Followers

Saturday, November 20, 2010

Peruntukan DUN ditambah

KOTA KINABALU 19 Nov. - Kerajaan negeri hari ini memutuskan meningkatkan peruntukan khas bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada RM1 juta berbanding RM600,000 sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, selain itu kerajaan negeri juga bersetuju meningkatkan bantuan kebajikan di setiap DUN kepada RM100,000 berbanding RM50,000 sebelum ini.

"Diingatkan peruntukan khas yang diberikan ini adalah untuk dimanfaatkan secara adil dan bijaksana demi kepentingan rakyat yang memerlukannya.

"Mandat yang diberikan oleh rakyat tidak akan disia-siakan bahkan akan ditatang sebagaimana menatang minyak yang penuh, cepat atau lambat, kerajaan berpegang pada prinsip, kata mesti dikota, janji mesti ditepati," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 Negeri Sabah di sini hari ini.

Menurut Musa, tambahan sebanyak RM400,000 itu dibuat bagi memastikan lebih banyak keperluan rakyat khususnya infrastruktur dapat dilaksanakan di seluruh negeri.

Selain itu, katanya, kenaikan bantuan kebajikan pula dapat memastikan lebih ramai golongan miskin mendapat bantuan kebajikan.

Dalam pada itu, Musa berkata, dalam menghargai sumbangan kakitangan awam di negeri ini, bantuan khas kewangan sebanyak RM500 akan diberi kepada penjawat awam dari gred 54 ke bawah pada Disember ini.

"Cabaran besar yang dihadapi oleh penjawat awam dalam memastikan keberkesanan sistem penyampaian sememangnya disedari dan difahami kerajaan.

"Jadi kepada mereka yang telah berkeluarga diharapkan bantuan khas ini akan dapat membantu menampung perbelanjaan anak-anak sekolah menjelang Januari akan datang," katanya.

Sementara itu beliau berkata, kemenangan berganda Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Galas dan Batu Sapi baru-baru ini memberi suntikan semangat kepada BN untuk terus berusaha membela nasib rakyat.

Justeru beliau berharap semua parti komponen BN berusaha keras memastikan momentum kemenangan besar BN khususnya di Batu Sapi dapat direalisasikan pada pilihan raya umum akan datang.

"Seperti yang pernah saya katakan bahawa yang pipih itu tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek.

"Tanpa komitmen dan kesungguhan, tanpa kerjasama dan semangat kerja berpasukan, kejayaan besar seperti di Batu Sapi tidak mungkin tercapai," katanya.

Kementerian cadang kenderaan elektrik boleh didaftar

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Kementerian Pengangkutan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi membolehkan kenderaan elektrik didaftarkan dalam negara, kata Menteri Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, pada masa ini, kenderaan elektrik tidak boleh didaftarkan disebabkan oleh akta itu yang mengkehendaki pendaftaran nombor casis dan enjin, sementara kenderaan elektrik tidak mempunyai nombor enjin.

"Pindaan berkenaan akan dibentangkan pada kabinet bulan depan,” kata beliau kepada pemberita. - Bernama

Bajet 2011 Negeri Sabah disifat bajet rakyat

KOTA KINABALU 19 Nov. - Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menegaskan, Bajet 2011 yang dibentangkan hari ini disifatkan sebagai terbesar pernah diperuntukkan kerajaan negeri adalah bajet rakyat dan bukannya bajet pilihan raya.

Beliau berkata, peruntukan yang lebih besar diperlukan bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin bertambah.

''Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan. Itu terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Apa yang penting adalah untuk terus berkhidmat dan memenuhi permintaan rakyat," katanya kepada pemberita selepas membentang Bajet 2011 Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Pada pembentangannya, Musa mengumumkan kerajaan akan membelanjakan lebih RM2.94 bilion tahun depan bagi melaksanakan lebih banyak program meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memperkukuhkan ekonomi negeri.

''Perbelanjaan Perbekalan untuk Bajet 2011 dicadangkan sejumlah RM3.1 bilion, emolumen RM598 juta, perbelanjaan berulang RM1.1 bilion dan sejumlah RM1.4 bilion untuk perbelanjaan khas," katanya.

Katanya, jumlah hasil negeri tahun depan dijangka meningkat kepada RM2.7 bilion berbanding RM2.5 bilion tahun ini.

Katanya, cukai jualan bagi minyak mentah kelapa sawit dan royalti petroleum kekal sebagai penyumbang tertinggi kepada perolehan negeri iaitu sebanyak 60 peratus.

Dalam hal ini, beliau memberitahu, kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan cukai baru pada tahun depan bagi mengelak rakyat mendapat bebannya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kerajaan akan menggiatkan usaha untuk mendapatkan kembali tunggakan hutang berjumlah RM487.14 juta dalam bentuk sewa tanah dan faedah pinjaman seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Bagi memenuhi keperluan rakyat, Musa berkata, kerajaan bersetuju menaikkan peruntukan khas kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) kepada RM1 juta berbanding RM600,000 sebelum ini.

Beliau menambah, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga akan mendapat peruntukan tambahan RM100,000 untuk bantuan kepada orang susah di kawasan masing-masing.

Musa berkata, sebanyak RM827 juta dijangka akan dibelanjakan untuk tujuan pembangunan dengan RM470 juta melibatkan projek sambungan dan RM357 juta projek baru.

Katanya, sejajar dengan tema bajet Kemakmuran Melalui Pendekatan Holistik, agihan peruntukan pembangunan akan diberikan berasaskan keutamaan.

''Sebahagian besar peruntukan pembangunan berjumlah RM1 bilion akan digunakan untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan asas negeri.

''Sektor pertanian menerima peruntukan RM413,810, belia dan sukan (RM210,810), pembangunan modal insan (RM201,840), pembasmian kemiskinan (RM162,120) dan pelancongan (RM116,270)," katanya.

Musa berkata, menyedari sumbangan dan cabaran yang dihadapi oleh anggota perkhidmatan negeri, kerajaan bersetuju memberikan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah pada bulan Disember tahun ini.

Pada pembentangan itu, Musa turut mengumumkan pemberian hadiah wang tunai sebanyak RM40,000 kepada atlet angkat berat Sabah, Aricco Jumitih, yang memenangi pemenang pingat emas pada Sukan Komanwel di India bulan lalu.

Malaysia kecundang kepada Thailand

GUANGZHOU 20 Nov. - Hanya pingat perak yang mampu dihadiahkan buat Malaysia oleh skuad sepak takraw kebangsaan setelah kecundang kepada Thailand dalam acara akhir berpasukan lelaki yang tamat sebentar tadi di Sukan Asia Guangzhou XVI.

Malaysia tewas dengan keputusan 2-0, manakala Thailand berjaya mempertahankan emas yang pernah diperolehi pada empat tahun lepas di Temasya Doha. - Utusan

Ganti MyKad dalam tempoh sehari

PUTRAJAYA 20 Nov. - Selepas Putrajaya dan Melaka, kini rakyat di negeri Sarawak boleh menikmati perkhidmatan penggantian MyKad dalam tempoh sehari, berbanding 30 hari sebelum ini, apabila perkhidmatan itu dilancarkan di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri itu hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pengurangan tempoh masa dari 30 hari kepada sehari itu sememangnya memberikan impak yang besar kepada sistem penyampaian di JPN khususnya di negeri Sarawak.

"Pelancaran perkhidmatan ini di Sarawak jelas menunjukkan bahawa rakyat di negeri itu juga turut berpeluang menikmati kemudahan yang setara seperti yang dikecapi oleh rakyat di Semenanjung Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin berkata inisiatif tersebut akan diperluaskan kesemua ibu pejabat JPN negeri-negeri seluruh negara mulai tahun depan secara berperingkat.

Beliau berkata, sejumlah RM42 juta diperuntukkan kepada JPN dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk melaksanakan inisiatif tersebut melalui projek percetakan MyKad secara teragih. - Bernama

Belum ada cadangan tangguhkan kongres nasional PKR

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berharap kongres nasional parti itu yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 26 November ini dapat diteruskan seperti yang dirancang sungguhpun terdapat kekangan termasuk tindakan undang-undang.
Pengarah Strategi PKR, Tian Chua, berkata beberapa usul telah dikenalpasti untuk dibahaskan pada kongres itu termasuk usul ucapan dasar presiden, dasar parti, ekonomi, pendidikan dan sosial.
Ditanya kemungkinan kongres itu ditangguhkan berikutan saman pemula oleh bekas timbalan setiausaha agung PKR, P Jenapala, Tian Chua berharap perkara ini tidak akan berlaku.
"Saya tidak tahu apa yang Jenapala mahu, tapi kita harap kongres ini akan tetap diteruskan seperti yang dirancang.

"Mengenai apa yang failkan di mahkamah, saya tidak mahu komen," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, Jenapala memfailkan saman pemula bagi memohon perisytiharan mahkamah bahawa pemilihan bagi jawatan timbalan presiden parti itu tidak sah.

Jenapala turut memohon injunksi bagi menghalang PKR daripada mengisytiharkan mana-mana calon yang dipilih bagi jawatan itu.
Mengulas keputusan pemilihan parti, Tian Chua berkata, mereka yang memenangi jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

"Sama ada ia akan dibuat ketika kongres atau sebaliknya, itu terserah kepada JPP. Saya harap mereka (JPP) akan umumkan dalam kongres itu nanti," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, berkata jumlah usul yang akan dibawa dalam kongres nasional tahunan parti itu berkemungkinan akan diputuskan pada Isnin ini.

"Ucapan dasar presiden sudah tentunya akan dibahaskan. Sekarang ini masih diteliti. Mungkin hari Isnin baru boleh diketahui apa dan berapa banyak usul yang akan dibawa ke dalam kongres," katanya ketika dihubungi.

Kongres Nasional Tahunan PKR dijadual berlangsung di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. - BERNAMA

Sukan Asia: Malaysia rai pingat perak sepak takraw

GUANGZHOU: Cita-cita pasukan Malaysia untuk merampas pingat emas dari juara bertahan, Thailand pada perlawanan final acara berpasukan sepak takraw Sukan Asia 2010 musnah selepas regu kedua negara tewas 21-15, 21-17, sebentar tadi. Keputusan Malaysia 0, Thailand 2.

Dewan Tertinggi BN terima keahlian bersekutu, bergabung secara terus: Najib

KUALA LUMPUR: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) menerima cadangan keahlian bersekututu dan bergabung secara terus berkuatkuasa serta merta, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. -BERNAMA

Chong Wei kalahkan Chen Jin, mara ke akhir

GUANGZHOU 20 Nov. - Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mara ke perlawanan akhir perseorangan lelaki Sukan Asia XVI selepas menundukkan juara dunia, Chen Jin dari China dengan keputusan 14-21, 21-15,21-7.

Chong Wei akan bertemu pemenang antara pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China atau pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan. - Utusan

Anwar tidak sama dengan Suu Kyi: Penulis AS

KUALA LUMPUR: Pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak boleh menyamakan diri beliau dengan pejuang
demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, kata seorang penulis laman web berhaluan
kanan Amerika. Rachel Motte, yang menulis dalam New Ledger, sebuah penerbitan laman web
Amerika yang menyiarkan pendapatan berhaluan tengah-kanan, berkata persamaan itu
tidak wujud kerana kes peribadi yang dihadapi Anwar berbeza dengan yang dihadapi
Suu Kyi.

Tambahan lagi, kata penulis itu, landskap politik Malaysia jauh bezanya
dengan yang terdapat di Myanmar.
"Jika ada manusia yang menderita kerana memperjuangkan demokrasi, maka Suu
Kyilah orangnya... bukan Anwar Ibrahim, kerana beliau diberi peluang menghadapi
perbicaraan, dibenarkan mendapat khidmat kumpulan peguam, diberi akses kepada
media tempatan dan antarabangsa, dibenar bergiat dalam parti politik pimpinannya
dan diberi kebebasan untuk bergerak ke seluruh dunia.

"Anwar bukan Aung San Suu Kyi. Sebenarnya, tindakan beliau sebagai pengasas
bersama sebuah badan yang memperjuangkan Persaudaraan Islam Sejagat menunjukkan
beliau jauh berbeza dengan Suu Kyi, yang telah banyak berkorban untuk
memperjuangkan demokrasi," tulis Motte.

Penulis berkenaan mendakwa Anwar menggunakan pembebasan Suu Kyi baru-baru
ini untuk menarik perhatian ramai kepada masalah politiknya ketika beliau
berucap tentang keadilan sosial dan demokrasi di Sydney, Australia awal minggu
ini. - BERNAMA

Rosmah Mansor undur diri jawatan Canselor UNISEL

KUALA SELANGOR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini mengumumkan pengundurannya sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL) bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program PERMATA.
Rosmah berkata, permohonannya untuk mengundur diri sudah pun mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Ingin saya maklumkan bahawa ini adalah merupakan tugasan terakhir saya dalam Majlis Konvokesyen UNISEL kali ini.
"Permohonan saya untuk berundur diri sebagai Canselor sehingga tamat tempoh lantikan telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Istiadat Konvokesyen UNISEL Kelima di Kampus Bestari Jaya di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Rosmah yang dilantik sebagai Canselor Unisel pada Februari 2006 akan tamat kontrak perkhidmatan Februari depan. - BERNAMA

Pemain ragbi Malaysia diuji positif kanabis: Pegawai CGF

NEW DELHI: Seorang pemain ragbi Malaysia yang menyertai Sukan Komanwel New Delhi di India yang baru saja selesai, diuji positif dadah terlarang, kata seorang pegawai kanan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).
Pemain itu, ahli pasukan ragbi tujuh pemain Malaysia, diuji positif kanabis; dadah yang dilarang Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).
"Kanabis ditemui dalam contoh air kencingnya dan beliau tersingkir dari Sukan Komanwel.
"Kami telah merujuk perkara itu kepada Lembaga Ragbi Antarabangsa (IRB). Beliau tidak menyertai Sukan Asia (sekarang)," kata Tan Sri Dr Mani Jegathesan, penasihat kehormat perubatan kepada CGF kepada media tempatan di New Delhi dalam temu ramah menerusi telefon hari ini.

Menurut laporan media sebelum ini, pemain itu menerima hasil siasatan berkenaan malah tidak mahu seterusnya menjalani ujian sampel "B".

Ketika IRB yang berpejabat di Ireland dihubungi, seorang pegawai memberitahu: "Proses itu masih terbuka, kami tidak boleh komen mengenainya."

Pemain Malaysia itu adalah atlet keenam yang dikesan mengambil dadah di CWG ke-19 Oktober lalu.
Pasukan ragbi Malaysia mempamerkan prestasi lemah dan tewas dalam semua empat perlawanan di sukan itu. - BERNAMA

Sukan Asia: Malaysia ketinggalan 0-1 final takraw

GUANGZHOU: Skuad sepak takraw negara ketinggalan 0-1 kepada Thailand ketika ini selepas regu pertama negara tewas 21-16, 21-10, sebentar tadi.

Malaysia dahului pungutan pingat Sukan Asia negara ASEAN

GUANGZHOU: Selepas lapan hari berlangsungnya Sukan Asia Ke-16, Malaysia kini menduduki tangga teratas dalam kalangan negara anggota ASEAN berikutan kejayaannya memenangi tiga pingat emas.
Dengan berbaki tujuh hari lagi atau separuh daripada keseluruhan acara yang akan dipertandingkan sebelum temasya sukan ini menutup tirainya pada 27 November ini, Malaysia berjaya meraih tiga pingat emas, tiga perak dan empat gangsa untuk menduduki tempat ke-10 keseluruhan.
Tempat kedua dalam kalangan negara anggota ASEAN menjadi milik Indonesia (tempat ke-12 keseluruhan) dengan dua pingat emas, empat perak dan 10 gangsa, diikuti Filipina di tempat ke-14 keseluruhan (2, 1, 5), Thailand di tempat ke-15 keseluruhan (1, 4, 13), Singapura di tangga ke-16 (1, 4, 2), Vietnam di tempat ke-20 (0, 11, 11), Myanmar satu tangga di bawahnya (0, 4, 1) dan Laos di tangga ke-26 (0,0,2).
Dua lagi negara anggota Asean iaitu Brunei dan Kemboja belum memenangi sebarang pingat.

Setakat semalam, 19 negara memenangi 239 pingat emas daripada keseluruhan 476 pingat yang ditawarkan.

Tuan rumah, China, terus mendahului senarai pungutan pingat dengan meraih 126 pingat emas, diikuti Korea Selatan (43) dan Jepun (25). - BERNAMA

Gempa sederhana gegar Indonesia

JAKARTA: Gempa bumi sederhana berukuran 5.6 magnitud melanda kepulauan Sumatera, Indonesia, hari ini, menurut Jabatan Kaji Selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Bagaimanapun, katanya, tidak laporan kerosakan diterima sehingga kini.
Gempa yang melanda pada jam 4.55 pagi tadi (waktu tempatan) dikesan 95 kilometer (km) timur-tenggara bandar Padangsidempuan di Utara Sumatera pada kedalaman 213 km. - AFP

NATO setuju pembangunan sistem pertahanan anti-peluru berpandu: Obama

LISBON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, berkata dalam satu persidangan di sini, hari ini, pemimpin NATO bersetuju membangunkan sistem pertahanan anti-peluru berpandu di sepanjang Eropah. - AFP

Suu Kyi sedia kerjasama dengan junta tentera

BANGKOK 20 Nov. - Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi semalam berkata, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan junta tentera jika sistem politik baru yang diperkenalkan mampu untuk membantu rakyatnya.

“Kami tidak pernah menutup pintu kerjasama dengan junta tentera.

“Satu perbincangan perlu dilakukan jika kita serius untuk membawa satu perubahan drastik kepada Myanmar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Suu Kyi dibebaskan minggu lalu selepas kerajaan junta mengenakan hukuman tahanan rumah terhadapnya sejak 1989. - Reuters

BN akan tunai janji kepada Orang Asli

GUA MUSANG 20 Nov.- Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi jaminan akan menunaikan segala janji untuk membela nasib kaum Orang Asli yang banyak membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November lepas.

Tengku Razaleigh berkata, kaum itu yang setia dengan perjuangan UMNO telah memberikan sokongan padu bagi membolehkan BN menebus semula maruah selepas kekalahan kerusi DUN Galas pada pilihan raya umum lalu.

"Saya fikir sekiranya tidak kerana sokongan padu daripada kaum itu sudah tentu kita daripada BN amat sukar memperoleh kemenangan dengan majoriti besar.

"Oleh itu, saya tidak akan mungkir janji semasa pilihan raya kecil lepas dan tetap melaksanakan apa yang saya kata (pada kempen pilihan raya itu)," katanya. - Bernama