Followers

Saturday, February 20, 2010

Malaysia tidak musnah hutan untuk tanam kelapa sawit

TAWAU: Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, menegaskan Malaysia tidak sewenang-wenangnya memusnahkan hutannya untuk penanaman kelapa sawit.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai dasar dan undang-undang perhutanan yang tegas serta jelas berkaitan hutan simpan yang tidak boleh disentuh sama sekali.

“Kerajaan kita telah mengenal pasti kawasan pertanian dan perladangan. Kerajaan telahpun menggazetkan kawasan berkenaan,” katanya ketika mengulas mengenai kempen syarikat Marks & Spencer yang menentang penggunaan minyak kelapa sawit seperti yang disiarkan akhbar tempatan di sini, hari ini.

Menurut laporan akhbar berkenaan, syarikat British itu baru-baru ini telah meletakkan bahan pameran di sebuah pusat membeli belah di United Kingdom yang tertulis: "We Think That Destroying Rainforests For Palm Oil Is Too High A Price To Pay A Biscuit".

Sehubungan itu, Tawfiq meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensi kerajaan berkaitan supaya memberi penjelasan kepada dunia mengenai situasi sebenar hutan di negara ini.

Menurutnya, kerajaan Malaysia telus dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga hutan simpannya dan dalam kes Sabah, jabatan perhutanannya telah membina beberapa pondok di hutan belantara semata-mata untuk menjaga hutan simpan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan wujud segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh hutan simpan untuk membuka kebun kelapa sawit, namun kes seumpama itu adalah kes terpencil. - Bernama

11 kematian pada hari ke-13 Ops Sikap 21

KUALA LUMPUR: Sebelas lagi kematian dicatatkan pada hari ke-13 Ops Sikap ke-21 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya seramai 183 orang sejak operasi itu bermula 7 Februari lalu.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supt Rasdi Ramli, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pengguna motosikal mencatatkan enam kematian semalam manakala empat kematian membabitkan pengguna kereta dan satu lagi kematian membabitkan lori.

Jalan bandaran mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi dengan 379 kes diikuti jalan persekutuan (170 kes), jalan negeri (156 kes), lebuh raya (51 kes) dan jalan-jalan lain (50 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 806 kes.

Sebanyak 10,034 saman dikeluarkan semalam bagi pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-21 dilancarkan sempena Tahun Baru Cina yang akan berakhir esok. - Bernama

Pemuda Umno komited bantu mangsa gempa Padang

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno akan terus membantu mangsa gempa Padang, Sumatera, Noor Azizah Azmi, 27, bagi memulakan kehidupan baru di Malaysia selepas kehilangan suaminya dalam bencana itu September tahun lalu.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata sebagai langkah awal pihaknya akan menyelesaikan masalah dokumen anak perempuan Noor Azizah, Aisyah Rahma Musfika, yang berusia tiga bulan.

Muhd Khairun berkata, dua anak lelaki mangsa, Muhammad Hazrul Naim, 5, Muhammad Hazrul Hakim, 2, tidak menghadapi masalah itu kerana sudah memiliki MyKid.

"Dalam kes Azizah, beliau kehilangan semua harta benda termasuk dokumen penting. Ia penting bagi membuktikan status diri beliau dan anak-anaknya," katanya kepada Berita Harian Online di sini, petang tadi.

Beliau ditemui selepas sidang media menyambut kepulangan Noor Azizah bersama tiga anaknya yang terkandas di Indonesia lebih empat bulan berikutan kehilangan dokumen.

Pada majlis itu, Noor Azizah turut dipertemukan dengan adik perempuannya, Noor Fazilah Azmi, 24.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka, kira-kira jam 9 pagi tadi.

APMM tempatkan tiga helikopter AW319 di Sabah tahun depan

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) merancang untuk menempatkan tiga helikopter jenis AW319 di sini tahun depan bagi memantapkan operasi maritim di perairan Sabah dan Sarawak.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Taha Ibrahim, berkata helikopter canggih buatan Itali itu juga akan digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat di kawasan perairan tersebut.

"Helikopter berkenaan dijangka tiba di Semenanjung Oktober ini dan diuji sebelum dihantar ke sini,

"Sabah mempunyai kawasan perairan yang luas dan kita harap dengan adanya kemudahan helikopter ini, ia akan membantu pihak berkuasa mengesan dan seterusnya menangani masalah kemasukan pendatang tanpa izin ke Sabah," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Maritim Malaysia di Dewan Kompleks Pentadbiran Persekutuan di Likas, dekat sini, hari ini.

"Tiga helikopter berkenaan akan ditempatkan di sini dan buat sementara wakti kawasan rondaan udara meliputi perairan Sabah dan Sarawak sehingga Sarawak mempunyai skuadron udaranya sendiri," katanya.

"Sabah mempunyai kawasan perairan yang luas dan kita harap dengan adanya kemudahan helikopter ini, ia akan membantu pihak berkuasa mengesan dan seterusnya menangani masalah kemasukan pendatang tanpa izin ke Sabah.

Katanya, APMM kini mempunyai skuadron udara yang dilengkapi dengan tiga helikopter di Subang.

Sementara itu, beliau berkata APMM Wilayah Sabah berjaya melakukan 502 pemeriksaan yang menyaksikan 62 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan di perairan negeri itu sejak bulan lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah pemeriksaan itu, 76 kes adalah membabitkan kesalahan Akta Imigresen, 13 kes Kastam, lapan kes perikanan dan selebihnya kes yang melanggar peraturan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. - Bernama

Industri aeroangkasa lonjak ekonomi negara: TPM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membangunkan lagi industri aeroangkasa sebagai persiapan memasuki era ekonomi berpendapatan tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, industri itu berpotensi untuk menjana pendapatan dan melonjakkan pembangunan ekonomi negara.

Katanya, nilai pelaburan di dalam industri ini telah meningkat 300 peratus kepada RM991.6 juta pada 2008 daripada RM113.3 juta pada tahun 2006.

“Ini adalah satu lonjakan pelaburan yang besar,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet yang dibentuk khas untuk meneliti aspek paling penting dalam proses pembangunan modal insan bagi memasuki era baru ekonomi negara.

Muhyiddin berkata, industri tersebut telah menyediakan peluang pekerjaan berjumlah 50,000 pada tahun 2008 dan dijangka berkembang 11 peratus setiap tahun.

Pada mesyuarat itu, Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) bersama Unit Perancangan Ekonomi (EPU) membentangkan kertas kerja berkaitan industri itu.

Antaranya, Rangka Dasar Latihan Industri Bagi Mahasiswa oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Laporan Bank Dunia bertajuk “Membangunkan Modal Insan Pendapatan Tinggi Malaysia”.

Muhyiddin berkata, bagi membangunkan industri aeroangkasa termasuk sub sektornya seperti pembuatan, penyenggaraan, pembaikan dan membaik pulih (MRO), serta penerbangan, negara memerlukan tenaga kerja yang mencukupi dan berkemahiran.

Beliau berkata, dalam laporan mereka, MIGHT dan EPU telah mengemukakan cadangan bagi menambah bilangan jurutera pesawat yang berlesen, tenaga kerja mahir untuk sub sektor perkilangan komponen pesawat dan menamabah bilangan kapten pesawat.

“Sejumlah peruntukan telah dimohon dan kita telah meminta Kementerian Kewangan mengambil kira di dalam Rancangan Malaysia ke-10,” katanya.

Beliau berkata, peruntukkan itu adalah bagi tujuan latihan dan pembangunan kapasiti bagi beberapa institusi berkaitan aeroangkasa.

“Terdapat cadangan bagi Jabatan Penerbangan Awam dikorporatkan. Ia akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan. Terdapat juga beberapa inisiatif lain yang dicadangkan yang akan dilaksanakan,” katanya.

Ditanya mengenai bidang yang kritikal dari segi pembangunan modal insan, Muhyiddin berkata kerajaan tidak menumpu kepada bidang-bidang tertentu.

“Kita lihat secara keseluruhan. Kita lihat bidang yang masih ada ruang yang boleh diperbaiki yang memerlukan modal insan yang berkemahiran tinggi.

“Kita juga melihat kepada bidang yang pesat membangun seperti pembuatan, perkhidmatan dan bidang yang berkaitan teknologi dan berkemahiran tertentu,” katanya.

Beliau berkata, isu modal insan menjadi lebih kritikal sekarang ini dalam konteks menyediakan sumber manusia yang mencukupi bagi mengisi keperluan model ekonomi baru.

“Kita mengarah kepada bidang yang berasaskan pendapatan yang tinggi jadi ia memerlukan tahap kemahiran yang lebih tinggi lagi,” katanya. - Bernama