Followers

Saturday, July 31, 2010

Gadis MLM diintip


Keratan akhbar muka depan Berita Harian kelmarin.
Keratan akhbar muka depan Berita Harian kelmarin.
30 pelabur serbu premis jualan langsung

KUALA LUMPUR: Selepas membongkar sindiket skim cepat kaya membabitkan pelaburan berjuta ringgit dua hari lalu, semalam polis menyerbu sebuah syarikat jualan langsung dan menahan pengurus besarnya berusia 40-an serta merampas pelbagai dokumen yang dikatakan ada kaitan dengan skim berkenaan.
Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu, polis turut merampas profil dan sijil pendaftaran serta produk kesihatan keluaran syarikat itu.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata hasil siasatan mendapati syarikat itu beroperasi secara haram selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membatalkan lesen mereka dua bulan lalu.

Difahamkan syarikat jualan langsung itu hanya untuk mengabui orang ramai daripada kegiatan skim cepat kaya mereka jalankan.

Rohaimi berkata, polis turut memantau lokasi persembunyian dan pergerakan gadis berusia lewat 20-an dipercayai dalang utama kegiatan itu yang akan ditahan bila-bila masa.
“Kita akan menahan lebih ramai individu dipercayai terbabit dalam penipuan sindiket skim cepat kaya berkenaan berikutan semakin ramai mangsa tampil membuat laporan polis sejak kes itu dibongkar. Sehingga semalam, sudah enam laporan polis dibuat.

Difahamkan, sindiket itu menawarkan skim pelaburan antara RM2,000 hingga RM41,000 dengan ahli disyaratkan mencari 10 ‘downline’ bagi mendapatkan pulangan modal, selain keuntungan lumayan setiap bulan.

Rohaimi berkata, serbuan ke atas syarikat jualan langsung itu dilakukan hasil maklumat upline penganjur skim cepat kaya berkenaan yang ditahan sebelum ini.

“Hanya pengurus besar syarikat dan keraninya berada di pejabat ketika serbuan dan memberi kerjasama penuh kepada polis untuk memeriksa segala dokumen, peralatan dan barangan diperlukan untuk membantu siasatan kes.

“Pengurus besar itu kemudian dibawa ke ibu pejabat JSJK, Bukit Perdana untuk disoal siasat dan proses dokumentasi. Beliau dipercayai mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu, termasuk membantu kita mengenal pasti jaringan operasi dan modus operandi mereka,” katanya.

Tidak sampai setengah jam serbuan dilakukan, premis berkenaan dikerumuni sekumpulan 20 hingga 30 pelabur yang cuba mendapatkan penjelasan daripada pengurusan syarikat mengenai status pelaburan mereka.

Suasana yang pada mulanya sedikit kecoh berjaya dikawal tanpa berlaku sebarang kekerasan, malah kumpulan berkenaan beredar selepas diminta berbuat demikian oleh anggota polis bertugas.

Rohaimi berkata, polis sedang menyiasat kemungkinan syarikat itu mempunyai cawangan lain di seluruh negara berikutan ahli mereka yang ramai, selain membabitkan jumlah pelaburan besar dikendalikan mereka yang dikatakan mencecah jutaan Ringgit.

Sementara itu, 43 daripada 59 individu yang ditahan dalam serbuan di empat kafe di Bandar Sunway, 27 Julai lalu dibebaskan semalam, manakala 16 lagi dilanjutkan tempoh tahanan reman mereka sehingga Isnin ini.

“Mereka yang masih direman adalah orang kanan dalang utama skim itu, khususnya bagi mempengaruhi ahli baru yang direkrut ‘downline’ mereka. Mereka ini tampil dengan kereta mewah, mengenakan pakaian jenama mahal dan bergaya seperti ahli perniagaan berjaya semata-mata untuk memperdayakan mangsa supaya melabur dalam skim itu,” katanya

PM seru generasi muda manfaatkan peluang pendidikan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak hari ini menggesa generasi muda negara ini supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan kerajaan untuk maju dalam pelajaran dan seterusnya mencapai cita-cita mereka.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan mengatur
bermacam-macam rancangan lain untuk memudahkan mereka mencapai matlamat dan
impian masing-masing.

Kata beliau inisiatif yang dimaksudkan termasuk pemberian biasiswa Jabatan
Perkhidmatan Awam kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Keputusan telah dibuat bahawa -- tidak kira Melayu, Cina, India atau
daripada mana-mana kumpulan etnik - semua pelajar layak mendapat biasiswa
sekiranya anda mendapat 9A+ atau lebih.

"Kerajaan ini akan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat di mana saja
dan saya yakin anda akan bersetuju dengan saya bahawa peluang berdasarkan merit
ini menunjukkan saya dan rakan-rakan saya benar-benar serius dalam melaksanakan
transformasi, sejajar dengan konsep 1Malaysia," kata Najib dalam blog beliau
www.1malaysia.com.my.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata prinsip meritokrasi ini perlu
dilaksanakan sejajar dengan prinsip keadilan sosial dan para pelajar yang
mendapat keputusan kurang daripada 9A+ kerana kurang bernasib baik daripada segi
sosioekonomi, juga akan dibantu untuk melanjutkan pelajaran.

"Sebagai contoh, seseorang pelajar yang hidup dalam keadaan miskin di
kawasan yang ternyata kurang beruntung, tetapi berupaya memperoleh keputusan
cemerlang walaupun terpaksa menghadapi keadaan yang serba kekurangan itu.

"Oleh kerana dia mempamerkan ketekunan dan semangat yang begitu tabah dalam
menghadapi keadaan mencabar itu, maka pelajar ini wajar dibantu untuk
melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Sebab itulah, beberapa bulan
lepas, saya menyaksikan beberapa geran diberi kepada pelajar yang tinggal di
Tumpat, Long Banga, Kanowit, Brickfields dan Putrajaya, sekadar menyebut
beberapa contoh," katanya.

Beberapa inisiatif lain juga akan dilaksanakan, yang menurut Najib, akan
beliau teliti secara peribadi.

Perdana Menteri berkata penjimatan hasil daripada langkah penyusunan semula
subsidi baru-baru ini juga akan disalurkan ke arah penyediaan lebih banyak
peluang pendidikan.


"Kepada pembaca muda yang mengikuti tulisan ini: ambillah peluang keemasan
ini untuk berjaya. Ini merupakan manifesto yng jelas bahawa kami bersedia
membantu anda. Kami mahu anda berjaya," katanya.

Najib menulis: "Kami telah mendengar keperluan anda dan permintaan oleh ibu
bapa anda melalui blog ini dan telah membuka laluan yang jelas untuk anda maju
dalam bidang akademik. Saya menggesa anda supaya mengambil peluang ini dengan
sepenuhnya untuk mencapai impian anda."

Najib juga menyeru ibu bapa dan guru supaya "membimbing serta menggesa
golongan muda kita agar memberi fokus terhadap usaha mencapai cita-cita mereka
melalui usaha secara tekun."

"Peringatkan mereka bahawa mereka akan diberi ganjaran sekiranya mendapat
gred yang tinggi dan jangan biarkan mereka lemah semangat. Pendidikan mereka
bermula di rumah," katanya. - BERNAMA

30 cedera gempa sederhana landa Iran

TEHRAN: Gempa berukuran 5.7 magnitud melanda utara Iran lewat semalam mengakibatkan 30 cedera serta kerosakan dilaporkan berlaku di beberapa perkampungan serta memutuskan rangkaian komunikasi.

Gempa melanda jam 6.21 petang waktu tempatan antara bandar Baygh dan Torbat-Heydarieh, di Wilayah Razavi, lapor agensi berita ISNA. "Kerosakan harta benda dan kecederaan dilaporkan berlaku akibat gempa," kata jurucakap polis.

Menurut pegawai di wilayah berkenaan, Mojtaba Sadeghian mengesahkan setakat ini 30 penduduk cedera.


Katanya, operasi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di runtuhan rumah dan bangunan sedang dilakukan. - AFP

Friday, July 30, 2010

Pemuda UMNO minta kerajaan kaji semula sistem 'saman ekor'

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO meminta kerajaan mengkaji semula kaedah pelaksanaan arahan notis polis POL 170A atau lebih dikenali sebagai 'saman ekor' berikutan ramai pemilik kenderaan tidak tahu mengenai saman yang dikeluarkan terhadap mereka.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata pemilik kenderaan yang menganggap mereka tidak bersalah atas saman itu atau langsung tidak menerima apa-apa notis saman terpaksa membayarnya untuk membolehkan pembaharuan cukai jalan dan mengelakkan diri daripada didakwa.
“Pemuda UMNO menganggap perkara ini adalah tidak adil bagi pemilik kenderaan dan berharap kerajaan akan mengkaji semula dan menangguhkan pelaksanaan sistem ‘saman ekor’.
“Kami juga menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak membenarkan saman itu dikompaun. Keputusan ini juga amat membebankan rakyat yang tidak mampu menyelesaikan jumlah saman yang begitu besar apabila memperbaharui cukai jalan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pemuda UMNO syor pensyarah, mahasiswa dibenar aktif politik

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNo berharap kerajaan turut memberi kebenaran kepada pensyarah dan juga mahasiswa untuk membabitkan diri dalam politik seperti diberikan kepada guru.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata langkah itu boleh melahirkan barisan pemimpin politik yang terbaik.
"Sudah tiba masa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda bagi membolehkan pelajar dan pensyarah membabitkan diri dengan politik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO pergerakan itu, di sini hari ini.
Beliau yang menyambut baik keputusan membenarkan guru aktif di dalam politik juga bersetuju dengan syarat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, agar guru terbabit tidak membawa fahaman politik ke dalam bilik darjah.

Pada Selasa lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, mengumumkan bermula 1 Ogos ini pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik. - BERNAMA

Jalan Tawau-Semporna dibuka semula

TAWAU: Jalan raya utama di Kilometer 42 Jalan Tawau-Semporna yang ditutup kepada lalu lintas setelah kedua-dua belah tebingnya runtuh malam tadi, kini dibuka semula untuk kenderaan.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata beliau dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa jalan berkenaan mula dibuka kepada lalu lintas dari kedua-dua arah pada 2 petang.
Jalan utama untuk destinasi Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan itu tidak dapat dilalui apabila tebing kiri dan kanannya runtuh akibat hakisan banjir yang berlaku di kawasan itu malam tadi.
Keadaan itu menyebabkan beratus-ratus kenderaan terkandas. - BERNAMA

Gengsterisme di sekolah perlu dilihat secara holistik: TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu gengsterisme membabitkan pelajar sekolah perlu dilihat secara holistik bagi mengenal pasti sama ada masalah itu berlaku berpunca dari sekolah atau kerana adanya elemen luar.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata ini kerana pada masa kini, terdapat kecenderungan untuk mengaitkan perbuatan remaja di luar kawasan sekolah dengan status mereka sebagai pelajar sekolah.
"Memang semua anak muda pada peringkat umur tertentu adalah pelajar sekolah, tetapi kita perlu lihat apa yang mendorong perlakuan mereka itu (gengsterisme), mungkin ada kaitan dengan persekitaran mereka di luar sekolah," katanya ketika diminta mengulas gejala gengsterisme yang membabitkan pelajar sekolah sehingga ada yang dicederakan.
Terbaru tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Permai, Ampang dekat sini dibelasah teruk kerana enggan menjadi anggota kumpulan kongsi gelap yang aktif merekrut pelajar sekolah menengah untuk menjadi anggota kumpulan mereka.

Muhyiddin yang ditemui pemberita selepas majlis meraikan kejayaan Kontinjen Malaysia ke Sukan Sekolah-Sekolah Asean kedua 2010 di Sekolah Sukan Bukit Jalil di sini, mengakui bimbang dengan trend yang berlaku itu.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata sekiranya terbukti pelajar-pelajar sekolah melakukan jenayah, hukuman berat harus diambil terhadap mereka.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua pihak termasuk ibu bapa dan sekolah memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kawasan persekitaran sekolah adalah kondusif dan selamat bagi mengelakkan berlakunya insiden pelajar sekolah dicederakan atau masalah-masalah lain yang boleh berlaku.
Polis pula disaran meningkatkan rondaan di kawasan sekolah bagi mengelak golongan yang "mencurigakan" memberi kesan kepada pelajar, katanya. - BERNAMA

Jalan utama Tawau-Semporna-Kunak terputus

TAWAU: Jalan raya di kilometer 42, Jalan Tawau-Semporna terputus lewat malam tadi mengakibatkan ratusan pengguna jalan
raya dari kedua-dua arah tidak dapat meneruskan perjalanan ke destinasi
masing-masing. Tinjauan Bernama di lokasi mendapati tebing kiri dan kanan jalan raya itu
runtuh akibat hakisan banjir yang berlaku di kawasan itu malam tadi.

Jalan raya berkenaan merupakan jalan utama bagi pengguna untuk destinasi
Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.

Seorang penumpang bas yang menggunakan jalan itu Ahmad Hadi, 56, berkata bas
yang dinaikinya dari Sipitang tiba di kawasan itu pada 5 pagi dan ketika itu berpuluh-puluh kenderaan telah terkandas.

"Saya dimaklumkan seorang pengguna jalan raya yang mula-mula sampai di
tempat kejadian bahawa jalan berkenaan runtuh pada kira-kira 10 malam
tadi," katanya. -- BERNAMA

Kerajaan setuju tubuh Koperasi Permodalan Felda 2: PM

PUTRAJAYA: Kerajaan setuju tubuhkan Koperasi Permodalan FELDA 2 (KPF 2) dengan dana awal RM10 juta disediakan agensi itu sebagai model pembangunan ekonomi generasi baru FELDA.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Bas sekolah perlu ada pemandu kedua, konduktor: Shahrizat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan diminta menggubal satu polisi yang mewajibkan setiap bas dan van sekolah mempunyai pemandu kedua atau konduktor bagi menjamin keselamatan kanak-kanak khususnya daripada jenayah seksual.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kehadiran pemandu kedua atau konduktor khususnya daripada kalangan wanita diharap dapat menangani isu seperti rogol kanak-kanak yang semakin meningkat.
"Kita ada 'Child Protection Policy' yang mana kita tak boleh letak kanak-kanak ini dalam keadaan yang mengundang bahaya. Jadi saya fikir kes rogol kanak-kanak ini telah membuktikan yang kita tak boleh ada hanya seorang pemandu saja," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau yang sebelum itu merasmikan program "Clove Femme City: Streets Ahead for Women 2010" mengulas mengenai kejadian beberapa murid perempuan sekolah rendah yang dicabul dan dirogol oleh pemandu bas dan van sekolah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata beliau juga sudah meminta Peguam Negara agar mempercepatkan siasatan kes tersebut.

Program tiga hari sehingga Ahad ini yang dianjurkan oleh Clove, sisipan bulanan akhbar The Star, menawarkan pelbagai bengkel dan pameran termasuk mengenai kecantikan, kesihatan, fesyen serta hobi. - BERNAMA

Thursday, July 29, 2010

Vaksin H1N1 hanya berbaki 6,800 dos sehingga semalam

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu sehingga semalam vaksin influenza A (H1N1) masih berbaki 6,800 dos daripada 400,000 dos yang disediakan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata baki dos itu dijangka akan habis dalam masa terdekat.
"Sehingga semalam, sebanyak 371,185 dos vaksin H1N1 telah diberikan kepada 194,743 anggota barisan hadapan dan 176,442 yang tergolong kumpulan berisiko tinggi," katanya ketika menjawab soalan Senator Doris Brodie.
Beliau berkata, daripada 400,000 dos yang dibekalkan kepada kementeriannya, 200,000 adalah untuk anggota barisan hadapan manakala bakinya adalah untuk mereka yang berisiko tinggi, berasaskan prinsip "siapa cepat dia dapat".

Sementara itu, Rosnah berkata orang awam juga boleh mendapatkan vaksin influenza bermusim tiga serangkai terkini yang turut mengandungi strain pandemik H1N1 di klinik dan hospital swasta jika memerlukannya. - BERNAMA

2 gempa bumi kuat landa Mindanao

KUALA LUMPUR: Dua gempa bumi kuat mengegarkan Mindanao, Filipina, petang ini, namun kedua-duanya tidak mencetuskan ancaman tsunami, menurut Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Gempa bumi pertama berukuran 6.5 pada skala Richter berlaku di kedudukan 6.4 darjah Utara dan 123.3 darjah Timur pada 3.31 petang, iaitu kira-kira 571 km timur laut Lahad Datu, Sabah.
Gempa bumi kedua pula yang berukuran 5.2 pada skala Richter berlaku di kedudukan 6.6 darjah Utara dan 123.6 darjah Timur pada 4.55 petang, iaitu kira-kira 608 km timur laut Lahad Datu, Sabah. - BERNAMA

Wednesday, July 28, 2010

Muhyiddin ingatkan guru jangan bawa ideologi politik dalam bilik darjah

SEOUL: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengingatkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah yang dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, supaya tidak membawa ideologi politik mereka ke dalam bilik darjah.
Sambil meminta mereka mematuhi pekeliling berkaitan peraturan pegawai awam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, menegaskan bahawa guru berdepan dengan tindakan disiplin jika ada laporan mereka melanggar peraturan ditetapkan.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan membenarkan guru aktif semula dalam politik bagi membolehkan mereka memberi sumbangan kepada masyarakat di luar waktu persekolahan.
"Terpulang kepada guru nak sokong mana-mana parti politik. Apabila kita sudah benarkan (mereka menyertai politik), itu memang sudah diberi pertimbangan oleh KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan).

"Kita tidak boleh diskriminasi...harapan kita sebagai kerajaan Barisan Nasional, (biarlah) mereka dapat sokong kita. Kalau mereka nak sokong pembangkang, kita tidak boleh sekat," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau akan mengakhiri lawatan rasmi empat hari ke Korea Selatan esok.

Semalam, Mohd Sidek mengumumkan bahawa pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Keputusan itu yang membabitkan 140,000 guru mewajibkan mereka mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dulu sebelum boleh bergiat dalam politik.

Pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan tindakan sedang diambil untuk mewartakannya.

Sebelum ini, hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran akan mengeluarkan maklumat lebih terperinci mengenai keputusan itu tidak lama lagi.

Beliau berkata, keputusan itu sebenarnya mempunyai kebaikan kerana mengikut sejarah, peranan guru sebagai pemimpin dalam masyarakat sejak dahulu lagi adalah amat dihargai.

"Lebih-lebih lagi sekarang, guru perlu menjadi pemimpin dalam masyarakat. Guru mempunyai masa selain mengajar dan masa luar waktu (persekolahan) itu boleh dimanfaatkan untuk bersama masyarakat.

"Dengan cara ini mereka boleh berperanan lebih cergas dengan syarat membuat permohonan, bukan kelulusan automatik," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak berkompromi dalam perkara membabitkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan guru yang mahu berpolitik perlu memastikan mereka menunaikan tanggungjawab itu dengan sempurna.

Mengulas kenyataan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan bahawa terdapat tindakan disiplin terhadap pelajar oleh sesetengah sekolah didapati tidak bersesuaian dan perlu diganti, Muhyidin berkata, perkara itu terpulang kepada pihak sekolah.

"Kita sudah sediakan peraturan. Jika guru disiplin mengenakan hukuman (dan tidak sesuai dengan kes langgar disiplin), pengetua atau guru besar boleh lihat kes ini. Gunalah budi bicara.

"Guru disiplin boleh menghukum (pelajar) tapi janganlah lebih daripada yang sewajarnya," kata beliau.

Mengenai garis panduan hukuman disiplin yang disarankan supaya dikemas kini oleh Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, Muhyiddin berkata, kementerian boleh membaikinya.

"Jika ada garis panduan yang diguna pakai tidak jelas, kita boleh baiki. (Kementerian) harap hukuman diberi adil dan mengambil kira kepentingan pelajar." - Bernama

Kerajaan belum cadang benarkan pegawai siswazah lain sertai politik: PM

PUTRAJAYA: Kerajaan belum bercadang membenarkan pegawai siswazah selain kumpulan pendidikan daripada terbabit dalam politik bagi mengelakkan konflik kepentingan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, ini kerana pegawai siswazah kumpulan lain mempunyai kuasa eksekutif berbanding guru.
Najib mengulas pindaan Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Ketika mengumumkan keputusan itu kelmarin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata kebenaran itu juga tidak membabitkan Pengetua dan Guru Besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam agensi kerajaan.

Perancis isytihar perang ke atas al-Qaeda

PARIS: Perancis mengisytihar perang terhadap al-Qaeda dan melancarkan serangan pertama ke atas kem jaringan keganasan di utara Afrika selepas pengganas membunuh seorang pekerja bantuan negara itu yang ditawan April lalu.
Perisytiharan dan serangan itu menandakan anjakan strategi Perancis yang sebelum ini merahsiakan tindakannya dalam memerangi keganasan.
“Kami sedang berperang dengan are at war with al-Qaeda,” kata Perdana Menteri, Francois Fillon, sehari selepas Presiden Nicolas Sarkozy mengumumkan kematian Michel Germaneau, tebusan berusia 78 tahun itu.
Pekerja bantuan itu diculik pada 20 atau 22 April lalu di Niger dan kemudian dibawa ke Mali.

"Pembunuh tidak akan terlepas daripada hukuman," tegas Sarkozy.

Perancis mengadakan kerjasama secara sulit dengan negara sekutu rantau itu - Mauritania, Mali, Niger dan Algeria, di mana kumpulan pengganas semakin aktif.

Perancis dijangka mengaktifkan perjanjian dengan negara terbabit untuk menangani kumpulan pengganas berkenaan di sana. - AP

Penulis blog perlu patuhi etika: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa penulis blog supaya berpegang teguh dengan kod etika untuk menulis perkara yang benar demi kebaikan masyarakat supaya mereka dan blog masing-masing lebih dihormati.

Bekas perdana menteri itu berkata, kod etika berkenaan perlu diwujudkan secara sukarela demi kebaikan penulis blog sendiri kerana ia bakal membina reputasi mereka di mata orang ramai.
Dr Mahathir yang juga seorang penulis blog berkata, masyarakat kini mempunyai akses kepada blog, satu medium yang hampir di luar kawalan mana-mana pihak berkuasa, dan jika mereka mematuhi kod etika untuk menulis perkara yang benar sahaja, lebih ramai orang awam akan membacanya.
"Jika kita bersandarkan kepada kod etika sebegini dalam setiap penulisan kita, saya fikir lama-kelamaan, orang ramai akan menghormati blog. Jika kita tidak menulis perkara yang benar, mereka akan meninggalkannya seperti yang berlaku kepada media biasa ketika ini," katanya dalam ucap tama pada persidangan Blogger Asia dan Media Sosial 2010 di sini hari ini.

Persidangan dua hari itu dihadiri 400 peserta dari benua Asia.

Mahasiswa juga wajar dibenar berpolitik: Saifuddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pembabitan mahasiswa dalam politik.
Saifuddin berkata, beliau akan mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang.
"Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita memberi peluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian," katanya di sini, sebentar tadi.

Tuesday, July 27, 2010

Wakil politik, pendidikan mahu UPSR/PMR dikekalkan

PUTRAJAYA: Sebahagian wakil politik dan pendidikan yang menyertai perbincangan meja bulat kali kedua mengenai cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini, cenderung kepada pengekalan kedua-dua peperiksaan itu tetapi dengan beberapa penambahbaikan.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata segala pendapat yang diberikan pada perbincangan hari ini amat baik, boleh dikatakan sebahagian bersetuju dimansuhkan dan sebahagian lagi beranggapan perlu dikekalkan tetapi dengan beberapa perubahan.
"Ada juga pendapat mahu UPSR dihapuskan dan kekalkan PMR dan ada juga yang berpendapat sebaliknya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dr Abdul Rahman berkata banyak juga wakil berpendapat apa juga perubahan atau pemansuhan yang akan dilaksanakan, penekanan kepada kualiti guru perlu dititikberatkan.

"Terdapat juga cadangan agar kemahiran teknikal perlu diperkenalkan sebaik selepas UPSR, jangan tunggu terlalu lama kerana jika selepas tingkatan empat baru diperkenalkan, masanya terlalu singkat," katanya.

Profesor Emeritus Datuk Isahak Haron dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) berkata, kedua-dua peperiksaan itu tidak perlu dimansuhkan tetapi perlu diubah pendekatan serta fungsinya kerana fungsi sekarang lebih berorientasikan peperiksaan.

"Kekalkan UPSR dan PMR berdasarkan pendekatan rujukan-norma yang sedia ada dan mengekalkan fungsi pendidikan di sekolah sebagai alat pemilihan seperti sekarang," katanya.
Isahak yang juga pakar rujuk Majlis Perundingan Melayu, urut mencadangkan UPSR dan PMR dikekalkan sebagai peperiksaan awam tetapi penaksirannya dibuat berdasarkan ''standard-based assesment'' ke arah menentukan kualiti pendidikan negara.

"Atau pun memansuhkan UPSR dan PMR dan biarkan sekolah masing-masing melaksanakan peperiksaan atau penaksiran, tidak ada peperiksaan atau penaksiran awam untuk melihat secara makro sejauh mana pelajar kita menerima pendidikan yang diharapkan.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga dan Pengurus Sekolah China Malaysia (Dong Zong), Poh Chin Chua berpendirian bahawa pendidikan peringkat rendah memerlukan satu sistem penilaian standard untuk seluruh negara memandangkan keadaan yang unik di negara ini.

"Jadi sebelum UPSR dimansuhkan, Kementerian Pelajaran seharusnya mengumumkan satu formula alternatif yang baru agar masyarakat umum dapat meneliti dan mengkaji secara mendalam, lalu mengemukakan maklum balas yang membina untuk rujukan kementerian pula," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran tidak harus membuat keputusan dengan tergesa-gesa mengenai pemansuhan UPSR, malah seharusnya mengumumkan formula alternatif terlebih dahulu dan mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat secara menyeluruh.

"Keputusan sama ada UPSR dimansuhkan atau tidak boleh ditetapkan kemudian. Sebelum terhasilnya formula alternatif baru yang mendapat sokongan umum, seluruh masyarakat persatuan kami dengan tegasnya tidak menyetujui langkah kementerian memansuhkan UPSR," katanya.

Pengerusi Biro Pendidikan MIC Tan Sri T Marimuthu berkata kedua-dua peperiksaan terutamanya UPSR perlu dikekalkan untuk menilai produktiviti sekolah dan pelajar di negara ini.

"Lebih penting daripada memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu, kita seharusnya memperbaiki sistem penilaian sedia ada dan memfokuskan kepada pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan seharusnya menjalankan kajian terperinci terlebih dulu berhubung pemansuhan kedua-dua peperiksaan berkenaan dan mencari sistem alternatif yang lebih baik sekiranya mahu memansuhkannya.

Perbincangan meja bulat kali kedua itu dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, disertai 75 termasuk wakil politik, tokoh pendidikan, pemimpin pelajar, badan bukan kerajaan, wakil pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, pegawai tinggi Kementerian Pelajaran, wartawan dan wakil daripada industri buku. - BERNAMA

Kerajaan teruskan sistem sekolah pelbagai aliran

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus berpegang kepada sistem persekolahan pelbagai aliran selagi tiada sebarang cadangan baru yang disepakati oleh semua kaum, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Oleh itu, katanya Kementerian Pelajaran tidak bercadang untuk mengadakan persidangan meja bulat bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan mewujudkan sekolah satu aliran di negara ini.
"Apa sahaja inisiatif untuk mewujudkan sistem persekolahan satu aliran perlu dimulakan pemimpin masyarakat yang mewakili setiap kaum," katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi Kementerian Pelajaran di Dewan Negara di sini hari ini.
Semasa mencelah perbahasan semalam, Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah mencadangkan supaya diwujudkan sekolah satu aliran, kerana menurutnya sistem pelbagai aliran sedia ada bercanggah dengan semangat gagasan 1Malaysia untuk mewujudkan perpaduan kaum.

Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah untuk menambahbaik kurikulum di sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan selaras dengan matlamat meningkatkan perpaduan kaum.

"Misalnya, di peringkat sekolah jenis kebangsaan, kita telah menambah masa pengajaran bahasa kebangsaan dan telah menyerapkan unsur-unsur cinta negara dan semangat 1Malaysia dalam kurikulum sedia ada.

"Kita juga akan memperkenalkan mata pelajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan bagi membolehkan orang Melayu bergaul dengan lebih rapat dengan kaum Cina dan India," katanya.
Mohd Puad turut menegaskan bahawa isu polarisasi kaum yang berlaku di negara ini bukan disebabkan oleh sistem persekolahan pelbagai aliran. - BERNAMA

PAS tidak perlu orang tengah bincang perpaduan: Nik Aziz

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata PAS tidak memerlukan sebarang orang tengah termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria untuk berbincang mewujudkan perpaduan dengan UMNO.
Nik Aziz berkata, jika perpaduan antara dua parti itu mahu diwujudkan, perbincangan mesti dilakukan secara terus antara Presiden kedua-dua parti berkenaan.
Sehubungan itu, katanya tawaran Harussani untuk menjadi orang tengah membentuk perpaduan antara dua parti terbabit adalah satu kesilapan kerana tidak memahami politik.
"Saya berasakan Harussani sudah tidak senang diri atau berasa tidak betul sekiranya beliau tidak campur tangan dalam politik dan tindakannya untuk terbabit dalam isu ini dilihat sebagai satu tindakan betul.

"Setiap orang alim (mufti) mesti campur tangan dalam politik, bukan hanya dihadkan kepada perkara agama seperti nikah kahwin saja, malah mereka perlu campur tangan juga dalam politik, maka betul tindakan Harussani itu.

"Namun begitu, disebabkan dia (Harussani) tidak biasa dengan politik, maka dia sanggup menjadi orang tengah antara parti terbabit (PAS dan UMNO), di sini silapnya, mana boleh jadi orang tengah (bagi isu ini).

"Kalau saya hendak mengadakan rundingan dengan UMNO, saya akan berunding terus dengan Presidennya, Najib (Datuk Seri Najib Razak). Salahnya (Harussani) sebab cuba jadi orang tengah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), di sini, hari ini.
Beliau memberitahu demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan Harussani yang sanggup menjadi orang tengah bagi menyatukan PAS dan UMNO.

Demam denggi: 91 kematian antara Januari hingga kelmarin

PUTRAJAYA: Sebanyak 27,415 kes demam denggi termasuk 6,636 pelajar direkodkan antara Januari hingga kelmarin di seluruh negara membabitkan 91 kematian termasuk 14 pelajar kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Kerajaan kaji bina stadium khusus untuk bola sepak

KOTA BHARU: Kajian akan dibuat bagi kemungkinan membina stadium khusus untuk bola sepak seperti yang diamalkan di negara maju, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata, ia bukan saja dapat mengurangkan kos penyelenggaraan sesebuah stadium tetapi juga bagi membiasakan pemain dengan konsep padang bola sepak sebenar yang tidak berkongsi dengan pelbagai acara sukan lain.
“Ia adalah antara kajian yang diambil kira kementerian dalam agenda pembangunan sukan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10," katanya selepas merasmikan Karnival Red Wariors di sini malam tadi.
Pada majlis itu, beliau turut menandatangani sijil Malaysia Book of Records kerana kejayaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memperkenalkan produk sendiri berkaitan sukan bola sepak.

Selain itu, Ahmad Shabery berkata, kerajaan juga bercadang mewujudkan akademi bola sepak di setiap daerah untuk melatih generasi muda dalam sukan berkenaan.

“Setakat ini kita telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara, yang membabitkan pihak berkaitan seperti Kementerian Pelajaran, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan media,“ katanya.

Katanya, kerajaan memerlukan RM50 juta setahun untuk mengendalikan program akademi berkenaan. - Bernama

Monday, July 26, 2010

Senator syor Pendidikan Islam, Moral syarat wajib lulus SPM

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Dewan Negara hari ini mengutarakan cadangan supaya mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dijadikan syarat wajib lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Senator Datin Paduka Nor Hayati Onn berkata, pengetahuan agama dan nilai murni adalah dua perkara penting yang diperlukan untuk meningkatkan kekuatan rohani di kalangan remaja.
Katanya, isu sosial adalah masalah besar yang turut dialami negara maju seperti Australia dan Amerika Syarikat dan jumlah kes pembuangan bayi di negara berkenaan tetap tinggi meskipun mempunyai undang-undang khusus berkaitan kesalahan itu.
"Isu keruntuhan moral perlu diubati dengan input pembaikan sahsiah dan moral," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata, sebahagian daripada mereka yang terbabit dalam kes pembuangan bayi adalah terdiri daripada golongan remaja yang berpendidikan tinggi dan juga lulusan universiti.

Nor Hayati berkata, walaupun berpelajaran, mereka tidak mempunyai kekuatan rohani yang tinggi untuk melawan nafsu jahat dalam diri.

"Masyakarat berilmu tanpa nilai moral yang tinggi tidak akan menjamin negara akan bebas daripada perkara-perkara yang keji," katanya.
Beliau berkata, statistik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sebelum ini menunjukkan 485 kes pembuangan bayi dicatatkan antara tahun 2004 dan 2009, yang paling ramai membabitkan remaja antara 18 dan 25 tahun. - BERNAMA

H1N1: Pelajar MRSM Pendang hampir pulih

ALOR SETAR: Seramai 34 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang yang disyaki dijangkiti Influenza A (H1N1) sejak minggu lalu kini dilaporkan beransur pulih dan keadaan mereka tidak membimbangkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Marzukhi Mat Isa, berkata keadaan pelajar berkenaan hampir kembali normal dan mereka dijangka bebas dari simpton itu tidak lama lagi.
"Pejabat Kesihatan Daerah Pendang bagaimanapun diarahkan untuk terus memantau perkembangan itu dan MRSM tersebut telah dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa," katanya.
Pelajar terbabit disyaki menghidap H1N1 selepas didapati mengalami demam panas yang kuat dan sakit tekak yang teruk dan hasil kajian sampel darah dan kahak yang diambil daripada 78 pelajar, 34 daripada mereka disyaki mempunyai simptom H1N1.

Pelajar terbabit dikuarantin di asrama sekolah manakala yang tinggal berdekatan dibenarkan pulang dan dikuarantin di rumah. - BERNAMA

Bayar cukai RM1,303.18 juta bukti FELDA tidak bankrap: Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sudah membayar cukai berjumlah RM1,303.18 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tempoh empat tahun bermula 2004, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, pengumuman data yang pertama kali dibuat itu bertujuan menepis isu FELDA bankrap yang masih dimainkan pembangkang.
"Data ini adalah kali pertama diumumkan. Tujuan diumumkan adalah untuk membuktikan dakwaan bahawa FELDA bankrap adalah tidak benar.
"Ini (cukai) adalah usaha FELDA untuk membantu kerajaan dan rakyat. Cukai ini boleh digunakan kerajaan untuk membantu rakyat secara keseluruhan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pengurus FELDA dan Pelancaran Manual Pengurusan Rancangan (MPR) FELDA di Dewan Perdana FELDA di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Besar FELDA, Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan Presiden Kumpulan FELDA Global Venture Holdings (FGVH), Datuk Sabri Ahmad.

Ahmad berkata, persoalan di sebalik dakwaan itu adalah bagaimana FELDA, sebuah organisasi kerajaan yang tidak mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan, mampu membayar cukai sebanyak itu sekiranya ia telah bankrap.

Beliau berkata, jumlah RM1,303.18 juta cukai yang dibayar kepada kerajaan itu membuktikan bahawa FELDA adalah sebuah organisasi yang cukup stabil dari segi kewangan.
"Jika organisasi (telah) bankrap bagaimana ia boleh membayar cukai dengan jumlah bayaran yang begitu tinggi. Ini menunjukkan Felda adalah organisasi yang stabil," katanya.

Berhubung tindakan saman RM200 juta terhadap akhbar Suara Keadilan selepas tempoh notis yang diberikan berakhir 7 Julai lalu, Ahmad berkata, perkara itu masih di bawah penelitian panel peguam yang dilantik tetapi yang pasti tindakan saman akan tetap diteruskan.

Akhbar Suara Keadilan pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu menyiarkan berita utama di muka hadapan bertajuk "FELDA Bangkrap" (Bankrap) dan empat lagi artikel dalam keluaran sama.

Mengulas penerbitan Manual Pengurusan Rancangan, Ahmad berkata, terbitan kali ini lebih menyeluruh dan komprehensif yang mengambil kira misi, visi dan teras-teras FELDA hasil semakan semula terhadap manual yang diterbitkan kira-kira 10 tahun lalu.

Beliau berkata, manual yang digubal merangkumi semua bidang tugas antaranya pengurusan kebun, pembangunan komuniti peneroka dan generasi baru, sumber manusia, kewangan, kontrak serta pengurusan tanah dan pembangunan usahawan itu diyakini dapat membantu semua petugas rancangan melaksanakan tugas lebih cekap dan berkesan.

Ahmad berkata, kandungan MPR itu juga akan dikemaskini dari semasa ke semasa bersesuaian dengan perubahan dasar-dasar kerajaan dan FELDA mengenai pembangunan tanah dan komuniti peneroka secara menyeluruh.

"Selain memberikan manfaat kepada semua kakitangan rancangan FELDA, penerbitan itu juga sejajar dengan slogan FELDA Hanya Satu Di Dunia dan dasar kerajaan iaitu Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan," katanya. - Bernama

KWSP lulus RM500.8 juta di bawah skim pengeluaran kesihatan: PM

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM500.8 juta dikeluarkan oleh 93,914 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah Skim Pengeluaran Kesihatan, sejak ia diperkenalkan pada November 1994 hingga bulan lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata anggota yang mengeluarkan caruman di bawah skim ini sebahagian besarnya adalah mereka yang berpendapatan kurang dari RM2,500 sebulan (71 peratus), pendapatan RM2,500 hingga RM4,999 sebulan (17 peratus), pendapatan RM5,000 hingga RM9,999 (sembilan peratus) dan pendapatan lebih RM10,000 (tiga peratus).
"Skim Pengeluaran Kesihatan yang diluluskan oleh Lembaga KWSP bertujuan untuk membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai kos rawatan perubatan penyakit kritikal yang dihadapi oleh ahli dan tanggungan ahli yang dibenarkan," katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Senator Zamri Yusuf, di Dewan Negara hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata tahun lalu, bilangan pencarum yang membuat pengeluaran ialah 4,601 orang dengan amaun pengeluaran sebanyak RM37.3 juta.

Manakala, sehingga Jun tahun ini, seramai 1,794 pencarum telah membuat pengeluaran dengan amaun pengeluaran sebanyak RM14.4 juta.

Beliau berkata, bayaran dibuat dalam tempoh tidak melebihi 21 hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima sekiranya maklumat yang diberikan oleh anggota adalah lengkap dan teratur.

Sementara itu, Najib berkata bermula 15 Jun tahun ini, senarai penyakit kritikal untuk skim berkenaan telah diperluaskan daripada 13 jenis penyakit kepada 39 penyakit.
Antara penyakit kritikal yang dibenarkan di bawah Skim Pengeluaran Kesihatan adalah Anemia Aplastik, buta, kegagalan buah pinggang, penyakit Parkinson, hilang upaya kekal, lelah asma yang teruk, Leukimia dan Intellectual Impairment Due to Accident or Sickness. - BERNAMA

Sunday, July 25, 2010

Kementerian cari kaedah terbaik sekat pornografi di internet: Rais

BATU PAHAT: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menjadikan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung keperluan menapis bahan pornografi di internet sebagai "perisai baru" untuk menangani gejala negatif itu yang semakin berleluasa.
Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kementerian akan mencari kaedah terbaik bagi menangani masalah itu tanpa disalahertikan oleh sebarang pihak yang kononnya mengagungkan kebebasan maklumat tanpa batasan di internet.
"Saya amat mengalu-alukan pandangan Tun (Dr Mahathir) kerana selama ini kami keseorangan dalam hal menyajikan maklumat di internet. Lebih ramai pemimpin menyuarakan hal ini, lebih mudah bagi kami.
"Dengan menggunakan tuntutan undang-undang (bagi menangani bahan pornografi), ada sahaja pihak yang cuba menyalahertikan. Sebenarnya, kita ada Seksyen 265, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangani hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Mengenang Tokoh Negarawan Allahyarham Tun Hussein Onn di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) anjuran Arkib Negara di sini hari ini.

Turut hadir pada program itu adalah balu Allahyarham Tun Hussein, Tun Suhailah Tan Sri Mohamed Noah; isteri Rais, Datin Seri Masnah Rais; Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil; dan Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.

Media baru-baru ini melaporkan Dr Mahathir menyuarakan pandangan supaya bahan pornografi di internet ditapis kerana dibimbangi menjadi punca berlaku peningkatan jenayah seksual.
Rais berkata, perbincangan secara halus dan objektif akan diadakan bagi mencari mekanisme yang sesuai untuk menangani masalah itu supaya tidak disalahertikan oleh sebarang pihak sebagai menyekat kebebasan.

Beliau menjelaskan, jika sumber bahan pornografi itu dikesan diperoleh daripada pembekal perkhidmatan internet di dalam negara, pihak kementerian boleh mengambil tindakan namun buat masa ini tidak berkeupayaan menghalang penyebaran bahan itu yang dibekalkan dari luar negara.

"Perlu ada mekanisme dalaman supaya pornografi tidak jadi bahan yang meluas di internet. Dalam masa sama, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak supaya gejala ini dapat diatasi," katanya. - BERNAMA

Amaran angin kencang, laut bergelora hingga Khamis

KUALA LUMPUR: Angin kencang Barat atau Barat Daya dan laut bergelora kategori kedua dijangka berterusan di perairan Phuket sehingga Khamis ini.
Jabatan Meteorologi, dalam satu kenyataan di sini hari ini, menyatakan keadaan angin berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter itu berbahaya kepada aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan kelajuan 40 hingga 50 km/j dan ombak ketinggian sehingga 3.5 meter pula dijangka berterusan melanda perairan perairan Perlis, Langkawi, Kedah, Pulau Pinang, Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan sehingga Rabu ini.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. - BERNAMA

Perpaduan UMNO-PAS untungkan rakyat Malaysia: Ahmad Mazlan

BUTTERWORTH: Perpaduan antara UMNO dan PAS bukan sahaja menguntungkan orang Melayu tetapi turut memberi manfaat kepada semua kaum di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
"Semua rakyat akan mendapat keuntungan daripada perpaduan antara UMNO dan PAS kerana kalau kaum Melayu asyik berbalah ia tidak akan menguntungkan sesiapa malah ekonomi negara akan menjadi teruk serta mundur.
"Tetapi jika orang melayu bersatu dan berhenti bergaduh sesama sendiri pastinya mereka boleh menumpukan kepada pembangunan ekonomi yang mampu menguntungkan negara dan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat UMNO bahagian Bagan, di sini hari ini.
Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata semua parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah sekiranya UMNO dan PAS menjalinkan perpaduan.

"Mereka tidak pernah membantah kerana ia juga turut menguntungkan mereka dan jika BN kuat ia sudah pasti memberi faedah kepada parti-parti komponen dalam BN.

"Setahu saya sekarang ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP saja yang tidak boleh menerima perpaduan itu kerana bimbang UMNO dan PAS bersatu," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata Program Juara Rakyat yang dianjurkan UMNO setiap bahagian telah berjaya mencapai matlamat dan berlangsung dengan jayanya.
"Selepas tujuh bulan dijalankan kita dapat lihat rakyat telah dapat menerima program ini dan menerima Umno dengan baik dan mereka juga bersama-sama menjayakannya," katanya. - BERNAMA

Kapal induk AS tunjuk kuasa kepada Korea Utara

DI ATAS KAPAL GEORGE WASHINGTON: Kapal induk berkuasa nuklear Amerika Syarikat melakukan pergerakan bersama sekutu Korea Selatan dalam satu petunjukan kuasa hebat yang Korea Utara beri amaran boleh menjurus kepada "peperangan suci".
Latihan ketenteraan dengan kod nama “Invincible Spirit” itu akan berlangsung sehingga Rabu, membabitkan kira-kira 8,000 tentera AS dan Korea Selatan, 20 kapal dan kapal selam serta 200 pesawat.
Kapal induk kelas Nimitz, USS George Washington, dengan beberapa ribu kelasi dan berpuluh pesawat tempur, dihantar ke sana dari Jepun.
Korea Utara seringkali mengancam untuk menyerang apabila Korea Selatan dan AS mengadakan latihan ketenteraan yang disifatkan Pyongyang sebaga latihan untuk mencerobohnya.

AS menempatkan 28,500 anggota tentera di Koreaa Selatan dan 50,000 lagi di Jepun tetapi menyatakan ia tidak berniat untuk menyerang Korea Utara. - AP

JPJ akan kenal pasti jalan 'sakaratulmaut'

TEMERLOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mengenalpasti jalan raya yang bakal dilabelkan sebagai jalan "sakaratulmaut" dalam usaha membendung kemalangan jalan raya di negara ini.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Salim Parlan, berkata usaha itu dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi memudahkan pemantauan secara lebih berkesan.
"Pihak JPJ dan MIROS akan menamakan jalan tersebut sebagai laluan atau jalan sakaratulmaut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu beliau yang mewakili Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, merasmikan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) peringkat negeri Pahang, di Felda Jengka 25, di sini.

Salim berkata, pemantauan yang lebih bersepadu di laluan atau jalan "sakaratulmaut" itu diharapkan akan dapat mengubah sikap pengguna jalan raya di negara ini agar lebih berhemah dan bersopan di jalan raya serta lebih menghargai nyawa semua pihak.

Katanya, JPJ kelak akan membuat rondaan dan pengawasan 24 jam di laluan atau jalan "sakaratulmaut" terbabit.

"Setakat ini kita belum kenalpasti berapa jumlah sebenar laluan sakaratulmaut itu, dan operasi bersepadu 24 jam akan dilaksanakan menjelang musim pra-perayaan Aidilfitri nanti," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Salim berkata pihak JPJ, polis, dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga akan memberikan penumpuan operasi di terminal bas di seluruh negara menjelang musim perayaan nanti bagi memastikan keselamatan penumpang kenderaan awam di musim perayaan.

"JPJ akan memeriksa semua sistem keselamatan bas ekspres seperti brek, lesen pemandu bas, cukai jalan, pemeriksaan PUSPAKOM dan sebagainya bagi menjamin keselamatan penumpang.

"Polis dan AADK pula akan memastikan pemandu bas ekspres tidak terlibat dengan pengambilan dadah serta di bawah pengaruh minuman keras," katanya. - BERNAMA

Saturday, July 24, 2010

Malaysia bersedia hadapi ketidaktentuan ekonomi dunia: Mukhriz

SUNGAI PETANI: Pertumbuhan ekonomi negara memberangsangkan yang mencapai dua angka bagi suku pertama tahun ini menunjukkan perancangan kerajaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia membuahkan hasil, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Bagaimanapun, beliau berkata pertumbuhan 10.1 peratus yang dicapai bagi tempoh itu, iaitu yang terbaik dalam tempoh 10 tahun ini, tidak menjadikan kerajaan berada dalam situasi selesa.
"Kerajaan sentiasa memantau ekonomi serta perdagangan global dan mengambil langkah tegas untuk menghadapi kemungkinan 'double dip' iaitu krisis kewangan global yang berulang.
"Kita tidak terjejas oleh krisis ini kerana tidak terbabit dengan pinjaman berbentuk spekulatif sebagaimana diamalkan kebanyakan syarikat di Amerika Syarikat," katanya dalam satu sesi dialog dengan 60 wakil pengilang dan industri Bumiputera Kedah di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, pakej rangsangan ekonomi negara bernilai RM67 bilion yang memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana membantu menyelamatkan keadaan apabila kerajaan China turut melaksanakan pakej rangsangan ekonominya.

"Hasilnya kita menerima banyak tempahan dari China dan eksport kita ke negara ekonomi terbesar itu meningkat 26 peratus untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya.

Beliau berkata, usahawan Malaysia dan China masih mempunyai ruang yang luas untuk meningkatkan kerjasama menghasilkan produk bagi memenuhi pasaran Eropah pada harga kompetitif.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mukhriz berkata antara langkah bagi menghadapi tempias "double dip" ialah dengan memberi tumpuan kepada pelaburan domestik dan mencari pelaburan dalam bidang khusus seperti industri solar.

"Kita menyediakan prasarana terbaik untuk menarik pelaburan berbilion ringgit yang akan membuka minat pelabur lain seperti dalam industri hijau yang mana kita memiliki segala keperluan mereka.

"Walaupun 'double dip' belum berlaku, kita telah berusaha membuat persediaan supaya ekonomi negara tidak terjejas jika ia berlaku," katanya. - BERNAMA

Korea Utara isytihar 'perang suci' terhadap AS, Korea Selatan

SEOUL: Korea Utara menegaskan ia akan memulakan "perang suci" terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan "pada bila-bila masa diperlukan" berdasarkan keupayaan nuklearnya sebagai tindak balas ke atas latihan ketenteraan "semberono" pihak bersekutu.

Korea Utara meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea pada tahap tertinggi baru selepas Seoul menuduh Pyongyang menenggelamkan kapal perangnya Mac lalu yang mengorbankan 46 kelasi dan meningkatkan pertahanannya termasuk mengadakan latihan ketenteraan bersama AS.
Pyongyang sebelum ini sekadar menyatakan kemarahan terhadap latihan ketenteraan sedemikian tetapi pegawai AS berkata provokasi lanjutan mungkin dilakukan Pyongyang, terutama ketika Korea Utara cuba meningkatkan momentum bagi peralihan kuasa anak Kim Jong-il.
Tentera AS dan Korea Selatan akan memulakan latihan ketenteraan besar-besaran esok dengan kapal induk berkuasa nuklear akan mengambil bahagian selain merancang latihan tambahan bulan depan. - Reuters

Pembangkang hanya pandai tabur janji: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menyifatkan pembangkang hanya pandai berkata-kata seperti burung kakak tua, manakala kerajaan pimpinan mereka di Selangor hanya pandai membuat janji tanpa memikirkan adakah ia mampu ditunaikan atau sebaliknya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pelbagai masalah yang membelenggu kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, seperti isu pasir dan kegagalan mengurus ekonomi, membuktikan mereka hanya pandai berkata-kata.
"Ini satu keadaan yang begitu teruk. Mereka tidak mampu mengurus ekonomi negeri walaupun mereka katakan kerajaan mereka cekap, membela rakyat dan boleh membuat apa saja untuk menentukan rakyat hidup dengan selesa.
"Tetapi sebenarnya mereka hanya bercakap, cakap mereka tidak serupa bikin, cakap pihak pembangkang tak serupa bikin. Mereka pandai berkata-kata seperti burung kakak tua...dia boleh menyanyi tapi dia tidak tahu apa yang dia buat," katanya ketika berucap merasmikan Program Juara Rakyat peringkat Parlimen Wangsa Maju di Pasar Besar Gombak, Batu 5, Jalan Gombak di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju, Datuk Dr Mohd Shafie Abdullah, dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Al-Habshe.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, kegagalan itu memberi kesan besar kepada negara, khususnya Selangor di mana keyakinan pelabur mulai menyusut dan mula beralih arah ke tempat lain.

"Apakah boleh yakin dan percaya kepada pemimpin seperti ini. Setiap hari mereka pergi ke seluruh pelusuk negara mencaci hamun dan membuat pembohongan kepada kerajaan.
"Saya mahu supaya rakyat sedar, jangan rosakkan masa depan dengan mempercayai tohmahan, tuduhan yang dibuat sedangkan mereka sendiri tidak berkemampuan dan tidak berkeupayaan dan gagal untuk menguruskan kerajaan dan tak mampu tunai apa yang dijanjikan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan janji pembangkang dan perlu lebih bijak dalam menilai sumbangan dan perjuangan yang kerajaan BN laksanakan menerusi UMNO dan parti komponen lain.

Katanya, kerajaan BN dan UMNO juga sudah membuktikan kepada rakyat bahawa mereka sudah berubah dan mula perbaiki kekurangan lampau, contohnya pelaksanaan Program Juara Rakyat di mana pemimpin tanpa mengira kedudukan kini turun ke bawah bagi mendekati dan memahami permasalahan rakyat.

Beliau berkata, setelah menjanjikan rakyat dengan pelbagai janji indah dan gagal menunaikannya, pembangkang mula membuat pelbagai tuduhan seperti menuduh kerajaan BN sebagai kerajaan perkauman.

"Tetapi macam mana nak kata kerajaan BN perkauman kerana di dalamnya ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun dan pelbagai lagi, sedangkan kerajaan mereka tak ada semua itu," katanya.

Pada program itu, Muhyiddin turut meluluskan peruntukan RM5 juta bagi menaik taraf bangunan pangsapuri Taman Melati di Wangsa Maju yang didiami kira-kira 10,000 penghuni.

Timbalan Perdana Menteri bersama rombongannya turut melawat ke pangsapuri berkenaan dan meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra bersama penduduk. - BERNAMA

Kurikulum seragam untuk tingkat kualiti program Permata: Rosmah

IPOH: Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata) telah mendokumenkan garis panduan untuk kurikulum Permata bagi menyeragamkan aktiviti dan kualiti pembelajaran yang disediakan kepada kanak-kanak di bawah program itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Program Permata, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata garis panduan itu ialah Garis Panduan Peralatan Luar, Panduan Pelaksanaan Aktiviti Anak Permata dan beberapa dokumen lain yang akan menjadi prosedur operasi standard (SOP) Permata.
"Inisiatif ini diambil bagi tujuan meningkatkan standard dan kualiti asuhan dan didikan, kami telah mengambil inisiatif mendokumenkan beberapa garis panduan bagi membantu rakan-rakan pelaksana yang berminat untuk mengguna pakai kurikulum Permata.
"Bagaimanapun, oleh kerana program ini adalah program baru, terdapat juga beberapa interpretasi yang diberikan kepada garis panduan yang telah disediakan," katanya ketika berucap merasmikan Permata Bercham di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Penyelaras Pusat Anak Permata Perak, Senator Heng Seai Kie; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

Rosmah berkata, selain memberikan penekanan kepada pendidikan berkualiti, garis panduan itu juga menitikberatkan strategi yang sesuai dan berkesan untuk memupuk perpaduan.

Katanya, bagi memastikan kurikulum yang diguna pakai bukan sahaja boleh memberikan asuhan dan didikan yang baik, kurikulum Permata telah ditambah nilai dengan memasukkan elemen kepelbagaian budaya dan pemikiran kreatif.
Selain itu, katanya, bagi memastikan teknik pembelajaran mengikut kurikulum Permata dapat disampaikan dengan lebih berkesan, Permata juga telah menyediakan peluang kepada pendidik untuk mengikuti Kursus Asas Permata selama enam minggu.

"Pelaksanaan Taska Permata ini dianggap sebagai usaha agresif kerajaan dalam melahirkan modal insan terbaik yang bermula dari pendidikan awal," katanya.

Justeru itu, Rosmah berkata Permata sentiasa memastikan kurikulumnya dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan jati diri yang diingini bagi memupuk perpaduan berorientasikan suasana Malaysia.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM3.64 juta kepada semua kerajaan negeri untuk memperluaskan pelaksanaan program Permata tahun ini.

Katanya, dengan peruntukan itu, bilangan Taska Permata di seluruh negara dijangka meningkat kepada 647 buah dalam tempoh dua tahun sejak penubuhannya pada 2008.

"Tahun lalu sahaja, program Permata telah menunjukkan perkembangan pesat dengan penubuhan 427 Taska Permata di seluruh negara dengan penyertaan 17,000 kanak-kanak berusia antara satu hingga 4 tahun.

"Dengan sambutan yang menggalakkan ini, Permata mampu diperluaskan lagi bagi memberi peluang kepada kanak-kanak dalam usia tersebut menerima pendidikan awal menerusi Taska Permata," katanya. - BERNAMA

Swasta perlu lebih prihatin bina prasarana mesra OKU: Rosmah

IPOH: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini menggesa sektor swasta supaya lebih prihatin terhadap keperluan serta kepentingan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam menyediakan sebarang bentuk prasarana atau perkhidmatan.
Katanya, masih terdapat banyak prasarana yang dibangunkan serta perkhidmatan yang disediakan tidak mengambil kira kepentingan golongan OKU sehingga menyukarkan pergerakan mereka.
"Saya menyeru agar warga korporat tampil membantu pihak kerajaan membela golongan OKU dengan menjadikan ia sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat mereka," katanya.
Beliau berucap merasmikan Karnival Jualan Produk Pusat Dalam Komuniti (PDK) dan Pertandingan Talentime OKU Piala Perdana Menteri Peringkat Negeri Perak 2010 di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini.

Rosmah juga berharap lebih banyak syarikat swasta mengikut jejak kerajaan dalam menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU yang berkelayakan dan berkebolehan tanpa mengambil kira kekurangan fizikal mereka.

Katanya, Badan Amal dan Usaha Isteri Wakil Rakyat Perak (Baiduri) serta pertubuhan bukan kerajaan menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat OKU yang mampu berdikari, berwawasan serta berjaya menjadi modal insan yang mampu menyumbang kepada proses pembangunan negara.

Mengenai program itu, beliau berkata ia memberi peluang mencungkil bakat OKU dan diketengahkan kepada masyarakat, manakala karnival itu pula akan membantu memasarkan produk PDK yang dihasilkan golongan OKU secara lebih meluas.
"Saya pasti ia akan membantu meningkatkan lagi taraf hidup serta ekonomi mereka untuk terus berdikari dalam mengharungi cabaran kehidupan seharian," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Rahman Hashim; Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli; dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak, Chong Phaik Kee. - BERNAMA

Pengusaha hotel wajar dapatkan sijil halal: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Adalah baik bagi pengusaha hotel yang mempromosi pelbagai juadah di bulan Ramadan agar memohon sijil halal supaya tidak menimbulkan sebarang syak wasangka di kalangan umat Islam, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, nasihat Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz, semalam perlu diberi perhatian pengusaha, baik hotel atau restoran.
"Kalau hotel, ia mesti asingkan dapur yang halal dan dapur yang bukan halal. Kalau itu dibuat barulah tidak timbul prasangkan bahawa ini tidak halal. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan banyak hotel ambil kesempatan mempromosi makanan.
"Jadi untuk mengelak itu (prasangka) saya fikir elok mereka bukan saja mohon kepada JAKIM tapi mereka harus patuh. Kalau sudah halal dia mesti patuh dan kalau belum halal kena pohon sijil halal," katanya.

Semalam, Wan Mohammad berkata JAKIM menggalakkan pengusaha hotel memohon sijil halal sebelum Ramadan ini bagi menjamin keselesaan umat Islam berbuka puasa di premis mereka. - BERNAMA

Akta Kebankrapan akan dipinda untuk beri usahawan tulen peluang kedua: TPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Kebankrapan 1967 bagi memberi peluang kedua kepada ahli perniagaan tulen yang jatuh muflis akibat faktor luar kawalan untuk kembali berniaga, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, di bawah peruntukan akta sedia ada situasi "once bankrupt, always a bankrupt" akan berlaku, dan ia menyebabkan ahli perniagaan berkenaan disenaraihitamkan.
Namun, katanya, peluang kedua itu tidak diberikan kepada semua ahli perniagaan yang muflis tetapi hanya kepada golongan usahawan tulen yang perlu melalui satu proses, hingga usaha dan kemampuannya membaiki kedudukan kewangan syarikat diyakini.
"Akta Kebankrapan akan dipinda, agar boleh memberikan ruang supaya mereka yang mahu berniaga yang 'genuine'. Dia bankrap kerana ekonomi jatuh, persaingan, dan sebab itu, kerana ekonomi sudah pulih balik, dia patut ada peluang kedua," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa 2010 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Stadium Bukit Jalil, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan meneliti dan mengkaji kenapa kes kebankrapan boleh terjadi, termasuk di kalangan usahawan muda supaya ia tidak menjadi satu trend yang tidak terkawal.

"Kajian akan dibuat untuk mengenal pasti punca kebankrapan itu sama ada disebabkan oleh kurangnya pengalaman maka syarikat mereka rugi ataupun mereka tidak berupaya membayar balik pinjaman dan seterusnya diisytiharkan bankrap," katanya.
Beliau juga menasihatkan pemilik kad kredit supaya merancang penggunaan kad itu dengan baik supaya tidak disalah guna ataupun terlebih guna hingga tidak mampu membayar balik. - BERNAMA

Mayat bayi baru lahir ditemui dalam tong sampah

KUALA LUMPUR: Mayat bayi perempuan baru lahir yang dibungkus dalam beg plastik ditemui bersama longgokan sampah di Flat Sri Kelantan, Bandar Baru Sentul di sini, malam tadi.
Mayat yang masih bertali pusat dan diselimut dengan kain batik itu ditemui dalam tong sampah pada jam 10 malam tadi oleh pengutip barangan lusuh ketika menggeledah tong sampah di flat itu.
"Ketika lelaki itu menggeledah tong sampah untuk mencari barang yang boleh dikitar semula, dia menemui satu bungkusan plastik yang berisi mayat bayi itu bersama urinya," kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dibuang dalam tempoh kurang dari empat jam sebelum mayatnya ditemui.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Kawasan luar bandar aset penting negara: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengabaikan pembangunan dan kemajuan kawasan luar bandar kerana kawasan luar bandar adalah aset penting negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha menaikkan taraf hidup masyarakat luar bandar dan meningkatkan pembangunan di kawasan berkenaan.
Katanya, kerajaan juga akan terus membantu usahawan dan industri desa melalui bantuan pembangunan infrastruktur, bantuan latihan, bantuan modal, pinjaman mudah serta lain-lain lagi.
Muhyiddin berkata, kerajaan mahu membangunkan desa-desa yang berdaya maju dan berdaya saing yang memberi peluang hidup kepada rakyat agar mereka tidak perlu berhijrah ke kawasan bandar mencari nafkah hidup dan peluang ekonomi.

"Sebab itu kita harus jaga aset ini. Setiap satu unit di luar bandar kita anggap sebagai unit ekonomi...maknanya ia boleh menghasilkan pendapatan sendiri...dan boleh menyokong program mereka dengan sokongan dan bantuan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Usahawan Desa 2010 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, di sini hari ini. - BERNAMA

Gegaran gempa Sumatera dirasai di pantai Barat Semenanjung

KUALA LUMPUR: Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter berlaku di utara Sumatera, Indonesia pagi ini dan gegarannya turut dirasai di kawasan pantai barat Semenanjung.
Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan berikutan kejadian itu.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi itu berlaku 10.11 pagi, berpusat di 40 kilometer (km) tenggara Padang Sidempuan, Indonesia, dan 307 km tenggara Klang, Selangor.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima beberapa panggilan daripada pengurus bangunan di sekitar ibu negara yang memaklumkan berlakunya gegaran kecil.

"Antaranya bangunan yang menempatkan bank, hotel dan beberapa pangsapuri. Turut merasai gegaran kecil ialah ibu pejabat bomba Kuala Lumpur di Jalan Maharajalela," katanya sambil menambah pihak pengurusan bangunan dinasihatkan membuat pemeriksaan sendiri.

Azizan berkata, beliau dimaklumkan pengurus bangunan juga tidak meminta penghuni untuk mengosongkan bangunan.

"Pihak bomba akan memantau perkembangan tersebut melalui maklumat terkini Jabatan Meteorologi," katanya. - BERNAMA

2 maut, 4 parah kereta rempuh lori di Telupid

SANDAKAN: Dua maut dan empat lagi mengalami cedera parah apabila kereta yang mereka naiki hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah lori muatan sawit di KM66, Jalan Beluran–Telupid hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad, berkata pemandu kereta itu Wahid Abdullah, 37, dan penumpang kereta itu yang dikenali sebagai Junjung Mohammad meninggal dunia di tempat kejadian.
"Empat lagi yang mengalami cedera parah ialah isteri Wahid, Aibah Mashud, 37, anak lelaki mereka, Adzmir Wahid, 3, manakala dua lagi penumpang lelaki belum dikenal pasti identiti mereka," katanya kepada pemberita di sini.
Mohd Razali berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Beluran untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil manakala mangsa yang maut juga dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai nahas jalan raya itu pada jam 8.09 pagi dan menghantar sebuah jentera bersama lima anggota ke tempat kejadian.

"Anggota bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut yang remuk di bahagian depan dan kanan pemandu.

"Berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta yang dinaiki mangsa yang menuju ke arah Sandakan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori sawit yang berada di depan," katanya. - BERNAMA

Friday, July 23, 2010

Mayat wanita ditemui dalam plastik sampah

PORT DICKSON: Penduduk Kampung Pasir Panjang di sini hari ini gempar berikutan penemuan mayat seorang wanita yang sudah reput oleh seorang penoreh di sebuah ladang getah di kampung berkenaan pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, ACP Mohd Zaki Masroh, berkata mayat itu ditemui dalam bungkusan plastik sampah pada jam 7 pagi tadi dan wanita itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampakkan ke kawasan itu.
"Tiada sebarang kesan luka ditemui pada mayat itu, dan bedah siasat akan dijalankan hari ini untuk mengetahui punca kematian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, polis percaya mayat itu dibuang ke kawasan itu sejak enam hari lalu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Stesen janakuasa di Sepanggar stabilkan bekalan elektrik: Musa

KOTA KINABALU: Stesen Janakuasa Elektrik Powertron II di Sepanggar dekat sini yang memulakan operasinya secara rasmi hari ini dengan kapasiti 65 megawatt (MW) diharap dapat menstabilkan bekalan elektrik di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, stesen janakuasa yang dibina Penjana Kuasa Bebas (IPP) itu telah meningkatkan bekalan elektrik kepada 130MW, apabila unit pertama turbin gas stesen janakuasa itu beroperasi dengan kapasiti yang sama (65MW).
"Stesen ini dijangka beroperasi sepenuhnya dengan kapasiti 190MW pada Disember tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian mula tugas unit kedua turbin gas Ranhill Powertron II Sdn Bhd di kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu di Sepanggar.
Musa berkata, punca utama kekerapan gangguan bekalan elektrik di negeri ini ialah kekurangan sumber penjanaan yang stabil dan berdaya maju.

"Gangguan bekalan elektrik ini lebih dirasai di pantai timur Sabah disebabkan ketiadaan loji janakuasa yang besar di kawasan itu untuk menjana elektrik yang stabil," katanya.

Stesen janakuasa bernilai RM800 juta itu dibangunkan oleh Ranhill Powertron II Sdn Bhd (RPII) dan adalah stesen janakuasa pertama menggunakan gabungan tenaga gas dan stim.

Terdahulu, dalam ucapannya, Musa berkata kerajaan Sabah amat prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat negeri ini akibat gangguan bekalan elektrik.
Justeru, katanya, pelbagai langkah dan pelan tindakan telah dan sedang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di negeri ini.

Beliau berkata, projek loji janakuasa Ranhill Powertron II itu adalah satu daripada usaha kerajaan untuk menambah kapasiti penjanaan elektrik.

Selain itu, Musa berkata kerajaan telah meluluskan pembinaan loji jana kuasa berasaskan gas di pantai barat Sabah iaitu Loji Janakuasa Berasaskan GAS SPR berkapasiti 300 MW dan Loji Janakuasa Berasaskan Gas Kimanis Power Sdn Bhd yang berkapasiti 300 MW.

"Kerajaan berharap apabila loii janakuasa tersebut mula beroperasi pada 2013 dan 2014, masalah gangguan bekalan elektrik akan dapat dikurangkan," katanya.
- BERNAMA

Kerajaan sasar RM10 bilion menerusi e-perolehan

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, berkata nilai perolehan kerajaan melalui sistem e-perolehan (eP) disasarkan meningkat kepada RM10 bilion tahun ini.

Katanya, pada 2009, nilai perolehan kerajaan yang berjaya dilakukan melalui sistem eP melebihi RM9 bilion.
"Setelah hampir 10 tahun diperkenalkan, sistem eP telah menunjukkan banyak kemajuan yang boleh dibanggakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran sijil maya bagi pendaftaran syarikat perunding, di sini hari ini.
Sistem eP adalah antara aplikasi e-Kerajaan yang diseliakan oleh Kementerian Kewangan, yang diperkenalkan pada 2000 untuk memudahkan urusan perolehan secara elektronik.

Ahmad Husni berkata, sehingga 30 Jun tahun ini, sistem eP digunakan di 2,520 atau 98 peratus Agensi Kerajaan Persekutuan di seluruh negara.

“Bagi menyokong keperluan komuniti eP yang semakin bertambah, sebanyak sembilan pusat eP beroperasi di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak enam Pusat eP lagi akan dibuka tahun ini untuk menampung keperluan, terutama di bandar-bandar besar.
Sistem eP juga dikatakan mampu memberikan penjimatan antara 10 dan 30 peratus dalam urusan perolehan.

Sehubungan itu, sijil maya yang dibangunkan melalui system eP, diperkenalkan mulai 12 Julai lepas bagi menggantikan Sijil Akuan Pendaftaran Kementerian itu yang dikeluarkan secara fizikal.

“Menerusi kemudahan sijil maya ini, maka urusan pendaftaran dengan Kementerian Kewangan kini menjadi lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata, pendaftaran itu juga akan membolehkan pembekal menjadi "pemboleh eP" (eP enable) dan mempunyai lebih banyak peluang berurus niaga dengan agensi kerajaan melalui sistem eP.

Katanya, sehingga Jun 2101, terdapat lebih 170 ribu pembekal yang berdaftar di seluruh negara.

Pelaksanaan sijil maya adalah antara petunjuk prestasi utama (KPI) bidang keberhasilan utama kementerian (MKRA) dalam meningkatkan integriti, ketelusan dan menambah baik sistem penyampaian kerajaan. - BERNAMA

Kaji punca berlakunya kes pembuangan bayi: Mashitah

KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata isu pembuangan bayi yang semakin menular dalam masyarakat ketika ini perlu dikaji secara mendalam untuk mencari punca kenapa ia berlaku.

Beliau berkata, dengan hanya menyediakan tempat untuk bayi terbuang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab tidak akan menyelesaikan masalah itu.
Katanya, lebih banyak usaha perlu dilakukan melalui pendekatan agama dan pengukuhan institusi keluarga.
"Seperti masalah gatal pada kulit, ia tidak mencukupi hanya dengan menyapu minyak pada bahagian yang gatal, sebaliknya kita mesti tahu kenapa kita menghadapi masalah tersebut sama ada melalui pemakanan dan begitu juga masalah bayi ini kenapa ia berlaku," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program sesi bersama pemimpin, perpaduan 1Malaysia di sini hari ini.

Mashitah berkata, kes pembuangan bayi semakin serius sejak akhir-akhir ini dan ia antara masalah utama dalam masyarakat ketika ini selain penceraian rumah tangga.

Katanya, peranan institusi keluarga yang menjadi asas utama dalam membentuk sebuah mesyarakat yang lebih maju dan bertamadun perlukan perhatian, khasnya yang membabitkan pendidikan awal akhlak anak-anak.

Mashitah berkata, gaya hidup dalam sesebuah keluarga banyak mempengaruhi cara pemikiran anak-anak hari ini kerana mereka akan lebih mudah meniru apa yang dilakukan oleh orang tua mereka sendiri sama ada ia perbuatan yang baik mahupun sebaliknya. - BERNAMA

Thursday, July 22, 2010

Senator selar pemimpin PAS, PKR tidak pertahan hak Melayu

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara hari ini menyelar sikap pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang kerana tidak berani bersuara bagi mempertahankan nasib orang Melayu di negeri itu.
"Ketepikan soal kepentingan politik. Ini bukan soal perjuangan politik sempit tetapi nasib bangsa Melayu yang ditindas. Mana semua pemimpin-pemimpin Melayu apabila rumah penduduk Kampung Jalan Pokok Asam akan dirobohkan, sedangkan dalam kes Kampung Puah Pala ia bermatian dipertahankan?
"Mana suara pemimpin Melayu pembangkang lain yang kononnya memperjuangkan bangsa, agama dan negara? Ini bukan soal rasis tetapi hak orang Melayu perlu dipertahankan," kata Senator Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-10 di Dewan Negara di sini.
Sementara itu, Senator Datuk Roslan Awang Chik pula mempersoalkan tujuan sebenar kerajaan Pulau Pinang dalam menghentikan pembinaan rumah kos murah selain merobohkan premis perniagaan serta kediaman orang Melayu dengan alasan untuk tujuan pembangunan.

Beliau berkata demikian apabila merujuk kepada kemungkinan kerajaan negeri itu menghentikan pembinaan rumah kos rendah.

Semalam, anggota Majlis Jabatan Perumahan Pulau Pinang, Sim Tze Tzin, berkata pihaknya mungkin menghentikan pembinaan rumah kos rendah yang berkeluasan kurang 700 kaki persegi (65 meter persegi).

Sim yang juga ADUN Pantai Jerejak berkata, langkah itu adalah untuk mengelakkan negeri berkenaan dipenuhi pangsapuri yang kotor dan buruk sehingga menimbulkan suasana yang tidak selesa kepada penduduknya.
Beliau juga mengesyorkan wang pampasan yang diberikan oleh pemaju kepada penduduk setinggan perlu digantikan dengan tawaran perumahan berdekatan dengan lokasi asal rumah setinggan mereka. - BERNAMA

Dalang cetak dokumen palsu Malaysia, Indonesia ditahan

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia menahan seorang warga Indonesia yang menjadi dalang mencetak dan menjual pelbagai jenis dokumen pengenalan palsu termasuk pasport antarabangsa Indonesia dan Malaysia, MyKids, MyKad, lesen memandu, kad kahwin, kad kontraktor dan pelekat visa palsu.
Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Imigresen, Datuk Raja Mohd Raja Ismail, berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan dalam satu serbuan terhadap kediaman suspek di Ampang dekat sini kira-kira jam 2.50 petang, hari ini.

PERKASA syor UMNO, PAS dibubarkan

SHAH ALAM: Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) mencadangkan UMNO dan PAS dibubarkan dan ditubuhkan sebuah parti baru yang menggabungkan ciri Islam dan nasionalisme Melayu sekiranya kedua-dua parti terus enggan duduk semeja dan mengadakan perbincangan bagi menyatupadukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, bagaimanapun berkata tindakan drastik itu hanya perlu diambil sekiranya kedua-dua parti tetap enggan berbuat demikian.
Buat permulaan, katanya, pertubuhan itu mencadangkan ditubuhkan sebuah jawatankuasa yang bebas daripada pengaruh politik untuk menjadi perantara rundingan antara UMNO dan PAS.
Sambil mencadangkan jawatankuasa itu dinamakan Jawatankuasa Pemandu Ke arah Pembentukan Perpaduan Melayu Islam, beliau berkata ia perlu dianggotai 15 orang terdiri daripada tokoh agama seperti mufti, cendekiawan dan bekas pegawai tinggi kanan kerajaan.

"Salah satu langkah awal ialah pertemukan UMNO dan PAS secara rasmi tanpa syarat dan jika gagal jawatankuasa ini mungkin perlu membuat draf parti baru yang berteraskan UMNO dan PAS," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi PERKASA di sini hari ini.

Beliau berkata, jika gagal berunding adalah lebih baik kedua-dua parti dibubarkan dan dibuat suatu parti baru yang menggabungkan ciri-ciri Islam dan nasionalisme Melayu kerana segala usaha untuk menyatupadukan kedua-dua parti ini sering gagal dan menjadi satu polemik yang membuang masa.

"Dengan itu (parti baru) rakyat boleh menilai mana yang positif, ikhlas dalam mengikuti tuntutan agama iaitu mengeratkan hubungan silaturrahim...biar rakyat menilai," katanya.
Beliau berkata, PERKASA memberikan cadangan itu berikutan banyak usaha bagi menyatupadukan UMNO dengan PAS untuk menyatupadukan orang Melayu dan Islam sering kecundang.

"Perpaduan di antara orang Melayu dan Islam adalah teras perpaduan di Malaysia. Kalau orang Melayu tidak bersatu jangan harap ada perpaduan dan teras keamanan negara adalah perpaduan ini (orang Melayu)," katanya.

Ditanya sama ada PERKASA akan menjadi sekretariat kepada jawatankuasa itu, Ibrahim berkata PERKASA hanya mencadangkannya sahaja dan tidak menawarkan diri untuk menjadi sekretariat melainkan diminta.

"Kalau ada pihak mahu jadi sekretariat kita setuju, pihak lain seperti persatuan ulama," katanya. - BERNAMA

1Malaysia juga usaha kukuh perpaduan, integrasi nasional: PM

MIRI: Konsep gagasan 1Malaysia juga mengenai usaha mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, beliau telah begitu lama berfikir berhubung usaha bagi memupuk perpaduan dan integrasi nasional di kalangan penduduk negara ini yang terdiri daripada pelbagai etnik.
"Kepelbagaian etnik boleh menjadi satu kekuatan. Sebaliknya, ia boleh menjadi masalah besar jika kita memilih untuk melihat kepada perbezaan bangsa, agama dan budaya.
"Jika kita melihat sesuatu perkara secara positif, kita boleh menjadi serasi di antara satu sama lain. Semuanya bergantung kepada pemikiran kita.

"Dan jika kita menegakkan prinsip 1Malaysia, kita boleh hidup berdampingan dengan serasi dan kita boleh menjadi kukuh," katanya pada majlis pemimpin bertemu rakyat di bandar Bekenu dekat sini hari ini.

Najib berkata, ia adalah sebab pentadbiran negara adalah adunan prinsip keadilan sosial dan meritokrasi dan pertimbangan yang lain disamping melaksanakan dasar bagi manfaat rakyat.

"Kita bernasib baik telah berjaya. Contoh terbaik boleh didapati dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di mana kita memberi berdasarkan prinsip meritokrasi dan keadilan sosial," katanya.
Mengenai prinsip merit, Najib berkata kerajaan telah memberikan biasiswa kepada semua pelajar yang mendapat keputusan 9A dan ke atas untuk melanjutkan pengajian di universiti luar negara dan tempatan tanpa mengira bangsa atau agama mereka.

"Tetapi pada masa sama, kita juga perlu membantu mereka yang datang dari kumpulan yang tidak bernasib baik disebabkan keadaan persekitaran dan faktor lain.

"Tidak mungkin bagi seorang pelajar dari Long Banga di pedalaman Baram di Miri mampu bersaing dengan seorang rakan pelajar, katakanlah dari sekolah Bukit Kenny (Bukit Tunku) di Kuala Lumpur," katanya.

Perdana Menteri berkata, jika kerajaan membuat keputusan semata-mata berdasarkan meritokrasi, pelajar dari Long Banga atau kawasan pedalaman yang terpencil di Sarawak tidak mungkin boleh menjadi seorang graduan dan berjaya.

Rakyat Malaysia, katanya, mesti sedar betapa pentingnya bagi mereka untuk mempunyai sebuah kerajaan yang menghargai dan mengiktiraf faktor-faktor ini.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata bagi melaksanakan dasar dan projek pembangunan, prinsip-prinsip sedemikian juga amat berguna bagi kerajaan.

"Penduduk di Sabah dan Sarawak mempunyai keutamaan yang berbeza berbanding mereka yang tinggal di Putrajaya atau Lembah Klang. Ini kita mesti terima," katanya.

Najib juga berkata, kerajaan melalui pengurusan sumber dan dana yang cekap, ia telah dapat menghadapi cabaran krisis kewangan global.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan usaha melaksanakan projek pembangunan di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan mereka bersaing dengan negeri lain.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan projek berjumlah RM22.63 juta bagi Bakenu dan kawasan berdekatan yang lain.

Ia termasuk RM14.5 juta bagi membina lima jambatan konkrit dan menurap jalan sepanjang 16 kilometer jalan di Sai, membina dua jambatan besi di Kampung Lajong di Niah dan di Muara Sibuti berjumlah RM2.53 juta, tiga projek perumahan kos rendah dengan kos RM5.6 juta di Kampung Mejalin, Kampung Ranchak Ranchak dan di Sepupok di Niah.

Najib juga mengumumkan geran RM100,000, masing-masing bagi pembinaan Rumah Arau (kediaman sementara bagi ibu-ibu dan pelajar prasekolah) di Subis dan Sebauh. - BERNAMA

Jangan buat andaian pemansuhan UPSR, PMR: Muhyiddin

LABUAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta orang ramai dan media supaya tidak membuat sebarang andaian berdasarkan pandangan beberapa individu mengenai cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata perbincangan meja bulat mengenai cadangan itu belum selesai dan spekulasi tidak patut dibuat berdasarkan komen pihak tertentu yang terbabit dalam sesi perbincangan pertama Isnin lalu.
"Kita belum lagi selesai meja bulat yang sedang kita lakukan. Saya belum dapat laporan lengkap dan saya akan tunggu selepas selesai meja bulat yang kedua.
"Saya minta media jangan buat andaian, ada orang (keluar) dari meja bulat kata begini yang lain bila keluar pula kata begitu. Itu tak jadi makna, itu pandangan mereka tapi akhirnya kementerian dan kerajaan akan menimbang apa yang terbaik yang boleh kita laksanakan. Jadi ini harus menunggu sedikit masa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, perbincangan meja bulat itu membabitkan pelbagai organisasi seperti kumpulan pendidik, badan politik, badan ekonomi dan badan bukan kerajaan.

"Selepas selesai nanti, laporan akan disampai kepada saya oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Tan Sri Alimuddin Mohd Dom) dan kita akan meneliti semua pandangan yang ada, apa pro dan kontra.

"Apapun saya tak boleh nak memutuskan (sekarang), kerana bagi saya, penting kita bagi peluang kepada semua pihak yang berminat untuk mengemukakan pandangan mereka," katanya.
Ketika merasmikan seminar antarabangsa penyelidikan pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2010 selepas itu, Muhyiddin berkata Malaysia perlu bertindak dengan cepat untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem pendidikan negara jika mahu menjadi sebuah negara maju.

Katanya, negara yang sedang bersaing hebat dalam ekonomi global hari ini masing-masing sedang melakukan perubahan yang mendasar dalam sistem pendidikan negara mereka, justeru itu Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam perlumbaan ini.

"Majalah 'Newsweek' keluaran terbaru misalnya melaporkan bagaimana cendekiawan di Amerika Syarikat sedang bergelut dengan masalah kemerosotan daya kreativiti di kalangan rakyatnya dan masalah ini dikaitkan dengan obsesi sekolah-sekolah di Amerika dalam melaksanakan kurikulum yang seragam.

"China dan Britain telah merombak kurikulum pendidikan negara masing-masing untuk meningkatkan elemen kreativiti dan inovasi dalam proses pembelajaran. Pendek kata, di negara ini, penerapan elemen kreativiti dan inovasi sudah menjadi satu agenda nasional yang dilaksanakan secara bersepadu," katanya.

Muhyiddin berkata, falsafah dan kurikulum pendidikan yang baik saja tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya ia gagal diterjemahkan secara berkesan dalam bilik darjah.

"Saya percaya pedagogi yang berkualiti dapat dijana melalui kajian tindakan dan tinjauan yang dijalankan sepanjang masa oleh guru dalam pengurusan kelas, pengajaran dan pembelajaran.

"Melalui kajian tindakan, guru-guru boleh menghasilkan penemuan baru mengenai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, seterusnya berkongsi penemuan ini dengan rakan-rakan yang lain," katanya. - BERNAMA

Pelajar perlu tumpu 3K untuk layak ke IPT: Saifuddin

KUANTAN: Pelajar dinasihatkan memberi tumpuan kepada elemen 3K iaitu kursus, kelayakan dan kokurikulum sekiranya mahu terpilih ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata elemen berkenaan juga perlu dipandang serius oleh tenaga pengajar dan ibu bapa selain pelajar itu sendiri.
Mengenai elemen kursus, katanya, seseorang pelajar itu perlu bijak memilih kursus yang bakal diambilnya di universiti kelak selaras dengan kebolehan dan kemahirannya, bukannya kerana kursus itu popular atau hanya mengikut kawan semata-mata.
"Perlu pilih kursus yang betul dan betul-betul minat dan bukannya mengikut kawan sebab kalau tidak minat kursus itu akan membawa kepada masalah lain pula akhirnya," katanya kepada pemberita di majlis penutup program Selangkah Ke Universiti di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini hari ini.

Saifuddin berkata, bagi elemen kelayakan, pelajar perlu memohon kursus yang sesuai dengan kelayakan dan yang ditawarkan universiti.

Beliau berkata, pelajar yang gagal ditawarkan ke universiti kebiasaannya tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan sesuatu universiti itu di mana syaratnya berbeza mengikut tahun.

"Mereka mempersoalkan kenapa yang dapat 6A tidak dapat tempat sedangkan yang dapat 5A diberikan tempat. Mungkin kelayakan yang dapat 6A itu tidak sesuai dengan kehendak universiti berkenaan," katanya.
Beliau berkata, pelajar juga perlu menyedari bahawa persaingan sesama mereka sendiri untuk mendapat tempat di IPT semakin kompetitif justeru mereka perlu tahu kelayakan yang diperlukan oleh universiti setiap tahun.

Selain itu, katanya, kokurikulum juga perlu dititikberatkan oleh setiap pelajar kerana untuk layak ke IPT, pertimbangan yang diberikan ialah 10 peratus untuk kokurikulum manakala 90 peratus lagi adalah akademik.

Katanya, sekiranya seorang pelajar itu hanya cemerlang di dalam bidang akademik manakala kokurikulumnya sifar, kebarangkalian peluangnya untuk ke universiti juga adalah kurang.

"Ini kerana universiti amat selektif dalam memilih pelajarnya dan hanya yang cemerlang dalam kedua-dua bidang akan diberi keutamaan," katanya. - BERNAMA

Polis sahkan remaja ditemui dibunuh dengan kejam mangsa rogol

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan seorang remaja yang ditemui mati dibunuh dengan kejam di Sungai Bagan di Pulai Chondong, Machang, kelmarin, telah dirogol.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata, laporan bedah siasat yang dijalankan pihak hospital terhadap remaja berkenaan mendapati mangsa dirogol bagaimanapun pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada mangsa dirogol sebelum ditikam atau sebaliknya.
"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan sehingga kini kita hanya dapat mengesahkan bahawa mangsa telah dirogol melalui bedah siasat yang dijalankan pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
"Bagaimanapun sama ada mangsa dirogol sebelum ditikam atau ditikam dan kemudian dirogol itu belum dapat kita pastikan," katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari sempena lawatan persaraan beliau sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan, di Ibu Pejabat Polis daerah Kota Baharu, Pengkalan Chepa hari ini.

Mengenai dakwaan mangsa dirogol beberapa kali, beliau berkata polis juga tidak dapat mengesahkannya.

Amir Hamzah berkata, sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan pihaknya berhubung kes itu bagaimanapun polis telah mengenal pasti seorang individu yang dipercayai suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan itu.

Katanya, tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung punca kejadian itu.
Dua hari lalu, seorang gadis yang dikenali sebagai Ilya Nabilah Rosnata, 19, yang berasal dari Kampung Pendek, Kota Bharu, ditemui mati dibunuh dengan kejam di Sungai Bagan, Pulai Chondong, di Machang.

Mayat mangsa yang dipercayai dibunuh kira-kira seminggu lalu ditemui terapung-apung di dalam Sungai Bagan yang terletak di sebuah ladang kelapa sawit itu dijumpai diikat pada sebatang pokok di tebing sungai oleh penduduk kampung dalam keadaan bogel selain terdapat kesan tikaman di dada.

Mengulas majlis itu, Amir Hamzah berkata beliau akan bersara pada 12 Ogos ini selepas tiga tahun menyandang jawatan Timbalan Ketua Polis Kelantan iaitu pada 7 Ogos 2007.

Amir Hamzah mula berkhidmat sebagai anggota polis selama 35 tahun iaitu pada 18 Jun 1975. - BERNAMA

Kes positif H1N1 turun 29.7 peratus minggu lalu

KUALA LUMPUR: Jumlah kes positif infulenza A (H1N1) turun 29.7 peratus kepada 52 kes bagi tempoh dari 11 hingga 17 Julai lalu berbanding 74 kes pada minggu sebelum itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, dalam satu kenyataan hari ini, berkata ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif H1N1 kini 15,380, dengan jumlah kematian kekal 91 orang.
Beliau berkata, bagi tempoh yang sama dari 11 hingga 17 Julai, enam kejadian kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) yang baru dilaporkan di Kedah, Melaka, Selangor dan Perak.
Katanya, jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan simptom ILI juga turun 9.2 peratus iaitu 516 orang berbanding 568 pesakit pada minggu sebelumnya, manakala baki kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara setakat 17 Julai ialah 375 kes di 64 hospital termasuk di 10 hospital swasta.

"Daripada jumlah itu, hanya 37 pesakit atau 9.9 peratus adalah kes influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal. Juga terdapat lima kes H1N1 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya membabitkan individu yang mempunyai faktor risiko," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, sehingga 16 Julai, 97.54 peratus vaksin H1N1 sudah digunakan membabitkan 369,225 penerima.

"Daripada jumlah ini, 99,333 orang ialah petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan, dan 94,905 lagi adalah petugas hadapan bukan anggota kementerian seperti polis, tentera, bomba, imigresen dan lain-lain.
"Sejumlah 174,987 lagi merupakan orang awam daripada kumpulan sasar berkeutamaan dan menjadikan vaksin H1N1 habis di kebanyakan negeri kecuali negeri Johor yang masih terdapat lebih kurang 4,000 dos baki vaksin," katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan orang ramai bahawa jangkitan inluenza A (H1N1) masih aktif dan orang awam perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan. - BERNAMA

Bayi ditemui dalam beg di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Seorang bayi perempuan ditemui di dalam sebuah beg di perhentian bas di Jalan Persiaran Mutiara Emas berhampiran Hospital Sultan Ismail di sini hari ini.
Bayi yang masih bertali pusat itu ditemui oleh seorang pekerja kilang wanita yang sedang menunggu bas di situ kira-kira 6.40 pagi.
"Wanita itu menghampiri beg berkenaan apabila melihat ada pergerakan di dalam beg tersebut. Selepas beg itu dibuka, didapati seorang bayi perempuan berkulit cerah yang masih hidup dan bertali pusat," kata Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaacob.
Wanita itu kemudian menghantar beg bersama bayi itu ke hospital berkenaan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi polis. - BERNAMA

Wednesday, July 21, 2010

SUHAKAM gesa kerajaan siasat dakwaan penderaan seksual wanita Penan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menjalankan siasatan terperinci terhadap nasib wanita dan kanak-kanak perempuan kaum Penan di Ulu Baram, Sarawak yang mendakwa dirogol serta didera secara seksual, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam, berkata suruhanjaya itu, yang amat bimbang mengenai dakwaan rogol dan penderaan seksual wanita Penan itu, sedang dalam proses menilai tindakan sewajarnya untuk dilaksanakan.
Rogol dan penderaan seksual adalah kesalahan jenayah yang serius dan isu yang amat membimbangkan Suhakam, terutama berhubung keselamatan, kebajikan dan maruah wanita serta kanak-kanak perempuan Penan, katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau menggesa polis dan agensi berkaitan yang lain supaya memulakan siasatan mereka terhadap dakwaan itu, dan menimbangkan merit beberapa laporan lain bagi memastikan penjenayah terbabit dihadapkan ke muka pengadilan.

"Mangsa pula perlu digalakkan supaya tampil dan memberi kenyataan, dilindungi daripada sebarang tindak balas disebabkan keterangan mereka dan tidak diugut atau dianiayai oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata dakwaan itu diketengahkan kepada umum menerusi media pada 2008 dan sekali lagi dilaporkan dalam penerbitan terbaru oleh gabungan badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Penan Supports Group.

"Laporan pencarian maklumat pasukan petugas yang diwujudkan pada 2008 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mendedahkan keterangan berhubung penderaan, dan beberapa syor berkaitan faktor lain yang menyumbang kepada penderaan turut dimasukkan dalam laporan berkenaan," katanya. - BERNAMA

Malaysia, Britain tandatangani perjanjian banteras jenayah

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Britain hari ini menandatangani satu perjanjian untuk bekerjasama mencegah dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.

Perjanjian Bersama Bantuan Undang-undang Dalam Perkara Jenayah itu ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bagi mewakili kerajaan Malaysia manakala Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, William Boyd McCleary mewakili negaranya.
Bantuan undang-undang itu ialah satu proses di mana permintaan sesebuah negara dan memberikan bantuan dengan mengumpulkan keterangan yang akan digunakan dalam penyiasatan atau prosiding jenayah.
Perjanjian itu bertujuan untuk memudahkan proses bantuan undang-undang dan pengumpulan keterangan dalam penyiasatan atau prosiding jenayah antara Kuala Lumpur dan London tetapi pelaksanaan untuk bantuan itu akan dilakukan mengikut undang-undang domestik masing-masing.

"Perjanjian ini mengambil masa dua setengah tahun untuk dimuktamadkan dan ia membuktikan kerjasama penting antara agensi penguatkuasa undang-undang Malaysia dan United Kingdom," kata Abdul Gani ketika mengulas mengenai perjanjian berkenaan sebelum upacara itu bermula di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Britaih di sini.

Perjanjian itu menawarkan bantuan meluas termasuk daripada segi pengumpulan bukti dan kenyataan, urusan mengatur perjalanan seseorang ke negara lain bagi memberi keterangan atau membantu dalam penyiasatan, penyerahan dokumen, urusan carian dan rampasan, mengesan dan mengenal pasti orang, benda atau tempat terbabit, memeriksa objek dan tempat kejadian, membekukan dan merampas aset atau harta dan mengutip bayaran denda serta mengenal pasti atau mengesan pendapatan daripada kegiatan jenayah.

Malaysia dan Britain memulakan rundingan berhubung perjanjian berkenaan untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara memerangi jenayah rentas sempadan termasuk pengganas antarabangsa, pemerdagangan manusia dan penyeludupan pendatang haram.
Abdul Gani berkata dengan perjanjian itu ia membuktikan kejayaan kerjasama yang telah berlanjutan berdasarkan undang-undang domestik kedua-dua negara sejak 2003 dan faedah utama perjanjian itu ialah prosedur-prosedur ditetapkan dengan lebih jelas dalam membuat permintaan untuk saling membantu dalam perkara-perkara jenayah.

"Walaupun perjanjian telah ditandatangani hari ini, ia tidak akan secara automatik berkuatkuasa tetapi atas pertukaran pengesahan penerimaan antara pihak-pihak terbabit," katanya.

McCleary pula berkata beliau yakin melalui perjanjian itu, pihak berkuasa kedua-dua negara akan menjalin kerjasama lebih erat ke arah mencapai kejayaan lebih besar dalam usaha bersama memerangi jenayah. - BERNAMA

Mahkamah lanjut reman 8 suspek jual bayi

KUCHING: Mahkamah hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman selama dua hari terhadap lapan individu bagi membantu siasatan kes sindiket penjualan bayi.
Majistret Nelson W Angang membenarkan lanjutan tahanan reman terhadap lapan individu itu, termasuk seorang yang bergelar datuk dan datin bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap mereka selepas tempoh tahanan reman selama tujuh hari berakhir hari ini.
Mereka yang berusia antara 21 dan 65 tahun itu ditahan hasil pembongkaran kegiatan sindiket penjualan bayi oleh polis 12 Julai lalu.
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas polis Sarawak menyelamatkan seorang bayi yang cuba dijual oleh seorang wanita rakyat Indonesia di MJC New township, Batu Kawah di sini dengan harga RM10,000 kepada anggota polis yang menyamar sebagai pembeli.

Sehingga kini polis menahan 17 suspek bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Hasil daripada terbongkarnya kes itu, polis menemui tiga bayi dan lima kanak-kanak berusia antara sebulan hingga 12 tahun yang kini berada di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - BERNAMA