Followers

Friday, April 30, 2010

LPKP Sabah tawar permit kepada 'teksi sapu'

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah akan menawarkan permit perkhidmatan pengangkutan awam kepada pengusaha "teksi sapu" di negeri itu dalam usaha menangani masalah berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata tawaran sebagai langkah jangka pendek itu bagaimanapun hanya untuk pengusaha di kawasan luar bandar.

"Isu ini (teksi sapu) ini telah banyak kali dibangkitkan, dan diadu oleh orang awam. Selain menjejaskan imej pengangkutan awam ianya juga menimbulkan masalah lain seperti apabila berlaku kemalangan menyusahkan penumpang kerana tidak memiliki insurans.
"Tapi pada masa yang sama kita sedar mengapa kereta sapu ini wujud di sesetengah kawasan iaitu kerana ketiadaan kemudahan pengangkutan awam yang sempurna," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Liew yang bertanggungjawab terhadap LPKP Sabah sebelum itu mempengerusikan mesyuarat bagi menangani isu "teksi sapu" di negeri itu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, dan wakil daripada agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, Liew berkata permit itu untuk semua pengusaha "teksi sapu" sedia ada kecuali mereka yang menggunakan kereta Perodua Kancil kerana kenderaan itu tidak mematuhi keperluan undang-undang perkhidmatan pengangkutan awam.
"LPKP akan melonggarkan beberapa syarat bagi memudahkan mereka memohon kecuali berkaitan kenderaan yang diguna iaitu mesti mematuhi garis panduan.

"Walaupun langkah ini dijangka dilaksana sebulan lagi namun mereka sudah boleh mula memohon sekarang," katanya.

Liew berkata, LPKP dan Jabatan Pengangkutan Jalan akan mengadakan majlis penerangan di setiap daerah bagi menggalakkan pengusaha "teksi sapu" itu memohon permit berkenaan.

Ketika ini dianggarkan kira-kira 2,500 "teksi sapu" beroperasi di beberapa daerah di Sabah.

Lahad Datu mencatatkan jumlah terbanyak iaitu antara 500 dan 700 kenderaan. - Bernama

Kerajaan perlu halang 'penghijrahan' doktor muda ke luar negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menghalang graduan perubatan baru, terutama penerima biasiswa, daripada bekerja di luar negara dan 'melepaskan diri' daripada melaksanakan khidmat wajib doktor pelatih atau pegawai perubatan selama tiga tahun di Malaysia, kata pakar perubatan Prof Datuk Dr Lokman Saim.

Dr Lokman, yang juga Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata jumlah graduan perubatan berhasrat bekerja di Singapura tahun ini semakin ramai dan ia berlaku sejak lima tahun lepas apabila Majlis Perubatan Singapura mengiktiraf ijazah perubatan UKM dan Universiti Malaya.

"Kerajaan patut hanya membenarkan doktor-doktor yang dilatih di fakulti perubatan kerajaan, bekerja di luar negara setelah berkhidmat tiga tahun yang diwajibkan di Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya seramai 20 daripada 209 graduan perubatan UKM yang lulus pada 26 Mac lalu telah menerima tawaran sebagai doktor pelatih di Singapura dan ramai lagi graduan Fakulti Perubatan UM sedang mencari rezeki di republik itu.

Dijangkakan seramai 80 graduan akan meninggalkan negara ini untuk bekerja di hospital-hospital Singapura, kata Dr Lokman.

Beliau berkata para doktor muda itu sepatutnya membalas jasa di atas peluang yang diberikan kepada mereka untuk dilatih menjadi doktor berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan bukannya menjadikan "UKM dan UM seolah-olah tempat latihan untuk Kementerian Kesihatan Singapura".

"Adalah perlu bagi kerajaan menyekat doktor-doktor baru dilatih daripada lari melaksanakan kewajiban terhadap negara," kata Dr Lokman.
Doktor pelatih di Singapura ditawarkan gaji bulanan S$2,690 (RM6,187) manakala di Malaysia, mereka menerima RM3,665 dengan purata elaun "on-call" antara RM500 hingga RM1,000 sebulan.

"Nampaknya mereka walaupun dilatih untuk menjadi seorang doktor yang berhati mulia dengan berkhidmat kepada pesakit dan masyarakat seperti yang diajar di dalam kurikulum perubatan kita, perbezaan RM1,000 hingga RM2,000 boleh menyebabkan profesional muda meninggalkan tanggungjawab mereka kepada negara untuk berkhidmat di negara jiran," kata Dr Lokman. - Bernama

251 rakyat Malaysia dalam penjara selatan Thailand


HATYAI: Seramai 251 rakyat Malaysia kini ditahan di beberapa penjara di wilayah selatan Thailand atas pelbagai kesalahan, terutama membabitkan penyalahgunaan dadah, kata Konsul Besar Malaysia di Songkla, Mohd Aini Atan. 


Mohd Aini berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail di Prince Songkla Universiti (PSU) di sini.

Pendidikan kesihatan reproduktif bukan ajar lakukan seks: LPPKN

KUALA LUMPUR: Masyarakat diminta membetulkan salah tanggapan terhadap Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) kononnya ia mengajar golongan remaja tentang cara melakukan seks.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata salah tanggapan itu menyebabkan ada pihak yang melahirkan kebimbangan terhadap PKRS kononnya pendidikan itu akan menggalakkan seks bebas dalam kalangan remaja.

"PKRS lebih menyeluruh iaitu merangkumi pengetahuan dari aspek biologikal, sosiobudaya, kematangan emosi, kematangan mental dan kerohanian berbanding dengan pendidikan seks yang hanya tertumpu pada aspek biologi sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat Pelan Tindakan PKRS LPPKN di sini hari ini.
Aminah berkata, LPPKN telah mengambil inisatif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya PKRS dengan mengadakan Pelan Tindakan PKRS Kebangsaan.

Pelan tindakan itu yang kini di peringkat projek perintis adalah langkah susulan LPPKN selepas jemaah menteri meluluskan dasar PKRS pada November lalu.

Tahun lalu projek perintis pertama dilaksanakan di lima sekolah iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang, khusus untuk pelajar manakala tahun ini, projek perintis kedua di sekolah yang sama akan membabitkan ibu bapa dan pelajar. - Bernama

H1N1: Satu lagi mangsa meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Satu lagi laporan kematian berkaitan virus influenza A(H1N1) diterima Kementerian Kesihatan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Bagaimanapun, katanya, penyebab kematian lelaki berusia 40 tahun itu bukan jangkitan H1N1 secara langsung.

"Ini menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini 81 orang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu mempunyai faktor risiko tekanan darah tinggi dan terlibat dengan kemalangan kenderaan seminggu sebelum dimasukkan ke wad.

Dr Mohd Ismail berkata, lelaki terbabit dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 26 April lepas selepas mengalami masalah pernafasan, demam, batuk serta pertuturan yang tidak difahami dan dia meninggal dunia pada hari yang sama.

Beliau berkata, walaupun kes itu disahkan positif jangkitan virus H1N1 melalui ujian PCR, lelaki itu juga mengalami jangkitan bakteria dalam darah dan kematian adalah akibat komplikasi "septic shock with multi-organs failure".

Mengenai jumlah kes terkumpul, Dr Mohd Ismail berkata sehingga 5.30 petang semalam sejumlah 71 kes disahkan influeza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes itu kini ialah 13,673.
Sehingga 8 pagi ini, sebanyak enam laporan kejadian kluster ILI dilaporkan di empat negeri iaitu Sarawak, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara ialah 587 kes dan daripada jumlah itu 70 kes (11.9 peratus) disahkan positif influenza A (H1N1).

"Tujuh kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima daripadanya mempunyai faktor risiko," katanya.

"Majoriti kematian yang dikaitkan dengan jangkitan virus H1N1 membabitkan mereka yang mempunyai faktor risiko seperti asma, diabetes, penyakit buah pinggang, penyakit jantung, penyakit paru-paru, ibu mengandung dan kegemukan.

"Oleh itu orang ramai yang mempunyai faktor risiko dinasihat supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web kementerian di alamat http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-88810200/0300. - Bernama

Tumpahan minyak hampiri pantai AS

HOUSTON: Tumpahan besar minyak mentah dari telaga yang meletup di Teluk Mexico minggu lalu dijangka sampai ke kawasan perlindungan hidupan liar di muara Sungai Mississippi hari ini dan mengancam pantai semula jadi Louisiana dan tiga lagi negeri. 


Presiden Barack Obama berikrar "untuk menggunakan segala sumber yang ada", termasuk tentera untuk membantu syarikat minyak yang berpangkalan di London, BP Plc mengawal tumpahan minyak mentah yang kini berada kira-kira 5 kilometer dari kawasan paya Delta Mississippi Delta dan dijangka merebak ke tempat lain dengan pantas.

Tumpahan itu berlaku apabila pelantar minyak yang disewa BP meletup minggu lalu. Ia melimpahkan minyak mentah lima kali ganda daripada anggaran awal dan mengancam industri perikanan dan perlindungan hidupan liar serta pelancongan di Louisiana, Mississippi, Alabama and Florida.

Thursday, April 29, 2010

Denggi: Satu lagi kematian dilaporkan hari ini

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat denggi dilaporkan hari ini menjadikan jumlah terkumpul dalam tempoh empat bulan tahun ini sebanyak 55 kematian.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kematian itu membabitkan seorang suri rumah berusia 42 tahun di Sungai Siput, Perak.

"Jika dilihat dari tempoh itu jumlah kematian adalah tinggi, disebabkan itu usaha pencegahan perlu dipertingkatkan lagi," katanya kepada pemberita pada majlis pra-pelancaran Karnival Sihat 1Malaysia di sini hari ini.
Rosnah berkata, meskipun Kementerian Kesihatan telah mengadakan 661 program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) pada tahun ini membabitkan 16,563 sukarelawan tetapi ia masih belum mencukupi.

"Program kesedaran masih perlu dipertingkatkan lagi untuk memastikan wabak denggi tidak menjadi pembunuh utama rakyat negara ini," katanya.

Mengenai Karnival Sihat 1Malaysia, beliau berkata ia akan diadakan pada 9 Mei depan di Setiawangsa, Kuala Lumpur bermula jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang anjuran Kelab Graduan 1Malaysia.

Karnival itu bertujuan memupuk kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan dan antara aktiviti dijalankan ialah pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan, derma darah dan pendaftaran derma organ. - Bernama

Jangan bincang isu perkauman secara terbuka: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mengulangi bahawa isu perkauman tidak harus dibincangkan secara terbuka kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum.
Beliau diminta mengulas perang mulut antara Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan MCA berikutan sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) semakin berkurangan pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu.

"Seorang bercakap sesuatu, maka orang lain akan membalas. Jika anda cakap orang itu bersikap perkauman, maka mereka akan kata anda seorang bersikap perkauman," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah perdana bertema "Malaysia As A Maritime Nation - Are We There?" di Institut Maritim Malaysia di sini.
Awal minggu ini, Dr Mahathir berkata BN harus melakukan analisis mengenai sokongan kaum Cina yang berkurangan kepada gabungan itu pada pilihan raya kecil itu.

Ditanya sama ada krisis dalaman MCA yang berlarutan sebelum ini adalah antara faktor penyumbang, Dr Mahathir berkata: "Semua parti komponen BN - MCA, Gerakan, MIC dan Umno - juga mempunyai masalah masing-masing." - Bernama

H1N1: Wanita 61 tahun mangsa ke-81


PUTRAJAYA: Seorang wanita berusia 61 tahun disahkan mati kerana H1N1 di Kuala Terengganu Sabtu lalu, iaitu kes kematian ke-81, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Khidmat jalur lebar ke sekolah perlu dipertingkat: Rais

KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa perkhidmatan jalur lebar di 9,884 sekolah yang menyertai program SchoolNet perlu dipertingkatkan.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata ini kerana sasaran satu Mbps (megabits sesaat) dari segi kelajuannya di sekolah berkenaan masih belum dapat dicapai.

"Dengan lain perkataan, kelajuan khidmat jalur lebar di sekolah perlu kita tingkatkan dan peningkatan ini memerlukan beberapa prasarana baru, salah satu daripadanya ialah penggunaan sistem wimax atau wifi tanpa wayar.
"Pada masa ini ialah pancaran menerusi satelit dan ini pada keseluruhannya, didapati tidak begitu memuaskan dari segi keterangan bahan yang diterima atau integriti saluran yang diterima, kualiti salurannya yang dipakai, juga kelajuannya," katanya ketika menjawab soalan Senator Mohd Khalid Ahmad.

Bagaimanapun, Rais berkata pihaknya berharap menjelang hujung tahun ini, penambahbaikan dalam khidmat jalur lebar akan dapat dilakukan di sekolah berkenaan dalam tiga aspek iaitu penurunan kos, kualiti penerimaan dari segi integriti dan saluran bebas rintangan.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 1,089 Perpustakaan Desa di seluruh negara sedang dilengkapi dengan peralatan perkhidmatan jalur lebar yang membabitkan Telekom Malaysia selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Terdahulu, Rais berkata kementeriannya telah menggunakan pelbagai pendekatan untuk merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat di negara ini termasuk menyediakan Pusat Internet Desa, Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), Pusat Jalur Lebar Komuniti dan rangkaian SchoolNet.
"Selain itu, orang ramai turut didedahkan dengan latihan dan kemahiran ICT serta diberikan sijil selepas menamatkan sesi pembelajaran.

"Seramai 250,000 orang terdiri daripada pelajar sekolah, suri rumah dan warga emas telah dilatih di bawah projek USP sehingga kini," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Idris Buang di Dewan Negara di sini.

Idris meminta Rais menyatakan taraf penguasaan pembelajaran komputer dan IT di kalangan masyarakat Malaysia mengikut negeri dan cara untuk mengurangkan jurang digital yang ada.

Beliau berkata, pelbagai kandungan tempatan dan aplikasi turut disediakan seperti e-Government, e-learning dan e-banking untuk meningkatkan penguasaan ICT dan pengetahuan serta memberi manfaat kepada komuniti setempat melaksanakan urusan dengan kerajaan dari segi pembayaran cukai, permohonan kerja ataupun perbankan.

Katanya, kajian impak yang dijalankan beberapa institusi pengajian tinggi jelas menunjukkan bahawa terdapat kesan positif terhadap penguasaan pembelajaran ICT di kalangan masyarakat bandar dan luar bandar.

"Sebanyak 76.5 peratus responden bersetuju bahawa pelaksanaan projek berkenaan telah meningkatkan tahap kemahiran dan penguasaan ICT," katanya.

Bagaimanapun, Rais berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat atau data khusus berkaitan tahap penguasaan pembelajaran ICT bagi setiap negeri.

Kepada soalan lain, beliau berkata semua lapisan masyarakat perlu menerima hakikat bahawa ICT adalah satu elemen tamadun baru atau kaedah dan pendekatan hidup yang baru.

"Setelah diteliti dalam keadaan sejagat dan juga setempat, didapati bahawa perubahan ini sedang menular dan ia diterima baik di seluruh negara, cuma yang menimbulkan masalah kini ialah tentang pensajian atau pemberian khidmat jalur lebar, atau dalam ertikata lain, bagaimana jalur lebar itu dapat menembusi keluarga, individu, sekolah, jabatan-jabatan kerajaan dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata, ketika ini kadar penembusan jalur lebar di negara ini ialah 35.4 peratus daripada enam juta isi rumah.

"Ertinya kepada Malaysia ialah bahawa setakat ini, proses wifi dan wimax misalnya, sudahpun mencapai tahap tempat ketiga di dunia.

"Justeru, apa yang telah digariskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dalam sektor ICT kita tampaknya Malaysia adalah melangkah ke depan dengan cara yang positif sekali," katanya.

Rais berkata, dalam penyediaan infrastruktur kemudahan itu, kerajaan menghadapi masalah di beberapa negeri, antaranya lewat mendapat kebenaran daripada kerajaan tempatan dan pengenaan sewa yang tinggi.

Bagaimanapun, katanya, usaha sedang dijalankan bagi membolehkan kadar sederhana dan mampu dikenakan terhadap pengguna perkhidmatan jalur lebar di negara ini. - Bernama

Wednesday, April 28, 2010

50 kluster H1N1 dikesan di MRSM Bentong

KUANTAN: Sebanyak 50 kes kluster simptom Influenza A (H1N1) dikesan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, sehingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang, Datuk Hoh Khai Mun, berkata daripada jumlah itu, seramai 16 pelajar yang terdiri daripada 10 pelajar perempuan dan enam lelaki masih ditempatkan di bilik pengasingan di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, tiga daripada mereka telah dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, semua pelajar terbabit telah diberikan antiviral dan berada dalam keadaan stabil serta tidak kritikal dan kini dipantau pakar perubatan.

"Seramai 31 pelajar pula sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan diberikan penerangan mengenai aspek pencegahan dan kawalan yang perlu dilakukan sepanjang tempoh pengasingan di rumah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Bentong akan terus menjalankan pemantauan setiap hari ke atas pelajar dan kakitangan MRSM itu bagi mengesan sebarang kes baru jika ada. - Bernama

Malaysia mahu tingkat perdagangan dua hala dengan Finland: PM

PUTRAJAYA: Malaysia berharap dapat meningkatkan hubungan perdagangan dua hala dengan Finland kerana jumlah perdagangan antara kedua-dua negara masih agak "kecil", kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, ketika ini jumlah perdagangan Malaysia-Finland bernilai AS$600 juta.

Najib berkara lebih banyak syarikat Finland digalakkan untuk membuka operasi di Malaysia bagi meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara.
"Ya. Kami mahu menggalakkan syarikat Finland melabur di Malaysia kerana jumlah nilai pelaburan masih kecil dan kami berharap ia akan menjadi lebih besar di masa depan.

"Finland terkenal dengan inovasinya, kami berharap Malaysia boleh menjadi pusat inovasi bagi rantau ini," katanya pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Finland Matti Vanhanen.

Vanhanen tiba hari ini bagi lawatan kerja selama dua hari ke Malaysia.

Najib berkata, ketika ini lebih daripada 40 syarikat Finland beroperasi di Malaysia dan berharap bilangan itu akan meningkat di masa depan.
Beliau berkata, Finland mempunyai beberapa kepakaran khusus di mana Malaysia boleh berkongsi pengalaman seperti dalam inovasi dan telekomunikasi.

"Walaupun jumlah pelaburan agak kecil, kami berharap jumlah dan saiz pelaburan akan meningkat di masa depan.

"Sudah tentunya Nokia adalah nama yang sangat terkenal di Malaysia dan akan terus menjadi sumber penting dari segi telekomunikasi dan telefon mudah alih dalam pasaran Malaysia," katanya.

Najib juga memaklumkan kepada Vanhanen akan kepentingan tenaga boleh diperbaharui yang lestari dan Malaysia berharap dapat menggunakan tenaga biomas sebagai sumber berpotensi tenaga boleh diperbaharui. - Bernama

Malaysia, Australia tubuh jawatankuasa antikeganasan

PUTRAJAYA: Malaysia dan Australia bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Antikeganasan bagi menangani isu berkaitan keganasan di rantau ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Katanya, jawatankuasa itu akan ditubuhkan berlandaskan model dan mekanisme yang digunakan oleh Kumpulan Kerja Malaysia-Australia berkaitan isu Penyeludupan Manusia dan Pemerdagangan Orang.

"Keputusan penubuhan jawatankuasa itu juga didasari oleh beberapa aktiviti penyeludpan manusia yang turut membuka ruang kepada pengganas untuk menyelinap masuk tanpa dikesan ke sesebuah negara.
"Mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan di Kuala Lumpur dalam tempoh tiga bulan ini," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Duta Antikeganasan Australia, Bill Paterson, di pejabatnya, di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, beberapa isu tertentu telah dikenalpasti untuk perbincangan dan semua agensi keselamatan akan terbabit dalam jawatankuasa berkenaan.

Sementara itu, Paterson berkata lawatan keduanya ke Malaysia sejak November lalu mencerminkan komitmen dua hala untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani keganasan.

"Ada skop untuk membawa kerjasama ini ke tahap yang lebih terperinci antara kedua-dua agensi masing-masing. Ia adalah cabaran untuk kami melihat jangkaan sesuatu masalah daripada bertindak selepas itu," katanya.
Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata Malaysia dan Arab Saudi akan memeterai satu persefahaman berkaitan isu keselamatan berikutan kunjungan rakan sejawatnya, Nayef Abdul Aziz, yang juga Timbalan Perdana Menteri Kedua Arab Saudi, ke Malaysia tidak lama lagi. - Bernama

Satu medan cari gali minyak di luar perairan Kelantan keluarkan hasil: Najib

KUALA LUMPUR: Hanya sebuah medan cari gali minyak yang terletak di luar perairan Kelantan yang mengeluarkan hasil pada masa ini, Datuk Seri Najib Razak memberitahu Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, medan itu ialah medan Bumi Selatan yang terletak dalam Blok PM301 bersempadan dengan Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

“Pengeluaran dari medan Bumi Selatan ini bermula pada Mei 2008 dan hasil jualan gas daripada medan itu sehingga Disember 2009 berjumlah AS$147.70 juta," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Mumtaz Md Nawi yang meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan telaga minyak yang dicari gali di perairan Kelantan yang berada melebihi tiga batu nautika dan jumlah pendapatan daripadanya.
Najib berkata, daripada jumlah pendapatan AS$147.70 juta itu, perolehan yang diterima Petronas ialah AS$21.31 juta merangkumi royalti, keuntungan dan ses penyelidikan selepas ditolak bayaran kepada kontraktor.

Mumtaz pada sidang media di Lobi Parlimen pula mendesak kerajaan supaya menyatakan jumlah sebenar bilangan medan cari gali minyak yang terdapat di seluruh perairan negeri Kelantan.

Katanya, jawapan yang diberikan agak mengelirukan jika dibandingkan dengan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

"Ini adalah satu kekeliruan kerana melalui buku yang kita dapat yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2004 secara jelas menyatakan bahawa untuk pendapatan Sabah, Kelantan dan Terengganu menyumbang kepada 62.5 peratus hasil pengeluaran petroleum dengan pendapatan kasar AS$46 bilion.
"Persoalan kita ialah kalau yang rasmi melebihi tiga batu nautika pengeluarannya pada Mei 2008 berjumlah AS$147.7 juta, dari manakah angka AS$46 bilion yang dibuat sebagai asas kepada statistik Jabatan Perangkaan," katanya.

Beliau berkata, perkara itu perlu diperjelaskan bagi memudahkan kerajaan negeri itu membuat tuntutan sebenar royalti yang perlu dibayar oleh kerajaan persekutuan. - Bernama

SKMM terima 165 aduan terhadap laman web, tutup 81 laman lucah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima 165 aduan dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini berhubung kandungan laman web atau blog yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, berkata daripada jumlah tersebut, 90 aduan adalah bagi kandungan lucah, 72 kandungan bersifat mengancam atau jelik dan tiga aduan bagi kandungan berunsur palsu.

"Bagi kandungan bersifat lucah, tindakan siasatan dan sekatan akan dilakukan.
"Selain itu, laporan penyalahgunaan juga akan dihantar kepada moderator laman-laman web sosial seperti Facebook, blogspot dan YouTube," katanya ketika menjawab soalan Datuk Zaitun Mat di Dewan Negara hari ini, yang bertanyakan jumlah aduan yang diterima SKMM berhubung kandungan laman web atau blog mengikut AKM 1998.

Katanya, bagi kandungan bersifat mengancam dan jelik serta kandungan palsu pula, nasihat dan amaran akan dikenakan oleh SKMM kepada pemilik laman-laman berkenaan dan sekiranya cukup bukti bagi mensabitkan kesalahan, pendakwaan boleh dikenakan terhadap pihak tersebut.

Menjawab soalan tambahan Fatimah Hamat yang ingin tahu langkah kerajaan dalam menangani laman web lucah yang mudah dilayari di kafe siber, Joseph Salang berkata, SKMM setakat ini sudah menutup serta-merta 81 laman web yang didapati menerapkan unsur lucah seperti menyediakan video aksi lucah dan perkongsian cerita lucah dengan teman berbual.

"Ada antara laman web sosial yang turut mengandungi elemen lucah walaupun telah mendapat aduan tetapi tidak dapat diambil tindakan memandangkan moderator laman web tersebut mendapati ia dianggap tidak lucah disebabkan oleh faktor budaya negara masing-masing," katanya. - Bernama

Tuesday, April 27, 2010

Pindaan undang-undang buang bayi perlu dipercepat

KUALA LUMPUR: Seorang Senator hari ini meminta kerajaan mempercepatkan pindaan Kanun Keseksaan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap lelaki yang menjadi pasangan wanita yang dihukum kerana kesalahan membuang bayi.

Senator Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed berkata, cadangan mengkaji semula perkara itu telah dikemukakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pada Februari 2007.

"Undang-undang kini tidak mengenakan hukuman kepada lelaki yang bertanggungjawab...peruntukan hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan itu hanya ditanggung oleh wanita.

"Bagi tahun lalu, seramai 17,303 anak luar nikah dari keluarga Melayu dan beragama Islam didaftarkan...ini adalah satu statistik yang menggerunkan."
Senator Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed
"Oleh itu, saya mencadangkan supaya pindaan ini dibuat secepat mungkin sebab kes buang bayi semakin meningkat saban tahun," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Dewan Negara di sini. 

Beliau berkata, mengikut statistik terkini, seorang bayi dibuang setiap 10 hari di Lembah Klang sahaja.

Saripah Aminah berkata, Jabatan Pendaftaran Negara telah merekodkan seramai 257,000 anak yang lahir tanpa bapa bagi tempoh 2000 hingga 2008.

Katanya, bagi tempoh 1999 hingga 2003, seramai 30,978 bayi yang didaftarkan tidak mempunyai bapa adalah terdiri daripada mereka yang beragama Islam. 
"Bagi tahun lalu, seramai 17,303 anak luar nikah dari keluarga Melayu dan beragama Islam didaftarkan...ini adalah satu statistik yang menggerunkan," katanya.

Oleh itu, katanya sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan untuk melaksanakan undang-undang Syariah bagi membendung gejala seks bebas yang membawa kepada kejadian buang bayi yang semakin berleluasa. 

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama 

Johor henti jual air dari loji Skudai kepada Singapura tahun depan

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata Johor akan menghentikan penjualan air mentah dari sebuah loji di sini kepada Singapura apabila perjanjian mengenainya tamat tahun depan.
Katanya, perjanjian itu membabitkan penjualan air dari Loji Skudai, di Johor Bahru, yang diuruskan oleh syarikat Public Utilities Board (PUB) Singapura.

"Sekarang ini di peringkat rundingan untuk pulangkan (Loji Skudai kepada kerajaan Johor)," katanya pada sidang media sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini, hari ini.
Satu lagi perjanjian bekalan air di antara Johor dan Singapura akan hanya tamat pada 2061.

Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Dr Yaacob Ibrahim, sebagaimana dipetik oleh media republik itu berkata, Singapura tidak akan memperbaharui kontrak air dengan Malaysia apabila perjanjian itu tamat tahun depan.

Berucap di Parlimen Singapura, katanya, republik itu mempunyai bekalan air yang mencukupi. - Bernama

Kes langgar lampu isyarat naik mendadak

PUTRAJAYA: Kes kesalahan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat naik mendadak apabila 4,749 kes dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding 4,452 kes sepanjang tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee, Keat berkata adalah dipercayai lebih ramai lagi pemandu melakukan kesalahan berkenaan terutama pada tengah malam tanpa dapat dikesan.

"Namun menerusi pengenalan sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang akan dilancarkan mulai Oktober ini, kes ini dijangka dapat dikurangkan.
"AES akan melakukan penguatkuasaan sepanjang hari, jadi pemandu yang melanggar peraturan lampu isyarat pada waktu tengah malam pun tidak akan terlepas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya "Merah Makna Berhenti" anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Sun Media Corporation Sdn Bhd, di sini hari ini.

Menerusi kempen itu, sebanyak 300,000 pelekat akan diedarkan kepada orang ramai sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya agar tidak melanggar peraturan lampu isyarat.

Ong berkata indeks kematian akibat kemalangan jalan raya telah berkurangan dengan ketara melalui pelbagai usaha kesedaran dan pencegahan yang dilakukan.'

"Indeks kematian jalan raya untuk setiap 10,000 kenderaan berdaftar telah turun di seluruh negara daripada 5.70 peratus pada 2000 kepada 3.55 peratus tahun lalu," katanya.
Ong berkata, sikap sambil lewa tidak mematuhi peraturan lampu isyarat membahayakan pemandu itu sendiri dan orang lain. - Bernama

Malaysia berstatus ‘Negara Tua’ menjelang 2035

KUANTAN: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menjangkakan Malaysia akan mencapai status "negara tua" menjelang tahun 2035 apabila pecahan peratusan warga berumur 60 tahun ke atas mencecah kepada 15 peratus.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Halijah Yahaya, berkata peratusan golongan tua di negara ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Banci penduduk pada 2000 mencatatkan bilangan warga tua sebanyak 1.45 juta atau 6.2 peratus daripada jumlah penduduk dan pada 2009, jumlah golongan itu meningkat kepada 2.03 juta atau 7.1 peratus daripada jumlah penduduk," katanya ketika berucap pada seminar kebangsaan "Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan" di sini, hari ini.
Katanya, penurunan kesuburan dan peningkatan jangka hayat iaitu 71.4 bagi lelaki dan 76.2 bagi wanita adalah antara faktor utama menyumbang kepada penuaan penduduk di Malaysia.

"Kerajaan seharusnya mengambil serius berkenaan kadar penuaan yang semakin meningkat ini kerana golongan warga tua mempunyai keperluan tersendiri," katanya.

Mengulas seminar itu, Halijah berkata, ia bertujuan menyokong matlamat masyarakat sejahtera dan penyayang yang diuar-uarkan kerajaan dengan memupuk semula nilai murni demi mengeratkan hubungan kasih sayang antara generasi tua dan muda dalam institusi keluarga. - Bernama

Pendidikan seks diserap dalam subjek lain: Mohd Puad

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran pendidikan seks tidak akan diajar di sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, ini kerana subjek yang lebih dikenali sebagai pendidikan kesihatan reproduktif telah dimasukkan dalam mata pelajaran pendidikan kesihatan dan subjek lain seperti biologi, sains, sains tambahan, pendidikan moral dan pendidikan Islam.

Justeru, katanya, kementerian dalam memantapkan pengajaran guru dalam subjek pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial telah membuat persedian untuk melatih guru di sekolah menengah dan rendah menjadi Jurulatih Utama (JU) di peringkat kebangsaan dan mereka ini akan melatih guru di peringkat negeri.
"Kursus JU berhasrat untuk memberi pendedahan tentang pelaksanaan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dan mencari pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang sesuai untuk diterjemahkan ke dalam P&P di dalam kelas seperti yang hasratkan dalam kurikulum," katanya ketika menjawab soalan Senator Doris Sophia Brodi di Dewan Negara hari ini.

Doris Sophia ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan subjek pendidikan seks di dalam kurikulum sekolah dan kajian yang telah dijalankan berkenaan subjek tersebut dan bila ia akan dilaksanakan.

Dr Mohd Puad berkata, peranan ibu bapa serta penerimaan masyarakat juga adalah penting bagi membantu guru dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan kurikulum pendidikan kesihatan reproduktif ini kepada para pelajar.

"Sikap keterbukaan ibu bapa dalam membincangkan hal-hal berkaitan seksualiti dengan anak-anak mereka sendiri dan sokongan pihak-pihak lain kepada guru secara tidak langsung dapat membantu keberkesanan kurikulum ini di sekolah.
"Ini sekaligus dapat mengurangkan sensitiviti yang mengiringi isu seksualiti supaya ia diterima sebagai hakikat proses semulajadi yang perlu dilihat dalam perspektif tepat dan sihat," katanya. - Bernama

Letusan gunung berapi Guatemala ledak debu luar biasa

BANDARAYA GUATEMALA: Gunung Berapi Santiaguito yang meletus hari ini meledakkan debu dan pasir dalam keadaan luar biasa sehingga menjangkau ke barat Guatemala.

Menurut Institut Seismologi Kebangsaan, angin kencang membawa debu berkenaan ke arah utara dari gunung berapi setinggi 2,500 meter yang terletak di Wilayah Quetzaltenango, 206 kilometers dari barat ibu negara. Debu berkenaan meliputi enam wilayah di negara berkenaan, mencetuskan kebimbangan ia boleh menjejaskan pertanian.

Kerajaan juga terpaksa menutup sekolah di tiga wilayah bagi memastikan kesihatan murid terjamin.

Letusan paling buruuk gunung berapi Santiaguito pada 1929 yang menyebabkan lebih 2,500 orang terkorban. - AFP

Malaysia pada kedudukan 24 dari segi kecanggihan, inovasi perniagaan

SIBU: Malaysia ditempatkan pada kedudukan ke-24 daripada 133 negara bagi kecanggihan dan inovasi perniagaan oleh Forum Ekonomi Dunia di dalam Laporan Daya Saing Global 2009-2010.

Bagaimana pun, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan, berkata kedudukan itu boleh dinaikkan lagi apabila inovasi dijadikan satu budaya di kalangan sektor awam dan swasta.

"Sungguh pun begitu, ini masih lagi kedudukan yang tinggi kerana kita mengatasi New Zealand (kedudukan ke-27), China (ke-29) dan Itali (ke-34)," katanya ketika merasmikan seminar sehari mengenai transformasi, inovasi dan perkongsian anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini, hari ini.
Katanya, setiap orang di dalam masyarakat perlu terbabit untuk membantu negara membangunkan satu ekonomi yang diterajui inovasi.

Oleh kerana itu, kreativiti di dalam masyarakat perlu dipupuk kerana ia adalah asas bagi inovasi.

"Kita perlu belajar untuk berfikir di luar kotak, yang sepatutnya menjadi budaya dan amalan harian kita," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Laporan Produktiviti MPC mendedahkan bahawa suku ke-empat 2009 mendedahkan bahawa produktiviti negara ini telah meningkat 2.2 peratus berikutan pertumbuhan 3.2 peratus sektor pengeluaran dan 2.5 peratus sektor perkhidmatan.
"Saya percaya ini boleh ditambah baik jika elemen transformasi dan inovasi terus diberi perhatian.

“MPC terbabit di dalam program perancangan dan pelaksanaan yang berkait rapat dengan inovasi," katanya.

Bagi 2009, Jacob berkata, kira-kira 61,657 perusahaan kecil dan sederhana di seluruh negara sudah mengambil bahagian di dalam program sedemikian.

Sehingga Mac tahun ini, katanya, 112 lagi sudah mengambil bahagian di dalam persidangan, seminar, bengkel, latihan dan penyelidikan yang berkaitan dan di dalam pembangunan sistem berasaskan inovasi dan produktiviti. - Bernama

Labuan IBFC berkedudukan baik mempromosikan diri sendiri sebagai gerbang ke rantau Asean

KUALA LUMPUR: Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) berada pada kedudukan baik untuk mempromosikan diri sendiri sebagai gerbang bagi rantau Asean.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata pengawal atur luar pesisir, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), terus melaksanakan usaha pemantauan aktiviti anti-penggubahan wang haram/memerangi pembiayaan keganasan sejajar dengan agenda negara mengukuhkan regim AML/CFT.

Di dalam laporan tahunan Labuan FSA, Zeti, yang juga pengerusinya, berkata komitmen itu ditunjukkan di dalam usaha yang sedang dilaksanakan untuk memastikan kedudukan Labuan IBFC sebagai berada pada kedudukan berisiko rendah bagi melakukan penggubahan wang.
"Usaha konkrit sudah dilakukan, yang termasuk pemantauan tetap untuk memastikan urus niaga sebagai tulen dan bahawa kempen kesedaran anti-penggubahan wang sudah dilaksanakan untuk menggalakkan lebih pemahaman di kalangan institusi mengenai langkah AML/CFT," katanya.

Sebagai pihak berkuasa yang bertanggung jawab bagi kawalan atur, pemantauan dan pembangunan industri perniagaan dan kewangan itu, Labuan FSA, katanya akan memastikan bahawa reputasi kukuh Labuan IBFC dikawal atur dan IBFC yang kukuh dipulihara.

"Ini akan dicapai melalui beberapa inisiatif yang termasuk memastikan penerimaan pakai secara berkesan standard antarabangsa dan meningkatkan pendedahan dan standard ketelusan sejajar amalan baik antarabangsa," katanya.

Satu mercu tanda utama pada 2009 adalah perubahan perundangan berkaitan industri perniagaan dan kewangan di Labuan IBFC.
Di bawah undang-undang baharu, syarikat sel, yayasan, syarikat amanah persendirian, perkongsian liabiliti berhad dan amanah khas yang dilindungi boleh distruktur semula di luar Labuan IBFC.

Bilangan syarikat yang didaftarkan di Labuan telah meningkat lebih daripada 8.0 peratus pada 2009 kebanyakannya dari Asia Pasifik dan Timur Jauh.

Sektor perbankan antarabangsa kekal baik dan stabil dan mencatatkan peningkatan keuntungan 16.6 peratus.

Aktiviti pajakan mengekalkan lajakan pertumbuhan kukuhnya sebagai sektor yang menunjukkan prestasi terbaik dengan aset yang dipajak meningkat 23.9 peratus kepada AS$21.9 bilion.

Dengan kadar pertumbuhan lebih 8.0 peratus di dalam premium insurans, sektor insurans melepasi paras AS$1 bilion bagi tahun kedua berturut-turut di tengah-tengah pasaran insurans global yang lemah. - Bernama

Monday, April 26, 2010

Peruntukan khas untuk projek pembangunan Sabah-Sarawak

PUTRAJAYA: Kerajaan Pusat bersetuju menyediakan peruntukan khas untuk melaksanakan semua projek pembangunan untuk manfaat rakyat

di Sabah dan Sarawak. Persetujuan itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
semasa mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet mengenai
Bumiputera Sabah dan Sarawak di sini hari ini.

Bagaimanapun jumlah peruntukan akan ditentukan kemudian, menurut seorang
pegawai di Pejabat Perdana Menteri.

Katanya antara lain, mesyuarat itu membincangkan pelaksanaan program pembangunan masyarakat Bumiputera di kedua-dua negeri berkenaan.

Jawatankuasa tersebut pada dasarnya berperanan untuk menyelaras, memantau
dan menilai dasar serta strategi pelaksanaan pembangunan Bumiputera di Sabah dan
Sarawak secara holistik. - Bernama

Pindaan akta keganasan rumah tangga di peringkat akhir: Shahrizat

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kini berada pada peringkat akhir, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, hari ini.

Beliau berkata pindaan itu, yang memantapkan serta menambahbaik akta berkenaan, dilihat mampu membasmi isu keganasan terhadap wanita kebelakangan ini dan melindungi mereka daripada unsur-unsur diskriminasi termasuk keganasan rumah tangga di negara ini.

"Antara cadangan pindaan dipertimbangkan adalah perluasan takrifan keganasan rumah tangga dengan mengambil kira aspek kecederaan emosi dan penderaan mental atau psikologi, mempermudahkan proses permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO) dengan menetapkan IPO boleh dibuat di daerah lain dari tempat kejadian dan memperuntukkan tiga kali percubaan untuk menyampaikan salinan IPO oleh polis kepada pesalah.
"Kementerian sentiasa sensitif dan mengambil kira keperluan semasa berkaitan isu ini melalui cadangan pindaan akta yang kini berada di peringkat akhir penyediaan," katanya ketika menjawab soalan Senator SJ Usha Nandini di Dewan Negara hari ini.

Usha Nandini ingin mengetahui adakah undang-undang sedia ada memadai untuk memberi perlindungan kepada wanita.

Seharizat berkata kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita mengadakan program literasi undang-undang dan kefahaman tentang hak-hak wanita bagi memperkasakan golongan ini mengenai bentuk-bentuk perlindungan dan pembelaan untuk menjamin hak serta kehormatan mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat ini kementerian tidak menerima sebarang laporan mengenai penderaan dan diskriminasi terhadap tahanan wanita sama ada di pusat serenti atau pusat tahanan pendatang tanpa izin di seluruh negara.
"Bagaimanapun jika ada perkara sedemikian berlaku saya minta pihak yang mengetahuinya sila tampil ke hadapan dan buat laporan agar tindakan dapat diambil," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Usha Nandini yang ingin tahu sama ada terdapat tahanan wanita di pusat-pusat tahanan di negara ini didera atau diperkosa.

Menjawab soalan Senator Datuk Akbar Ali yang bertanyakan sama ada terdapat penganiayaan terhadap petugas wanita dalam agensi keselamatan negara, Shahrizat berkata setakat ini belum berlaku lagi kejadian sedemikian tetapi ia sentiasa diawasi oleh kementerian. - Bernama

63-year-old man is latest H1N1 casualty

KUALA LUMPUR: A 63 year-old man has become the country’s latest influenza A (H1N1) casualty, Director-General of Health Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican said.

The man who suffered chronic obstructive airway disease (COAD) was admitted to Tuanku Jaafar Hospital, Seremban on April 22 and died the next day.

Dr Ismail said although the man was confirmed positive H1N1, the specialist said that it was due to blood infection.

“As such, H1N1 deaths nationwide remain at 80 people,” he said in a statement here yesterday.

Up to 5.30pm yesterday, 39 H1N1 cases were reported bringing the total to 13,436 cases.

Three influenza like illness (ILI) cluster cases were reported in Pahang, Melaka and Kedah up to 8am today bringing the cases to 545.

Dr Ismail said of the 545 cases, 60 (11 percent) were positiveH1N1. Ten patients were in the Intensive care Unit (ICU) of which nine had risk factors.

“The majority of deaths related to H1N1 virus infections involved those with asthma, diabetes, kidney ailment, pregnant women and morbid obesity.”

He urged those in the categories mentioned to receive H1N1vaccination at 104 health facilities nationwide.

Public can get more information on H1N1 on the ministry website http://h1n1.moh.gov.my or by calling the hotline 03-88810200/300.




Gempa kuat 6.9 magnitud landa Kepulauan Batan, Filipina


MANILA: Gempa kuat berukuran 6.9 magnitud melanda utara Kepulauan Batan di Filipina, demikian menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), sebentar tadi.


Gempa berlaku jam 10.59 pagi waktu tempatan atau 9.59 pagi waktu Malaysia yang terletak Basco di kepulauan itu atau di 245 km di selatan Ishigaki di Kepulauan Ryukyu, Jepun, atau 270 km di timur T'ai-tung, Taiwan atau 2,145 km di barat daya Tokyo. - Reuters

Sunday, April 25, 2010

Kuala Lumpur catat 52 kematian akibat denggi dalam 4 bulan

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur mencatat 52 kes kematian akibat demam denggi dari Januari sehingga kini, kata Pengarah Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dr Sallehuddin Abu Bakar.

Beliau berkata, jumlah kes demam denggi yang dilapor tahun ini adalah tinggi berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 1,639 kes dilapor dalam tempoh Januari hingga April berbanding 1,400 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Dr Sallehuddin berkata, antara lokasi yang dikesan menjadi kawasan nyamuk aedes aktif membiak di sekitar Kuala Lumpur ialah Cheras, Setapak, Kepong, Gombak dan Klang Lama. "Kita minta kerjasama msyarakat suppaya memastikan kawasan dalam rumah dan persekitaran rumah bebas Aedes," katanya selepas menutup program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di Flat Kelumpuk Penguin, Keramat Wangsa di sini, hari ini.

Seramai 39 peserta program Combi di kawasan perumahan itu berperanan membantu penduduk memastikan kawasan perumahan mereka bebas daripada denggi di samping memberi informasi mengenai bahaya aedes kepada penduduk setempat. - Bernama

Saturday, April 24, 2010

Tanggapan kerajaan tidak bantu sekolah Cina salah: PM

HULU SELANGOR: Datuk Seri Najib Razak berkata tanggapan segelintir masyarakat Cina bahawa kerajaan mengabaikan mereka terutamanya dalam aspek pendidikan adalah tidak benar.

Perdana Menteri berkata, pada 2008 sahaja kerajaan telah memperuntukkan sebanyak
RM145 juta khusus untuk pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). "Kerajaan dah buat banyak perkara untuk sekolah Cina. Buktinya, kita telah peruntukkan sebanyak RM145 juta menerusi dua pakej ransangan ekonomi pada
2008," katanya ketika berucap di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC)
Rasa di sini sempena tinjauan mesra kempen pilihan raya kecil bagi kerusi
Parlimen Hulu Selangor hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Pada majlis itu Najib yang juga Menteri Kewangan meluluskan peruntukan
sebanyak RM3 juta untuk pembinaan bangunan baru SRJK (C) Rasa yang telah berusia
lebih 80 tahun.

Najib berkata, peruntukan itu diberikan selepas beliau mendengar taklimat
daripada Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah yang memerlukan peruntukan pembinaan
sekolah itu.

"Setelah mendengar penerangan panjang lebar dari pihak sekolah, saya dengan
ini mengesahkan kerajaan bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM3 juta kepada
sekolah ini," katanya.

Beliau berkata, pemberian itu adalah dengan syarat iaitu kerajaan negeri
Selangor tidak mengambil alih tapak asal sekolah ini sebaliknya ia perlu
dikekalkan di bawah pentadbiran lembaga pengurus sekolah untuk tujuan
kemasyarakatan.

"Kalau esok Barisan Nasional (BN) menang, saya sebagai Menteri Kewangan akan
mengeluarkan surat peruntukan dan RM3 juta itu akan dimasukkan ke dalam akaun
Lembaga Pengurus Sekolah dan wang itu boleh diambil keesokan harinya (Isnin),"
katanya.

SRJK (C) Rasa mempunyai 330 pelajar, terletak di tengah-tengah pekan Rasa di
tapak seluas 1 hektar.

Terdahulu, Najib yang diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein, Dr Chua dan Kong tiba di pekan kecil itu pada jam 12.20
tengah hari dengan disambut kira-kira 2,000 orang.

Beliau kemudiannya melawat ke setiap kedai sambil berbual dan berinteraksi
dengan penduduk bagi mendalami isi hati dan kehendak mereka.

Perdana Menteri juga dilihat meluangkan masa selama kira-kira 10 minit untuk
menikmati secawan teh dan roti bakar di Restoran Keng Lim.

Rombongan itu kemudiannya bergerak ke Kampung Melayu Rasa, kira-kira 300
meter dari situ di mana Najib menunaikan solat zuhur secara berjemaah
bersama-sama penduduk di Surau At-Taufiqiah Kampung Melayu Rasa.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000
untuk menaik taraf surau itu serta menyerahkan sebuah van jenazah sumbangan Bank
Rakyat Malaysia kepada masjid Al-Qholodah, Kampung Melayu Rasa.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), melakukan lawatan sehari
ke kawasan Parlimen ini bagi menyokong calon BN, P Kamalanathan, dalam pilihan
raya kecil itu esok, dengan melawat beberapa kampung baru dan tradisional di
Rasa, Kalumpang dan Hulu Bernam. - Bernama

Gempa kuat landa Halmahera, Indonesia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter melanda Halmahera, Indonesia pada 3.41 petang tadi.

Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini menyebut pusat gempa itu terletak di 1.9 darjah selatan dan 128.2 darjah timur, kira-kira 206km utara Ambon, dan 1,314km tenggara Tawau, Sabah.
Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia. - Bernama

H1N1: Satu lagi korban terbaru

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian disebabkan jangkitan influenza A (H1N1) dilaporkan Kementerian Kesihatan hari ini, membabitkan
seorang lelaki berusia 55 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan,Tan Sri Mohd Ismail Merican, berkata lelaki itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 18 April lalu setelah mengalami masalah pernafasan dan disahkan meninggal dunia pada Rabu lalu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat bahawa penularan jangkitan
influenza H1N1 masih aktif di dalam komuniti dan masyarakat perlu sentiasa
mengamalkan langkah-langkah pencegahan.

Sementara bagi kes kluster penyakit serupa influenza (ILI), sehingga 8 pagi ini sebanyak tujuh kes dilaporkan iaitu tiga kes di Selangor, Johor (dua kes),
Terengganu (1 kes) dan Melaka (1 kes), katanya dalam satu kenyataan. - Bernama

Friday, April 23, 2010

Gangguan khidmat internet dijangka esok

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini memaklumkan bahawa gangguan perkhidmatan internet dijangka berlaku berikutan kerja-kerja kabel di Asia Tenggara-Asia Barat-Eropah Barat (SMW4).

Anggota konsortium TM telah mengesan masalah kabel di rangkaian kabel dasar laut SMW4 antara Alexandria di Mesir dan Palermo di Itali menghubungkan Malaysia ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
"Konsortium berkenaan akan menjalankan kerja-kerja pembaikan di tapak pada Sabtu, 24 April, 2010 dan dijangka siap pada Ahad, 2 Mei, 2010," demikian menurut TM dalam satu kenyataan. Semasa proses berkenaan, akan terdapat gangguan kepada trafik ke Eropah dan AS yang dibawa melalui kabel berkenaan.

"TM mengambil langkah aktif untuk meminimumkan gangguan, kami telah menambah rangkaian tambahan bagi laluan lain serta menyelaras dengan pembawa antarabangsa yang lain bagi menyediakan lebar jalur tambahan untuk pelanggan kami," jelas syarikat itu.

Menurut TM, meskipun inisiatif ini, pelanggan yang menggunakan perkhidmatan Internet di seluruh negara mungkin mengalami beberapa gangguan seperti perayauan yang perlahan semasa mengakses laman web antarabangsa.

"Pelanggan yang menggunakan Rangkaian Persendirian Maya (VPN) dan aplikasi perniagaan kritikal lain yang bersambung ke Eropah dan AS akan mengalami gangguan perkhidmatan yang minimum, jika berlaku," menurut TM.
Menurut TM, ia akan menyediakan maklumat terkini yang sewajarnya mengenai perkembangan kerja-kerja pemulihan.

Pelanggan boleh menghubungi TM di talian 100 dan memilih "Bantuan Teknikal" atau e-mel di help@tm.com.my untuk masalah berkaitan Internet. - Bernama

Jangan jadikan masjid gelanggang politik: Sultan Selangor


KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini mengulangi titah baginda supaya masjid dan surau di Selangor tidak dijadikan gelanggang untuk berpolitik dan tempat untuk mengadakan demonstrasi negatif.

Baginda bertitah masjid dan surau adalah tempat untuk umat Islam dan orang Melayu bersatu padu, bermuafakat serta mengeratkan silaturrahim sesama umat, dan bukannya tempat untuk berpolitik.

"Beta tidak berkenan masjid dan surau dijadikan gelanggang untuk berpolitik dan mengadakan demonstrasi yang negatif baik di perkarangan mahupun di dalam masjid," titah baginda pada majlis perasmian Masjid Taman Cheras Jaya di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sultan Sharafuddin bertitah, masjid adalah tempat paling sesuai untuk umat Islam menginsafi diri dan mensucikan hati supaya dapat menghilangkan perasaan hasad dengki dan juga mengetepikan perasaan membenci antara satu sama lain.

"Di dalam masjidlah tempat yang sepatutnya diberi penerangan tentang pentingnya hubungan baik dan muhibbah di antara masyarakat tanpa mengira kaum, fahaman politik dan latar belakang agama," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan setiap pegawai dan anggota jawatankuasa masjid supaya merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa agama negeri sebelum menjemput penceramah agama bagi memastikan mereka memiliki tauliah.

"Hanya mereka yang mempunyai tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sahaja yang dibenarkan untuk berceramah, berkuliah, berkhutbah dan mengajar di masjid dan surau," titah baginda.

Masjid Taman Cheras Jaya dibina pada 12 Disember 2004 di atas sebidang tanah berkeluasan 2.62 ekar dengan kos bernilai RM5.3 juta bagi menggantikan Madrasah Manbaeil Uloom yang dibina pada 1987.

Masjid yang siap sepenuhnya pada 24 Ogos 2006 itu mampu menampung 2,500 jemaah pada satu masa bagi memberi kemudahan kepada penduduk di sekitar Taman Cheras Jaya dan kawasan perindustrian berhampiran. - Bernama

Seorang lagi korban H1N1 meninggal dunia Isnin lalu

PUTRAJAYA: Satu kes kematian disebabkan jangkitan Influenza A (H1N1) dicatatkan hari ini sementara dua lagi kematian bukan disebabkan jangkitan H1N1 secara langsung.
Kes kematian itu melibatkan lelaki berumur 53 tahun yang mempunyai pelbagai faktor risiko seperti penyakit diabetes mellitus yang tidak terkawal, hipertensi, kegagalan ginjal dan angin ahmar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata mangsa meninggal dunia pada 19 April lepas di Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu dan penyebab kematian adalah disebabkan "Severe Bronchopneumonia, H1N1 positive with Acute Respiratory Distress Syndrome". "Ini menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat H1N1 setakat ini adalah 79 orang," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengenai kes kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) pula, beliau berkata sehingga pukul 8 pagi tadi sejumlah 12 kes dilaporkan di Johor, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak dan Selangor.

Di Johor, kes membabitkan Kilang Keenway Industri Sdn Bhd, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu Kluang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Idris Bendahara, SK Bandar Jalan Mesjid, Batu Pahat dan Sekolah Jenis Kebangsaan China Johor Bharu.

Kes di Selangor membabitkan sebuah keluarga di Kampung Dato Dagang, Klang dan di Simpang 3, Kampung Sungai Udang manakala di Perak membabitkan SK Batang Padang.
Bagi kes di Kuala Lumpur pula ialah di SMK Puteri Wilayah, SMK Dato Undang Musa Al-Haj di Jelebu Negeri Sembilan, SK Sri Bemban di Jasin, Melaka serta sebuah keluarga di Kampung Sinar Baru, Kuching Sarawak.

Jumlah kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 603 kes dan daripada jumlah itu 82 kes disahkan positif influenza H1N1, 12 kes dirawat di unit rawatan rapi dan sembilan daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko. - Bernama

IPTA, IPTS diseragam

Pelajar mesti miliki kredit lima subjek menjelang 2015

KOTA BHARU: Syarat wajib kelulusan untuk kemasukan pelajar baru ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta negara ini akan diseragamkan pada sekurang-kurangnya kredit dalam lima subjek, menjelang 2015.
Ketika ini, peraturan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menetapkan pelajar hanya perlu mempunyai kredit dalam tiga mata pelajaran untuk memasuki IPTS dan lima kredit untuk memasuki IPTA. Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata penyeragaman syarat baru itu perlu dibuat bagi memastikan kualiti pengajian tinggi negara ini berada pada landasan terbaik dan mengelakkan ‘double standard’ dalam pengambilan pelajar IPTA dan IPTS, sedangkan pelajar mengambil jurusan sama.

“Adalah tidak bagus (mereka yang menuntut di IPTS) ini dilihat sebagai pelajar kelas bawahan, sedangkan mereka mengambil jurusan peringkat diploma ataupun ijazah,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas rungutan yang disalurkan kepada Berita Harian berikutan dakwaan Kementerian Pengajian Tinggi mahu melaksanakan syarat baru kemasukan pelajar, Jun ini, dengan menetapkan hanya pemohon memiliki kelayakan lima kredit dalam mata pelajaran dipertimbangkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pilihan masing-masing.

Syarat baru itu menimbulkan kebimbangan di kalangan pengendali IPTS terhadap kesukaran mendapat pelajar baru. Ibu bapa juga bimbang anak mereka sukar melanjutkan pengajian pada peringkat tinggi sekurang-kurangnya diploma, selepas gagal mendapat tempat di IPTA.
Menjelas lanjut, Radin Umar berkata, pihaknya menyedari syarat berkenaan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Berikutan itu, katanya, IPTS akan diberi panduan serta ruang bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan dasar baru itu kelak

Thursday, April 22, 2010

150,000 pengawal keselamatan nikmati kenaikan gaji

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Julai, kira-kira 150,000 pengawal keselamatan dalam industri kawalan keselamatan akan menikmati kenaikan gaji antara 67 dan 75 peratus.

Mengumumkan perkara itu hari ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam, berkata dengan kenaikan gaji itu, gaji bersih pekerja dalam sektor kawalan keselamatan akan berada dalam lingkungan antara RM1,100 dan RM1,450 sebulan.
Gaji minimum pekerja sektor kawalan keselamatan masa ini adalah dalam lingkungan antara RM300 dan RM400 sebulan. Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Subramaniam berkata keputusan menaikkan gaji itu dilakukan mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947.

"Kami akan menaikkan gaji berasaskan kepada pelbagai zon geografi dan butiran mengenainya akan diumumkan kemudian," katanya.

Menteri Sumber Manusia itu berkata, proses sama akan dilakukan bagi para pekerja dalam industri tekstil, elektronik dan hospitaliti.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata kementerian sedang menyemak semula perundangan buruh bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi selaras dengan Model Ekonomi Baru, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada akhir Mac lalu.
"Dalam proses kajian semula itu, kementerian akan menggunakan pendekatan perbincangan terbuka dan telus seperti mengadakan taklimat dan perbincangan dengan wakil-wakil majikan seperti Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan wakil pekerja iaitu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) dan Cuepacs," katanya.

Subramaniam berkata, perbincangan ini bertujuan menjelaskan konsep kajian dan perkara yang dipertimbangkan untuk tujuan pembaharuan.

"Kami berharap untuk menerima maklum balas daripada pelbagai sektor terhadap cadangan-cadangan perubahan dan menerusi maklum balas berkenaan, kita gubal keputusan akhir," katanya. - Bernama

Sistem pendidikan perlu sentiasa diperbaharui: Dr Mahathir

SERI ISKANDAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sistem pendidikan perlu diperbaharui dengan memasukkan elemen-elemen karakter bersama kebijaksanaan.

Katanya pembaharuan berkenaan perlu dilakukan oleh mana-mana negara sekali pun kerana masih banyak perkara yang perlu dan telah tidak dimasukkan dalam sistem pendidikan yang sedia ada.
"Masih terdapat ruang-ruang yang tidak digunakan dengan efektif...ini bagi mengelakkan lahirnya pelajar-pelajar yang mempunyai karakter tidak baik. "Pelajar yang mempunyai ilmu pengetahuan tetapi dengan karakter yang tidak baik membahayakan masyarakat...dia tidak boleh dianggap aset kepada kita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk "Beyond Vision 2020" di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan perlu mengkaji semula sistem pendidikan negara bagi mengelak perkara itu berlaku.

Katanya, sukatan mata pelajaran turut memainkan peranan kerana ia perlu disesuaikan dengan masa dan keperluan pelajar.

"Setiap mata pelajaran itu perlu dikaji mengikut keperluan pelajar dan apakah yang ingin diketengahkan kepada mereka.
"Ia hendaklah memberikan ilmu pengetahuan bagi memastikan mereka bersedia menghadapi dunia luar selepas meninggalkan bangku sekolah," katanya.

Lebih 2,000 termasuk mahasiswa, pelajar sekolah dan jemputan menghadiri syarahan berkenaan. - Bernama

Thailand jamin hubungan dagang dengan Malaysia lancar

JOHOR BAHRU: Kerajaan Thailand memberi jaminan hubungan dagangan negara itu dengan Malaysia tidak terjejas biarpun ketegangan yang dicetuskan penunjuk perasaan 'Baju Merah' masih berlarutan.
Menteri Kewangannya, Korn Chatikavanij, berkata sebaliknya hubungan dagangan berkenaan masih di tahap terbaik dengan kedua-dua negara berjiran itu mencatat dagangan tinggi dalam beberapa tahun sebelum ini.
Malah beliau berkata, pelabur Malaysia yang melabur di Thailand itu adalah terjamin dan tidak perlu bimbang dengan keadaan semasa di sana. "Sektor pelaburan Thailand tidak terjejas, begitu juga dengan pertukaran wang asing yang kekal kukuh dan tiada perpindahan modal ke luar adalah bukti keadaan di negara kami masih terkawal.

"Soal dagangan Thailand-Malaysia berjalan dengan baik dengan pelbagai aktiviti perdagangan yang terjalin sekian lama di antara kedua-dua negara," katanya pada sidang media selepas bersama-sama Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Wira Chor Chee Heung merasmikan pembukaan cawangan terbaru Bangkok Bank di Taman Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd Ali Hassan dan Pengerusi Bangkok Bank Limited, Chatri Sophonpanich.

Sebelum ini, Bangkok Bank sudah membuka cawangannya di Muar.
Korn berkata, kerajaan negaranya yakin untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi meredakan ketegangan dan berpegang kepada sistem demokrasi yang diamalkan.

"Kami terharu dengan keyakinan yang disebut oleh Timbalan Menteri Kewangan dan berharap keadaan dapat dipulihkan segera," katanya.

Gempa sederhana 5.9 magnitud landa Tonga, Samoa

WELLINGTON: Gempa sederhana 5.9 magnitud melanda perairan Tonga di Pasifik Selatan, awal hari ini tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa berlaku jam 6.20 pagi waktu tempatan (1720 GMT) di 105 kilometer (km) di utara Hihifo di Kepulauan Tonga dan 215km di barat daya Apia, ibu negara Samoa.
Pusat Amaran Tsunami di Hawaii berkata, tiada amaran tsunami dikeluarkan berikutan gempa itu. Samoa mengalami kemusnahan teruk pada 29 September apabila gempa berukuran 8.0 magnitud melanda selatan perairan negara itu.

Seramai 150 penduduk terbunuh di Samoa manakala 32 lagi disahkan maut di negara jirannya di America Samoa.

Sembilan lagi maut di utara Tonga di Kepulauan Niuatoputapu. - AFP

Timbalan Ketua AMK Klang, 300 ahli PKR sertai MIC

KLANG: Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Klang, M Palanibalakumar, bersama 300 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang itu mengumumkan keluar parti dan menyertai MIC malam ini.

Wednesday, April 21, 2010

Kerajaan tarik balik Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini menarik balik Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu bagi menggugurkan tiga daripada 51 fasal yang dicadangkan pindaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata tindakan itu dibuat selepas menerima maklum balas daripada Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) yang tidak bersetuju dengan beberapa pindaan berkenaan.
Tiga fasal yang akan digugurkan ialah Fasal 8 yang melarang mana-mana pihak kecuali Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membuat, mengeluar, mengedar, menjual atau memasang plat nombor pendaftaran; Fasal 22 bagi menaikkan had umur kelayakan memohon lesen memandu daripada 16 ke 17 tahun dan Fasal 46 yang menaikkan kadar kompaun maksimum daripada RM300 kepada RM1,000. Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Mohamed Nazri berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan semula untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual Jun ini.

"Selepas berunding dengan pihak dewan dan mendapat pengesahan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan Ketua Whip (Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka kita buat keputusan untuk menarik balik pindaan ini dan akan dibawa balik dalam persidangan akan datang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memohon agar kerajaan menimbang semula dan memperhalusi pindaan akta berkenaan bagi menepati aspirasi rakyat.

"Kita telah mengadakan perbincangan selama dua hari dengan JPJ, Kementerian Pengangkutan dan agensi lain dan kita dapati rang undang-undang yang dibentang Isnin lalu tidak begitu mesra rakyat," katanya.
Bung Mokhtar berkata pihaknya akan terus berbincang dengan JPJ dan agensi berkaitan untuk memperhalusi pindaan ke atas akta berkenaan supaya tidak dilihat sebagai membebankan rakyat.

BNBBC turut mencadangkan agar JPJ mengadakan rundingan dengan orang awam untuk mendengar pendapat dan cadangan rakyat sebelum dibentangkan semula di Parlimen.

Wakil pembangkang, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) hari ini turut menggesa kerajaan meneliti semula pindaan akta berkenaan dan berunding dengan semua pihak termasuk orang awam, pihak berkuasa dan pakar-pakar perundangan.

Bung Mokhtar dan Guan Eng turut bersetuju bahawa sebuah Jawatankuasa Pemilihan yang terdiri daripada pelbagai anggota diwujudkan bagi membincangkan perkara berkenaan. - Bernama

Selain gula, kurangkan juga pengambilan garam: Liow

HULU SELANGOR: Selain daripada mengurangkan pengambilan gula, orang ramai disarankan supaya mengurangkan pengambilan garam ataupun natrium dan sodium dalam makanan mereka, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata saranan pengurangan garam tidak melebihi satu sudu atau lima gram dibuat berikutan hasil kajian di Hong Kong yang mendapati beberapa produk makanan dalam tin seperti daging lunceon dan sardin mempunyai kandungan natrium atau sodium yang tinggi.

Kajian di Hong Kong itu yang dilaporkan agensi berita antarabangsa pada 15 April lalu, mendapati kandungan natrium dalam makanan melebihi saranan pengambilan harian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). "Daging lunceon dan sardin dalam tin merupakan makanan yang terproses dan makanan sebegini mengandungi garam, air dan bahan pengawet seperti natrium nitrat, kalium nitrat, natrium nitrit atau kalium nitrit.

"Natrium boleh digunakan sebagai ramuan makanan atau bahan pengawet," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kempen kurangkan gula di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kerling, di sini hari ini.

Beliau berkata di Malaysia, pelabelan bagi nitrat tidak diwajibkan memandangkan fokus pelabelan pemakanan hanya bagi empat nutrien utama -- tenaga, protein, karbohidrat dan lemak, dengan pemantauan ke atas kandungan natrium hanya dibuat bagi makanan terproses.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, standard bagi garam (natrium klorida) ditetapkan di bawah peraturan 283, di mana garam perlu mengandungi tidak kurang daripada 95 peratusan natrium klorida.
Bagaimanapun, beberapa standard makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mempunyai peruntukan membenarkan penambahan garam, dengan peruntukan khusus bagi paras garam atau natrium yang perlu tambah seperti untuk belacan, cincalok, sos ikan, ikan kering dan pekasam (jeruk).

Liow berkata peratuan Diet Makanan 2010 menyarankan pengambilan garam tidak melebihi satu sudu atau lima gram garam, bersamaan 2000 miligram natrium sehari, dan ini selaras dengan saranan WHO (2007).

"Berdasarkan kajian pengambilan makanan di kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, pengambilan natrium di kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 2,575 mg sehari.

"Ini menunjukkan rakyat Malaysia mengambil natrium melebihi jumlah yang disarankan. Kajian yang sama juga mendapati pengambilan garam yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah," katanya.

Berdasarkan Panduan Diet Malaysia 2010 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, terdapat beberapa contoh makanan yang tinggi kandungan natrium melebihi paras 480 mg natrium seperti -- kacang panggang (tin), sayur/sayur jeruk (tin), sup tomato (tin), ayam goreng (makanan segera), kari ayam (tin), kiub ayam, rendang daging (tin), kari daging (tin) dan sardin (tin).

Selain itu kicap pekat dan kicap cair, kondimen seperti sos tomato/cili/tiram, cincalok dan belacan juga melebihi paras 480 mg natrium.

Sehubungan itu, Liow menyeru orang ramai mengurangkan penggunaan garam dan sos dalam makanan selain kurangkan pengambilan makanan dalam tin, dijeruk atau makanan digaramkan seperti telur masin.

"Utamakan makanan segar seperti daging segar berbanding daging ditinkan. Rendam dahulu makanan yang bergaram (seperti ikan masin/ikan bilis) sebelum dimasak untuk membuang garamnya.

"Sekiranya membeli makanan terproses, baca panel maklumat pemakanan pada label makanan untuk mengetahui kandungan garam dan pilihlah produk yang mengandungi kurang kandungan natrium," katanya. - Bernama

Tuesday, April 20, 2010

Gempa 5.2 magnitud landa barat Australia

PERTH: Gempa terbesar dalam tempoh 50 tahun melanda barat Australia di Wilayah Goldfields, awal hari ini menyebabkan banyak kerosakan pada bangunan.

Gempa 5.2 magnitud berlaku di kedalaman 10 kilometer (km), berlaku di bandar perlombongan Kalgoorlie-Boulder kira-kira jam 8.17 pagi, menurut Agensi Geosains Australia.
“Kesan gempa berlaku teritama di kawasan Boulder, memusnahkan lima hingga enam hotel lama di Burt Street, termasuk Roc Hotel dan Golden Eagle,” kata kenyataan itu. - AFP

Monday, April 19, 2010

Kami sudah jangka Halili akan keluar parti: PKR

HULU SELANGOR: "Kami telah jangkakan beliau keluar parti, sebab itu kami tidak memilihnya sebagai calon".
Ia adalah reaksi spontan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.
"Kami telah menjalankan kaji selidik mengenai latar belakang dan kami dapati beliau bukan seorang calon yang baik. Kenapa bukan calon yang baik? ..saya tidak bercadang mendedahkannya. Sebab itu kenapa kami tidak memilihnya," kata ketua penerangan PKR, Latheefa Koya.
Latheefa berkata, mereka sudah mendengar khabar angin bahawa pakar bedah itu mahu keluar daripada parti itu apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim diumumkan sebagai calon parti bagi pilihan raya kecil ini Selasa lalu.

"Kami tidak terkejut. Jadi kami telah membuat keputusan yang tepat untuk tidak memilih beliau," katanya di Kuala Kubu Baru di sini hari ini.

Dr Halili, anak jati Hulu Yam di sini dan pernah menjadi doktor peribadi kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tetapi sebaliknya kepimpinan parti itu memilih Zaid.

Keputusan Dr Halili itu adalah perkembangan terbaru dalam rentetan tindakan pemimpin bahagian dan wakil rakyat PKR untuk keluar parti itu tahun ini.
Bagaimanapun, Latheefa berkata, tindakan keluar parti itu tidak memberi sebarang kesan kepada PKR dalam menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor. - Bernama

Komandan kem PLKN beri 'Tuan Muda' melawat diberhentikan

KUALA LUMPUR: Khidmat komandan Kem Cahaya Gemilang di Cherating, Pahang, diberhentikan berikutan kesilapannya membenarkan remaja lelaki berusia 18 tahun yang menyamar sebagai anak angkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melawat ke kem berkenaan. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan disiplin tersebut adalah wajar kerana perkara seperti itu yang terang-terang memalukan, tidak sepatutnya berlaku.
Justeru soal menuding jari kepada Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, tidak seharusnya timbul kerana kejadian itu bukan kesilapan beliau.
"Ini bukan satu kesilapan oleh dia (Abdul Hadi) kerana ia datang daripada komandan kem tersebut, maka ketua pengarah ketika itu berpendapat lawatan itu telah mendapat restu. 

"Apabila kita mendapat tahu bahawa berlaku penyamaran di situ, maka kita mengambil tindakan disiplin terhadap komandan tersebut atas kesilapan yang telah dilakukannya," katanya pada sidang media di Pameran dan Persidangan Pertahanan Perkhidmatan Asia 2010 (DSA 2010) di sini hari ini. 

Ahmad Zahid berkata, pihaknya kini akan lebih berhati-hati untuk "membuka pintu" dengan menilai dan menyiasat secara menyeluruh terlebih dahulu setiap permohonan oleh pihak luar untuk membuat lawatan ke kem-kem PLKN. 

Katanya, masyarakat tidak sepatutnya meragui tahap keselamatan di kem-kem PLKN dan memberi jaminan tahap keselamatan di semua kem berada di tahap paling tinggi. 
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pertahanan meletakkan syarat ketat kepada remaja berkenaan untuk menjalani latihan di kem PLKN. 

"Kita menawarkan untuk memberikan remaja itu kaunseling oleh pasukan perubatan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlebih duhulu bagi mengetahui aspek-aspek psikologi terhadap peribadi beliau. 

"Apabila ia telah selesai, barulah kita akan menentukan sama ada mahu menawarkan tempat untuk beliau mengikuti kursus di kem PLKN," katanya. 

Remaja terbabit yang juga pelajar pintar dikatakan antara lain memperdayakan seorang Exco kerajaan negeri Pahang dengan menggunakan gelaran "Yang Mulia Tuan Muda" dan mendakwa bahawa dia adalah anak angkat kepada Tengku Abdullah untuk memasuki semua kem PLKN di Pahang. 

Bagaimanapun, penyamaran itu terbongkar apabila seorang pelatih PLKN di Kem Cahaya Gemilang, Cherating mengetahui identiti sebenarnya. - Bernama

Bangunkan pengurusan kewangan Islam berhemat: Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Negara-negara Islam mesti membangunkan pengurusan sistem kewangan Islam yang berhemat dan mesti lebih baik berbanding sistem kewangan konvensional sedia ada, yang mampu menampung kejutan dan tidak dimanipulasi penyangak.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata dengan peserta industri mencari jalan untuk mencergaskan kewangan, sistem kewangan global sendiri sangat-sangat memerlukan pengurusan yang sempurna.
"Saya jangka kewangan Islam akan berkembang, namun cabarannya ialah pengurusan berhemat dan sistem yang lebih baik. Jangan ikut sistem konvensional yang berurusan dalam segala bidang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dr Mahathir akan menyampaikan syarahan khas di Manama, Bahrain, pada 3 Mei ini, dengan menyuarakan pelbagai isu semasa dalam kewangan Islam pada "Acara Malaysia" sempena Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) ketujuh pada 4 dan 5 Mei.

Berdasarkan kepimpinan beliau selama 23 tahun dan kejayaan meletakkan Malaysia pada radar dunia, kehadiran Dr Mahathir pada sidang kemuncak itu ditunggu-tunggu oleh peserta industri, yang tidak sabar lagi menunggu pandangan beliau terhadap pembangunan landskap kewangan global.

Dalam pada negara lain seperti Singapura dan Hong Kong mengintai bahagian masing-masing dalam industri kewangan Islam, Malaysia sudah pun memiliki sistem menyeluruh yang dibangunkan berdasarkan pengalaman industri selama lebih 30 tahun.

Dalam hubungan ini, siapa yang memahami isu itu dengan lebih baik selain Dr Mahathir?
Antara gesaan beliau kepada negara Islam ialah menggunakan dinar emas sebagai alternatif, bagi mengurangkan pergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai mata wang global untuk perdagangan.

Pada Acara Malaysia itu, Dr Mahathir akan berkongsi pemikiran mengenai landskap kewangan Islam masa depan, perkembangan serta peranan negara Islam untuk meningkatkan lagi industri itu.

Pada syarahannya sebelum ini, beliau berkata, perbankan Islam adalah alternatif yang lebih baik memandangkan ia tidak boleh dimanipulasi penyangak dan berbeza daripada sistem perbankan konvensional berdasarkan isu etika dan moral.

Dr Mahathir berkata, pertumbuhan dan pembangunan kekayaan yang digalakkan oleh perbankan Islam diikat oleh moral dan etika yang boleh membendung rasa tamak.

Bagaimanapun, nilai-nilai moral dan etika mesti dikekalkan memandangkan terdapat ramai golongan yang tamak, katanya.

Pada sidang kemuncak IFSB, pengawal aturan kewangan terkemuka dari negara-negara IFSB akan berhimpun di Manama bagi membincangkan, antara lain perubahan dalam landskap kawal aturan kewangan, isu-isu pemantauan makro serta kerangka kewangan Islam baharu.

Malaysia ialah antara ahli pengasas IFSB, yang kini mempunyai 191 ahli.

Negara ahli membabitkan 50 pihak berkuasa pemantauan dan kawal aturan, enam organisasi antarabangsa antara kerajaan dan 135 peserta pasaran, firma profesional dan persatuan industri yang beroperasi dalam 40 bidang kuasa.

Malaysia mempunyai dua ahli penuh, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti manakala baki 29 lagi terdiri daripada anggota sekutu dan pemerhati.

Sehingga kini, lebih 200 peserta sudah mengesahkan penyertaan pada Acara Malaysia. Ia dijangka menarik kira-kira 300 hingga 350 peserta.

Mereka yang berminat menyertai Acara Malaysia, boleh menghubungi Unit Promosi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Azilah Ahmad (03-26944304) atau Roziah Mohd Haniffa (03-26945961).

MIFC dilancarkan pada 2006 bagi meletakkan Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi kewangan Islam.

Menerusi inisiatif MIFC, pengamal industri boleh menggunakan negara ini sebagai pangkalan penerbitan sukuk, dana dan pengurusan kekayaan Islam, Bank Islam Antarabangsa, takaful antarabangsa dan pembangunan modal insan. - Bernama

Musa gesa rakyat Sabah kikis sikap kenegerian untuk jayakan konsep 1Malaysia

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman hari ini mengajak rakyat negeri itu supaya mengikis sikap kenegerian bagi menjayakan konsep 1Malaysia yang mengutamakan pembentukan satu bangsa Malaysia yang berfikiran terbuka dan berganding bahu memajukan negara ini.

Beliau berkata, rakyat perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak dalam satu nada dan satu matlamat.
"Ciri-ciri demografi seperti negeri, daerah, kaum, agama dan budaya wajar dihindari bagi mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu," katanya ketika menjawab soalan Kamarlin Ombi (BN-Lumadan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini.
Musa berkata, perpaduan nasional adalah penting untuk mencapai cita-cita kebangsaan khususnya kestabilan politik dan taraf hidup yang lebih baik untuk semua warga.

Katanya, konsep 1Malaysia juga adalah pemangkin kepada proses transformasi sosial yang menjurus kepada kemajuan negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

"Pada masa yang sama, ianya juga adalah cabaran kepada golongan cendekiawan dan penjawat awam untuk memikir, meneroka dan mencari strategi terbaik bagi merealisasikan konsep dan semangat 1Malaysia," katanya.

Musa berkata, pelaksanaan gagasan 1Malaysia turut diperkukuhkan dengan pengenalan Model Ekonomi Baru dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Ini, kata beliau, akan mendorong kepada bentuk ekonomi moden yang pesat, masyarakat yang bersatu padu dan kerajaan yang berwibawa bagi menangani pelbagai isu termasuk penghijrahan keluar tenaga pakar, modal dan penyertaan positif daripada semua kaum.

"Misi perpaduan bukanlah sekadar keharmonian dan hubungan baik semata-mata, tetapi apa yang penting ialah pembinaan sebuah negara Malaysia yang produktif dan berdaya saing serta berjaya mencapai wawasan 2020," katanya.

Musa berkata, kerajaan Sabah telah memberi pendedahan mengenai konsep 1Malaysia pada kalangan penjawat awam dan orang awam di negeri ini.

Beliau berkata, ia termasuk Hari Terbuka GTP peringkat negeri yang diadakan pada 21 dan 22 Januari lalu, yang antara lain bertujuan memberi penerangan dan gambaran yang lebih jelas mengenai konsep 1Malaysia. - Bernama

H1N1: Sekolah tidak ditutup untuk elak gangguan pembelajaran

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak akan menutup sekolah yang pelajarnya didapati positif virus Influenza A (H1N1) kerana ia boleh mengganggu pembelajaran pelajar.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, berkata langkah menutup sekolah adalah pilihan terakhir dan hanya boleh dilakukan selepas mendapat laporan bertulis daripada Kementerian Kesihatan.
"Seterusnya laporan itu perlu diberi kepada Pengarah Pelajaran Negeri kerana hanya beliau saja mempunyai kuasa untuk menutup sekolah," katanya di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kes 12 pelajar dari beberapa negeri di Semenanjung yang disahkan positif Influenza A(H1N1) selepas 24 jam didapati mengidap sindrom serupa Influenza (ILI).

Sembilan pelajar itu adalah dari SM Agama Ad-Diniah Al-Islamiah Kuala Kangsar, Perak manakala dua lagi pelajar adalah dari SJKC Sin Hwa di Batu Pahat, Johor selain satu kes di kuarters Imigresen di Padang Besar, Perlis.

Alimuddin juga meminta ibu bapa dan pelajar bertenang dan tidak panik dengan situasi pelajar yang positif Influenza A(H1N1) kerana keadaan di seluruh negara adalah terkawal.

Beliau berkata, semua sekolah diberi pekeliling mengenai perkara itu dan pengetua dan guru besar telah diperingatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan terhadap pelajar pada setiap pagi.
"Setiap sekolah telah dibekalkan dengan termometer bagi mengesan suhu badan pelajar dan jika ada pelajar yang dikesan mempunyai simptom wabak itu seperti demam atau batuk, mereka perlu diasingkan segera dan dihantar ke klinik atau hospital berdekatan dengan segera.

"Pelajar yang didapati mempunyai simptom berkenaan (H1N1) dibenarkan untuk tidak hadir ke sekolah. Jadi, ibu bapa tidak perlu bimbang memandangkan pihak hospital juga sangat bekerjasama dalam memastikan keadaan terkawal," katanya. - Bernama

Dr Halili keluar PKR, sertai Umno

PETALING JAYA: Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor yang juga pakar bedah saraf, Datuk Dr Halili Rahmat mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa hari ini.

Beliau turut mengumumkan menyertai Umno dalam pengumuman itu.
Pengumuman itu dibuat pada sidang media di Hotel PJ Hilton di sini, sebentar tadi.

Pegawai pentadbiran Obama lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Michele Flournoy, Setiausaha Rendah Pertahanan Amerika Syarikat, kini berada di Malaysia untuk lawatan dua hari bermula semalam.

Menurut kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat di sini, Malaysia adalah negara pertama yang disinggahinya dalam siri lawatan yang juga meliputi Singapura.


"Lawatan Flournoy adalah yang terkini dalam satu siri lawatan oleh pegawai peringkat tinggi dalam pentadbiran Obama ke Malaysia untuk membincangkan isu dua hala dan keselamatan serantau, dan mengukuhkan komitmen Amerika dalam kerjasama dengan Malaysia dan rantau ini," kata kenyataan itu.

Ketika lawatannnya, Flournoy dijadual menemui pegawai kanan untuk membincangkan beberapa isu berkaitan keselamatan dua hala, serantau dan global.

Flournoy disahkan ke jawatan sekarang oleh Senat Amerika Syarikat pada 9 Februari tahun lalu, yang memerlukan beliau berkhidmat antara lain sebagai pensihat kepada Setiausaha Pertahanan dan Timbalan Setiausaha Pertahanan berhubung isu-isu termasuk penggubalan polisi keselamatan dan pertahanan Amerika Syarikat. - Bernama

Sunday, April 18, 2010

Jelapang padi baru di Sabah, Sarawak pada 2011

CAMERON HIGHLANDS: Jelapang padi baru akan dibuka di Kota Belud, Sabah dan Lingga Banting, Sarawak pada tahun depan bagi memastikan bekalan makanan dalam negara terus terjamin, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata projek kementerian itu akan menyaksikan jelapang seluas
8,000 hektar dilaksanakan di Kota Belud manakala seluas 5,000 hektar lagi di Lingga Banting.
Menurutnya projek itu penting untuk menampung keperluan terutamanya di
kedua-dua negeri itu yang kini mendapat kira-kira 70 peratus beras import.

"Pembukaan jelapang padi ini dijangka dapat mengurangkan import beras ke
negeri berkenaan," katanya pada sidang berita selepas merasmikan Mesyuarat Perhubungan Pertanian Negeri Sabah dan Sarawak di sini, hari ini.

Seramai 100 anggota delegasi dari Jabatan Pertanian Sabah dan Sarawak menghadiri mesyuarat itu.

Rohani berkata selaras dengan pembukaan jelapang padi baru itu, sebuah badan kerajaan akan ditubuhkan untuk menjalankan dan mentadbir pengurusan projek itu.

Walaupun perkembangan pertanian di Sabah dan Sarawak berjalan lancar,
pengeluaran padi di kedua-dua negeri itu amat diperlukan berikutan krisis
makanan yang berlaku pada tahun 2008, katanya yang turut mengadakan lawatan
kerja di sekitar Cameron Highlands selepas mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Menteri Muda Pemodenan Pertanian (Pertubuhan Peladang dan
Koperasi) Sarawak, Datuk Peter Nyarok Entrie berkata beliau tidak mahu negeri itu melalui krisis kekurangan beras seperti yang berlaku pada 2008 dan berharap
projek itu akan menjadi permulaan bagi Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan padi
secara besar-besaran.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai kos pembukaan kedua-dua jelapang padi tersebut tetapi mengakui bahawa jumlahnya adalah besar. - Bernama