Followers

Sunday, April 18, 2010

Jelapang padi baru di Sabah, Sarawak pada 2011

CAMERON HIGHLANDS: Jelapang padi baru akan dibuka di Kota Belud, Sabah dan Lingga Banting, Sarawak pada tahun depan bagi memastikan bekalan makanan dalam negara terus terjamin, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata projek kementerian itu akan menyaksikan jelapang seluas
8,000 hektar dilaksanakan di Kota Belud manakala seluas 5,000 hektar lagi di Lingga Banting.
Menurutnya projek itu penting untuk menampung keperluan terutamanya di
kedua-dua negeri itu yang kini mendapat kira-kira 70 peratus beras import.

"Pembukaan jelapang padi ini dijangka dapat mengurangkan import beras ke
negeri berkenaan," katanya pada sidang berita selepas merasmikan Mesyuarat Perhubungan Pertanian Negeri Sabah dan Sarawak di sini, hari ini.

Seramai 100 anggota delegasi dari Jabatan Pertanian Sabah dan Sarawak menghadiri mesyuarat itu.

Rohani berkata selaras dengan pembukaan jelapang padi baru itu, sebuah badan kerajaan akan ditubuhkan untuk menjalankan dan mentadbir pengurusan projek itu.

Walaupun perkembangan pertanian di Sabah dan Sarawak berjalan lancar,
pengeluaran padi di kedua-dua negeri itu amat diperlukan berikutan krisis
makanan yang berlaku pada tahun 2008, katanya yang turut mengadakan lawatan
kerja di sekitar Cameron Highlands selepas mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Menteri Muda Pemodenan Pertanian (Pertubuhan Peladang dan
Koperasi) Sarawak, Datuk Peter Nyarok Entrie berkata beliau tidak mahu negeri itu melalui krisis kekurangan beras seperti yang berlaku pada 2008 dan berharap
projek itu akan menjadi permulaan bagi Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan padi
secara besar-besaran.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai kos pembukaan kedua-dua jelapang padi tersebut tetapi mengakui bahawa jumlahnya adalah besar. - Bernama

Gempa 6.3 magnitud gegar Papua

PELABUHAN MORESBY: Gempa kuat berukuran 6.3 magnitud melanda perairan Papua New Guinea awal hari ini tetapi setakat ini tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Agensi Penyelidikan Gelogikal Amerika Syarikat (USGS) melapirkan gempa berlaku jam 9.15 pagi waktu tempatan (2315 GMT), di pusat gegaran yang terletak di 28 kilometer (km) di timur bandar Lae, New Guinea dan di kedalaman 66km.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang amaran ancaman tsunami berikutan gempa berkenaan. - AFP

39 kes baru H1N1 dikesan

PUTRAJAYA: Sejumlah 39 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan sehingga 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes itu setakat ini sebanyak 13,127 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican bagaimanapun berkata tiada kematian baru dilaporkan, serta tiada kemasukan baru ke Unit Rawatan Rapi menjadikan kes yang dirawat di unit itu kekal 12 orang.
"Jumlah kes Penyakit Serupa Influenza (ILI) yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 534 kes. Daripada jumlah itu, 70 kes atau 13.1 peratus disahkan positif A (H1N1)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr Mohd Ismail berkata sehingga jam 8 pagi ini, kementerian menerima enam laporan kejadian kluster ILI daripada empat negeri iaitu Johor, Pahang, Perak dan Perlis.

Beliau berkata ia termasuk Tadika Sri Merdeka, Taman Merdeka, Batu Pahat, Johor, Klinik Kem Pusat Latihan Khidmat Negara Indera Pahlawan, Jengka 6 Maran, Pahang dan Kuarters Imigresen, Padang Besar, Perlis.

Dr Mohd Ismail berkata orang awam perlu sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan sepertimana yang telah dihebahkan sebelum ini dan golongan berisiko tinggi termasuk ibu hamil dan penghidap penyakit kronik seperti asma, diabetes, buah pinggang dan jantung harus segera mendapatkan pelalian vaksin A (H1N1) di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara.

Beliau berkata hasil pemantauan pemberian vaksinasi itu mendapati ia adalah selamat tanpa sebarang kesan sampingan yang serius.
Maklumat lanjut berkenaan Influenza A (H1N1) boleh didapati dengan melayari laman sesawang kementerian di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300, katanya. - Bernama

Gerbang baru hubungan Malaysia-Amerika

WASHINGTON: Walaupun pada mulanya pertemuan antara mereka minggu lalu dilorongkan oleh isu berkaitan ancaman keganasan nuklear, tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Barack Obama turut memanfatkan peluang itu untuk meningkatkan keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika.

Di luar kerangka Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear hasil inisiatif Obama, yang ingin memastikan bahan nuklear tidak jatuh ke tangan kumpulan pengganas,kedua-dua pemimpin itu telah mengadakan perbincangan dua hala untuk julung kalinya sebelum ia disusuli pula oleh perbincangan yang melibatkan pegawai pentadbiran dan sektor swasta kedua-dua pihak.
Setelah menyandang jawatan masing-masing selang 10 minggu antara satu sama lain, Najib dan Obama berusaha untuk memperbaiki dan meletakkan kembali hubungan Malaysia-Amerika pada kedudukan lebih memberangsangkan daripada keadaan sebelum ini, yang ada kalanya tidak begitu menggembirakan, di bawah pentadbiran lama.
Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang mengiringi Najib di sini menceritakan tentang bahasa tubuh kedua-dua pemimpin berkenaan ketika
mereka mengadakan pertemuan dan tentang perbincangan secara berterus terang
antara mereka berhubung pelbagai isu antarabangsa, termasuk Model Ekonomi Baru
(MEB) yang diumumkan baru-baru ini.

Najib berkata beliau yakin Obama akan lebih mengambil kira kedudukan
Malaysia dalam pentadbirannya dan menjangka hubungan antara kedua-dua negara pada masa akan datang akan memasuki fasa lebih menarik dan produktif.

"Sesungguhnya, lawatan ini telah membuka lembaran baru dalam kerjasama
antara Amerika dan Malaysia dan kami akan bekerjasama dalam bidang yang memberi
manfaat kepada kedua-dua negara," kata Najib kepada wartawan Malaysia.

Mesyuarat dua hala antara Najib dan Obama mengagumkan banyak pihak
memandangkan beliau adalah antara segelintir pemimpin yang mendapat kesempatan
untuk bertemu secara peribadi dengan Obama daripada 46 orang yang dijemput
menghadiri sidang kemuncak dua hari itu dan beliau adalah satu-satunya
pemimpin dari enam negara Asia Tenggara yang mendapat peluang tersebut.

Najib menyifatkan perjumpaan beliau dengan Obama sebagai petanda jelas
tentang wujudnya sikap baru Washington terhadap Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaludin Jarjis, yang menyandang jawatan itu sejak Julai tahun lalu, teringat kembali kata-kata Obama dalam ucapannya di Universiti Kaherah, Mesir bulan lalu bahawa beliau ingin membuka lembaran baru dalam hubungan antara Amerika dan umat Islam di seluruh dunia.

Huluran tangan persahabatan yang dibuat Obama ketika wujudnya ketegangan
antara negara kuasa besar dunia itu dan dunia Islam serta selepas berlakunya
serangan pengganas 9/11, adalah satu penyimpangan ketara daripada pendirian
atau kata dua Amerika sebelum ini iaitu "sama ada anda bersama kami atau
menentang kami" yang menjadi pegangan presiden George W Bush dalam
perjuangannya untuk menentang pengganas.

"Bukan menjadi kelaziman bagi Amerika untuk memilih mengadakan perbincangan dengan negara lain di dunia. Tapi kini, di bawah Presiden Obama, saya percaya Amerika telah memulihkan kedudukannya daripada segi moral sebagai pemimpin dunia," kata Najib kepada hadirin dalam satu majlis anjuran Asia Society di New York.

Penerimaan baik Washington terhadap Najib juga dapat dilihat melalui
penyertaan beliau pada jamuan tengah hari yang diadakan oleh Naib Presiden, Joe
Biden bagi kumpulan terpilih daripada para pemimpin yang menghadiri sidang
kemuncak itu di kediamannya dan kunjungan Najib ke Capitol Hill untuk menikmati
jamuan tengah hari bersama Howard Berman, pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar
Amerika dan mesyuarat yang beliau adakan dengan beberapa senator.

Pada sidang kemuncak berkenaan, Najib menyuarakan sokongan Malaysia terhadap usaha untuk mewujudkan dunia yang bebas daripada senjata nuklear dan
mencadangkan penubuhan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang
keselamatan nuklear bagi mendapatkan komitmen negara yang menganggotai dan tidak
menganggotai Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).

Semasa lawatan seminggu itu juga, Perdana Menteri menyatakan bahawa Malaysia akan membantu usaha membangunkan semula Afghanistan yang dilanda peperangan dan menegaskan bahawa Malaysia tidak akan membabitkan diri dalam sebarang pertempuran, kecuali untuk membangunkan semula masyarakat, kemudahan perubatan dan keupayaan rakyat Afghanistan.

Setiausaha Perbendaharaan, Tim Geithner dan Wakil Perdagangan Amerika, Ron Kirk pula mengunjungi Najib di hotel penginapan beliau bagi mengadakan
perbincangan tentang program Perkongsian Trans Pasifik yang dicadangkan
Washington dan untuk mendengar penjelasan tentang MEB.

Perdana Menteri juga mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin korporat terkemuka Amerika yang membayangkan hasrat mereka untuk meningkatkan jumlah pelaburan di Malaysia serta perubahan perspektif mereka terhadap Malaysia kerana tertarik dengan matlamat utama MEB iaitu untuk membuat perubahan radikal terhadap persekitaran perniagaan Malaysia ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. - Bernama

Jenazah Achik selamat dikebumikan

sebelum  -  selepas
<strong>IBU Allahyarham Achik, Badriah Awalludin (tiga dari kanan) dan isterinya HM Rose Zaitul Surianai (kanan) tidak dapat mengawal kesedihan semasa pengkebumian jenazah Allahyarham di Makam Tuan Haji Said, Seremban, hari ini. - Foto Owee Ah Chun</strong>
SANAK saudara serta sahabat handai hadir pada pengkebumian jenazah Abdillah Murad Md Shaari atau lebih di kenali sebagai Achik Spin di Makam Tuan Haji Said di Seremban, hari ini. Achik Spin, 27, terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan di KM14.7 Lebuh Raya Kajang-Seremban 6.16 petang, semalam. - Foto Owee Ah ChunSEREMBAN: Jenazah vokalis kumpulan Spin, Achik yang meninggal dunia setelah terbabit dalam kemalangan semalam selamat dikebumikan di Makam Tuan Haji Said di sini, kira-kira 1 petang ini.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Achik, 27, dituntut oleh ahli keluarga di bilik mayat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini setelah selesai bedah siasat.
Jenazah kemudian dimandi dan dikafankan di hospital itu dan dibawa dengan van jenazah ke rumah mertuanya di Taman Desa Ros, Ampangan di sini kira-kira pukul 11.30 pagi bagi membolehkan kaum keluarga dan kenalan terdekat memberi penghormatan terakhir.
Jenazah disembahyangkan di surau Taman Bukti, berhampiran Taman Desa Ros dan dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 12.00 tengah hari.

Suasana sedih dan sepi menyelubungi rumah mertua Allahyarham yang dihadiri lebih 100 orang termasuk saudara mara dan penduduk kawasan berkenaan.

Antara artis yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Hattan, Siti
Nordiana atau Nana, Tomok dan Lan Kristal.
Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari yang popular dengan lagu 'Janji Kita' terbunuh apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama sepupunya, Salihin Md Salleh, 29, terbabas lalu terbakar di KM 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat sini kira-kira jam 6.15 petang
semalam.

Isteri Allahyarham, HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, 29, berkata
setengah jam sebelum kemalangan itu berlaku, suaminya ada menelefon meminta
beliau dan anak supaya bersiap tapi tidak pula dinyatakan hendak ke mana.

"Bagaimanpun tak berapa lama kemudian saya dapat panggilan telefon yang
menyatakan suami saya telah meninggal dunia dalam satu kemalangan. Berita sedih
yang sungguh mengejutkan saya," katanya.

Katanya minggu lepas beliau sekeluarga pindah di sebelah rumah emaknya
setelah seminggu sebelum itu Allahyarham beriya-iya mengemas rumah itu termasuk
mengecatnya.

"Katanya ini akan memudahkan ibu mertuanya untuk 'melihat' isteri dan
anaknya Sofia, 3 tahun dan Safia, 10 bulan," katanya.

Emak Allahyarham Badariah Awaluddin, 54, berkata kali terakhir beliau
berjumpa Allahyarham dua minggu lalu di rumah salah seorang adiknya.

"Allahyarham nampak pendiam dan tidak seperti biasa. Allahyarham adalah anak kelima daripada sepuluh orang adik beradik. Suami saya (ayah Allahyarham) telah meninggal dua tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Siti Nordiana yang merupakan rakan rapat Allahyarham sejak kecil berkata beliau berasa amat sedih kerana dia adalah orang terakhir berjumpa Allahyarham di Angkasapuri, semalam.

Katanya Allahyarham memang tidak ada apa-apa perubahan, cuma Allahyarham lebih banyak hendak berbual dengannya, tidak macam biasa.

"Semasa di Angkasapuri dia tumpang naik kereta Nana pada jam 5.30 petang
semalam sebab keretanya jauh sedikit.....tahu-tahu jam 6 petang dia sudah
meninggal dunia. Nana sangat sedih dan terkejut. Tambah sedih lagi semalam Nana
lihat anaknya panggil ayah," katanya.

Hattan berkata ia satu kehilangan kerana Allahyarham masih muda lagi dan
aktif.

"Saya rasa sedih dan ia juga kehilangan besar buat Negeri Sembilan kerana tidak ramai penyanyi kelahiran Negeri Sembilan. Saya ucapkan takziah dan harap keluarga Allahyarham bersabar menerima dugaan ini," katanya.

Tomok, 26, pula berkata ketiadaan Allahyarham satu kehilangan besar dalam industri muzik.

"Saya amat terkejut dan sedih apabila mendapat berita itu semalam dan tidak sangka Allahyarham pergi dulu. Saya sudah lama tidak berjumpa Allahyarham iaitu sejak lebih setahun," katanya yang seangkatan dengan Allahyarham.

Lan Kristal, 25, pula berkata walaupun tidak rapat tapi terasa kehilangan Allahyarham.

"Saya dapat tahu berita kemalangan dan kematian Achik dari Siti Nordiana
melalui khidmat pesanan ringkas," katanya. - Bernama

10 laporan kes ILI diterima sehingga 8 pagi

PUTRAJAYA: Sehingga 8 pagi ini, Kementerian Kesihatan telah menerima 10 laporan kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) yang berlaku di Pahang, Melaka, Selangor dan Johor.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan di sini berkata kes yang dilaporkan itu melibatkan antaranya dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) iaitu MRSM Alor Gajah di Melaka dan MRSM Kuala Kubu Bahru, Selangor.


Laporan kluster ILI turut dilaporkan di Sekolah Kebangsaan Leban Chindong, Rompin, Pahang; Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh, Johor; Kem Program Latihan Khidmat Negara Warisan di Melaka dan makmal Taska 1 Play di Damansara Perdana, Selangor.

"Daripada sepuluh laporan itu lima masih menunggu keputusan dan yang selebihnya sampel positif H1N1," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata sehingga 5.30 petang semalam jumlah kes terkumpul kes ILI yang masih dirawat di hospital di seluruh negara adalah sebanyak 525 kes.

"Daripada jumlah itu 70 kes disahkan positif Influenza H1N1, 12 kes dirawat di unit rawatan rapi dan sepuluh kes mempunyai faktor risiko. Tiada kematian dilaporkan sehingga 8 pagi ini," katanya. - Bernama