Followers

Sunday, January 31, 2010

KDN pantau blog, laman web sentuh isu sensitif

JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus memantau beberapa blog dan laman web yang menyentuh perkara-perkara sensitif di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bukti kini sedang dikumpul dan apabila mencukupi akan digunakan untuk mengheret mereka yang menyentuh sensitiviti seperti institusi Raja-raja Melayu, perkauman dan agama ke muka pengadilan.

"Tindakan kita kebelakangan ini menunjukkan keseriusan kita untuk membawa sesiapa saja asal cukup bukti ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini, hari ini.

Menyifatkan kes seperti blogger Aduka Taruna yang menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail sebagai kes rintis, Hishammuddin berkata, KDN, SKMM dan pihak berkuasa yang berkaitan akan mengenal pasti mereka yang terbabit dihadapkan ke mahkamah dan dihukum.

Tanpa memberikan butiran lanjut, Hishammuddin berkata, beliau sudah dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun ada beberapa blogger dan laman web yang kini dipantau kerana menyentuh perkara-perkara sensitif.

Mengulas laporan beberapa blog mengenai terdapatnya desakan supaya Ketua Pergerakan Umno, Khairy Jamaluddin meletak jawatan, Hishammuddin berkata, laporan-laporan itu adalah tidak tepat.

Hishammuddin berkata, penulis-penulis blog terbabit tidak tahu hujung pangkal perbincangan mesyuarat Exco Pemuda yang diadakan baru-baru ini.

Hishammuddin, yang juga Naib Presiden Umno, tidak menolak laporan itu mungkin dibuat kerana kepentingan tertentu, namun katanya, desakan seumpamanya tidak akan membawa kepada pengukuhan parti.

Beberapa blog baru-baru ini melaporkan bahawa Khairy didesak meletak jawatan oleh beberapa Exco Pemuda kerana kegagalan beliau menterjemahkan hala tuju Pergerakan Pemuda Umno selari dengan kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak. - Bernama

Malaysia harap isu pembantu rumah Indonesia dapat diselesaikan

GEORGETOWN: Malaysia berharap mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang dijadualkan Februari ini dapat menyelesaikan beberapa isu tertangguh, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, pada masa sama, Malaysia juga masih meneruskan perbincangan dengan Indonesia mengenai pengambilan pembantu rumah dari negara itu bagi menyelesaikan beberapa isu tertangguh untuk manfaat kedua-dua pihak.

"Ada satu dua isu tertangguh yang masih dalam perbincangan termasuk masalah gaji dan isu pembekuan pembantu rumah dan kita harap ia dapat diselesaikan untuk manfaat bersama," katanya selepas melancarkan pusat khidmat dan laman web MIC Pulau Pinang di sini, hari ini.

Subramaniam, yang juga Naib Presiden MIC, berkata Malaysia juga membuka lebih peluang kepada negara lain seperti Myanmar, Thailand, Kemboja dan Sri Lanka bagi membolehkan mereka bekerja sebagai pembantu rumah di sini.

"Baru-baru ini, saya mengunjungi Kemboja dan mereka mempunyai sistem pembantu rumah yang teratur daripada segi latihan serta pendedahan mengenai budaya negara kita," katanya.

Pada 25 Jun lalu, Jakarta mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan.

Manakala, 2 September lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju membenarkan pembantu rumah Indonesia diberi cuti sehari dalam seminggu dan mereka juga dibenarkan menyimpan pasport sendiri ketika berada di negara ini.

Ketika ini, kira-kira 80 peratus daripada 280,000 pembantu rumah asing yang bekerja di Malaysia adalah warga Indonesia. - Bernama

Najib bangga dengan Facebook, beri peluang berhubung dengan rakyat

CHENNAI: Selain politik, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai kegemaran yang membara iaitu Facebook.

Seperti jutaan manusia di seluruh dunia, Najib telah menyertai rangkaian laman web sosial untuk berhubung dengan orang ramai, terutama sekali pengundi Malaysia, dengan harapan untuk merapatkan jurang politik antara generasi lama dan muda.

Najib bercakap dengan penuh mesra mengenai Facebook walaupun beliau jarang berkesempatan untuk melayarinya tetapi ia telah dikendalikan satu pasukan yang kerapkali mengemaskini laman itu, yang menurutnya kini mempunyai 80,000 peminat.

"Saya bercadang untuk menjemput kesemua mereka minum teh dengan saya tetapi bilangan itu terlalu besar. Mungkin dengan beberapa ratus orang pada satu-satu masa," Najib memberitahu New Delhi Television (NDTV), ketika lawatannya baru-baru ini ke Chennai.

"Malaysia ialah satu generasi baru, bukan penyandang beg lama. Kita perlu sesuaikan dengan keadaan, mereka tidak mahu melihat kita sebagai ahli politik yang keletihan.

"Kita perlu berubah dengan masa kerana mereka adalah generasi celik IT (teknologi maklumat)," katanya, yang ceria berkongsi pendapatnya mengenai kempen Facebooknya, satu perubahan dalam jawapan rutinnya yang diselitkan dengan politik.

Facebook, dengan 350 juta pengguna terus meningkat sebagai alat rangkaian sosial yang hebat di seluruh dunia, dan sebagai ahli politik berpengalaman, perdana menteri kini bertumpu kepada digital berkelajuan tinggi untuk menghubungkan rakyat Malaysia pada amnya.

Pada umumnya rakyat Malaysia adalah ramah dan ikhlas, kita mesti mempunyai hubungan peribadi yang baik untuk bergerak ke depan," beliau memberitahu pernursms NDTV dalam satu temubual ekslusif.

Najib mengakhiri temubual itu dengan berkata, pemimpin perlu menyedia hala tuju politik kepada orang ramai terutama kepada generasi muda dalam usaha untuk bergerak ke arah abad 21 yang penuh cabaran. - Bernama

isu agama wajar diselesai secara tertutup: Muhyidddin

KUALA LUMPUR: Isu sensitif membabitkan agama dan kaum di negara ini perlu diselesaikan secara tertutup melalui perbincangan dan dialog atau perundingan antara mereka yang berkepentingan dalam isu berkenaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, proses rundingan adalah cara terbaik menyelesaikan masalah berkenaan berbanding dibincang secara terbuka kerana ia membawa kepada pelbagai tafsiran oleh umum.

“Justeru, langkah yang diambil kerajaan sangat jelas berhubung isu ini (kalimah Allah), dan perundingan antara kumpulan yang mewakili agama Islam dan Kristian sudah pun berjalan. Ia nampaknya sudah diuruskan dengan baik sekali.

“Saya tidak fikir perlu diwujudkan majlis perundingan antara agama tetapi dialog berterusan mengenai isu berkenaan perlu diteruskan dari masa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Dialog Idealisme Generasi Muda dan Media Baru serta Pelancaran Laman Web Politik beliau - www.my-malaysia.com.my di Auditorium Perdana Angkasapuri di sini, hari ini.

Muhyiddin ditanya sama ada kerajaan sudah menganjurkan dialog antara agama berikutan beberapa kes isu agama dibangkitkan kebelakangan ini, termasuk penggunaan kalimah Allah.

Muhyiddin berkata, proses dialog dan perundingan isu agama secara tertutup boleh dijalankan bila diperlukan membabitkan semua agama di negara ini seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan agama lain.

Saturday, January 30, 2010

Gempa sederhana gegar China

BEIJING: Gempa bumi sederhana pada ukuran 5.2 skala Ritcher menggegarkan Wilayah Sichuan, China hari ini, kata Agensi Kajiselidik Amerika Syarikat (USGS).

Bagaimanapun, menurut agensi itu, tiada laporan kerosakan atau kematian dilaporkan.

Kejadian dicatatkan jam 5.37 pagi dengan kedalaman 18 kilometer pada ukuran pusat gempa 36 kilometer daripada Tenggara bandar Suining, Sichuan, Selatan China. - AFP

PTPTN perlu RM5 bilion setahun: Khaled

PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) memerlukan RM5 bilion setahun bagi memastikan mereka yang layak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) tidak tercicir.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keperluan itu memandangkan pertambahan peluang dan jumlah mereka yang akan melanjutkan pengajian ke IPT.

"Sekarang peruntukan setahun untuk PTPTN adalah sebanyak RM3 bilion, kementerian menganggarkan menjelang 2013 ia tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan "Real Undergraduate" di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata keperluan itu juga memandangkan bayaran balik yang di buat oleh peminjam adalah secara ansuran.

"Kini kementerian sedang membuat kajian bagaimana hendak menentukan kelestarian PTPTN...untuk menentukan dana itu hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.

Beliau berkata ibu bapa yang berkemampuan sepatutnya perlu mengambil tanggunggjawab untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka dan tidak meletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan sahaja.

"Kerajaan dah sedia infrastruktur, sediakan tenaga akademik itu sudah disubsidi jadi kalau memang anak orang kaya sepatutnya boleh bayarlah tanpa bantuan kerajaan," katanya. - Bernama

Krisis politik pembangkang di Pulau Pinang di tahap amat serius: PM

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata krisis politik parti pembangkang terutama di Pulau Pinang kini di tahap amat serius dan bukan sekadar masalah dalaman sahaja.

Perdana Menteri berkata dakwaan pembangkang masalah dalaman yang dihadapi itu hanya disebabkan perselisihan pendapat adalah tidak benar tetapi membabitkan perbalahan serius antara pemimpin mereka.

Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno menafikan bahawa Umno sebagai dalang terhadap apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang.

Kerajaan tak cadang tubuh Suruhanjaya Antara Agama

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama pada masa ini kerana dialog tertutup yang dilakukan berterusan sekarang sudah memadai untuk menangani isu berbangkit, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata dialog tertutup itu juga dapat membantu mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana aman dan saling hormat-menghormati di kalangan rakyat majmuk di negara ini.

"Kita tidak perlukan Suruhanjaya Antara Agama. Pada ketika ini kita tidak fikir yang ia sesuatu yang perlu, tetapi dialog berterusan antara kumpulan yang mewakili agama-agama...Islam dan bukan Islam...sudah memadai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda di Angkasapuri di sini, hari ini.

Ditanya isu kalimah Allah yang melibatkan sensitiviti penganut agama Islam dan Kristian di negara ini, Muhyiddin berkata perbincangan secara tertutup antara pertubuhan kedua-dua agama itu sudah diadakan dan akan diteruskan.

"Kadang-kadang faedahnya lebih baik begitu (secara tertutup)...ini cara berhemah pasal bukan ada kepentingan politik.

"Ini untuk mencari satu titik pertemuan, mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana yang aman dan saling hormat-menghormati," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut berdialog dan menjelaskan pelbagai isu semasa yang dibangkitkan mahasiswa Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara serta wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, Muhyiddin melancarkan laman web politik rasmi pertama beliau My-Malaysia, yang antara lain memaparkan aktiviti kemasyarakatan dan politik, koleksi ucapan dan liputan berita dalam dan luar negara mengenainya.

Laman web itu juga mempunyai medium interaksi dua hala di antara Muhyiddin dengan rakyat dan boleh dilayari di http://www.my-malaysia.com.my.

"Hari ini, saya telah lancarkan laman web peribadi sebagai wadah untuk kita berkomunikasi. Saya berharap saudara-saudari akan menggunakan laman web ini untuk kita memberikan pandangan secara langsung mengenai apa sahaja isu," katanya ketika berucap melancarkan laman web itu.

Muhyiddin berkata penubuhan laman web itu juga sebagai usaha untuk mendekati dan berinteraksi dengan dengan anak-anak muda dengan menerima pandangan dan kritikan mereka.

"Anak-anak muda sekarang inginkan kerajaan yang telus, dalam erti kata lain menjelaskan dan menjawab apa saja isu yang dibangkitkan (dan) kerajaan komited untuk berbuat demikian. Dan untuk itu, kita akan terus mendekati anak-anak muda melalui media sosial," katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga aktif berinteraksi melalui laman web 1Malaysia, Twitter dan Facebook dan anggota-anggota Kabinet juga telah diminta untuk berinteraksi dengan rakyat melalui media sosial itu.

"Justeru itu, saya ingin ingatkan anak-anak muda untuk menggunakan media sosial dan membuat kritikan secara berhemah. Walaupun kita berbeza pendapat, usah ketepikan adab dan budaya," katanya. - Bernama

Friday, January 29, 2010

Perhimpunan Agung Umno 28 hingga 30 Oktober

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini menetapkan 28 hingga 30 Oktober depan sebagai tarikh Perhimpunan Agung Umno 2010, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, mesyuarat peringkat cawangan akan diadakan antara 1 Mei hingga 15 ini Jun manakala mesyuarat perwakilan bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pula akan berlangsung dari 16 Jun hingga 16 Julai ini.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, Jawatankuasa Pengurusan dan Pejabat Umno akan mengemaskinikan keanggotaan parti untuk mengetahui senarai sebenar keanggotaan parti pada masa ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT pertama tahun ini di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Katanya, setiap pimpinan peringkat perlu mengambil berat mengenai kemasukan anggota baru supaya ianya dipermudahkan dan berusaha secara berterusan menambah bilangan anggota baru.

"Kemaskini senarai keahlian di peringkat bahagian dijadual selesai pada 10 Mac dan senarai keahlian dipamerkan pihak bahagian selama 21 hari antara 15 Mac hingga 5 April.

"Pada 6 April hingga 15 April pula adalah tarikh penghantaran senarai keahlian ke ibu pejabat Umno," katanya.

Najib juga berkata, program Juara Rakyat yang dilancarkan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada 9 Januari lalu akan diperluaskan dengan program susulan diadakan di Kedah dari 5 hingga 7 Februari ini.

Katanya, program susulan itu dilancarkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata, selain menetapkan tarikh, mesyuarat MT juga mengambil maklum mengenai beberapa inisiatif kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan cadangan untuk memperkenalkan Model Ekonomi Baru.

"MT telah memberi beberapa input kepada program kerajaan itu untuk dipertimbangkan," katanya. - Bernama

Gempa bumi 6.0 skala Ritcher gegar Vanuatu

SYDNEY: Gempa bumi berukuran 6.0 skala Ritcher menggegarkan dasar laut Vanuatu di kepulauan Pasifik, menurut agensi Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Agensi itu berkata, gempa yang berlaku jam 8.20 petang (waktu Vanuatu) dicatatkan pada kedalaman 85 kilometer.

Bagaimanapun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Hawaii tidak mengeluarkan amaran susulan kejadian itu.

Pergeseran PKR, DAP sudah lama: BN Pulau Pinang

GEORGETOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang melihat pertelingkahan antara pemimpin DAP dan Parti Keadilan rakyat (PKR) di negeri itu sudah lama berlaku sejak pakatan pembangkang mengambil alih terajui pentadbiran kerajaan negeri daripada BN selepas pilihan raya umum 2008.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan, berkata gabungan pembangkang yang juga perkahwinan dengan mempunyai kepentingan untuk memenuhi hasrat pemimpinnya dan bukan untuk kebaikan parti lebih-lebih lagi rakyat.

"Mereka (pembangkang) kini telah menampakkan belang mereka yang sebenar dan sudah terdapat tanda-tanda berlaku keretakan dalam pakatan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teng mengulas kenyataan pedas yang dikeluarkan oleh bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang antara lain menyifatkan Ketua Menteri, Lim Guan sebagai seorang diktator, cauvanis dan berfikiran komunis.

Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, berkata beliau percaya Zahrain yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru sudah lama memendam rasa sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Saya diberitahu bahawa pemimpin PKR dan Pas tidak mempunyai kuasa untuk melahirkan pandangan mereka dalam mesyuarat exco kerajaan negeri," katanya.

Beliau sedih kerana PKR dan Pas yang mewakili orang Melayu di Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa dan pengaruh di dalam kerajaan negeri.

"Kerajaan Pulau Pinang hanya ditadbir oleh seorang pemimpin sementara yang lain tidak dibenarkan memberi sebarang pendapat terhadap kenyataan Lim," katanya.

Timbalan Pengerusi MCA Pulau Pinang, Eng Hiap Boon pula berkata, Zahrain bertindak demikian hanya kerana mahu partinya diberi peranan lebih besar dalam kerajaan negeri dan mahu menunjukkan kepada orang Melayu bahawa PKR membuat kerja untuk rakyat.

"Mereka (PKR) mahukan bahagian yang lebih besar dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai DAP dan ini juga adalah sebahagian daripada tindakan mereka untuk membuktikan kepada pengundi mereka bahawa mereka membuat kerja," kata Eng. - Bernama

RTM diberi hak siar 35 perlawanan Piala Dunia 2010

SEPANG: Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini diberi hak sebagai penyiar berlesen Piala Dunia FIFA 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan bermula 11 Jun hingga 12 Julai ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata menerusi hak itu RTM akan menyiarkan 35 perlawanan dengan 24 siaran secara langsung dan 11 siaran tertunda.

"RTM berjaya mendapatkan pakej tawaran rancangan percuma sebanyak 26 jam dan sepuluh minit untuk siaran di TV1 dan TV2. Hampir semua penjadualan siaran langsung perlawanan akan bermula pada 11 malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Rais menyaksikan majlis menandatangani perjanjian RTM sebagai penyiar berlesen antara RTM yang diwakili Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf dengan pemegang hak siaran teristrial eksklusif Piala Dunia FIFA 2010 yang diwakili Pengarah Urusan Esprit Media Sdn Bhd, Datuk Ahmad Zaharul Annuar.

Rais berkata, dianggarkan lebih 18 juta penonton akan menyaksikan siaran langsung dan tertunda itu.

"RTM kali ini juga menerima undian yang baik apabila rata-rata perlawanan membabitkan pasukan dari negara terbaik di dunia seperti England, Portugal dan Brazil memihak kepada RTM," katanya.

Beliau berkata, sementara menanti perlawanan bermula penonton akan disajikan dengan siaran menarik lain.

RTM telah menjadi penyiar utama sejak Piala Dunia 1974, 1978, 1986, 1990, 1994, 1998, 2002 dan 2006 dan tema untuk penyiaran rasmi tahun ini ialah "Sorakan 1Malaysia 1Dunia". - Bernama

Selesai isu kaum, agama secara tertutup: Musa Hitam

KUALA LUMPUR: Isu agama dan perkauman yang timbul sejak akhir-akhir ini sewajarnya ditangani menerusi perbincangan oleh golongan pakar secara tertutup tanpa terlalu banyak publisiti, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, hanya perbincangan secara tertutup antara wakil agama yang dapat membantu menyelesaikan konflik antara agama.

"Selepas tragedi 13 Mei 1969 selama dua tahun kita mengadakan perbincangan dengan NGO yang mewakili pelbagai kau.

dan bidang secara tertutup tanpa publisiti.

"Mereka semua datang setelah diminta hadir untuk berbincang, kami bertengkar, bertelagah pun ada tetapi tiada publisiti," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Sumbangan untuk Tabung Bencana Indonesia di sini hari.

Musa berkata, publisiti hanya diberi selepas panel dalam perbincangan dapat mencapai persefahaman dan keputusan.

Beliau berkata, sepanjang menjadi menteri (1981-1986), isu sedemikian sudah timbul berkali-kali dan ia telah dapat diselesaikan secara kompromi yang tertentu.


"Tiada sesiapa yang membuat kenyataan selepas setiap perjumpaan tetapi kami meneruskan pertemuan seminggu sekali," katanya.

Musa berkata, begitu juga semasa beliau menjadi Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia antara 1999-2002, sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali wakil dan organisasi agama datang ke Suhakam untuk bertukar-tukar fikiran.

"Waktu itu soal penggunaan kalimah Allah belum timbul lagi, mereka hanya datang untuk merapatkan hubungan dan meningkatkan persefahaman. Paling penting, tiada berprofil tinggi dan tiada publisiti...saya jemput mereka dan mereka datang.

"Pada mesyuarat pertama biasalah keadaan agak tegang, tapi kali kedua kali ketiga, kita jemput pakar sekali dan dengan adanya sesi soal jawab, ketegangan makin berkurang," katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata isu sensitif membabitkan agama dan kaum sepatutnya dibincangkan secara tertutup kerana tahap kefahaman demokrasi di negara ini masih rendah.

"Akibat kurangnya kefahaman mengenai demokrasi boleh mendorong sebilangan kecil rakyat di negara ini bertindak di luar batasan.

"Saya percaya dalam demokrasi ada batasannya," katanya ketika menjawab soalan seorang peserta pada program bicara perdana bersama Dr Mahathir di Perpustakaan Negara di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, demokrasi di negara ini tidak boleh disamakan dengan demokrasi di negara Barat yang telah diamalkan sekian lama dan negara akan menerima nasib buruk sekiranya kebebasan digunakan secara melampau.

"Disebabkan itu, kerajaan sebelum ini telah menetapkan isu sensitif tidak dibincangkan secara terbuka," katanya.

Lebih 300 peserta menyertai program itu yang terdiri daripada pelajar sekolah, mahasiswa universiti dan kakitangan awam. - Bernama

Hishammuddin enggan ulas lanjut kes 10 tahanan ISA

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, enggan mengulas lanjut laporan bahawa penahanan 10 individu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Khamis lalu ada kaitan dengan pengebom warga Nigeria, atas alasan faktor keselamatan.

"Saya tidak boleh berkongsi maklumat lanjut. Ini membabitkan soal keselamatan. Kami sedang memantaunya.

"Mereka ada kaitan di peringkat antarabangsa dan akan menjejaskan keselamatan negara kita jika kami tidak mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di sini hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas laporan media yang mendakwa tahanan terbabit ada kaitan dengan warga Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab, 23, yang ditahan di Amerika Syarikat selepas lelaki itu cuba meletupkan bahan letupan di atas pesawat Amerika Syarikat pada Krismas lalu.

Hishammuddin juga enggan mendedahkan bila dan di mana mereka ditahan dan menyatakan Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan pertubuhan risikan antarabangsa dalam operasi itu.

"Saya perlu memberikan sedikit maklumat tetapi tidak sampai ke tahap menjejaskan penyiasatan," katanya.

Semalam, Hishammuddin mengumumkan 10 individu ditahan mengikut IAS atas dakwaan mempunyai kaitan dengan pengganas. - Bernama

Thursday, January 28, 2010

GTP: Menteri mesti pamer prestasi baik

KUALA LUMPUR: Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) menetapkan menteri mempamerkan prestasi yang baik mengikut dan akan bertanggungjawab jika mereka tidak memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian masing-masing.

Mengikut pelan itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau (Najib) telah menjalankan sesi penilaian prestasi secara individu dengan semua menteri beliau.

Dalam sesi penilaian tersebut, Perdana Menteri mempertanggungjawab menteri terhadap prestasi mereka dalam petunjuk awalan prestasi utama menteri (MKPI).

Beliau juga memberi sokongan kepada menteri untuk membantu mereka memperbaiki prestasi serta mencabar sasaran dan rancangan penyampaian yang sedang mereka rangka untuk tahun 2010.

Hasil daripada sesi penilaian PM-menteri, MKPI untuk 2010 telah dipersetujui. Prestasi berdasarkan sasaran ini akan dinilai pada bulan Mei/Jun dan November/Disember ini.

Pada tahun 2010, MKPI dijangka disebarkan ke seluruh perkhidmatan awam.

Seperti bidang keberhasilan utama negara (NKRA), bidang keberhasilan menteri (MKRA) dan MKPI ini hanyalah permulaan dan akan diperhalusi dan diperbaiki selanjutnaya mengikut peredaran masa.

Inisiatif serta tindakan yang menyokong pelaksanaan ke arah mencapai sasaran ini juga merupakan penetapan awal, yang akan dimansuh, diganti atau dipertingkat jika sasaran tidak tercapai.

"Yang penting hanya penyampaian hasil sebenar dan nyata yang dapat dilihat oleh rakyat," mengikut GTP.

MKRA dan MKPI haruslah konsistan dengan keutamaan negara, iaitu NKRA dan dengan peredaran masa, ia akan disebarkan ke seluruh perkhidmatan awam untuk memastikan penyampaian hasil.

Pada April 2009, menerusi pelantikan kabinet baharu, Perdana Menteri telah mengumumkan pendekatan baharu ke arah kerajaan yang lebih telus dan bertanggung jawab yang memberi tumpuan terhadap penyampaian untuk rakyat.

Untuk itu Najib memperkenal paradigma baharu untuk meningkatkan prestasi dan menyampaikan hasil dengan menggunakan bidang keberhasilan utama dan petunjuk prestasi utama.

Selaras dengan amalan Najib yang mengutamakan pencapaian transformasi melalui kepimpinan yang berasaskan prestasi, menteri dan kakitangan awam kanan dipertanggungjawabkan untuk menambah baik MKRA mereka, serta pelaksanaan KPI menteri dalam bidang-bidang tersebut.

Tiga bidang tumpuan untuk menteri dan kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ialah meningkatkan pengendalian bekalan elektrik dengan mengurangkan tempoh gangguan bekalan, meningkatkan pengunaan tenaga boleh diperbaharui menggunakan aplikasi teknologi hijau serta meningkatakan bekalan air terawat dan meluaskan perkhidmatan pembetungan di kawasan bandar.

Mengikut GTP, Nilai Indeks Purata Tempoh Gangguan sistem (SAIDI) untuk Sabah ialah 1,947 minit berbanding 78 di Semenanjung Malaysia, dan 273 untuk Sarawak pada tahun 2008.

"Sasaran kami ialah mengurangkan nilai SAIDI bagi Sabah kepada 700 minit dan Semenanjung Malaysia kepada 60 minit menjelang akhir 2010," menurut GTP.

Bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui berdasarkan aplikasi teknologi hijau, kementerian telah mula meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui melalui teknologi hidro mini dan sumber, biojisim, biogas dan sumber solar.

"Sasaran kami, pada tahun 2010, 65 MW elektrik akan dijana daripada sumber boleh diperbaharui dan 2013 KW daripada sumber solar," mengikut GTP.

Mengikut pelan itu, 96.5 peratus daripada kawasan bandar mempunyai akses kepada air terawat dan permatuhan 95 peratus kepada piawaian air yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, satu nilai yang ingin dikekalkan.

MKRA dan MKPI untuk Kementerian Perumahan dan kerjaan tempatan adalah meningkatkan bilangan kediaman untuk isi rumah berpendapatan rendah di kawasan bandar, menyokong penyambungan semula projek kediaman swasta sedia ada yang berlesen tetapi terbengkalai dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan bagi pihak berkuasa tempatan.

Pada tahun 2010, kementerian itu merancang menyediakan tambahan 3,056 unit untuk disewa menerusi program Perumahan Rakyat.

Kementerian juga mahu menyokong penyambungan semula projek kediaman swasta sedia ada yang berlesen tetapi terbengkalai.

"Kami prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh para pembeli yang terlibat dengan projek perumahan terbengkalai," kata GTP.

"Oleh itu, kami akan menggunakan khidmat pemaju sedia ada untuk membantu mereka mengatasi masaalah yang mungkin dihadapi, atau melantik pemaju baharu., untuk memastikan 35 projek disambung semula pada tahun 2010," kata pelan itu.

Kementerian juga mahu meningkatkan khidmat pelanggan dan kemudahan apabila berinteraksi dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini akan direalisasikan dengan mempunyai lebih banyak PBT (tambahan 11 PBT pada tahun 2010) yang mempunyai ePBT dalam talian, bagi membolehkan rakyat membuat bayaran cukai taksiran PBT, cukai tanah serta membuat aduan atau memberi maklum balas secara elektronik. - Bernama

GTP tidak perlu pembiayaan tambahan

KUALA LUMPUR: Beroperasi dengan bajet sedia ada, Program Transformasi Kerajaan (GTP) tidak akan memerlukan sebarang pembiayaan tambahan, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala, hari ini.

Idris yang bertanggungjawab bagi keseluruhan pelaksanaan dasar dan strategi GTP, berkata kerajaan akan memanfaatkan sumber sedia adanya sejajar dengan langkah untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

"Cabarannya adalah untuk kami mengusahakan apa yang kami telah ada, jadi jelas sekali bagi 2010, bajet menyatakan bahawa kita perlu meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak lima hingga enam peratus dan mengurangkan perbelanjaan tahunan sebanyak RM24.5 bilion berbanding bajet tahun lalu.

"Sekarang kita perlu mengusahakan sumber yang ada," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pelan Hala Tuju GTP oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengenai peruntukan RM18 bilion yang akan dibelanjakan bagi pembangunan prasarana asas luar bandar, Idris berkata ini akan berada di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, yang dijangka dilancarkan pada Jun tahun ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan mengenai jumlah perbelanjaan kerajaan bagi GTP.

Idris berkata, terdapat banyak cara bagi kerajaan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan di bawah GTP tanpa membelanjakan terlalu banyak wang.

Sebagai contoh, dari segi menyediakan bekalan air dan elektrik ke kawasan luar bandar, terdapat banyak kaedah alternatif yang boleh digunakan pada kos yang rendah, katanya.

"Dari segi elektrik, kami boleh menyediakan bekalan ke kawasan luar bandar dengan menggunakan elektrik hibrid, sebahagian penjanaan diesel serta solar.

"Apabila kami mula melakukannya, kami boleh menyediakan elektrik pada kos yang rendah. Semua amalan terbaik di dunia yang kami temui dan kaji adalah apa yang akan kami laksanakan bagi memastikan kami melaksanakannya dengan kaedah kami," katanya.

Mengenai pemerolehan kerajaan, Idris berkata kerajaan serius bagi memastikan pembidaan yang kompetitif dan kaedah pembidaan terhad akan digunakan bagi mendapatkan nilai untuk wang.

"Kami mahu nilai, kualiti terbaik dan pada masa yang sama kos rendah kerana kami harus melaksanakannya dalam bajet yang telah diusulkan. Kini kami perlu mencari jalan dan kaedah mengenai bagaimana melakukannya dengan lebih cekap," katanya. - Bernama

GTP: Infrastruktur asas luar bandar dipertingkat

KUALA LUMPUR: Berikut adalah intipati Pelan hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar:

*Mensasarkan jarak 210 kilometer (km) jalan raya baru yang diturap di Semenanjung, sementara 192km di Sabah dan 145km di Sarawak pada tahun ini.

*Menambah bilangan rumah yang baru dibina/dibaikpulih sebanyak 5,819 buah di Semenanjung, 4,988 di Sabah dan 5,819 di Sarawak.

*Meningkatkan rumah dengan akses kepada bekalan elektrik daripada 99 peratus kepada 99.6 peratus di Semenanjung, daripada 67 peratus kepada 72.6 peratus di Sarawak dan 77 peratus kepada 80.8 peratus di Sabah pada tahun ini.

*Meningkatkan rumah dengan akses bekalan air bersih atau dirawat daripada 89 peratus kepada 91.8 peratus bagi Semenanjung, dari 57 peratus kepada 62.1 peratus di Sarawak dan dari 57 peratus kepada 58.7 peratus di Sabah pada tahun ini.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah selaku agensi bertanggungjawab akan memastikan rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar dihubungkan kepada rangkaian jalan perhubungan dan mempunyai akses perumahan, bekalan elektrik serta air bersih.

Sasaran yang ditetapkan kementerian adalah tinggi dengan membina 11 kali ganda panjangnya kilometer jalan raya atau dinaik taraf, 2.5 kali ganda bilangan rumah yang dibina atau dibaik pulih, lima kali ganda bilangan rumah dengan bekalan elektrik serta menghubungkan tujuh kali ganda bilangan rumah dengan bekalan air bersih dalam tempoh tiga tahun yang akan datang berbanding yang telah dicapai sepanjang tempoh 2006-2008.

Bagi menjayakan sasaran kerajaan itu, kementerian berkenaan mengambil beberapa inisiatif antaranya menggunakan kaedah penyampaian yang inovatif, cepat dan kos terendah misalnya membina rumah direka bentuk standard, janakuasa hibrid solar, elektrik mikro hidro, telaga tiub, telaga graviti atau pemulihan air hujan.

Selain itu, kementerian juga berusaha memperbaiki proses administrasi sedia ada bagi mengurangkan masa yang diperlukan misalnya proses tender terbuka untuk jalan raya tanpa mengetepikan tadbir urus yang baik.

Inisiatif lain juga dipilih termasuk mempermudah dan bekerja rapat dengan pembekal untuk memastikan bekalan dan kesediaan jentera, bahan seperti pendawaian elektrik, pra campuran serta sumber manusia seperti kontraktor dan pakar perunding serta memastikan pengurusan program yang efektif dengan memantau projek dengan rapi agar ia disampaikan tepat pada masa dan mengikut bajet.

Melalui sasaran kementerian dalam mempertingkatkan kemudahan infrastruktur asas di kawasan luar bandar, lebih kurang 1,900km jalan raya akan dibina di Sabah dan Sarawak, dengan lebih kurang 70 peratus akan diturap dan bakinya merupakan jalan batu kerikil.

Hasil daripada program ini dijangkakan tambahan 800,000 orang akan dihubungkan kepada rangkaian jalan raya.

Setiap satu daripada jalan raya yang akan dibina dan dinaik taraf di seluruh negara telah dikenalpasti secara terperinci dari segi lokasi dan destinasi, jumlah jarak, lebar, bahan yang digunakan, agensi pelaksana dan masyarakat yang hendak dihubungkan.

Di bawah program kementerian ini, sebanyak 50,000 rumah akan dibina untuk golongan miskin dan miskin tegar iaitu dua pertiga daripadanya akan dibina di Sabah dan Sarawak, manakala selebihnya di Semenanjung.

Bagi memastikan penerima bantuan betul-betul berkelayakan, agensi di peringkat daerah dan negeri diberi tanggungjawab mengenalpasti golongan terbabit.

Rumah-rumah yang dibina atau dibaik pulih akan dibina mengikut rekabentuk standard, dibahagikan kepada bahan-bahan komponen iaitu alang keluli, papan lapis, lepa, pasir, campuran siap dan lain-lain, serta kos buruh standard, bagi memastikan kualiti setiap rumah terjamin serta penjimatan kos pembinaannya.

Sementara itu, setelah mengambil kira analisis faedah kos yang teliti, kementerian memutuskan untuk menggunakan teknologi penjanaan kuasa teragih seperti janakuasa hibrid solar atau elektrik mikro hidro untuk sesetengah kawasan luar bandar yang terletak jauh daripada infrastruktur penjanaan dan transmisi elektrik.

Sasaran kementerian adalah sebanyak 140,000 rumah tambahan akan disambungkan dengan bekalan elektrik 24 jam, dengan sebanyak 95 peratus daripadanya di Sabah dan Sarawak.

Pada masa ini, di Semenanjung telah mempunyai kadar liputan bekalan elektrik yang tinggi iaitu lebih kurang 99 peratus, manakala di Sabah sebanyak 77 peratus dan Sarawak 67 peratus.

Bagi bekalan air bersih atau air dirawat pula, sebanyak 360,000 rumah disasarkan disambung dengan kemudahan itu, dan di bawah program ini 36 projek loji rawatan air akan dibina untuk memberikan bekalan kepada kawasan di luar bandar.

Sesetengah kawasan luar bandar yang agak jauh daripada loji rawatan air serta paip utama, keputusan dibuat untuk menggunakan kaedah alternatif seperti telaga tiub, telaga graviti atau pemulihan air hujan. - Bernama

GTP: Penyampaian pantas tumpuan kerajaan

KUALA LUMPUR: Pelan hala tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diumumkan hari ini akan membolehkan kerajaan memberi tumpuan terhadap perubahan asas bagi menyampaikan hasil penting dengan cepat untuk memastikan setiap rakyat Malaysia dapat menikmati hasil pembangunan negara.

"Kami sedar pendekatan seperti dahulu tidak boleh digunakan lagi bagi melaksanakan transformasi kerajaan dan mencapai hasil yang besar dengan cepat.

"Oleh yang demikian, kami melaksanakan transformasi kerajaan dengan kaedah baharu yang radikal, sembil belajar daripada kejayaan dan pengajaran peristiwa lepas serta menerusi usaha transformasi kerajaan di negara lain," menurut Jabatan Perdana Menteri menerusi (GTP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, hari ini.

Kaedah baru itu merangkumi enam elemen iaitu menginstitusikan kaedah bekerja yang baharu, mengumpul input dan maklum balas secara proaktif, bertindak sebagai kontrak antara pihak kerajaan dan rakyat, memperkenal 16 prinsip pelaksanaan dan menerbitkan laporan tahunan yang telus dan objektif.

Elemen lain ialah penubuhan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang berperanan sebagai pemangkin kepada proses transformasi dan membantu kementerian menyampaikan bidang keutamaan mereka.

Pelan hala tuju itu menyebut walaupun Malaysia sudah bergerak maju sehingga ke tahap ini, ekonominya masih berada dalam risiko kekal sebagai ekonomi "pendapatan sederhana".

Oleh itu, kerajaan mesti melaksanakan penambahbaikan ketara bagi mengurangkan kadar jenayah dan rasuah, mempertingkat tahap pendidikan, infrastruktur asas luar bandar dan pengangkutan awam di bandar, serta meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah.

Skop GTP adalah luas, merangkumi setiap kementerian dalam kerajaan, namun pada masa yang sama, masih tertumpu terhadap bidang keutamaan yang penting buat rakyat.

"Malaysia tidak mempunyai banyak masa lagi bagi mencapai Wawasan 2020, dan kami telah mendengar tuntutan rakyat yang jelas mahukan hasil, bukan sekadar lebih banyak lagi perancangan dan input semata-mata.

"Tumpuan kami adalah pada perubahan asas bagi menyampaikan hasil penting dengan cepat. Kami yakin akan dapat melaksanakannya.

"Apabila negara kita berjaya kelak, pasti banyak negara lain akan menyanjungi Malaysia dan mahu belajar bagaimana kita mengubah negara dengan cara mentrasformasi kerajaan," menurut pelan hala tuju itu.

Bagaimanapun, ia mengakui penyampaian keberhasilan ini bukan suatu perkara yang mudah.

"Pasti akan terdapat pelbagai rintangan di sepanjang perjalanan, termasuk sasaran yang tidak tercapai, inisiatif yang tidak berjaya, halangan pihak yang berkepentingan, tentangan terhadap sebarang perubahan dan cabaran baharu yang tidak dijangkakan," menurut pelan hala tuju itu.

Kerajaan juga akan terus mendapatkan input sebelum membuat keputusan, menggalakkan penyertaan bersama dalam proses penyampaian, mendapatkan maklum balas yang teratur dan mengukur persepsi mengenai pelaksanaan. - Bernama

Seoul, Pyongyang kembali tegang


ASKAR Korea Selatan menjalani latihan di Yanggu selepas ketegangan meningkat.

Tentera dua negara jiran berbalas serangan di sempadan, dakwa latihan berterusan

SEOUL: Korea Utara melepaskan bedilan, manakala Korea Selatan melancarkan tembakan amaran dekat sempadan yang meningkatkan ketegangan di antara dua negara itu, meskipun Pyongyang mendakwa ia adalah sebahagian daripada latihan tenteranya yang berterusan.

Korea Utara melancarkan 80 bedilan manakala Korea Selatan bertindak balas melepaskan 100 tembakan amaran dari pangkalan marin di sebuah pulau berhampiran sempadan laut, kata pegawai Ketua Turus Bersama yang enggan dikenali.

Beliau berkata tiada kematian atau kerosakan dilaporkan, dan ledakan meriam yang dilepaskan Korea Utara jatuh di perairan sendiri manakala Selatan melepaskan tembakan ke dalam air.

Lewat semalam, Korea Utara mengeluarkan kenyataan menyatakan ia melepaskan bedilan di luar perairannya sebagai sebahagian latihan ketenteraan tahunan dan akan terus berbuat demikian.

“Latihan seperti itu akan dihalakan ke kawasan laut sama pada masa depan,” kata Jeneral Tentera Rakyat Korea Utara dalam kenyataan diterbitkan agensi berita Korea Pusat.

Agensi berita Yonhap Korea Selatan melaporkan, Korea Utara melepaskan lima bedilan lewat semalam. Kejadian berlaku dua hari selepas Korea Utara menetapkan dua zon larangan pelayaran di kawasan itu ter-masuk beberapa perairan yang diawasi Korea Selatan, sehingga 29 Mac depan.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan menghantar mesej kepada Korea Utara melahirkan kebimbangan s mengenai tindakan membedil itu sambil menyifatkannya mengundang ‘ketegangan tidak diperlukan’ antara kedua belah pihak.

Ia juga menggesa Korea Utara menarik balik zon larangan berkenaan dengan menganggapnya ‘provokasi serius’ dan melanggar perjanjian gencatan senjata selepas Perang Korea.

Setiausaha Presiden Korea Selatan, Chung Chung-kil mengadakan mesyuarat kecemasan bagi pihak Presiden Lee Myung-bak, yang sedang melawat India. Lee sudah dimaklumkan mengenai insiden itu.

Sempadan laut barat, digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diketuai Amerika Syarikat ketika berakhirnya Perang Korea 1950-53, adalah punca ketegangan berterusan di antara dua negara Korea itu.

November lalu, kapal laut dua negara berbalas tembakan yang menyebabkan seorang kelasi Korea Utara maut dan tiga lagi cedera. Mereka terbabit dalam pertelingkahan berdarah sama pada 1999 dan 2002.

Seorang pemerhati percaya, ketegangan terbaru menunjukkan perlunya perdamaian rasmi antara dua negara itu. - AP

10 ditahan ISA


Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Sembilan rakyat asing, seorang warga tempatan dipercayai terbabit kumpulan pengganas

PUTRAJAYA: Seramai 10 individu, termasuk sembilan rakyat asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa, ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kumpulan itu yang ditahan, baru-baru ini, dipercayai merancang melakukan serangan dan Malaysia sedang bekerjasama dengan agensi di luar negara berhubung kes itu.

Beliau enggan mengulas sama ada Malaysia menjadi sasaran serangan itu, tetapi

menjelaskan kumpulan terbabit ditahan kerana memberi ancaman serius kepada negara.

"Ini soal keganasan. Kita tidak berkompromi dan sangat serius menangani isu keganasan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Hishammuddin bagaimanapun enggan memberi sebarang maklumat mengenai 10 individu terbabit termasuk kewarganegaraan sembilan rakyat asing berkenaan yang dikatakan baru memasuki negara ini.

Beliau turut menafikan laporan portal berita kononnya 50 orang ditangkap mengikut ISA.

Sementara itu, menurut sumber, kumpulan itu dipercayai mempunyai hubungan dengan pelajar Nigeria, Umar Farouk Abdul Mutallab, yang ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana cuba meletupkan pesawat Northwest Airlines ketika menghampiri Lapangan Terbang Detroit, Michigan, pada Krismas lalu.

Umar Farouk, 24, yang dikatakan sebagai ejen al-Qaeda, kini menghadapi enam tuduhan termasuk cubaan membunuh 290 penumpang dan cuba menggunakan senjata pemusnah.

Sumber itu berkata, siasatan masih dilakukan termasuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai tujuan sembilan warga asing berusia lingkungan 20-an itu memasuki negara ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kumpulan itu cuba mempengaruhi serta merekrut ahli baru.

Terdahulu, Hishammuddin menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara kementeriannya dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia untuk melaksanakan pengambilan anggota Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai pengawal keselamatan.

Mengenai desakan supaya Jabatan Imigresen menangguhkan operasi besar-besaran menahan pendatang tanpa izin, Hishammuddin berkata: "Kita akan pertimbangkan sekiranya mereka jujur dan komited untuk bersama menangani masalah ini."

Jabatan Imigresen sebelum ini dilaporkan akan melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara mulai 15 Februari ini bagi menangkap dan mengusir pendatang tanpa izin.

Mengulas penahanan penulis blog Aduka Taruna, bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dan kerajaan negeri, Hishammuddin berkata, pihaknya sedang menyiasat dan mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kita akan memastikan mereka yang melakukan perbuatan seperti ini tidak terlepas walaupun mereka sudah memohon maaf," katanya.

GTP: Ekonomi perlu tumbuh 8 peratus untuk maju

KUALA LUMPUR: Walaupun berjaya melakar kemajuan, usaha keras antara kerajaan dan rakyat masih diperlukan bagi memastikan Malaysia mencatatkan pertumbuhan lapan peratus setahun, sekaligus membolehkannya mencapai status negara maju menjelang 2020.

Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dikeluarkan hari ini menyatakan terdapat beberapa cabaran perlu dihadapi Malaysia dalam mencatatkan pertumbuhan lapan peratus setahun sehingga 2020 kerana kadar pertumbuhan Malaysia telah menurun sejak krisis ekonomi Asia 1997.

Kadar pertumbuhan Malaysia telah merudum daripada purata kira-kira sembilan peratus setahun pada 1991-1997 kepada purata 5.5 peratus setahun pada 2000-2008.

"Pelbagai faktor menyumbang kepada tahap pertumbuhan Malaysia yang perlahan. Antaranya, Malaysia tidak lagi menjadi pusat eksport dan perkhidmatan kos rendah. Peralihan telah berlaku dengan kewujudan ekonomi baru seperti India, Vietnam dan China," demikian menurut pelan itu.

Pelan Hala Tuju PTK itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini hari ini.

Kadar tumbesaran tahunan kompaun (CAGR) pelaburan langsung asing ke Malaysia dari 2000 hingga 2007 hanya satu peratus berbanding 30 peratus bagi India, 12 peratus bagi Vietnam dan 10 peratus bagi China.

Menurut pelan hala tuju itu, terdapat keperluan segera bagi kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan kerana negara berada di dalam kedudukan kewangan yang mencabar.

Ia menyatakan keupayaan Malaysia membiayai peningkatan prestasi menjadi terhad, memandangkan kedudukan fiskal yang merosot sejak 1997.

"Negara kita sedang menghadapi dilema. Terdapat keperluan segera bagi mengurangkan perbelanjaan dan pada masa yang sama kerajaan masih perlu mencapai hasil ekonomi dan sosial dengan cepat dan terbaik.

"Oleh itu, kita perlu mengutamakan peruntukan dana bagi aspek terpenting, meningkatkan produktiviti dan kecekapan menggunakan kaedah baru yang lebih pantas dan mudah serta mengurangkan subsidi dan kemerosotan ekonomi secara beransur-ansur," katanya.

Sementara itu, Malaysia juga perlu memperbaiki prestasi dalam aspek sosial kerana prestasi Malaysia dalam beberapa aspek sosial utama memerlukan penambahbaikan bagi mencapai matlamat sosial Wawasan 2020.

Tahap keselamatan awam bertambah buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini seperti jenayah kecurian harta dan jenayah kekerasan yang telah meningkat.

Persepsi rakyat bahawa amalan rasuah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini diperkukuhkan apabila kedudukan Malaysia merosot dalam Persepsi Rasuah Transparency International.

Pada tahun lalu, kedudukan Malaysia jatuh sembilan tangga kepada 56 berbanding 47 tahun sebelumnya.

Dalam pendidikan, telah wujud tanda-tanda bahawa Malaysia masih di belakang pada tahap hasil pembelajaran pelajar.

Berdasarkan Kajian Trend Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa pada tahun 2007, 20 peratus pelajar Malaysia gagal memenuhi tahap minimum dalam kedua-dua subjek terbabit. - Bernama

GTP: Taraf hidup rakyat berpendapatan rendah ditingkatkan

KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk mempertingkatkan taraf kehidupan isirumah berpendapatan rendah:

* Membasmi bilangan 44,000 isi rumah yang miskin tegar sepenuhnya pada akhir 2010.

* Mengurangkan tahap insiden kemiskinan daripada 3.6 peratus kepada 2.8 peratus antara tahun 2010 dan 2012.

* Meningkatkan jumlah usahawan wanita baru yang terlatih daripada bilangan isirumah berpendapatan rendah sebanyak 2,000 orang yang akan dilaksanakan secara berperingkat antara tahun 2010 hingga 2012.

Takrifan isi rumah berpendapatan rendah (LIH) adalah isi rumah yang mempunyai jumlah pendapatan kurang daripada atau bersamaan dengan RM2,000 sebulan, yang mewakili 75 peratus median pendapatan di negara ini.

Miskin pula adalah isi rumah dengan jumlah pendapatan kurang daripada atau bersamaan dengan RM750 sebulan, manakala miskin tegar menggambarkan isi rumah yang mempunyai jumlah pendapatan kurang daripada atau bersamaan dengan RM440 sebulan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah agensi yang bertanggungjawab memastikan jurang sosio-ekonomi antara golongan kaya dan miskin tidak terus melebar.

Pelbagai inisiatif dan insentif telah dan akan diperkenalkan oleh kementerian dalam memastikan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang disasar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) itu tercapai.

Sebagai permulaan, kerajaan telah memastikan pengagihan bantuan kebajikan Persekutuan diterima pada hari pertama setiap bulan bagi membantu mengurangkan kesempitan hidup golongan miskin dan miskin tegar bermula pada 1 September 2009 bagi Semenanjung dan 1 Januari 2010 bagi Sabah dan Sarawak.

Kerajaan juga akan menyediakan bantuan perumahan kepada mereka yang memerlukan sepertimana yang diumumkan dalam Bajet 2010 dengan menawarkan kira-kira 44,000 rumah kos rendah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) kepada penyewa pada harga kira-kira RM21,500 sehingga RM35,000 seunit, selain menawarkan 74,084 rumah sewa pada harga yang rendah.

Bagi melengkapkan golongan miskin dan miskin tegar dengan keupayaan untuk meningkatkan pendapatan mereka, kerajaan akan memperkenalkan program Gerakan 1Azam bertujuan membina keupayaan mereka dan mewujudkan peluang pekerjaan melalui gabungan pekerjaan dan keusahawanan.

Gerakan 1Azam terbahagi kepada beberapa inisiatif iaitu 1 Azam Kerja, 1 Azam Niaga, 1 Azam Khidmat dan 1 Azam Tani yang berlandaskan konsep pemacuan produktiviti dan pengurusan bantuan, bagi mengangkat taraf kehidupan golongan miskin dan miskin tegar.

Selain itu kerajaan juga mensasar pembukaan 50 buah kedai runcit Jimat 1Malaysia tahun ini dengan satu kedai di setiap daerah menjelang 2011 bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan sasaran.

Kerajaan juga akan membangunkan mekanisme untuk memberi kredit mikro kepada isi rumah berpendapatan rendah yang layak bagi mereka memulakan perniagaan kecil supaya dapat beransur-ansur menghentikan mereka daripada bantuan kewangan jangka panjang kredit.

Sekurang-kurangnya satu projek perintis akan diperkenalkan bagi setiap negeri pada suku pertama 2011.

Dalam sektor kesihatan, kerajaan mensasarkan untuk menambah bilangan klinik kesihatan di bandar, luar bandar dan klinik kesihatan bergerak, iaitu sekurang-kurangnya satu klinik kesihatan bergerak bagi setiap negeri bagi membekalkan perkhimatan kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Langkah itu akan dapat membantu mengekalkan tahap kesihatan ahli keluarga dalam isi rumah berpendapatan rendah supaya mereka dapat terus bekerja bagi menyara keluarga, dan sebagai permulaan, Bajet 2010 memperuntukkan RM10 juta bagi menubuhkan klinik komuniti 1Malaysia di kawasan bandar.

Kerajaan juga akan memperluaskan bantuan kewangan kepada rakyat isi rumah berpendapatan rendah bagi membeli anggota badan tiruan dan prostetik, selain membina sekurang-kurangnya satu pusat prostetik di setiap negeri agar mereka yang memerlukannya dapat bekerja semula.

Kerajaan juga sedang mengkaji kaedah penetapan gaji minimum bagi membolehkan semua rakyat Malaysia mendapat gaji sekurang-kurangnya di tahap Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI) iaitu RM750 sebulan atau lebih kurang RM4.70 sejam, dan langkah ini tidak akan dilaksanakan sebelum 2012 dan akan dilaksanakan secara berperingkat supaya tidak memberi kejutan kepada majikan.

Inisiatif dalam bidang pendidikan akan terus dititik beratkan di mana kapasiti asrama bersubsidi akan ditambah bagi membantu pelajar yang memerlukan penginapan, misalnya daripada kawasan luar bandar, meneruskan pelajaran mereka.

Melalui pendidikan, kerajaan menjangka dapat melatih dan membangunkan tambahan 2,000 usahawan wanita daripada kalangan isi rumah, akan dilatih di antara 2010 dan 2012.

Selain itu, kerajaan juga meletakkan sasaran untuk semua isi rumah miskin tegar menikmati perlindungan insurans yang turut meliputi polisi kematian dan penyakit kritikal pada 2012, dan bagi mencapai sasaran itu, kerajaan akan bekerjasama dengan institusi insurans swasta bagi menawarkan skim insurans 1Malaysia.

Bagi memastikan kesemua inisiatif di atas dilaksanakan secara berkesan dan lancar, kementerian akan melaksanakan beberapa perubahan struktur antaranya menubuhkan entiti Perkhidmatan Pembangunan Sosial (SDS) bersepadu, menubuhkan Inspektorat Bebas Bagi Pembangunan Sosial dan menginteraksi pangkalan data.

Masyarakat awam pula diminta memainkan peranan untuk membantu pihak yang bertanggungjawab untuk mengenalpasti isi rumah berpendapatan rendah yang difikirkan layak menerima bantuan dan menolong mereka untuk mendaftar dalam e-Kasih melalui internet. - Bernama

Era baru bagi 1Malaysia dengan GTP

KUALA LUMPUR: Negara akan membuka lembaran baru 1Malaysia dengan pelaksanaan Model Ekonomi Baru dan pencapaian hasil Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Ini akan mendorong kepada bentuk ekonomi moden yang pesat, masyarakat yang bersatupadu dan kerajaan berwibawa bagi menangani isu-isu seperti penghijrahan keluar tenaga pakar, modal dan penyertaan positif dari semua kaum, menurut Pelan Hala Tuju GTP yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

"Misi perpaduan kita bukan sekadar demi keharmonian dan hubungan baik semata-mata sebaliknya apa yang penting ialah pembinaan sebuah negara Malaysia yang produktif dan berdaya saing serta pencapaian Wawasan 2020.

"Meskipun perjalanan kita menuju Wawasan 2020 mungkin sukar, kita yakin faedahnya lebih besar memandangkan kepelbagaian budaya yang terhasil dan kelebihan persaingan yang lebih banyak yang diwujudkan oleh pendekatan ini," katanya dalam laporan pelan itu.

Pelan itu menekankan pentingnya menggalakkan integrasi menerusi inklusif dalam mengurus polariti antara asimilasi dan pemisahan dalam masyarat pelbagai etnik di Malaysia.

"Sebagai negara, banyak isu yang dihadapi dan dikenalpasti oleh rakyat sebagai penting adalah polariti seperti antara kaya dan miskin, muda dan tua dan merentas agama, bangsa dan wilayah.

"Penyampaian enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam GTP akan mengurangkan ketidaksamaan dan mengurangkan perasaan tidak puas hati yang kadangkala dicetuskan dalam terma perkauman," katanya.

Enam NKRA adalah mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pendidikan, meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan pengangkutan awam bandar.

Pelan itu menyebut pelaksanaan Dasar Ekonomi baru (DEB) telah mendorong kepada "beberapa hasil yang tidak diingini", antaranya rasa kehilangan hak, diskriminasi dan malah rasa geram yang dirasai oleh bukan Bumiputera, yang disebabkan oleh sikap sesetengah pegawai di agensi-agensi tertentu.

Terdapat juga jurang pendapatan di kalangan masyarakat Bumiputera, menyebabkan rasa tidak puas hati semakin meningkat di kalangan segmen tertentu dalam masyarakat.

Faktor ini telah mendorong banyak rakyat Malaysia, terutamanya golongan profesional untuk bekerja dan tinggal di luar negeri serta penghijrahan bakat semakin bertambah serius.

Ditambah dengan penubuhan Ekuinas, dana equiti swasta untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dan sektor kewangan dan 27 sekter kecil telah diliberalisasikan, lebih banyak inisiatif sedang dirangka sebagai sebahagian daripada Model Ekonomi Baru yang dijangka diumumkan pada suku pertama tahun ini.

Kerajaan juga akan menaiktaraf kualiti sekolah kebangsaan supaya menjadi sekolah pilihan kepada semua pelajar dengan peruntukan kepada bahasa ibunda komuniti masing-masing menjadi antara langkah menangani sektor pendidikan dan perpaduan negara di bawah 1Malaysia.

Inisiatif lain termasuk mewujudkan sekolah asrama 1Malaysia dengan pelajar pelbagai kaum dan pemberian biasiswa kebangssan mengikut merit untuk pengajian di universiti antarabangsa.

Dalam memupuk kerajaan 1Malaysia, adalah dicadangkan supaya penyataan bangsa dalam borang kerajaan dihapuskan kecuali untuk tujuan bancian dan perangkaan.

Ia juga dicadangkan supaya lebih ramai orang Cina dan India digalak menyertai perkhidmatan awam manakala pegawai Bumiputera yang berasal dari Sabah dan Sarawak akan dinaiktaraf. - Bernama