Followers

Saturday, October 16, 2010

PM garis 4 perkara laksana sistem pendidikan negara

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini
menggariskan empat perkara yang perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan sistem pendidikan negara, termasuk membangunkan intelek di kalangan generasi baru yang boleh berfikir secara kreatif dan inovatif.

Perdana Menteri berkata kerajaan perlu memupuk generasi baru yang sangat tinggi
daya ingin tahu kerana ini membuka ruang buat mereka untuk mencari maklumat.

"Kalau seseorang itu punyai daya ingin tahu tinggi, dia akan rajin baca buku,
akan rajin cari sumber maklumat. Dia akan merupakan seorang individu yang akan
sentiasa mahu meningkatkan pengetahuan sepanjang hayatnya," katanya pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Stadium Putra,
Bukit Jalil di sini, hari ini.

Perhimpunan itu, yang dihadiri kira-kira 14,000 guru dari seluruh negara, turut
dihadiri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin
Yassin.

Najib berkata sistem pendidikan negara yang melibatkan perkara termasuk cara
mengajar di bilik darjah, menyediakan kertas soalan dan buku teks sepatutnya
menjurus kepada pembangunan intelek dan menjana minda yang sangat kreatif dan
inovatif. - Bernama

Kerajaan tak beri bonus bagi elak perbelanjaan melebihi pendapatan: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan memberikan bantuan kewangan khas dan bukan bonus sebulan kepada kakitangan awam kerana tidak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan.

Perdana Menteri berkata, sekiranya kerajaan memberikan bonus sebulan ia menyebabkan implikasi perbelanjaan kerajaan sehingga RM3.1 bilion.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, pagi ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Konvensyen bukti UMNO Terengganu sepakat: Hishammuddin

KUALA TERENGGANU: Konvensyen Terengganu 2010 yang diadakan hari ini memberi gambaran jelas bahawa UMNO Terengganu yang sebelum ini menghadapi masalah dalaman, kini semakin pulih, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, berkata konvensyen yang bertujuan membincangkan hala tuju dan masa depan parti membuktikan kesepakatan di kalangan pemimpin UMNO negeri itu semakin utuh.
"Tidak dinafikan berlaku perselisihan, salah faham dan masalah dalam parti sebelum ini, namun ia tidak kritikal seperti yang digembar-gemburkan.
"Ia berlaku di mana-mana. Setidak-tidaknya kita tidak bertumbuk atau membaling kerusi, macam yang kita lihat dalam mesyuarat cabang PKR (Parti Keadilan Rakyat)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen itu di sini hari ini.

Yang hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan semua lapan Ketua Bahagian UMNO negeri beserta kira-kira 1,200 peserta yang terdiri daripada pemimpin sayap-sayap parti dan jemputan khas.

Mengulas mengenai masalah dalaman yang melanda UMNO Terengganu sebelum ini, Hishammuddin berkata keadaan kini sudah banyak berbeza berbanding setahun yang lalu ketika masalah memuncak.

"Dalam UMNO, pendokongnya akan tetap bersatu terutama dalam menentukan hala tuju parti atau dalam perkara yang berkaitan dengan masa depan parti.
"Dalam sejarah UMNO sebelum ini pun pernah kita melalui detik-detik cemas yang lebih kritikal dan selalunya kita keluar dalam ujian dalam keadaan parti lebih kuat dan matang," katanya.

Beliau juga berkata konvensyen khas yang julung kali diadakan itu turut bertujuan memantapkan hala tuju serta meningkatkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) dan UMNO khususnya.

"Ia akan dijadikan asas persiapan awal UMNO Terengganu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putera, Kuala Lumpur Khamis ini," katanya.

Hishammuddin yang dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Usul pada Perhimpunan Agung UMNO nanti berkata sebanyak tiga usul akan dibawa dan dibahaskan iaitu yang melibatkan usul ucapan dasar presiden, usul ekonomi serta usul agama dan pendidikan.

"Usul-usul ini antara lain menentukan hala tuju, harapan pucuk pimpinan dan harapan orang ramai terhadap Umno sendiri dan disesuaikan mengikut keadaan semasa dan selari dengan transformasi yang dibawa Presiden," katanya. - BERNAMA

Bajet 2011: Harga saham terus stabil

KUALA LUMPUR: Harga saham dijangka terus berada di tahap stabil dengan kecenderungan meningkat minggu depan manakala indeks petunjuk pasaran FMB KLCI dijangka menguji semula paras psikologi 1,500, kata peniaga.

Mereka berkata minat belian dijangka terus tertumpu pada saham pembinaan, minyak dan gas, hartanah serta kewangan di tengah-tengah langkah positif yang diumumkan di bawah Bajet 2011, semalam.
"Pelabur juga dijangka terus menyambar saham berkaitan perladangan berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) tinggi," kata seorang peniaga.
Antara tumpuan utama di bawah Bajet 2011 ialah projek Transit Aliran Massa (MRT) dengan pelaburan swasta RM40 bilion, peruntukan RM146 juta untuk menyokong industri minyak, gas dan tenaga, satu lagi pembangunan bangunan pencakar langit yang menelan kos RM5 bilion serta langkah-langkah menggiatkan semula pasaran modal menerusi liberalisasi keperluan pegangan ekuiti dan had pelaburan.

Bagaimanapun, seorang peniaga berkata keseluruhan kenaikan itu mungkin terhad disebabkan berapa aktiviti pengambilan untung di tengah-tengah keadaan tidak menentu dalam pasaran global.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) melepasi paras psikologi 1,500 pada Khamis, disokong oleh belian berterusan dalam sektor perladangan berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) tinggi.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 8.45 mata kepada 1,489.86 daripada 1,481.41 pada Jumaat minggu lalu.
Indeks FMB Emas meningkat 95.37 mata kepada 10,043.32, FBM70 melonjak 216.20 mata kepada 10,139.55 dan Indeks FBM Ace menokok 302.59 mata kepada 4,322.77.

Indeks Kewangan turun 83.59 mata kepada 13,414.04 tetapi Indeks Perusahaan naik 45.77 mata kepada 2,876.94 dan Indeks Perladangan meningkat 445.57 mata kepada 7,366.28.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 5.76 bilion saham bernilai RM9.33 bilion berbanding 5.23 bilion saham bernilai RM8.05 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik kepada 4.64 bilion saham bernilai RM9.07 bilion daripada 4.22 bilion unit bernilai RM7.83 bilion sebelumnya.

Jumlah daganagn di Pasaran ACE juga meningkat kepada 491.90 juta saham bernilai RM126.62 juta daripada 384.84 juta saham bernilai RM87.97 juta pada Jumaat sebelumnya.

Jumlah dagangan waran menokok 593.66 juta unit bernilai RM112.24 juta berbanding 592.1 juta bernilai RM115.48 juta sebelumnya. - BERNAMA

BMW panggil balik 21,000 kereta di China

BEIJING: Pengeluar kereta gergasi dari Jerman, BMW mula memanggil balik lebih 21,000 unit kenderaan sedan mewahnya dari China selepas mengesan berlaku kerosakan pada sistem brek, lapor media China, semalam.

Ia membabitkan kira-kira 390 unit kereta mewah Rolls-Royce Phantom dan 30 unit Land Rover Discovery, lapor agensi berita Xinhua, memetik kenyataan Agensi Pentadbiran Am Pemantauan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (GAQSIQ).
Pada 1 Oktober lalu, BMW mengumumkan untuk memanggil balik 350,800 unit kereta BMW dan Rolls-Royce di seluruh dunia selepas mengakui terdapat masalah brek tetapi menegaskan ia tidak 'berbahaya'.
BMW dilaporkan menjual lebih 120,000 unit kenderaannya di China sejak Januari lalu. - AFP

BMW panggil balik 21,000 kereta di China

BEIJING: Pengeluar kereta gergasi dari Jerman, BMW mula memanggil balik lebih 21,000 unit kenderaan sedan mewahnya dari China selepas mengesan berlaku kerosakan pada sistem brek, lapor media China, semalam.
Ia membabitkan kira-kira 390 unit kereta mewah Rolls-Royce Phantom dan 30 unit Land Rover Discovery, lapor agensi berita Xinhua, memetik kenyataan Agensi Pentadbiran Am Pemantauan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (GAQSIQ).
Pada 1 Oktober lalu, BMW mengumumkan untuk memanggil balik 350,800 unit kereta BMW dan Rolls-Royce di seluruh dunia selepas mengakui terdapat masalah brek tetapi menegaskan ia tidak 'berbahaya'.
BMW dilaporkan menjual lebih 120,000 unit kenderaannya di China sejak Januari lalu. - AFP

Gaji minimum sektor swasta dilaksana Jun-Julai 2011

SUNGAI PETANI: Gaji minimum sektor swasta akan dilaksanakan
seawal-awalnya pada Jun atau Julai tahun depan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S.Subramaniam.
Beliau berkata, bagaimanapun tahap minimum gaji berkenaan hanya akan
diputuskan semasa pembentangan cadangan di kabinet pada Mac tahun depan.

"Sebelum itu kita akan tubuhkan Majlis Penetapan Gaji Kebangsaan dan sebelum
majlis itu ditubuh satu akta akan digubal dan dibentang dalam sesi parlimen
akan datang.
"Setelah majlis itu dibentuk, ia akan diberi tanggungjawab untuk tentukan
cara mana nak tetapkan gaji minimum itu," katanya kepada pemberita selepas
menghadiri Majlis Konvokesyen ke-3 Universiti AIMST, di sini hari ini.

Subramaniam berkata, penetapan gaji berkenaan akan berdasarkan kepada sama
ada di peringkat kebangsaan, wilayah atau sektor.

Katanya, kemungkinan semua kaedah itu akan digunakan tetapi ia mesti sesuai
dengan keadaan dalam negara selaras dengan pembangunan ekonomi, kebolehan untuk
wujudkan peluang pekerjaan dan tidak menjejas keupayaan negara untuk menarik
pelabur asing. -- BERNAMA

Pelajar ditemui mati dalam ladang sawit

IPOH: Seorang pelajar perempuan ditemui mati dipercayai
dibunuh di ladang kelapa sawit Rubana di Teluk Intan di sini hari ini. Mayat Dirya Barathi A/P Murali, 16, ditemui tanpa pakaian di dalam parit
kira-kira 7.30 pagi oleh orang awam.

Polis kemudiannya menjumpai pakaian seragam sekolah mangsa tidak jauh dari
situ.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata polis mendapati
mayat mangsa dalam keadaan terlentang.
Mayat telah dihantar ke Hospital Teluk Intan.

Beliau berkata motif kejadian masih belum diketahui dan tidak menolak
kemungkinan mangsa telah dirogol.

Mangsa dikatakan keluar rumah di waktu pagi untuk ke Sekolah Menengah Horley
Methodist, sejauh 8 km dari rumahnya dan tidak pulang sehingga lewat petang.

Kehilangan mangsa telah dilaporkan oleh bapanya K. Murali, 43, yang bekerja
sebagi ketua pengawal estet pada 9 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir
Perak, kata Goh.

Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan polis meminta orang ramai yang
mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah
Hilir Perak di talian 05-6212222.-- BERNAMA