Followers

Monday, November 30, 2009

Enam lagi mayat ditemui tragedi bot karam di Kudat

KUDAT: Enam lagi mayat tragedi bot penumpang karam di Kudat, Khamis lalu ditemui hari ini, menjadikan 13 orang setakat manakala dua lagi dilaporkan masih hilang.

Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen, berkata identiti lima daripada enam mayat itu hanya dapat ditentukan selepas pemeriksaan lanjut di Hospital Kudat.

"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan secara bersepadu oleh pihak berkuasa dengan dengan bantuan penduduk setempat mulai pagi hingga lewat petang tadi.

"Lima mayat lagi ditemui di perairan Pulau Jambungan dan Pulau Mandi Darah, selain ada yang terikat di bangkai bot yang ditemui di dasar laut tidak jauh dari tempat kejadian," katanya.

Pemuda Umno buat laporan SPRM terhadap kerajaan Pulau Pinang

GEORGETOWN: Pemuda Umno negeri hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kerajaan negeri berkaitan dengan jualan sebidang tanah seluas 1.4 hektar di sini.

Bendaharinya, Aziaan Ariffin, berkata beliau telah membuat satu aduan kepada SPRM untuk menyiasat jualan tanah berkenaan yang terletak bersebelahan dengan E&O Hotel.

"Kami mendapati kerajaan negeri telah menukar pegangan tanah Lot 408 di Georgetown awal tahun ini dengan mengenakan bayaran premium yang rendah kepada PDC Heritage Hotel Sdn Bhd (PHH)," katanya ketika ditemui di pekarangan pejabat SPRM di sini hari ini.

Aziaan berkata kerajaan negeri hanya mengenakan premium berjumlah lebih kurang RM45 sekaki persegi sahaja kepada PHH sungguhpun harga pasaran adalah lebih kurang RM250 sekaki persegi.

"Tapak tanah tersebut adalah tapak yang strategik dan ia sepatutnya dikenakan premium yang tinggi tetapi kerajaan negeri tidak mengenakannya kepada PHH.

"Oleh itu, kami merasa bahawa terdapat penyelewengan dan juga unsur-unsur rasuah yang berlaku dalam kelulusan tukar pegangan tanah berkenaan," katanya.

Selain itu, beliau juga mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya mengakui pembohongannya berhubung syarat pegangan tanah yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ogos lalu.

"Apakah motif beliau menyembunyikan kelulusan itu daripada rakyat?" katanya.

Isu itu timbul kerana kerajaan negeri memperkenalkan dasar baru berkaitan pegangan tanah iaitu membenarkan tanah industri dan komersil berstatus pajakan dipanjangkan tempoh pegangan kepada 99 tahun manakala bagi tanah kediaman ditukar kepada pegangan kekal.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad, mendakwa Guan Eng memberi maklumat salah kepada DUN apabila memaklumkan bahawa tiada pertukaran status pegangan tanah dibuat di negeri itu dari April hingga Jun tahun ini.

Tiada laporan gegaran, kerosakan gempa bumi di Kuala Pilah

SEREMBAN: Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Kuala Pilah Ibrahim Hassan berkata setakat ini pihaknya tiada menerima laporan sama ada daripada penduduk, pihak polis dan bomba mengenai kejadian gempa bumi di Kuala Pilah.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Kuala Pilah berkata, setakat ini pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu, mahupun kerosakan dan keretakan bangunan di daerah itu.

"Oleh itu, saya minta penduduk di daerah Kuala Pilah supaya tidak bimbang dengan kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, Kuala Lumpur hari ini menyatakan berlaku gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter di daerah itu pada jam 12.15 pagi ini, berpusat di 22km timur Seremban.

Bagaimanapun, menurut kenyataan tersebut tiada gegaran dirasai akibat gempa bumi itu.

Ibrahim bagaimanapun berkata jika pun ada kejadian itu berlaku, beliau tidak menolak kemungkinan ianya berlaku di kawasan hutan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Abd Samad Ibrahim ketika ditemui berkata beliau sendiri tidak mengetahui ada gegaran berlaku di kawasan DUNnya.

Beliau sendiri terkejut apabila dimaklumkan pemberita bahawa telah berlaku gempa bumi pada skala 3.3 Richter di daerah itu pada tengah malam tadi.

Sementara itu, penduduk Kampung Tanjung Ipoh Halim Abdullah, 33, mengaku ada terasa pening semasa sedang menonton siaran televisyen tengah malam tadi.

"Rasa macam terbuai tetapi saya tidak mensyaki ada gempa bumi kerana tidak ada gegaran sehingga menyebabkan barangan rumah jatuh," katanya.

Rakan beliau Said Salleh, 36, yang bekerja sebagai penoreh getah berkata beliau hanya mengetahui kejadian itu melalui siaran radio.

"Mungkin ramai yang tidak tahu kerana sudah lewat malam dan orang dah tidur," katanya. - Bernama

Tiada jaminan, imbuhan kepada pekerja agensi nuklear

KUALA LUMPUR: Kakitangan Agensi Nuklear Malaysia tidak diberikan sebarang bentuk jaminan dan imbuhan khas selain daripada jaminan dan imbuhan yang lazimnya diberikan kepada penjawat awam, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof.

Beliau berkata bagaimanapun, sebahagian daripada kakitangan itu yang ditakrifkan sebagai pekerja sinaran layak mendapat cuti tambahan sebanyak 14 hari setahun.

"Bagi kakitangan yang menjalankan tugas sebagai pengendali reaktor penyelidikan nuklear yang terdapat di agensi, elaun kelayakan khas RM150 sebulan diberikan.

"Ini kerana semua pengendali reaktor itu perlu menjalani latihan khas tambahan yang dikendalikan oleh agensi itu sendiri sebelum dibenarkan mengendali reaktor penyelidikan berkenaan," katanya menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai) yang ingin tahu bentuk jaminan serta imbuhan yang diberikan kepada kakitangan di pusat tenaga nuklear pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Fadillah berkata bagi memastikan tiada kesan negatif terhadap kesihatan pekerja di agensi itu, semua kakitangan yang ditakrifkan sebagai pekerja sinaran dimestikan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

"Pemeriksaan perubatan ini tertumpu kepada aspek yang khusus kepada mengenal pasti sebarang kesan sinaran dalam sel darah dalam tubuh kakitangan berkenaan dan setakat ini, tiada kesan negatif didapati," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam serta alam sekitar, semua langkah keselamatan di Agensi Nuklear Malaysia sentiasa dipantau oleh sistem audit dalaman agensi tersebut dan agensi kawalseliaan kebangsaan seperti Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

"Audit atau "Peer Review" terhadap operasi agensi itu oleh agensi-agensi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga dilaksanakan dari semasa ke semasa. "Peer review''" oleh pakar dari negara serantau juga telah dilaksanakan di bawah rangka kerja Forum Kerjasama Nuklear Asia (FNCA).

"Semua langkah keselamatan di Agensi Nuklear Malaysia juga perlu bagi memenuhi obligasi negara di bawah pelbagai triti, konvensyen dan perjanjian nuklear serantau dan antarabangsa termasuk Triti Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang turut meliputi aspek keselamatan aktiviti nuklear bagi mengelakkan kesan negatif kepada negara jiran," katanya.

Fadillah turut menegaskan bahawa aktiviti di Agensi Nuklear Malaysia tidak memberikan sebarang kesan negatif sama ada kepada kesihatan penduduk sekeliling dan alam sekitar.

Katanya, pemantauan yang merangkumi analisis kandungan bahan radioaktif di dalam sampel udara, air, tanah dan tumbuh-tumbuhan dalam kawasan sekitar membuktikan ketiadaan peningkatan kandungan bahan radioaktif di kawasan persekitaran berbanding keadaan sebelum agensi itu mula beroperasi. - Bernama

Gempa bumi lemah terbaru di Kuala Pilah 2.30 petang tadi

KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah berukuran 3.0 pada skala Richter berlaku buat kali keempat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, jam 2.30 petang tadi.

Jabatan Meteorologi dalam kenyatannya berkata, gempa bumi itu berpusat di 22 kilometer (km) di timur Seremban dan kejadian terbaru daripada tiga kejadian gempa bumi yang berlaku di lokasi sama sejak semalam.

Kejadian gempa bumi pertama berlaku 2.30 petang semalam dan hari ini sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan oleh Jabatan Meteorologi yang berlaku 12.15 tengah malam, 9.10 pagi dan 2.30 petang ini, menurut kenyataan itu.

Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai penduduk di kawasan berkenaan, bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah.

Menurut kenyataan itu, kejadian gempa bumi lemah adalah kesan daripada gempa bumi kuat yang berlaku di Indonesia baru-baru ini. - Bernama

Undang-undang kecil PBT yang usang wajar dipinda: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelbagai undang-undang kecil yang dipakai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini wajar dipinda atau diubahsuai jika ianya didapati sudah usang atau tidak sesuai dengan perkembangan semasa.

Beliau berkata ini penting ke arah memperkenalkan cara-cara terbaru untuk melaksanakan tanggungjawab PBT secara lebih berkesan lagi.

"Mengenai kajian undang-undang kecil yang sudah lama dipakai itu...satu perkara yang harus diberi perhatian," katanya semasa merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 serta Persidangan Dwitahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Penguasa-penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) ke-23 di Pusat Konvensyen CIDB di sini, hari ini.

Muhyiddin mengulas ucapan aluan oleh presiden Anulae Semenanjung Malaysia Azih Muda bahawa undang-undang kecil dilaksanakan PBT di negara ini perlu dikaji serta diseragamakan.

Muhyiddin berkata sebahagian besar undang-undang kecil PBT berada di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri, dan menurutnya beliau menyerahkan kepada pihak ini untuk mengkajinya dan jika ada yang berkaitan dengan kerajaan Persekutuan, ia boleh dibawa kepada perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. - Bernama

Nik Aziz guna agama untuk politik: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Niat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan adalah kesalahan besar daripada segi agama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau tidak dapat membayangkan bagaimana seorang yang dikatakan sebagai tokoh agama sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu, lebih-lebih lagi terhadap pemimpin yang seagama dan sebangsa dengannya.

"Saya tidak bolehlah menasihatkan kerana dia (Nik Abdul Aziz) lebih tahu daripada saya. Tapi kenyataan seperti ini tidak patut dikeluarkan oleh seorang yang dikatakan tokoh agama.

"Mungkin dia (Nik Abdul Aziz) lebih merupakan seorang tokoh politik dan menggunakan agama untuk tujuan politik... jual agama untuk kepentingan politik. Ini (kenyataan tersebut) sesuatu yang tidak boleh kita gambarkan," katanya kepada pemberita ketika ditanya kenyataan Menteri Besar Kelantan itu.

Terdahulu Muhyiddin berucap merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sikap Nik Abdul Aziz itu tidak mencerminkan ketokohan agama seperti yang selama ini diuar-uarkan mengenai pemimpin itu.

"Saya tidak pernah mendengar dalam sejarah hidup saya... (ada orang) buat doa jahanamkan manusia lebih-lebih lagi seagama dan sebangsa. Saya fikir (doa itu) suatu yang menyalahi tuntutan agama. Saya tidak tahu apa hukumnya. Mungkin orang agama tahu," katanya.

Beliau berkata sudah menjadi lumrah pemimpin Pas menggunakan agama untuk kepentingan politik dan dalam hal ini, rakyat harus sedar mengenai parti yang menggunakan agama serta menyeleweng daripada ajaran agama Islam. - Bernama

CHOGM masih relevan, berupaya zahirkan pandangan berhubung isu global

PORT OF SPAIN (Trinidad dan Tobago): Sidang Kemuncak Komanwel berakhir di sini semalam, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan bahawa badan itu masih relevan dan berupaya menzahirkan pandangan berhubung kepentingan global.

Beliau berkata deklarasi mengenai perubahan iklim yang dikeluarkan oleh para pemimpin Komanwel yang hadir di Port of Spain adalah contoh bagaimana perkumpulan itu berjaya menghadapi keadaan apabila yang menjadi taruhan ialah kelangsungan hidup kebanyakan anggotanya.

Katanya perkumpulan itu yang sebahagian besarnya dianggotai oleh bekas negara jajahan British, telah melaksanakan peranannya dalam membantu negara yang berdepan kesukaran, bukan hanya dalam membawa pembangunan tetapi juga membentuk sistem nilai yang akan mengemudi kejayaan sesebuah negara.

"Contoh jelas mengenai perkara ini ialah langkah Komanwel untuk menerima kemasukan Rwanda, sebuah negara yang musnah akibat pertelingkahan puak, sebagai anggota ke-54," katanya kepada media Malaysia di akhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 di sini.

Komanwel, kata Najib, adalah institusi yang memberi penekanan kepada sistem nilai seperti demokrasi, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia dan sebagainya yang penting ke arah mencapai keamanan dunia serta mengelak kemusnahan negara.

Bagi saya, Komanwel telah berjaya menjawab kritikan yang seringkali mempersoalkan sama ada badan ini masih relevan.

"... dan ia tetap relevan," kata Najib tentang perkumpulan yang mewakili satu pertiga penduduk dunia yang tinggal dalam negara kecil dan besar, maju serta membangun.

Deklarasi perubahan iklim Komanwel, antara lain, menyokong pembiayaan permulaan segera dan mewujudkan geran pembiayaan, bagi membantu negara yang terjejas teruk dalam menangani kesan buruk perubahan iklim.

Perdana Menteri Denmark Lars Lokke Rasmussen, Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon turut berada di sini bagi melobi untuk mendapatkan sokongan kepada triti iklim baru yang akan dibincang secara panjang lebar pada sidang kemuncak perubahan iklim PBB di Copenhagen mulai 7 Disember ini.

Beliau turut menyambut baik usaha untuk mengadakan sidang kemuncak mengenai penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes dan kanser pada 2011.

"Ramai rakyat Malaysia yang menderita akibat ketiga-tiga penyakit ini," katanya yang turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan beliau dari Bangladesh Sheikh Hasina Wajed, yang gagal dalam percubaannya untuk meminta Malaysia menarik balik pembekuan pengambilan pekerja dari Bangladesh.

Selepas tiga hari berbincang yang menyusuli perasmian CHOGM oleh Ratu England Ratu Elizabeth II pada Jumaat lalu, Ketua-Ketua Komanwel mengeluarkan Kenyataan CHOGM di samping Deklarasi Port of Spain: Perkongsian Bagi Masa Depan yang Lebih Saksama dan Lestari.

Dalam deklarasi itu, mereka mengakui bahawa CHOGM berlangsung di tengah-tengah krisis ekonomi dan kewangan global yang melemahkan, kemudahruapan harga komoditi utama dan kesan daripada perubahan iklim yang mencemaskan, yang mengancam keselamatan serta kehidupan berjuta-juta umat manusia. - Bernama

Gempa bumi lemah di Kuala Pilah

KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, awal pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini hari ini, gempa bumi itu berlaku jam 12.15 pagi dan berpusat di 22km timur Seremban.

Bagaimanapun, tiada gegaran dirasai akibat gempa bumi itu, menurut kenyataan itu. - Bernama