya.

Isu alat ganti tersebut timbul apabila dua kemalangan melibatkan bas dua tingkat berlaku iaitu pada 26 Disember lalu di Jalan Raub-Bentong yang mengakibatkan enam cedera dan pada 20 Disember lalu di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai yang mengorbankan 28 nyawa. - BERNAMA

Islam tak larang senamrobik di masjid: Nik Aziz

KOTA BHARU: Islam tidak melarang sebarang kegiatan termasuk senamrobik dilakukan dalam kawasan masjid asalkan kegiatan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Menteri Besar Kelantan itu berkata tidak menjadi masalah untuk melakukan kegiatan di luar atau dalam masjid sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.
"Adalah tidak salah dalam Islam pihak tertentu mengadakan kegiatan dalam rumah ibadah orang Islam, kerana zaman Nabi Muhammad s.a.w dahulupun, ada orang kafir masuk (kawasan) masjid kerana ia menjadi pusat segala kegiatan termasuk politik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor dengan memakai baju ketat semasa melakukan senamrobik bersama jemaah masjid itu, yang disifatkan tidak menghormati rumah suci itu, yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, soal anggota Parlimen itu berpakaian tidak sopan atau tidak menutup aurat, adalah perkara kedua yang perlu diperbetulkan.

"Yang pasti kita kena beritahu mereka perkara-perkara yang ditegah agama ketika berada dalam masjid...kena beritahu kaedah dan pantang larang dari segi Islam sebelum seseorang itu memasuki masjid," katanya.

Nie Ching sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi kerana menyampaikan "ceramah" di dalam sebuah surau di Kajang Sentral, Kajang pada Ogos lalu. - BERNAMA

Harimau Malaya tak sertai Ambang 2011 malam ini

KUALA LUMPUR Skuad Harimau Malaya yang baru menjuarai Piala AFF Suzuki tidak akan hadiri sambutan Ambang Tahun Baru 2011 di Dataran Merdeka, malam ini seperti dijadualkan sebelum ini.
Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Belia dan Sukan, Yosri Abu Mahsin dalam satu kenyataan, berkata ini kerana pemain, jurulatih dan pegawai pasukan diberikan pelepasan untuk bersama keluarga masing-masing meraikan sambutan tahun baru.

Thursday, December 30, 2010

PAS bimbang pembaharuan dalam UMNO: Mukhriz

KODIANG: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pemimpin PAS melihat pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah disebabkan pengaruh ayahnya adalah kerana parti itu tiada isu dan bimbang dengan pembaharuan yang sedang berlaku dalam UMNO.
Beliau berkata pelantikannya bukanlah isu sebenar tetapi pemimpin-pemimpin PAS lebih suka menyentuh isu peribadi.
"Saya tidak perlu hirau komen-komen mereka kerana yang lebih penting ialah perubahan dalam UMNO disenangi rakyat," kata Mukhriz kepada Bernama semasa diminta mengulas kenyataan anggota Exco PAS Kedah, Abdul Ghani Ahmad semalam, yang menganggap pelantikannya kerana beliau adalah anak Tun Dr Mahathir, manakala Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula menyifatkan Mukhriz masih mentah.
Pengumuman pelantikan Mukhriz itu serta pelantikan Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai pengerusi baru UMNO Kedah berkuatkuasa 1 Januari ini, dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Isnin lalu.

Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun, ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan pendidikan peribadi kepada 1,500 pelajar Tahun Satu sekolah-sekolah dalam kawasan itu, berkata bahawa untuk mengaitkan beliau dengan bapanya adalah "satu penghormatan".

"Sekurang-kurangnya mereka mengiktiraf kerja baik bapa saya selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Sekarang saya pula menikmati kerja baik bapa saya yang mana saya jadikan dorongan untuk memenuhi impian beliau meletakkan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020," katanya.

Mukhriz berkata wakil-wakil rakyat pemmbangkang sewajarnya membandingkan kerja atau hasil yang dicapai oleh parti mereka dan bukannya membandingkan beliau dengan bapanya.
"Mereka nampaknya lebih suka membuat kenyataan untuk mengaburkan pandangan rakyat sahaja kerana sedar terdapat perbezaan ketara pencapaian mereka dengan kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Mengenai perancangannya sebagai timbalan pengerusi yang baru, Mukhriz beliau akan memberi tumpuan untuk menarik golongan muda dan pengundi atas pagar supaya kembali menyokong Umno dan BN.

"Formulanya mudah saja...kita buat kerja baik dan mereka iktiraf. Tugasnya ialah selesaikan masalah rakyat satu persatu dan berusaha tingkatkan taraf hidup mereka.

"Jika ini terlaksana, diharap hati mereka terbuka untuk menyokong kita pada pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya. - BERNAMA

Belia Sabah mahu digunakan gelaran Harimau Malaysia, bukan Harimau Malaya

TUARAN: Belia di Sabah teruja dengan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, tetapi mahu gelaran "Harimau Malaya" yang dirujuk kepada skuad itu digantikan dengan "Harimau Malaysia".
Ramai belia di Sabah dikatakan tersinggung dengan ungkapan Harimau Malaya yang sering digunakan pihak media.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata ramai golongan belia di Sabah menghubungi beliau yang mengadu tersinggung dengan pihak media yang sering merujuk pasukan Malaysia dengan gelaran Harimau Malaya atau Singa Malaya.
"Saya lihat memang ada asas mereka berperasaan begitu kerana ia tidak melambangkan semangat 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sepatutnya perkataan Harimau Malaysia yang digunakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jahid yang juga Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) berharap media nasional terutama pengarang sukan sentiasa bertanggungjawab dan mengambil kira sensitiviti peminat bola sepak di Sabah khususnya golongan belia berhubung penggunaan perkataan Malaya yang jelas maksudnya secara literal, tidak membabitkan Sabah dan Sarawak.

"Walaupun penggunaan perkataan Harimau Malaya yang merujuk kepada pasukan Malaysia yang memenangi Piala AFF Suzuki itu hanya perkara kecil, namun ia bercanggah dengan aspirasi dan semangat 1Malaysia," katanya. - BERNAMA

Kementerian saran sesi orientasi persekolahan esok diteruskan

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran menyarankan sesi orientasi persekolahan 2011 dan pendaftaran murid yang dijadual esok diteruskan sekalipun diisytiharkan hari cuti umum.
Kementerian itu dalam satu kenyataan di sini berkata ini kerana kebanyakan sekolah telah melakukan persiapan awal bagi aktiviti tersebut yang diadakan sebagai persediaan sesi persekolahan 2011.
"Demi kepentingan pelajaran dan kemudahan kepada ibu bapa, kementerian menyarankan supaya aktiviti tersebut diteruskan," kata kenyataan itu.
Kementerian itu turut mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak negara yang dinobatkan sebagai juara Piala AFF Suzuki di Indonesia semalam, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga berkata kementerian berterima kasih dan menghormati serta menghargai cuti umum yang diberi Perdana Menteri sempena kejayaan berkenaan. - BERNAMA

Piala AFF Suzuki: PM isytihar cuti umum Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan Jumaat ini (31 Disember) sebagai cuti umum sempena kejayaan sulung pasukan bola sepak kebangsaan pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2010. - BERNAMA

Korea Utara tambah bala tentera, kereta kebal

SEOUL: Korea Utara dilaporkan menambah 20,000 anggota tenteranya dalam pasukan khas sepanjang dua tahun lalu serta kekuatan kereta kebal dalam jumlah yang banyak, kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan, hari ini.
Mengikut kertas putih pertahanan dua tahun sekali itu, Korea Utara meningkatkan saiz tentera pasukan khasnya kepada 20,000 anggota menjadikan lebih 200,000 jumlah keseluruhan.
Bagaimanapun, jumlah keseluruhan saiz kekutanan tentera Utara itu kekal kira-kira 1.19 juta anggota.
Ia juga mengesahkan bahawa negara komunis itu menambah kekuatan persenjataan termasuk kereta kebal baru buatan tempatan, “Pokpung-ho” ("Storm Tiger"), yang dilaporkan mula digunakan pada 2002.

Korea Utara mendakwa Pokpung-ho lebih sesuai dan mantap daripada kereta kebal buatan Russia, T-90 yang dikeliarkan pada 1990-an.

Laporan kertas putih pertahanan itu bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik jumlah kereta kebal baru yang digunakan untuk operasi ketenteraan negara itu.

Namun, laporan itu menyebut sehingga bulan lalu, kekuatan kereta kebal Korea Utara meningkat kira-kira kepada 4,100 berbanding 3,900 pada 2008. - AFP

Warga asing tumpang gembira Malaysia julang Piala AFF Suzuki

KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad "Harimau Malaya" menjulang Piala AFF Suzuki buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun disanjung bukan saja oleh rakyat Malaysia tetapi juga warga asing yang mencari rezeki di negara ini.
Mereka termasuk rakyat Indonesia yang tetap berbangga sekalipun kemenangan Malaysia itu adalah ke atas negara sendiri yang menyaksikan pasukan "Garuda" tewas menerusi agregat 2-4.
"Walaupun sedikit kecewa dengan kegagalan skuad Indonesia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada "Pak Raja" (jurulatih, K Rajagobal), pemain skuad Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia atas kejayaan semalam," kata warga Indonesia, Buyong yang telah enam tahun berada di sini.
Beliau yang bekerja sebagai tukang kasut berkata, pasukan Malaysia kini semakin mantap dan mempunyai keupayaan tinggi.

"Dari dulu lagi memang saya meminati corak permainan Malaysia dan tidak pernah ketinggalan untuk menonton perlawanan yang membabitkan pasukan Malaysia," katanya.

Kegembiraan turut dinyatakan Ahmad Basheer, 36, dari Bangladesh yang bekerja sebagai pembantu kedai di sini.

"Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Sementara itu, rakyat Thailand yang hanya mahu dikenali sebagai Halimah berkata, kejayaan skuad Malaysia harus dipuji kerana pasukan itu dibarisi anak tempatan sepenuhnya.

"Daripada jurulatih kepada barisan pemain, semuanya anak tempatan, memang wajar dipuji. Saya rasa teruja dengan corak permainan Malaysia walaupun tumpas tipis kepada Indonesia," katanya yang berniaga nasi lemak di sini.

Malaysia yang tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam tadi dinobatkan sebagai juara pertandingan Piala AFF Suzuki 2010 dengan kelebihan agregat 4-2.

Pencapaian terbaik skuad kebangsaan pada pertandingan itu sebelum ini ialah naib juara selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada 1996. - BERNAMA

Majikan perlu bayar jika mahu pekerja bekerja esok: Subramaniam

KUALA LUMPUR: Majikan perlu membayar upah kadar cuti umum kepada pekerja jika memerlukan mereka bekerja esok, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.
"Kalau mereka memerlukan pekerja mereka bekerja, kena bayarlah. Itu adalah hak pekerja untuk mendapatkan bayaran hari cuti kerana sudah diumumkan sebagai cuti umum," katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata jika majikan gagal memberikan cuti umum atau membayar mengikut kadar cuti umum, pekerja yang terlibat boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja.
"Majikan berkenaan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan percubaan dua kanak-kanak mencipta rekod Malaysia Book Of Records.

Malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 31 Disember sebagai cuti umum sempena kejayaan skuad bola sepak negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 selepas menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2, menamatkan penantian selama 14 tahun.

Terdahulu, dua beradik dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records kerana mencipta rekod tersendiri.

T. Thurgashree, kanak-kanak cilik berusia empat tahun mencipta rekod menerusi ''Most Sit Ups Ever Done By A Child'' selepas melakukan ''sit ups'' sebanyak 1,111 kali tanpa henti dalam masa 32 minit 21 saat.
Kakaknya T. Logassree, 8, pula berjaya mengangkat palang besi bersama plat seberat 21 kilogram dengan menggunakan dua jari kelingking.

Bapa mereka, A.M Thanabalsingam berkata kedua-dua anaknya itu telah memulakan latihan fizikal dan mental sejak enam bulan lalu.

"Latihan dijalankan setiap hari selama empat jam merangkumi latihan fizikal, kecergasan dan latihan angkatan. Selain itu, saya memastikan amalan pemakanan yang sihat," katanya. - BERNAMA

Wanita antara disenarai bakal calon PAS di DUN Tenang

LABIS: Seorang wanita adalah antara yang disenaraikan untuk dipertimbangkan sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari depan.
"Beliau adalah bekas seorang guru, anak tempatan, dan memegang jawatan di cabang tempatan parti itu," kata satu sumber kepada Bernama hari ini.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Sulaiman Taha, 59, daripada Barisan Nasional (BN) akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis pada 17 Disember lalu.
Penamaan calon ialah pada 22 Januari.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Sulaiman yang juga Ketua UMNO Bahagian Labis menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,491 undi.

Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil Tenang, Dzulkefley Ahmad ketika dihubungi berkata, kemungkinan PAS meletakkan calon wanita hanyalah satu khabar angin kerana keputusan mengenai siapa calon PAS akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti tidak lama lagi.

Namun, katanya, nama pemimpin wanita itu terdapat dalam senarai yang dicadangkan sebagai calon. - BERNAMA

Wednesday, December 29, 2010

Malaysia julang Piala AFF Suzuki

JAKARTA: Malaysia mencipta sejarah membawa pulang trofi Piala Suzuki AFF buat julung kali meskipun seri 1-1 dengan Indonesia pada final kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.
Dengan keputusan itu, ia menjadikan agregat 4-2 kepada Malaysia selepas pasukan negara menang 3-0 ke atas Indonedia, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Malaysia mendahului Indonesia 1-0 menerusi jaringan penyerang Safee Sali pada minit ke-53 pada final kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno.
Pada minit ke-88 pula, Indonesia mendahului Malaysia menerusi jaringan Muhammad Ridwan untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Pada babak pertama pula, Indonesia hampir mendahului selepas mendapat sepakan penalti pada minit ke-18 tetapi tendangan Firman Utina dapat diselamatkan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Sementara itu, beberapa insiden membabitkan pancaran cahaya laser turut dilakukan penyokong, termasuk ketika Khairul menghadapi tendangan sudut, sepakan percuma dan penalti.

Piala Suzuki AFF: Pertembungan Malaysia-Indonesia hampir bermula

JAKARTA: Perlawanan pusingan kedua final Piala Suzuki AFF antara Indonesia dan Malaysia akan bermula bila-bila masa dari sekarang di Stadium Gelora Bung Karno.
Di Kuala Lumpur, Ahad lalu, Malaysia kalahkan Indonesia 3-0 pada final pusingan pertama

Piala Suzuki AFF: Indonesia 0 Malaysia 0

JAKARTA: Selepas separuh masa pertama berakhir sebentar tadi, kedudukan pertemuan Indonesia-Malaysia pada final kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno terikat 0-0.
Indonesia hampir mendahului selepas mendapat sepakan penalti pada minit ke-18 tetapi tendangan Firman Utina dapat diselamatkan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.
Sementara itu, beberapa insiden membabitkan pancaran cahaya laser turut dilakukan penyokong, termasuk ketika Khairul menghadapi tendangan sudut, sepakan percuma dan penalti.

Piala Suzuki AFF: Malaysia mendahului 1-0

JAKARTA: Malaysia kini mendahului Indonesia 1-0 menerusi jaringan penyerang Safee Sali pada minit ke-53 pada final kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno.
Ini menjadikan kedudukan agregat 4-0 selepas Malaysia menang 3-0 di Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Pada babak pertama, Indonesia hampir mendahului selepas mendapat sepakan penalti pada minit ke-18 tetapi tendangan Firman Utina dapat diselamatkan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.
Sementara itu, beberapa insiden membabitkan pancaran cahaya laser turut dilakukan penyokong, termasuk ketika Khairul menghadapi tendangan sudut, sepakan percuma dan penalti.

Gempa berukuran 6.6 skala Richter melanda Vanuatu

WELLINGTON: Gempa bumi berukuran 6.6 skala Richter melanda negara kepulauan Pasifik, Vanuatu, hari ini, kata agensi berita Xinhua yang memetik Jabatan Kaji selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Gempa terbabit berlaku pada jam 5.54 petang tadi (6.54 petang waktu tempatan), dicatatkan pada kedalaman 31 kilometer (km) dan pada jarak 215 km selatan Port Vila, iaitu ibu kota Vanuatu.
Tiada laporan kecederaan diterima sehingga kini dan Pusat Amaran Tsunami Pasifik tidak mengeluarkan amaran tsunami. - BERNAMA

Piala Suzuki AFF: Indonesia balas satu gol

JAKARTA: Indonesia membalas satu gol menerusi jaringan Mohamad Nasuha pada minit ke-71 bagi menjadikan kedudukan kini terikat 1-1 pertemuan dengan Malayssia pada final kedua Piala Suzuki AFF, di Stadium Gelora Bung Karno.
Sebelum itu, Malaysia melakukan jaringan awal menerusi penyerang Safee Sali pada minit ke-53.
Ini menjadikan kedudukan agregat 4-1 selepas Malaysia menang 3-0 di Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Pada babak pertama, Indonesia hampir mendahului selepas mendapat sepakan penalti pada minit ke-18 tetapi tendangan Firman Utina dapat diselamatkan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Sementara itu, beberapa insiden membabitkan pancaran cahaya laser turut dilakukan penyokong, termasuk ketika Khairul menghadapi tendangan sudut, sepakan percuma dan penalti.

Barang ganti tiruan: Zainal Rampak diminta kemuka bukti

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Semenanjung Malaysia (PMBOA) hari ini menggesa Datuk Zainal Rampak mengemukakan bukti berhubung dakwaan penggunaan alat ganti tiruan pada kalangan pengusaha bas di negara ini.
Presidennya, Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) itu juga wajar membuat laporan kepada pihak berkuasa jika benar keadaan itu wujud.
"Jika ada pengusaha bas yang didapati bersalah menggunakan alat ganti tiruan saya tidak menghalang agar tindakan undang-undang dikenakan ke atas pengusaha bas terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ini kerana katanya, isu itu membabitkan soal keselamatan pengguna dan orang ramai.

Dalam pada itu kata Mohamad Ashfar, sehingga kini tidak ada bukti yang mengesahkan dakwaan alat ganti tiruan menjadi punca nahas kemalangan jalan raya, menunjukkan dakwaan berkenaan tidak berasas.

Zainal sebelum ini dilapor media sebagai berkata, syarikat pengusaha bas lebih cenderung menggunakan alat ganti tiruan kerana ia dapat meminimumkan kos syarikat dan lebih mudah didapati.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata pengusaha bas atau pengangkutan komersial yang masih berdegil menggunakan alat ganti tiruan perlu digantung permit mereka.
"Kalau syarikat itu terus berdegil... pertama denda dan permit akan digantung, soal alat ganti tiruan ini tidak boleh bertolak ansur sebab ia melibatkan nyawa penumpang dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya.

Suret berkata pemantauan dan pemeriksaan oleh pihak yang berkenaan adalah penting untuk memastikan setiap pengusaha bas dan pengangkutan komersial menggunakan alat ganti tulen dan dijamin kualiti ketahanannya.

"...sekiranya dapati tidak tulen jangan biarkan mereka beroperasi. Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu membuat pemantauan terutamanya melibatkan enjin dan brek," katanya.

Bagi Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri, penggunaan alat ganti tiruan yang tidak mempunyai pengesahan daripada Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (SIRIM) sememangnya boleh menjadi punca kemalangan.

"Pemantauan harus dibuat ke atas premis-premis perniagaan yang menjual alat ganti tiruan ini. Oleh itu Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan harus lebih tegas kepada mana-mana individu yang menjual alat ganti tiruan ini," katanya.

Dalam pada itu pengusaha bas, Syarikat RRR Holidays, Lim Chee Kheong, 52, berkata adalah tidak wajar menyalahkan sebelah pihak sahaja setiap kali berlaku kemalangan kerana terdapat pelbagai faktor lain yang mungkin menyumbang kepada tragedi itu.

"Contohnya, keadaan jalan yang berbukit dan tidak rata turut menjadi penyebab...bukan disebabkan penggunaan alat ganti tiruan. Saya sebagai pengusaha bas amat mementingkan keselamatan pengguna kerana nyawa penumpang terletak pada ''tangan'' pemandu bas itu sendiri," katanya. - BERNAMA

Jangan berkempen di Tenang sekarang atau dikenakan tindakan: SPR

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran kepada pihak yang berkenaan supaya tidak melaksanakan sebarang bentuk kempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kerana tempoh berkempen hanya bermula pada 22 Januari depan.
Pengarah SPR, Johor Othman Noh, berkata mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Bagaimanapun setakat ini berdasarkan laporan risikan dan ejen, kami tidak menerima sebarang aduan tentang aktiviti kempen di DUN Tenang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
SPR menetapkan 22 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon dan pengundian pada 30 Januari. Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 2,491 undi mengatasi calon PAS, Mohd Saim Siran.

Othman berkata, SPR juga sudah mula menjual borang pencalonan untuk pilihan raya kecil itu namun belum ada yang membelinya.

"Kami ada menerima beberapa pertanyaan mengenainya," kata beliau.
SPR, katanya, mensasarkan 80 peratus daripada 14,753 pengundi akan menunaikan tangungjawab mereka pada pilihan raya kecil ini berbanding 73.5 peratus pada pilihan raya umum lepas. - BERNAMA

Korea Utara mampu hasilkan bom nuklear dalam masa setahun

TOKYO: Bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, William Perry berkata Korea Utara mampu menghasilkan satu membuat bom nuklear dalam masa setahun dan mahu Washington mengadakan perbincangan peringkat tertinggi bagi menangani isu itu.
Dalam satu temubual yang diterbitkan hari ini, Perry yang pernah berkhidmat dengan Presiden Bill Clinton, memberitahu akhbar harian Nikkei bahawa kerajaan Amerika perlu mengkaji semula dasarnya mengenai Korea Utara dan melaksanakan sekatan ekonom bagi memberi tekanan terhadap program nuklear Pyongyang.
Dalam masa sama, katanya Washington perlu mengadakan dasar yang selaras dengan Seoul dan Tokyo sebelum menghantar wakil khas bagi berbincang dengan Pyongyang.
Perry mengesyorkan, bekas Setiausaha Negara, Madeleine Albright dan bekas Senator Sam Nunn dan seorang pakar nuklear dan senjata menjadi calon untuk mengadakan rundingan dengan Korea Utara.

"Jika Korea Utara bercadang menggunakan semua kekayaan sumber uranium dan kemudahan pembuatan nuklear, mereka mampu keluarkan satu bom nuklear setiap tahun," katanya.

Perry berkata, beliau diberikan taklimat mengenai perkara itu oleh seorang saintis Amerika, Siegfried Hecker, yang baru-baru ini berpeluang melihat sendiri loji pengeluaran baru uranium Korea Utara di Kompleks Yongbyon.

Loji itu dibangunkan untuk mengeluarkan tenaga bagi reaktor awam dan bukannya untuk kegunaan pembuatan bom. - AFP

Suami isteri dihukum gantung sampai mati edar, miliki dadah

GEORGE TOWN: Sepasang suami isteri hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah atas dua tuduhan mengedar dan memiliki sejumlah 165.62 gram dadah jenis heroin dan morfin dua tahun lalu.
Hakim Nurmala Salim menjatuhi hukuman itu terhadap Shahrizal Said, 33, dan
Zarimah Yusoff, 30, selepas mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pasangan suami isteri yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu didapati
memiliki dadah berkenaan dalam sebuah rumah pangsapuri beralamat di Block 5-6-18 Desa Riang Batu Uban pada jam 3.45 petang 3 Februari 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang
jika bersabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam penghakimannya, Nurmala berkata, kedua-dua tertuduh didapati bersalah mengedar dadah dan disebabkan undang-undang negara hanya ada satu hukuman iaitu hukuman mandatori, maka kedua-dua tertuduh digantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, G Jaya Prem manakala
tertuduh diwakili peguam G Ravi Shankar. - BERNAMA

Tuesday, December 28, 2010

Mahathir saran PROTON tinjau India

NEW DELHI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) seharusnya memanfaatkan pengeluaran kos rendah India bagi menembusi pasaran automobil negara itu yang semakin berkembang.
Sektor automobil India semakin mendapat perhatian peserta industri dunia, yang mahu memanfaatkan permintaan yang bertambah di negara itu untuk model luar dan kos pengeluaran yang lebih rendah.
"Sekarang ini terdapat skop bagi Proton untuk datang ke sini kerana kita tidak terikat dengan sebarang syarikat lain (asing). Proton bebas dan bolah datang ke sini," kata Dr Mahathir, yang juga Penasihat PROTON kepada Bernama di Delhi.
Ia adalah sektor yang semakin mendapat perhatian dan berkembang dengan segmen kenderaan penumpang India pada 2010 (April-Ogos) menyaksikan 33.88 peratus pertumbuhan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Industri pengeluaran kereta penumpang dan komersialnya merupakan yang ketujuh terbesar di dunia dengan pengeluaran tahunan sebanyak 2.6 juta unit pada 2009.

Di Asia, India adalah pengeksport keempat terbesar bagi kereta penumpang, selepas Jepun, Korea Selatan dan Thailand.

Dr Mahathir berkata pembuat kereta negara itu kini melalui penyusunan semula dan apabila siap kelak, ia akan dapat meneroka pasaran India.
Sejak beberapa tahun lalu, PROTON berusaha memasuki pasaran India yang kompetitif, cuba untuk bergabung dengan pengeluar kereta tempatan untuk memperluaskan operasi di rantau Asia Selatan tetapi niaga janji itu gagal dimuktamadkan.

"Proton kini disusun semula dan trend kini ialah kenderaan mesra alam. Proton sedang sibuk membangunkan kereta hibrid dan elektrik.

"Apabila ia mencapai satu tahap kecekapan, ia mungkin mahu bekerja di India. Sekiranya kita melabur di sini, kita boleh mengeluarkan kereta di sini, pertamanya melalui pemasangan dan seterusnya pembuatan, apabila kita mencapai suatu jumlahnya.

" PROTON saya rasa boleh bersaing dengan kereta lain kerana ia boleh memanfaatkan kos yang rendah (pengeluaran) di India," katanya.

Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah kini dalam lawatan peribadi ke India.
- BERNAMA

Penyokong Malaysia tidak gentar ke Stadium Gelora Bung Karno

KUALA LUMPUR: Tidak seperti yang digambarkan beberapa akhbar Indonesia, Rakyat Malaysia sebenarnya bukan takut untuk hadir memberi sokongan kepada skuad negara yang akan bertarung dengan pasukan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki, 2010 malam esok.
Hari ini, beberapa akhbar Indonesia melaporkan bahawa penyokong Malaysia tidak berani hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan negara kerana bimbang dengan soal keselamatan mereka.
Rakyat Malaysia yang sedang melancong di Indonesia, Siti Hajar Mohd Yunus, 24, berkata beliau tidak takut untuk berada di dalam stadium namun rasa hampa apabila tidak dapat membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan bersejarah tersebut.
"Walaupun telah berada di sini saya rasa terkilan kerana tidak dapat menyaksikan sendiri perlawanan malam esok, namun sebagai rakyat Malaysia saya tetap memberi sokongan terhadap pasukan negara untuk menamatkan kemarau selama 14 tahun," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Siti Hajar berkata, sekiranya mendapat tiket pada saat akhir, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan penuh bersejarah itu.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Nur Syuhada Rifin, 24, yang juga sedang melancong di Indonesia, berkata beliau rasa teruja dan bangga dengan pencapaian cemerlang pasukan kebangsaan dan yakin skuad negara mampu menewaskan Indonesia.

Sementara itu, Fazli Sahazmi Ahmad Saharuddin, 23, dari Selangor berkata, sebagai rakyat Malaysia beliau bersemangat untuk memberi sokongan di stadium berkenaan namun atas faktor keselamatan hajat tersebut dibatalkan.
"Memandangkan bilangan rakyat Malaysia di Indonesia tidak seramai rakyat Indonesia di Malaysia adalah wajar untuk penyokong bola sepak negara rasa takut untuk ke stadium atas faktor keselamatan namun saya harap semua rakyat Malaysia mendoakan kejayaan pasukan negara yang akan beraksi di sana esok," katanya di sini, hari ini.

Putri Nadiatun Adawiyah Saidin, 28, dari Lekir, Perak pula berkata, sebenarnya atas faktor keselamatan penyokong Malaysia tidak perlu ke stadium GBK sebaliknya sokongan boleh diberikan dengan cara lain iaitu mendoakan supaya pasukan negara dapat bermain seperti biasa tanpa menghiraukan ribuan penyokong Indonesia memenuhi stadium.

"Sebagai tanda sokongan, malam esok saya dan kawan-kawan tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan menerusi kaca TV detik sejarah yang bakal dicipta oleh pasukan negara," katanya.

Putri Nadiatun Adawiyah, berkata beliau yakin dengan keupayaan skuad negara untuk membawa balik Piala AFF Suzuki ke Malaysia nanti.

Pasukan Malaysia dijadualkan beraksi menentang pasukan Indonesia pada perlawanan penentuan yang akan diadakan di Stadium Gelora Bung Karno malam esok.

Ahad lalu, pasukan negara berjaya menumpaskan pasukan Indonesia 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dengan kemenangan tersebut skuad bimbangan K Rajagobal melangkah selesa dengan kelebihan agregat 3-0 ke perlawanan akhir. - BERNAMA

Tuduhan ke atas Hartalega rugikan syarikat berjuta ringgit

KUALA LUMPUR: Pengeluar sarung tangan nitril terbesar dunia, Hartalega Holdings Bhd berkata tuduhan baru-baru ini terhadap syarikat itu menyebabkan kerugian yang berjumlah berjuta-juta ringgit.
Syarikat itu berkata tuduhan itu timbul walaupun ia telah mematuhi sepenuhnya semua peraturan.
"Kami mahu menghentikan penderitaan ini. Harga saham kami terjejas, pemegang saham kami bimbang dan 635 pekerja kami amat tertekan disebabkan tuduhan-tuduhan ini," kata Pengarah Urusannya, Kuan Kam Hon, hari ini.
Beliau berkata Hartalega, yang mengeksport 100 peratus daripada produknya kepada 137 pelanggan antarabangsa di 39 negara, sedih dengan kenyataan yang tidak tepat dan mendatangkan kesan buruk terhadap syarikat, terutama kilangnya yang terletak di Bestari Jaya, Ijok.

Hartalega, yang menguasai 35 peratus pasaran sarung tangan nitril AS, juga disenaraikan oleh Forbes Asia sebagai satu daripada 200 syarikat "Terbaik Di bawah satu Bilion".

"Pelanggan kami memahami standard kami tetapi kami masih perlu membuat banyak penjelasan disebabkan tuduhan ini, kerana mereka sangat prihatin tentang isu-isu berkaitan alam sekitar," katanya pada sidang akhbar yang diadakan ekoran kenyataan media baru-baru ini berkaitan dengan operasi syarikat itu.

Penduduk Taman Suria, Bestari Jaya baru-baru ini membangkitkan isu tentang masalah kesihatan dan keselamatan seperti pelepasan gas toksik, pelepasan cecair sisa buangan ke dalam longkang dan pembinaan bangunan tambahan terlalu hampir dengan kawasan perumahan.
Susulan itu, Hartalega telah menjemput Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menjalankan kajian terperinci dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), semalam.

"Mereka mengesahkan bahawa Hartalega mematuhi sepenuhnya peraturan. Saya jangka mereka akan meneliti bukti dan mengeluarkan kenyataan mereka sendiri," katanya.

Hartalega menyatakan mereka sentiasa mematuhi sepenuhnya semua peraturan relevan termasuk yang berkaitan dengan alam sekitar dan bangunan sejak penubuhan syarikat berkenaan lagi.

"Malah, di beberapa kawasan berkaitan dengan pelepasan cecair sisa buangan, Hartalega bukan sahaja mematuhi tetapi sentiasa melepasi standard yang dikuatkuasakan oleh JAS," katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata jabatan itu telah melonggarkan Tuntutan Oksigen Kimia pelepasan air cecair sisa buangan yang dibenarkan daripada 100mg/l kepada 200mg/l, tetapi Hartalega kekal komited mengekalkan kawalan dalaman kepada bawah 100mg/l, walaupun komitmen berkenaan menyebabkan kos tambahan kepada mereka.

Begitu juga, beliau berkata keperluan bagi kawalan air buangan ialah 200 partikel per juta (PPM) tetapi standard dalaman Hartalega ialah 100 PPM sejak ia ditubuhkan 20 tahun lalu.

Standard pelepasan juga 200 PPM, manakala syarikat itu telah mengurangkan pelepasannya malahan kepada 10 PPM, katanya.

"Setiap sisa buangan daripada kilang itu dirawat untuk mematuhi standard yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kerana kami sedar kami terletak berdekatan dengan kawasan kediaman," katanya.

Syarikat itu, katanya, telah membelanjakan kira-kira RM5.6 juta setahun bagi merawat air sebelum dilepaskan ke dalam sistem dan baru-baru ini melabur RM3.7 juta untuk menaik taraf peralatan kawalan alam sekitar.

Selain itu, syarikat tersebut juga mengupah perunding bebas dan pemeriksa yang sentiasa menguji air dan pelepasan udara bagi memastikan ia sentiasa mematuhi peraturan, katanya.

Kuan berkata longkang-longkang itu juga tidak digunakan secara eksklusif oleh Hartalega.

"Terdapat juga sisa buangan perindustrian lain yang melepaskan sisa buangan ke longkang berkenaan," katanya.

Katanya, tanah di mana kilang itu terletak ialah kawasan perindustrian yang telah wujud sebelum projek kediaman itu dibangunkan.

"Masalah berkaitan dengan kekurangan zon penampan yang mencukupi antara kawasan kediaman dan kilang itu bukan berpunca daripada Hartalega tetapi kami telah mengambil segala inisiatif untuk tinggal bersama-sama dengan harmoni," katanya.
- BERNAMA

Hospital swasta perlu maklumkan kos sebelum pesakit terima rawatan

PUTRAJAYA: Pesakit yang bakal mendapatkan rawatan di hospital swasta harus memastikan mereka dimaklumkan mengenai kos yang akan dikenakan sebelum mereka menerima rawatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ini kerana perkara itu sudah dipersetujui pihak berkenaan dalam satu mesyuarat bersama pihaknya Jumaat lalu.
"Kos yang dimaksudkan meliputi semua caj seperti caj profesional, caj anggaran dan caj di luar jangka yang selama ini menyumbang kepada kenaikan kos rawatan di hospital swasta," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga akan memantau secara berterusan dan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan semua caj yang dikenakan adalah terperinci dan telus.

"Perkara ini akhirnya dapat membolehkan pesakit membuat pilihan bagi mendapatkan rawatan di mana-mana kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan asalkan mereka mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai caj yang akan dikenakan," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata pihaknya juga akan memantau hospital dan pengamal perubatan swasta bagi memastikan tiada penyalahgunaan faedah perubatan yang disediakan melalui insurans.

Ia termasuk menjalankan pelbagai ujian dan pemeriksaan yang tidak diperlukan pesakit, kata beliau.
"Kementerian akan memperkukuh fungsi untuk mengawal selia serta mengkaji dan mencari penyelesaian terhadap perbezaan caj di antara pesakit yang membayar sendiri dan pesakit yang memiliki polisi insurans, dan menekankan bahawa diskaun hanya dibenarkan untuk caj hospital sahaja tidak termasuk caj profesional," katanya.

Mesyuarat berkenaan yang bertujuan mencari jalan mengekang kos perubatan melampau pada kalangan hospital swasta disertai Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia, Majlis Perubatan Malaysia dan wakil Organisasi Jagaan Yang Diuruskan (MCO) serta syarikat insurans.

Turut dipersetujui dalam mesyuarat itu ialah MCO bersatu di bawah satu pertubuhan yang didaftarkan secara rasmi bagi memastikan badan berkenaan memainkan peranan yang sepatutnya selain tidak dibenarkan campur tangan dalam keputusan klinikal dan perawatan pesakit. - BERNAMA

ASNB catat pengagihan pendapatan 6 sen

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak enam sen seunit bagi skim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata ia adalah peningkatan sebanyak 80 sen seunit berbanding pengagihan pendapatan 5.20 sen seunit tempoh sama tahun lalu.

Bingkas berkhidmat atau sedia disingkirkan rakyat: Palanivel

KUALA LUMPUR: Tiga minggu selepas mengambil alih kepimpinan parti daripada Datuk Seri S Samy Vellu pada 6 Disember lalu, Presiden MIC yang baru, Datuk G Palanivel kini keluar dari bayang-bayang mentornya.
Pada satu wacana harmoni kepimpinan parti itu di Selangor minggu lalu, tanpa membuang masa Presiden baru MIC itu menegaskan mahu memulihkan parti sebagai pembela utama yang memperjuangkan nasib masyarakat India.
Palanivel mengambil pendirian tegas memperingatkan para pemimpin parti, terutamanya yang memegang jawatan utama dalam MIC, supaya bingkas turun padang memberikan khidmat kepada masyarakat.
"Beliau mengarahkan mereka supaya turun ke bawah, berjumpa masyarakat India bukan hanya pada majlis yang dianjurkan tetapi pergi ke kuil-kuil, menghadiri majlis perkahwinan dan menziarahi upacara pengebumian," kata seorang pemimpin parti yang menghadiri mesyuarat pada 23 Disember lalu.

Beliau berkata, Palanivel turut mengarahkan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) supaya bertemu masyarakat secara berkumpulan pada setiap Ahad di ibu pejabat parti

"Palanivel mahu mereka bergerak secara teratur sebagai satu kumpulan dan bukannya menjadi pemimpin yang mencari populariti dan bergerak secara sendirian," katanya.

Beliau memberikan isyarat amat jelas kepada ahli partinya bahawa zaman bertemu orang ramai dalam satu majlis besar yang meriah dengan puji-pujian dan kalungan bunga sudah berlalu.
"Presiden mahu mereka turun dari pentas dan berada bersama orang ramai meskipun pemimpin lain sedang memberikan ucapan.

"Beliau sedang menghayunkan cemetinya dan mengarahkan mereka (pemimpin MIC) supaya memberikan khidmat terbaik atau berhadapan dengan penyingkiran bukan saja oleh rakyat tetapi juga daripadanya pada pilihan raya umum akan datang. Beliau amat serius dalam hal ini," katanya.

Pada mesyuarat itu, Palanivel mahukan ketelusan dalam parti dan menggesa para pemimpin parti bukan saja sentiasa memaklumkan kepadanya tetapi juga ahli CWC, tentang apa jua perkara berkaitan dengan pengurusan parti itu.


Palanivel turut meredakan kebimbangan bahawa parti itu tidak dapat mengadakan perhimpunan agung parti sebagaimana ia dilaksanakan semasa di bawah kepimpinan Samu Vellu.

"Palanivel memberitahu mereka bahawa beliau sendiri akan melakukan tugas itu tetapi meminta beberapa ahli CWC mengumpulkan dana daripada penyokong parti untuk menggerakkan parti itu," katanya.

Pemimpin parti itu berkata, Palanivel memberi taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, baru-baru ini mengenai rancangannya bagi MIC.

Palanivel turut memaklumkan kepada Najib bahawa beliau tidak berminat untuk melakukan perubahan radikal dalam parti itu buat masa ini sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya umum akan datang.

"Perdana Menteri tahu bahawa Palanivel adalah seorang pemimpin yang lebih praktikal dan realistik. Beliau (Najib) percaya bahawa Palanivel akan melakukan sesuatu yang berbeza dan mengembalikan keyakinan orang ramai dalam MIC dan BN," kata pemimpin parti itu. - BERNAMA

2011 perlu dijadikan tahun 1Malaysia: Koh Tsu Koon

KUALA LUMPUR: Tahun 2011 hendaklah dilihat semua rakyat Malaysia untuk mereka memastikan falsafah konsep 1Malaysia dalam pembinaan sebuah negara dipromosikan dengan baik berdasarkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Beliau berkata, adalah penting untuk melihat semangat dan isi kandungan sebenar konsep 1Malaysia dalam mengekalkan keharmonian, perayaan kepelbagaian dan menjalin perpaduan berdasarkan saling menghormati, keterangkuman dan kesederhanaan.
"Selepas pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) pada 2010, 2011 akan dilihat penerusan pelaksanaan semua inisiatif ini," katanya dalam perutusan tahun baru di sini, hari ini.
Koh yang juga Presiden GERAKAN menekankan bahawa pemimpin dan pegawai kerajaan mestilah terus menunaikan apa yang dijanjikan dengan bersungguh-sungguh dan tekad dalam penyampaian dan bukan hanya sebagai perbincangan.

"Kepentingan bersama adalah untuk menekankan mengenai ‘Pencapaian Kini’ oleh perkhidmatan awam untuk memberikan khidmat dengan berkesan kepada rakyat selaras dengan komitmen kerajaan yang sentiasa menekankan ‘Rakyat Didahulukan’,” katanya.

Katanya, semua inisiatif dan komitmen ini hendaklah diberikan penekanan pada sepanjang 2011 sebagai Tahun 1Malaysia. - BERNAMA

Alat ganti tiruan antara punca nahas bas: TWA

PETALING JAYA: Alat ganti tiruan kini dikategorikan sebagai antara faktor utama kemalangan membabitkan bas ekspres di negara ini.
Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU), Datuk Zainal Rampak, berkata penggunaan alat ganti seperti itu berleluasa dalam kalangan syarikat bas kerana ia lebih menjimatkan kos selain mudah didapati.
"Benda ini sudah lama berlaku namun tidak banyak pihak meluahkannya pada pihak berkuasa dan kini pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu memberi perhatian serius terhadap isu ini," katanya kepada pemberita di pejabat TWU di sini hari ini.
Zainal berkata antara alat ganti tiruan yang digunakan secara meluas ialah cakera brek yang kadangkala diguna semula selain alat ganti yang tidak sesuai dengan model bas mereka.

"Cakera brek tiruan ini, bila ditekan berkali-kali ketika menuruni bukit contohnya, akan menjadi panas dan akhirnya akan menjadi lembut serta gagal berfungsi pada saat kecemasan," katanya.

Menyentuh penggunaan bas dua tingkat, Zainal mencadangkan agar ia diharamkan penggunaannya sebagai bas perjalanan jauh di negara ini kerana muka bumi yang tidak sesuai kerana berbukit-bukau.

Apabila bas jenis itu dipandu mendaki bukit yang tinggi, keseimbangan bas akan terganggu lebih-lebih lagi ketika ia dipenuhi penumpang dan ini akan membahayakan semua yang berada dalam bas, katanya.
Beliau berkata bas jenis itu hanya sesuai digunakan sebagai bas dalam bandar sahaja.

Bulan sahaja ini, dua kemalangan melibatkan bas dua tingkat berlaku iaitu pada Ahad lalu di Jalan Raub-Bentong yang mengakibatkan enam tercedera dan pada 20 Disember lalu di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai yang mengorbankan 28 nyawa. - BERNAMA

Kes curi enjin jet TUDM: Dua dibicara bersama 14 Jun

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan tiga hari bermula 14 Jun tahun depan sebagai tarikh bicara kes Sarjan N Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia dan ahli perniagaan K Rajandran Prasad yang menghadapi pertuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan enjin pesawat milik TUDM.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz juga menetapkan tarikh yang sama untuk perbicaraan kes pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA), yang turut dihadapi kedua-duanya.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Noh, Syed Feisal Syed Amir, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dan Mohd Haziq Razali manakala Tharmendran diwakili T.Renuka dan Rajandran Prasad oleh Rejender Singh.
Pada 17 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Tharmendran untuk penggantungan kekal bagi tuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 yang dihadapinya.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rajandran Prasad, 38, pengarah sebuah syarikat pembekalan, turut mengaku tidak bersalah pada tarikh yang sama terhadap tuduhan dengan sengaja menghapuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang pada 30 April 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pada 20 Ogos lalu, Tharmendran turut mengaku tidak bersalah terhadap pengubahan wang haram melibatkan RM62,000, manakala Rajandran Prasad mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan serupa melibatkan RM437,319.50. - BERNAMA

Pelantikan 3 pengerusi baru UMNO negeri bukan petanda pilihan raya hampir

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pelantikan tiga pengerusi baru mengetuai UMNO negeri bukan petanda bahawa pilihan raya umum hampir tiba.
"Saya tidak melihat mengapa perlu kecoh mengenai pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno di negeri-negeri ini...ia hanya satu proses normal.
"Presiden parti pun pernah menyatakan perkara ini dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini dan merujuk kepada negeri-negeri di mana pengerusinya bukan orang tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Standard Halal Pahang 2010 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perubahan kepimpinan Umno di Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang berkuatkuasa 1 Januari tahun depan seperti yang diumumkan semalam.

Adnan, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang berkata, perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah anggota parti terus bekerja keras bagi membantu membela nasib rakyat dan bukannya semata-mata untuk memenangi pilihan raya. - BERNAMA

Monday, December 27, 2010

Bayi lelaki baru lahir ditemui atas tangki air perumahan

TUARAN 27 Dis. – Seorang bayi lelaki yang dibungkus dengan kain ditemui di atas sebuah tangki air di Blok 15, Perumahan Sri Rugading di sini awal pagi ini.

Bayi seberat 1.9 kilogram itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 4 pagi dalam keadaan berdarah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Suhaimi Wiro berkata, bayi yang masih bertali pusat itu kini selamat dan dirawat di Hospital Tuaran. – Utusan

1Malaysia: Makkal Sakti serah memo kepada MB Selangor

SHAH ALAM 27 Dis. — Berlaku sedikit kekecohan di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini apabila empat anggota Pemuda Parti Makkal Sakthi Malaysia (MMSP) gagal menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membantah larangan penggunaan logo 1Malaysia di papan iklan.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira 12.30 tengah hari apabila kumpulan itu bertikam lidah dengan pegawai media di pejabat Menteri Besar Selangor, Tuan Nazuri Tuan Ismail yang menerima memorandum itu bagi pihak Menteri Besar.

Setiausaha Agung MMSP, S. Sutager memberitahu pemberita, pergerakan Pemuda parti amat kecewa kerana mereka tidak dapat menyerahkan memorandum itu kepada Abdul Khalid atau Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu.

“Abdul Khalid atau Ronnie sendiri sepatutnya menerima memorandum ini daripada kami jika mereka ikhlas dalam memperjuangkan hak demokrasi dan kebebasan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata rakyat secara sukarela telah menerima slogan 1Malaysia sebagai hak mereka dan bukannya milik mana-mana parti politik.

"Sepertimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, konsep 1Malaysia ialah untuk pembinaan negara bangsa dan bukan untuk tujuan politik,” katanya. - Bernama

Sinaran laser lemah tidak jejaskan pandangan mata - Pakar

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Sinaran laser yang lemah tidak akan menjejaskan pandangan mata manusia jika dipancarkan dari jarak jauh contohnya ketika satu perlawanan bola sepak, menurut seorang pakar optometris.

Bekas Pakar Pandangan Mata Hospital Pulau Pinang, Dr Zahimi Chik berkata, sinaran laser akan berbahaya kepada mata sekiranya ia mempunyai daya kekuatan yang tinggi seperti yang digunakan untuk pembedahan.

"Sinaran ini akan merosakkan retina jika ia terkena pada titik pandangan visual mata iaitu mekula walaupun dalam jangka masa singkat.

"Bagaimanapun, jika sinaran itu hanya daripada penunjuk laser seperti “laser pointer” yang digunakan orang ramai sekarang, ia tidak berbahaya kecuali dalam jarak dekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Zahimi mengulas dakwaan pasukan bola sepak Indonesia tentang gangguan pada mata mereka ketika perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang skuad negara semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini akibat pancaran sinaran laser oleh penyokong Malaysia.

Beliau berkata, sinaran laser yang mampu dibeli kini hanya mempunyai daya kekuatan yang lemah kerana ia dihasilkan dengan tujuan tidak membahayakan pengguna. – Bernama

Mara peruntuk RM150 juta pinjaman usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR 27 Dis. — Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan sejumlah RM150 juta pinjaman kepada usahawan Bumiputera di seluruh negara untuk tahun depan.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pinjaman yang akan diberikan itu meliputi pelbagai bidang keusahawanan kecuali pertanian, tetapi keutamaan akan diberikan kepada bidang runcit.

"Secara purata, setiap peminjam akan memperoleh kira-kira RM50,000. Jumlah peruntukan ini (RM150 juta) sebenarnya masih kecil tapi ia berdasarkan kutipan semula pinjaman yang kita telah perolehi. Kalau lebih, maka kita akan tambah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penjenamaan semula Medan Selera Rakyat, di Medan Mara di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, setiap pemohon pinjaman perlu memenuhi kriteria tertentu termasuk lulus ujian psikometrik bagi menilai tahap keusahawanan mereka.

Ujian itu yang mula diperkenalkan November lepas antara lain mengukur nilai keusahawanan setiap individu daripada segi daya tahan, kemampuan bersaing, keberanian menanggung risiko dan sebagainya.

"Walaupun kertas kerja yang mereka sediakan bagus, pembentangan mereka juga bagus tapi mereka perlu lulus ujian ini untuk kita nilai sejauh mana mereka mampu bertahan dalam perniagaan,” katanya.

Mengenai penjenamaan semula Medan Selera Rakyat, Idris berkata, ia bertujuan menjadikan kawasan itu menjadi lebih menarik, selesa, bersih dan santai.

Bertemakan ”Green Peace”, projek membaik pulih medan selera itu telah dimulakan 1 Novenver lepas dan siap sepenuhnya pada 17 Disember dengan kos kira-kira RM190,000. - Bernama

Pastikan Felda terus capai matlamat penubuhan – Isa

SEREMBAN 27 Dis. – Sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baru, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, impian beliau ialah memastikan badan itu terus mencapai matlamat yang dihasratkan oleh kerajaan ketika menubuhkannya.

"Saya tidak ada impian peribadi, cuma saya mahu mencapai apa yang dimatlamatkan oleh kerajaan ketika menubuhkan Felda,” katanya mengulas pelantikannya sebagai Pengerusi Felda berkuat kuasa 1 Januari 2011.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, pelantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Mohd Isa untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif.

Mohd Isa, 61, yang menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas kepercayaan yang diberikan.

"Saya akan cuba menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin,” katanya. – Bernama

PTPTN: LHDN jangka laksana skim potongan gaji mulai 2012

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijangka dapat melaksanakan skim potongan gaji secara automatik terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 Januari, 2012.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Hasmah Abdullah berkata, pihaknya sedang membuat draf undang-undang, sistem dan operasi dengan PTPTN bagi membolehkannya mengutip pinjaman dengan lebih berkesan.

"Draf yang sedang dikemas kini akan dibawa ke Parlimen selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun depan,” katanya pada majlis penutupan Projek Sistem Perakaunan Hasil Berelektronik (eRAS) LHDN di sini hari ini.

Hasmah berkata, undang-undang ini penting bagi membolehkan LHDN mengambil tindakan sekiranya peminjam tidak membuat bayaran.

Buat masa ini, katanya peminjam masih boleh terus membuat bayaran secara sukarela di LHDN kerana pihaknya adalah salah satu daripada saluran untuk membayar balik pinjaman. – Bernama

Sunday, December 26, 2010

2 pelajar maut motosikal terbabas lalu rempuh pokok

KUALA TERENGGANU 26 Dis. – Dua pelajar sebuah kolej kemahiran maut apabila motosikal yang dinaiki merempuh sebatang pokok di Kilometer 61, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Rantau Abang di sini hari ini.

Mereka dikatakan dalam dalam perjalanan sejauh lebih 300 kilometer dari Tumpat, Kelantan menuju ke kolej di Kemaman selepas pulang ke kampung sempena cuti umum perayaan Krismas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, motosikal yang ditunggangi Muhammad Syazrul Izat Fauzi, 18, dan dibonceng oleh Wan Mohd. Asyraf Wan Zali, 22, terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok. – Utusan

Feri bawa 29 penumpang karam: 3 maut, 1 lagi hilang

JOHOR BAHRU 26 Dis. – Tiga maut, manakala seorang lagi hilang apabila sebuah feri penumpang yang dalam perjalanan dari jeti Tanjung Leman ke Pulau Sibu di Mersing karam, pukul 2.30 petang tadi.

Ketika kejadian, feri tersebut dikatakan membawa seramai 29 penumpang. – Utusan

Bas ekspres 2 tingkat terbabas dalam parit, 8 cedera

RAUB 26 Dis. – Lapan penumpang termasuk seorang kanak-kanak cedera setelah sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas ke dalam parit di Kilometer 363, Jalan Raub-Bentong dekat sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Supritendan Wan Mohd. Samsudin Wan Osman berkata, kemalangan itu berlaku pukul 5.20 pagi ketika bas itu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. – Utusan

Tragedi Simpang Pulai: Seorang lagi penumpang maut

IPOH 26 Dis. – Selepas hampir seminggu menanggung kecederaan, seorang pelancong warga Thailand yang parah dalam nahas bas persiaran di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, Isnin lalu akhirnya meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini petang ini.

Darunee Songserm yang juga dikenali sebagai Dariah Ismail, 59, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut pukul 2.26 petang ini.

Berikutan kematian tersebut, jumlah mangsa keseluruhan yang terkorban dalam nahas yang disifatkan terburuk di negara ini, meningkat kepada 28 orang. – Utusan

Operasi KKIA tergendala sebentar akibat kebakaran

KOTA KINABALU 26 Dis. – Operasi pelepasan dan pendaratan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini tergendala sebentar pagi tadi akibat kebakaran di bilik bateri sistem komunikasi dan radar di Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC).

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sabah, Khirudin Drahman berkata, kejadian pada 7.30 pagi itu menyebabkan pelepasan dan pendaratan beberapa penerbangan domestik serta antarabangsa terpaksa ditangguhkan kira-kira sejam setengah.

Bagaimanapun, urusan pendaftaran masuk penumpang di Terminal 1 dan Terminal 2 lapangan terbang itu berjalan seperti biasa.

"Kebakaran itu menyebabkan petugas di ATC tidak mampu menyalurkan maklumat pelepasan dan pendaratan pesawat kepada petugas di Menara Kawalan KKIA,” katanya.

Beliau berkata, bomba menerima maklumat pada 7.40 pagi dan lima jentera dikejarkan ke tempat kejadian enam minit kemudian.

"Ketika anggota bomba tiba, hampir keseluruhan bilik berkenaan sudah dijilat api. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 8.15 pagi,” katanya sambil menambah punca dan jumlah kerugian masih disiasat. – Bernama

Penerbangan MAS ke dan dari Kota Kinabalu lewat

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Sesetengah penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ke dan dari Kota Kinabalu, Sabah lewat hari ini disebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ditutup sementara pagi ini ekoran gangguan perkhidmatan trafik udara di lapangan terbang itu.

Pengarah Operasi MAS, Kapt Azharuddin Osman berkata, penerbangan lain ke atau dari destinasi lain dijangka lewat sedikit, dengan sedikit perubahan dalam jadual masa.

Bagaimanapun, masalah itu sedang ditangani dan bekerjsama rapat dengan lapangan terbang berkenaan dan semua pihak berkuasa penerbangan awam berkaitan untuk mengurangkan sebarang kesulitan, menurut beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menggesa semua penumpang terbabit untuk memeriksa status penerbangan mereka melalui www.malaysiaairlines.com atau menghubungi Pusat Panggilan 1300-88-3000 (dalam Malaysia) atau 603-7843 3000 (di luar Malaysia) sebelum ke lapangan terbang.

Penumpang juga boleh memeriksa status penerbangannya melalui telefon bimbit mereka dengan melayari flymas.mobi. – Bernama

Gempa bumi berukuran 5.1 skala Richter berlaku di Filipina

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter berlaku di wilayah kepulauan Filipina pada pukul 5.16 pagi tadi.

Menurut Jabatan Metereologi Malaysia (JMM), pusat gegaran ialah 253 kilometer tenggara Davao dan 1,056 kilometer timur laut Lahad Datu, Sabah.

Ia tidak mendatangkan ancaman tsunami. – Utusan

Gempa bumi 7.6 skala Richter gegarkan barat lautan Pasifik

WELLINGTON 26 Dis. - Gempa bumi kuat berukuran 7.6 pada skala Richter telah berlaku di perairan cetek dekat Vanuatu di barat lautan Pasifik malam tadi, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS).

Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS telah mengeluarkan amaran tsunami bagi Vanuatu, Fiji dan New Caledonia selepas berlaku gempa pada kedalaman kira-kira 24 kilometer di bawah dasar laut itu.

Amaran itu bagaimanapun ditarik balik setelah hanya tsunami kecil sahaja dan tiada sebarang kerosakan dilaporkan berlaku ekoran gegaran pada pukul 12.16 pagi (9.16 malam waktu Malaysia) itu.

Gegaran kuat itu berpusat di 135 kilometer ke barat Isangel, pulau Tanna di Vanuatu dan 200 kilometer ke utara Tadine di Pulau Loyalty, New Caledonia.

Vanuatu yang terletak antara Fiji, Australia dan utara New Zealand berada dalam `Lingkaran Api Pasifik’ dengan seismik dan gunung berapi yang aktif ekoran pergerakan plat dalam kerak bumi. - AFP

Tragedi cuti Krismas: Remaja mati lemas, sepupu koma

KUCHING 26 Dis. – Keriangan sebuah keluarga menyambut Cuti Krismas dan hujung minggu di Pantai Damai dekat Santubong berakhir dengan tragedi apabila seorang remaja mati lemas, manakala sepupunya koma ketika mandi di sebuah kolam renang di pusat peranginan berkenaan hari ini.

Mohd. Nazrul Rosli, 16, pelajar tingkatan empat meninggal dunia akibat lemas di Hospital Pakar Normah sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Siti Nur Farah Ain, 14, masih berada dalam keadaan tidak stabil dan kini dibawa ke HUS untuk rawatan lanjut.

Kedua-dua mangsa dikatakan mandi di kolam kira-kira pukul 10.45 pagi ini sebelum lemas. – Utusan

Saturday, December 25, 2010

Pintu masuk berasingan penyokong Malaysia, Indonesia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menetapkan pintu masuk dan tempat parkir berasingan untuk penyokong Malaysia
dan Indonesia datang menyaksikan perlawanan akhir pusingan pertama Bola Sepak
Piala AFF-Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok. Penyokong Malaysia perlu menggunakan pintu masuk berwarna kuning, merah dan hijau ke stadium manakala penyokong Indonesia dikhaskan pintu biru dan ungu.
Tempat letak kenderaan A, B dan C pula adalah bagi penyokong
Malaysia dan kawasan D serta E untuk penyokong Indonesia.
Penyokong kedua-dua pasukan diminta mematuhi ketetapan itu.-- BERNAMA

Krisis Semenanjung Korea mampu gugat kestabilan rantau ini: Mahathir

NEW DELHI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran "memprovokasi" Korea Utara hanya akan menimbulkan ketegangan
serantau kerana krisis di Semenanjung Korea sudah berada di peringkat yang
membimbangkan. Semenanjung itu berada dalam keadaan kacau-bilau selepas Korea Utara melancarkan serangan artileri ke atas sebuah perkampungan di Korea Selatan lewat
November lepas, sekaligus membangkitkan ketakutan berlakunya konflik ketenteraan
antara kedua-dua negara jiran yang bermusuhan itu, yang menyaksikan pendamai
antarabangsa berlumba-lumba untuk menenangkan keadaan.
Empat dilaporkan terbunuh dalam insiden tembakan di Pulau Yeonpyeong, Korea
Selatan.
Dr Mahathir berkata sengaja memprovokasi Korea Utara merupakan satu
kesilapan. "Apabila anda membalas kekerasan dengan kekerasan, anda meningkatkan
ketegangan dan anda juga tidak tahu jika ia mungkin mencetuskan peperangan,"
katanya kepada Bernama di sini.
Beliau turut menyalahkan campur tangan Amerika dalam pergolakan politik di
semenanjung itu kerana kedua-dua negara, secara teknikal, masih berperang
selepas Perang Korea pada 1950-1953 tamat.
Kebanyakan pengkritik barat menyalahkan Pyongyang bagi situasi tegang di
daerah yang bergolak itu, sesetengah berkata pemimpin Korea Utara berasa jengkel
selepas Korea Selatan dan sekutunya Amerika mengadakan latihan ketenteraan
bersama berhampiran kawasan pantai negara itu.
"Apabila anda mengadakan latihan ketenteraan di sempadan sesebuah negara
(Korea Utara), khususnya di kawasan pantai, negara itu pasti berasa terancam.
"Situasi ini akan membawa kepada ketidaksabilan, dan ia membimbangkan.
Kebanyakan orang di selatan sebenarnya berasal dari utara, mereka mempunyai
saudara-mara di utara. Saya tidak fikir mereka mahu melihat saudara-mara mereka
terbunuh dalam peperangan.
"Saya yakin mereka mahu melihat pertikaian ini diselesaikan secara aman,
dalam apa bentuk sekalipun," katanya.
Dr Mahathir, yang diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah, kini dalam lawatan
peribadi ke India. -- BERNAMA

Resolusi 100 hari hanya dilaksana apabila pembangkang memerintah: Nik Aziz

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata resolusi 100 hari yang dikemukakan pembangkang pada konvensyen
mereka pada Ahad lalu hanya akan dilaksanakan setelah pakatan pembangkang
mengambil alih pentadbiran negara. "Kita akan laksanakan bila pakatan dapat memerintah negara...tunggulah dulu...jangan nak jadi gangster," katanya kepada pemberita selepas majlis
perkahwinan perdana anjuran kerajaan negeri melibatkan 101 pasangan baru di
Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK) di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin
semalam yang mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya
melaksanakan kenaikan gaji bagi pegawai-pegawai awam di negeri-negeri yang
ditadbir oleh pakatan pembangkang dahulu sekiranya pembangkang benar-benar
prihatin dengan nasib penjawat awam. Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan itu meminta kerajaan Barisan Nasional
(BN) menunggu sehingga pakatan pembangkang menerajui negara untuk melaksanakan
rsolusi itu.
Resolusi itu mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara,
ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika pakatan
pembangkang menang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan
dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan
subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi
rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda
Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan
ketiga Felda.
Nik Abdul Aziz berkata apa yang penting dalam mentadbir negara ialah
memerintah untuk rakyat dan menjamin kesejahteraan mereka.
Beliau juga berkata PAS akan melaksanakan pentadbiran Islam mengikut
acuannya seperti yang ditetapkan di dalam Islam.
Mengenai perkahwinan, beliau menasihatkan pihak keluarga wanita mengenakan
hantaran atau mas kahwin yang rendah serta berpatutan kepada pihak lelaki dan
bukan membebankan mereka.
"Saya kahwin dulu hantaran RM100 sahaja untuk isteri saya. Malahan siapa
nak kahwin anak saya, saya minta RM1,000 saja," katanya.
Beliau berkata perkahwinan penting bagi mengelakkan gejala sosial buang
anak dan zina di dalam masyarakat. -- BERNAMA

PTPTN beri pinjaman cecah RM37 bilion sehingga November

TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberikan pinjaman berjumlah RM37 bilion kepada pelajar sejak ia
ditubuhkan pada 1997 sehingga bulan lalu. Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata seramai 1.7 juta pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke intitusi pengajian tinggi (IPT) awam dan
swasta telah menerima manfaat daripada pinjaman berkenaan.
"Bagaimanapun, daripada keseluruhan pelajar yang mendapat pinjaman itu hanya
77 peratus pelajar yang membayar balik pinjaman selepas mereka menghabiskan
pengajian di IPT," katanya kepada pemberita selepas majlis Penganugerahan
Pakaian dan Beg Sekolah, Meraikan Pelajar Cemerlang dan Miskin Peringkat
Parlimen Kuala Krau di sini.
Beliau berkata, seramai 191,262 peminjam pula tidak pernah membayar balik pinjaman walaupun telah diberikan beberapa kali peringatan termasuk notis saman.
"Pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji,
bank dan secara atas talian dilihat tidak berkesan dalam mengutip kembali
pinjaman dan kita harap cadangan pindaan Akta PTPTN 1997 untuk mewajibkan
bayaran balik pinjaman secara potongan gaji dapat dilaksanakan pada tahun
depan," katanya.
Katanya, bagi tahun ini, PTPTN mensasarkan menerima bayaran balik berjumlah
RM5 bilion, namun setakat bulan lepas, pihaknya hanya menerima RM4.8 bilion.c-- BERNAMA

1Malaysia untuk bina negara, bukan untuk tujuan politik: PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata konsep 1Malaysia adalah untuk membina sebuah negara dan bukan bagi
tujuan politik. Beliau berkata tanpa ragu-ragu, semangat bersama ini dan mampu untuk bangkit melangkaui perbezaan politik, adalah penting dalam memastikan keamanan dan
kestabilan berterusan di negara ini.
"Sungguhpun ada sesetengah mungkin memikirkan (1Malaysia) adalah untuk
tujuan politik tetapi ia sebenarnya bagi tujuan membina sebuah negara.
"Ia untuk kita untuk bersama, bagi kita untuk merasakan bahawa kita adalah
milik sebuah negara, seorang dengan satu wawasan dan itulah untuk kita mara ke
hadapan bagi membina kemakmuran, keharmonian dan kejayaan sebenar sebuah negara
pada Abad ke-21," katanya dalam ucapan pada Jamuan Teh Krismas anjuran Ketua Biskop Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, di kediaman beliau di sini hari ini.
Beliau berkata pada dunia hari ini di mana sekumpulan kecil ekstremis telah
mengenepikan suara kewarasan dan mengabaikan agenda keamanan dan kesederhanaan,
yang kesederhanaan adalah penting dalam setiap kepercayaan umat Muslim, penganut
Kristian, Hindu dan Buddha di kalangan kita untuk bercakap bagi menuntut tempat
yang sewajarnya dan moral yang tinggi.

Najib juga berkata bahawa agama mengajar kita untuk toleransi, prihatin dan
menghormati kepercayaan dan amalan yang lain.
"Kita terikat dengan destini bersama kita. Kita terikat dengan warisan
bersama kita. Kita terikat dengan keperluan kita untuk ke hadapan sebagai sebuah
negara bagi menghadapi cabaran akan datang," kata beliau.
Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak lupa pada mesej
Krismas iaitu untuk keamanan, harapan, amal, cinta dan muhibah terhadap semua.
"Mesej ini bukan hanya untuk penganut agama Kristian. Mesej ini untuk semua
orang," tambah beliau.
Turut hadir, isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
-- BERNAMA

Sabah kuatkuasa undang-undang murtad tahun depan

TAWAU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) akan menguatkuasakan undang-undang murtad di Sabah mulai tahun depan
sebaik sahaja pusat pemulihan akidahnya di Kinarut siap pertengahan 2011. Pengarah Jheains, Datuk Amri A.Suratman, berkata pada masa ini jabatan itu lebih menekankan pendekatan mendidik kepada pesalah syariah dan akidah
berbanding mengambil tindakan undang-undang.
"Pelaksanaan undang-undang ini sebahagian daripada Pelan Strategik
untuk lima tahun akan datang” katanya kepada Bernama selepas menangguhkan
Persidangan Pegawai-pegawai Kanan Jheains 2010 di sini malam tadi.
Isu saudara baru kembali ke agama asal sering menjadi bahan perbincangan
pada perhimpunan agung tahunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) dan pada
perhimpunan baru-baru ini Usia Bahagian Ranau mendedahkan ratusan saudara baru di daerah itu kembali murtad.
Usia mendakwa antara punca saudara baru kembali ke agama asal ialah kerana
mereka terabai dan tidak mendapat bimbingan sewajarnya tentang Islam selepas
mereka menganut agama suci berkenaan.

Amri berkata semua imam di Sabah akan telibat secara langsung untuk memberi
penerangan dan kaunseling kepada masyarakat, khususnya saudara baru di kawasan
masing-masing terutama generasi muda bagi memastikan mereka memahami
undang-undang syariah.
Mengenai usaha dakwah, beliau berkata, Jheains akan memberi tumpuan kepada
kawasan strategik dan luar bandar terutama kawasan yang mempunyai bilangan
saudara baru yang ramai.
"Pegawai-pegawai dakwah kita akan memfokuskan kepada masalah ibadah. Perkara
ini akan dilaksanakan secara berterusan," katanya.
Persidangan itu antara lain membincangkan usaha mempertingkatkan pengurusan
hal ehwal Islam melalui budaya kerja berasaskan prestasi dan berkaitan
pelaksanaan undang-undang Syariah dan Dakwah. -- BERNAMA

FELDA bayar bonus insentif RM100.9 juta

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
(Felda) akan membayar Bonus Insentif Produktiviti kepada para peneroka di tanah rancangan seluruh negara berjumlah RM100,916,600. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bonus itu adalah bagi
menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara
selain sebagai insentif kerana menghantar hasil melalui Felda.
Beliau berkata kadar bayaran bonus yang dibayar pada tahun ini ialah minimum
RM400 dan maksimum RM1,200 bergantung kepada penghantaran hasil.
"Pembayaran bonus insentif ini melibatkan seramai 94,281 atau 83.70 peratus
daripada 112,635 peneroka Felda seluruh negara.
"Bayaran Bonus Insentif Produktiviti Peneroka 2010 akan dibayar secara tunai di pejabat rancangan pada awal Januari 2011," katanya dalam satu kenyataan
hari ini.

Najib berkata peneroka yang menghantar hasil melalui pengurusan rancangan
dinilai berdasarkan penghantaran hasil dari Januari hingga Oktober tahun ini.
"Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum ialah 8.01 tan/hektar manakala
ganjaran maksimum ialah mereka yang menghantar hasil melebihi 17 tan/hektar ke
atas.
"Bagi peneroka getah, kelayakan minimum ialah 600.01kg/hektar dan ganjaran
maksimum diberi kepada yang menghantar hasil melebihi 1,400kg/ hektar," katanya.
Beliau berkata bilangan peneroka yang terlibat dalam penghantaran hasil
sawit dan getah ini adalah seramai 30,611 orang manakala 61,170 yang sedang
menanam semula bersama Felda akan menerima bayaran maksimum RM1,200 seorang.
"Pada tahun ini, Felda turut memberikan pertimbangan khas kepada peneroka
di beberapa rancangan yang prestasi hasilnya rendah sepanjang masa disebabkan
tanaman tidak produktif dan menunggu giliran untuk ditanam semula.

"Ini termasuk juga kawasan kebun peneroka yang diambil bagi tujuan
pembangunan. Termasuk juga dalam kategori ini ialah tanaman peneroka yang
hasilnya rendah disebabkan serangan musuh penyakit seperti ganoderma, serangan
ulat bungkus dan lain-lain," katanya.
Kira-kira 2,000 peneroka terlibat dalam kategori pertimbangan khas itu dan
kadar yang diberi kepada peneroka terlibat adalah sebanyak RM400 seorang,
katanya.
Najib berkata seramai 18,354 peneroka atau 16.29 peratus pula didapati tidak
layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan
juga kerana hasil mereka kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan.
Selain itu, katanya peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak
menghantar hasil, tidak dibayar bonus insentif ini.
"Kerajaan berharap pemberian bonus ini akan menjadi perangsang kepada
peneroka di seluruh negara untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan
produktiviti masing-masing.
"Saya juga ingin mengajak semua peneroka untuk menyertai program bersama
dengan Felda selaras usaha berterusan yang dilaksanakan oleh agensi tersebut
bagi meningkatkan pendapatan mereka melalui penyelidikan dan khidmat nasihat
yang disediakan," katanya. -- BERNAMA

Korea Utara diramal uji peluru nuklear

SEOUL: Korea Utara dilaporkan mungkin menjalankan ujian ketiga peluru berpandu nuklearnya tahun depan bagi menunjukkan kekuatan pemimpin mudanya, Kim Jong-un, yang bersedia mengambil alih kepemimpinan negara komunis itu.
Ia dilaporkan hasil penyelidikan sebuah institut Kementerian Luar Korea Selatan yang dikeluarkan hari ini.
Laporan itu menyusul sehari selepas Pyongyang mengancam untuk memulakan "perang ugutan" untuk menggunakan senjata nuklearnya jika negara jirannya mahuenyerang serta bwrterusan menjalankan latihan tembakan peluru hidup di sempadan.

Korea Utara sebelum ini menjalankan ujian misil nuklear 2006 dan 2009.- Reuters

Monday, December 6, 2010

Pendidikan seksualiti diajar secara berasingan di sekolah tahun depan

KUALA LUMPUR: Pendidikan seksualiti yang diajar secara menumpang mata pelajaran lain sebelum ini akan diajar secara berasingan mulai tahun depan dengan mengekalkan penggunaan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata melalui pelaksanaan di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) itu, kementerian menetapkan subjek tersebut diajar selama 40 minit, dua kali sebulan di sekolah menengah dan 30 minit setiap minggu di sekolah rendah.
"PEERS sebenarnya telah dilaksanakan sejak 1989 di sekolah menengah dan 1994 di sekolah rendah, cuma di sekolah rendah ia menumpang merentasi kurikulum di bawah Pendidikan Jasmani.

"Bermula tahun 2011 di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah, kementerian memutuskan Pendidikan Kesihatan yang ada didalamnya PEERS akan diajar secara berasingan sebagai satu mata pelajaran yang tidak lagi bercantum dengan mana-mana mata pelajaran lain," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Julaihi Bujang.

Mohd Fuad berkata, antara skop yang akan dimasukkan bagi murid Tahap Satu ialah perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata tidak kepada sentuhan yang tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan.

Bagi tahap dua yang membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam, skopnya ialah bagaimana mengurus konflik, perubahan fizikal, akil baligh, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko hubungan seks sebelum nikah, jangkitan penyakit seksual dan kemahiran berkata tidak kepada rokok, alkohol dan dadah.
Mohd Fuad berkata, bagi pelajar Sekolah Menengah di peringkat rendah pula, mereka akan didedahkan mengenai kecekapan psikososial menangani situasi berisiko, pengurusan tekanan, jangkitan penyakit seksual, perkembangan sifat seksual sekunder, identiti dan orientasi seksual, perhubungan dan kesan buruk alkohol, rokok dan dadah.

"Manakala di peringkat menengah atas, skopnya ialah kemahiran kecekapan psikososial, kestabilan emosi dan mental, kehamilan remaja, kekeluargaan, jangkitan penyakit seksual, langkah pengawalan dan pencegahan rokok dan dadah," katanya.

Mohd Fuad berkata, pengetahuan mengenai pendidikan seks mencakupi 75 peratus daripada keseluruhan pengisian kurikulum baru subjek berkenaan.

Mengenai pengekalan istilah PEERS, Mohd Fuad berkata istilah yang diputuskan Kabinet pada 2006 lebih luas maknanya merangkumi aspek nilai, sikap dan proses sepanjang hayat berbanding "pendidikan seks" yang istilahnya memberi konotasi negatif dan terhad di kalangan masyarakat.

"Oleh kerana masih timbul kekeliruan dan permintaan pelbagai pihak maka Kementerian Pelajaran memutuskan untuk terus menggunakan istilah PEERS melalui mata pelajaran pendidikan kesihatan bagi memenuhi pendidikan seks di Malaysia," katanya.

Untuk rekod, istilah PEERS diputuskan Kabinet pada 20 Disember 2006 dan dipersetujui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menggantikan istilah pendidikan kesihatan keluarga yang digunakan pada tahun 1989 hingga 2002 yang kemudiannya digantikan dengan istilah pendidikan seksualiti dari 2003 hingga 2005. - BERNAMA

Hijrah cipta kejayaan baru, beri rahmat kepada ummah: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengajak umat Islam supaya terus berusaha untuk berhijrah bagi mencipta kejayaan dan inovasi baru yang memberi impak rahmat kepada ummah.
Dalam perutusannya bersempena sambutan Maal Hijrah 1432H/2010M yang disiarkan di laman web 1Malaysia beliau, Perdana Menteri berkata Malaysia telah memberikan komitmen tinggi dalam membawa pengertian hijrah kepada agenda transformasi berganda buat negara.
"Percayalah, Malaysia sentiasa konsisten dalam menerajui konsep kesederhanaan dan keamanan sejagat sejak lima dekad yang lalu. Selama ini, pelan penghijrahan ekonomi dan pembangunan negara telah membuktikan falsafah kesederhanaan dan keseimbangan ini adalah satu pencapaian hebat dan mesej dakwah Islamiah yang besar di tahap global.

"Ianya bukan sahaja digerakkan melalui bidang ekonomi, sosial serta politik, malah profil Malaysia di pentas sejagat juga diberikan suntikan transformasi bagi mengungguli teraju teladan kesederhanaan. Sekiranya semua ini dapat diteladani maka ia akan mencetuskan lonjakan rahmat yang juga turut berganda kepada rakyat," katanya.

Najib berkata, seluruh umat Islam sedang memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W. yang penuh barakah itu hari ini dan sambutan ini adalah kesinambungan dalam memperingati dan menghayati perjuangan Baginda.

"Peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. dari Makkah ke Madinah adalah satu gerakan berstrategik melalui penjanaan daya kreativiti yang tinggi dilatari oleh tradisi keilmuan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.," katanya.

Beliau berkata, sambutan Maal Hijrah pada tahun ini bertemakan “1Malaysia, 1 Ummah” yang dianggap bertepatan dengan semangat hijrah yang dirukuni oleh Rasulullah S.A.W. dalam melahirkan satu ummah yang berteraskan kepada nilai murni, berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan melalui kepelbagaian.
"Semangat Hijrah inilah yang telah kita terjemahkan dalam bentuk program transformasi negara. Sememangnya, kesederhanaan dengan erti kata seimbang dan terbaik telah menjadi kerangka rujuk kita membangunkan negara selama ini," katanya.

Menelusuri sejarah kejayaan negara, Najib berkata Malaysia kini muncul sebagai sebuah negara membangun yang maju, berdaya saing serta progresif.

Beliau berkata, kejayaan ini adalah didasari kekuatan perpaduan 1 Ummah yang berasaskan keunikan perpaduan antara kaum yang sedia ada.

"Kita juga telah menyarankan pembentukan pergerakan kesederhanaan di peringkat global, hakikatnya kita telah merujuk kepada semangat dan saranan yang dijana oleh ajaran al-Quran dan As-Sunnah," katanya.

Beliau berkata, ia seterusnya memberikan pengiktirafan kepada Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam pelbagai bidang yang signifikan kepada dunia Islam.

Najib berkata, pengiktirafan itu adalah pemangkin kepada pemimpin dan rakyat agar terus istiqamah dalam menjayakan program transformasi bersepadu dalam menjana model baru ekonomi bagi mewujudkan sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Katanya, ia seiring dengan komitmen untuk melokasi Malaysia sebagai ikon kemakmuran, keharmonian dan kesederhanaan dengan sifat kepelbagaian etnik dan agama.

Mengakhiri perutusannya, Najib berkata beliau dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1432 kepada seluruh umat Islam Malaysia walau di mana jua mereka berada dan raikanlah sambutan itu bersama rakan-rakan daripada pelbagai bangsa demi kekuatan “1Malaysia 1 Ummah”. - BERNAMA

Air Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli

KUALA BERANG: Kerajaan Terengganu mengesahkan air di Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli dan berada pada tahap membimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata keadaan itu terjadi berikutan pembuangan sisa kumbahan dan air buangan tidak terurus oleh pengusaha rumah bot.

Terserah kepada Peguam Negara dakwa Mohd Khir: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menyerahkan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung tindakan selanjutnya terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, atas tuduhan memiliki dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor, dua tahun lalu.
"Saya tidak boleh nak komen. Ini proses biasa, maknanya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) akan buat siasatan dan hantar (laporan) kepada (pejabat) Peguam Negara.
"Kalau (pejabat) Peguam Negara kata ada kes, terpulang kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan," kata Perdana Menteri ketika melancarkan Talent Corporation di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohamad Khir didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Shamsuddin turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada 29 Mei 2007.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Mohamad Khir dan Shamsuddin masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM750,000 dengan seorang penjamin. - BERNAMA

TV Al Hijrah medium dakwah baru: JAKIM

KUALA LUMPUR: Kehadiran TV Al Hijrah, stesen televisyen berunsurkan nilai Islam yang pertama di Malaysia, akan memperluaskan lagi medium dakwah baru yang selari dengan keperluan masa kini, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pengelola stesen itu.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata stesen itu yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok sempena sambutan Maal Hijrah seharusnya membuka lebih peluang kepada karyawan, seniman dan pengiat seni tanah air.
"Harapan JAKIM dengan kerjasama semua pihak dan pembabitan aktif pendakwah dan penggiat seni, stesen ini akan muncul sebagai sebuah stesen penyiaran Islam terulung di rantau ini," katanya.

TV Al Hijrah boleh diikuti di Lembah Klang melalui saluran UHF CH55 frekuensi MHz 743.25, Terengganu UHF CH41 (631.25 MHz), Johor UHF CH40 (623.25 MHz), Sarawak UHF CH37 (599.25 MHz) dan Sabah UHF CH37 (599.25 MHz).

Wan Mohamad berkata, perancangan yang baik dalam memanfaatkan stesen itu mampu memberi kesan dakwah yang besar kepada masyarakat global sekaligus membuka persaingan sihat dalam kalangan media di dalam negara dan menjadi contoh di rantau ini.

"Jakim juga berpandangan pengendali stesen-stesen televisyen dan pihak media di negara ini tidak harus memandang ringan terhadap kuasa penonton yang mampu mempengaruhi kerancakan pasaran dunia penyiaran," katanya.

Wan Mohamad berkata, sejak akhir-akhir ini, sensitiviti penonton terhadap genre rancangan yang bercanggah dengan nilai murni dan kepercayaan agama Islam adalah petanda bahawa penonton di Malaysia bukanlah mudah disogok dengan bahan yang tidak berfaedah dan melalaikan.
"Oleh yang demikian, pengendali stesen penyiaran dan penerbit rancangan tidak boleh menganggap bahawa hanya rancangan dari barat sahaja mempunyai kualiti dan harus menjadi tanda aras dalam pembikinan rancangan," katanya.

Wan Mohamad berkata, TV Al Hijrah akan mengetengahkan imej bercirikan Islam dan mampu menjadi penanda aras sebuah stesen televisyen yang unggul di Malaysia dan rantau ini. - BERNAMA

Kerajaan pantau kemasukan wang panas: Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang memantau pengaliran masuk wang panas ke rantau ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.
Beliau berkata, Bank Negara Malaysia khususnya sedang memantau keadaan ini manakala kerajaan lain di rantau ini turut berbuat demikian.
"Kita sedang memantau (keadaan ini). Pengaliran masuk wang panas belum sampai ke tahap yang mencemaskan," kata Najib yang juga Menteri Kewangan, kepada pemberita selepas melancarkan Talent Corporation di sini hari ini.

Najib ditanya mengenai jumlah dana pelaburan besar yang ingin mendapatkan pulangan lebih tinggi di rantau ini dan boleh menjejaskan kestabilan ekonomi.

Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Ben Bernanke, baru-baru ini berkata ia boleh memperluas program untuk membeli sekuriti Perbendaharaan bernilai AS$600 bilion hingga melebihi sasaran awal yang diumumkan sebulan lalu.

Kenyataan itu dibuat selepas pengumuman laporan pekerjaan AS yang lebih lemah daripada dijangkakan Jumaat lalu.

Korea Selatan mula latihan menembak

SEOUL: Tentera Korea Selatan hari ini memulakan latihan menembak ketika ketengangan berikutan serangan artileri Korea Utara terhadap sebuah pulau di sempadan bulan lalu.
Menurut Pejabat Ketua Turus Bersama, latihan oleh kapal perang atau unit artileri bermula di 29 lokasi, termasuk satu daripada lima pulau sempadan di Laut Kuning yang dipertikaikan.
Korea Utara pada 23 November lalu membunuh dua orang awam dan dua askar marin Korea Selatan dalam serangan artileri di Pulau Yeonpyeong, sekali gus meningkatkan lagi ketengangan di rantau itu.

Semalam, Pyongyang menegaskan latihan yang dirancang Korea Selatan di ketiga-tiga pesisir pantai Semenanjung Korea mulai hari ini hingga Jumaat adalah usaha untuk memulakan peperangan. - AFP

MIC bermesyuarat perhalusi peralihan kepimpinan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC memulakan mesyuarat di sini hari ini ke arah peralihan tampuk kepimpinannya daripada Datuk Seri S Samy Vellu kepada timbalannya, Datuk G Palanivel.
Samy Vellu tiba di ibu pejabat parti itu, tempat mesyuarat diadakan kira-kira 9.56 pagi dengan disambut oleh Palanivel dan ahli CWC.
Samy Vellu, 74, yang mengambil alih teraju kepimpinan MIC pada 1979 selepas kematian Tan Sri V Manickavasagam, sebelum ini berkata bahawa parti itu mahu menyaksikan peralihan kuasa yang licin antara beliau dengan timbalannya.

Beliau dijangka mendapat mandat daripada CWC untuk menyerahkan jawatan presiden kepada Palanivel, 61, yang pernah menjadi setiausaha akhbar kepadanya untuk menjadi Presiden MIC yang kelapan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, yang kini menyandang jawatan naib presiden dijangka mengisi kekosongan jawatan yang bakal ditinggalkan oleh Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. - BERNAMA

Jerung baham wanita Jerman di Mesir

EL-ARISH, Mesir: Seekor jerung membaham hingga putus lengan seorang pelancong warga emas Jerman di pusat peranginan Laut Merah Mesir, menyebabkan mangsa terbunuh serta merta.
Ia berlaku selang beberapa hari selepas jerung mencederakan empat pelancong Eropah lain.
Wanita Jerman yang terbunuh itu sedang berenang di laut Sharm el-Sheikh, pusat peranginan dan menyelam terkenal di semenanjung Sinai, apabila beliau diserang.

“Ia pasti serangan jerung," kata Hesham Gabar, Ketua Dewan Menyelam dan Sukan Air Mesir.

Kedutaan Jerman di Cairo tidak dapat dihubungi untuk memberi ulasan. - AP

Mahkamah benar syarikat Sosilawati kemuka pembelaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, syarikat milik allahyarham jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, mengemukakan pembelaannya bagi menjawab dakwaan melanggar perjanjian dalam urusan jual beli harta bernilai RM3 juta.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof meluluskan permohonan membenarkan syarikat itu lanjutan masa untuk mengemukakan pembelaan dan affidavit jawapan terhadap saman difailkan oleh Low Choong Yen, 59, dan isterinya, Lim Bee Geok, 52, kerana melanggar perjanjian mengenai harta berkenaan di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Hakim membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak.

Peguam syarikat, Mohd Hadi Ar Rais Muhamad, memberitahu pemberita bahawa hakim mengarahkan syarikat itu mengemukakan pembelaan dan affidavit jawapan menjelang Rabu ini.

Mohd Hadi berkata, plaintif telah juga mengemukakan permohonan bagi penghakiman summari atas alasan pihak pembelaan tidak mempunyai asas pembelaan terhadap saman itu.

Beliau berkata, mahkamah akan mendengar permohonan itu pada Jumaat.

Pada 5 Ogos, Low dan Lim mengemukakan saman itu terhadap syarikat berkenaan, 25 hari sebelum Sosilawati, 47; dan tiga yang lain - pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, - dibunuh di Tanjung Sepat, Banting.
Dalam saman itu, mereka mendakwa, menurut sepucuk surat tawaran ditandatangani Nouvelle Beauty Centre bertarikh 2 April, syarikat itu telah bersetuju menjual kepada mereka sekeping tanah seluas 144.9 meter persegi, bersama bangunan pejabat empat tingkat di atasnya, dengan nilai RM3 juta.

Mereka berkata mereka telah membayar deposit RM60,000 bila menandatangani surat tawaran, dan baki deposit RM240,000 dibayar bila perjanjian jual-beli ditandatangani.

Low dan Lim mendakwa selepas perjanjian jual-beli ditandatangani, Nouvelle Beauty Centre, menulis sepucuk surat bertarikh 30 April, 2010, memberitahu mereka bahawa syarikat itu tidak berhasrat meneruskan jualan.

Low dan Lim memohon perisytiharan bahawa terdapat perjanjian jual-beli yang sah di antara mereka dan syarikat tersebut, dan injunksi bagi menyekat syarikat itu daripada menjual harta itu kepada mana-mana pihak lain. - BERNAMA

Pemegang biasiswa JPA boleh berkhidmat dengan GLC, swasta

PUTRAJAYA: Pelajar terpilih yang memegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan dibenarkan berkhidmat dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta dalam bidang berkaitan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk sokong keperluan modal insan berkemahiran tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib umum dasar tarik, kekal bakat

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan inisaitif dasar baru bertujuan memenuhi keperluan bagi Malaysia mempunyai bakat bertaraf dunia sejajar dengan transformasi ekonomi negara.
Inisiatif dasar yang diluluskan oleh kerajaan itu adalah bagi membolehkan pelajar terpilih dalam program biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk berkhidmat di luar perkhidmatan awam.
Kerajaan juga meluluskan dasar untuk memperkenalkan pas pemastautin yang membolehkan pemegangnya tinggal dan bekerja di Malaysia untuk satu tempoh yang lama.

"Untuk mencapai hasrat Malaysia menjadi ekonomi yang bertaraf antarabangsa, kita perlu melaksanakan inisiatif untuk menarik, membangun dan mengekalkan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk ekonomi berpendapatan tinggi," kata Perdana Menteri di pejabatnya di sini ketika melancarkan Talent Corporation.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - BERNAMA

Sunday, December 5, 2010

MB Selangor serah memo bantahan kepada wakil Istana Negara petang tadi

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyerahkan memorandum membantah kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) kepada wakil Istana Negara untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, kira-kira jam 2.15 petang tadi.
Turut mengiringi Abdul Khalid, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali dan barisan Exco Kerajaan negeri Selangor.

Najib tarik perhatian perwakilan dengan penggunaan pelbagai bahasa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menarik perhatian perwakilan Konvensyen Barisan Nasional (BN) apabila menggunakan pelbagai bahasa termasuk Melayu, Mandarin, Tamil, Bidayuh, Orang Ulu, Kadazan dan Dusun, Iban serta Murut ketika menyampaikan amanat dasarnya.
Beliau memulakan ucapan dasar itu dengan mengucapkan Salam 1Malaysia dalam bahasa Mandarin iaitu "Yi ge", "Oray Malaysia" (Tamil), "Ndi Malaysia" (Bidayuh), "Ji Malaysia'' (Orang Ulu), "Ise'' Malaysia (Kadazan dan Dusun), "Saumi Malaysia" (Murut) dan "Sato Malaysia" (Iban).
Setiap kali menggunakan sesuatu bahasa, beliau diberi tepukan gemuruh oleh kira-kira 2,340 ahli perwakilan daripada parti komponen BN,
rakan-rakan BN dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menghadiri konvensyen ketiga bertemakan "1Rakyat, 1Negara, 1Wawasan" itu di Wisma MCA di sini.

Sambil meminta semua ahli perwakilan dalam BN supaya memikirkan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan diri sendiri, Najib memetik falsafah Cina yang amat sesuai dijadikan teladan.

"Xian tian xia zhi you er you, hou tian xia zhi le er le... saya difahamkan ia bermaksud selesaikanlah masalah rakyat sebelum kesusahan menimpa mereka. Bahagiakanlah hidup rakyat sebelum semua dapat hidup bahagia," katanya.

Katanya, ajaran itu amat sesuai dijadikan pegangan para pemimpin BN yang mendahulukan rakyat dan mempertamakan kepentingan rakyat.
Najib, yang juga Pengerusi BN, turut memetik falsafah Tamil iaitu "Yipadai thorkin, yeepadai vehlum" yang meminta masyarakat untuk berjuang dengan sepenuh jiwa bagi memastikan kemenangan.

"Ertinya, jika pasukan ini gagal memenangi perjuangan, tiada pasukan pun yang boleh melakukannya," katanya.

Beliau menegaskan bahawa BN tidak pernah melenyapkan mana-mana budaya dan pada masa yang sama tidak juga pernah menukar asal-usul sesiapa sampai sekarang.

"Misalnya, kalau nama Samy Vellu, tak payah tukar jadi Suhaimi atau Sazali. Kalau Chua Soi Lek, tak payah tukar jadi Salleh, So''ud atau Ayoub, kalau John Ambrose tu John Ambrose lah, tak payahlah jadi Johan Ambrose.

"Sehinggakan Orang Asli sekalipun bebas mengekalkan identiti mereka. Bahkan, kita harus berbangga bahawa satu-satunya negara di dunia, membenarkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar," katanya.

Justeru, Najib berpendapat kejayaan yang dicapai pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi merupakan kejayaan bersama semua pihak.

"Kata-kata tersohor orang Iban "Agi idup agi ngelaban''. Selagi hidup, selagi itu kita berjuang. Kata orang Bajau di Sabah pula ''Mangan niak mangan, asal kurung, kurung''.

"Maksudnya, makan atau tidak makan, asal kita masih hidup bersama-sama. Pastinya, mengambil semangat itu, sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka, kita mesti tetap bersama demi BN," katanya.

Beliau juga mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak terpukau oleh helah pembangkang yang penuh tipu daya atau menumpang serta menaiki sampan rosak dan bocor dengan pakatan palsu mereka yang semakin hanyut dilanda badai.

"Seperti diingatkan dalam pantun Melayu: Kalau belayar perahunya senget, memang susah hendak kemudi, usah berharap guruh di langit, kilat memancar hujan tak jadi," katanya. - BERNAMA