Followers

Saturday, October 2, 2010

Gempa bumi sederhana di Selat Sunda

KUALA LUPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter dikesan berlaku di Selat Sunda, Indonesia, 181 kilometer (km) barat daya Bandar Lampung, Indonesia, 950 km tenggara Johor Baharu, hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, gempa bumi itu berlaku pada 4.21 petang di kedudukan 7.0 darjah selatan dan 104.9 Timur.
Tiada ancaman tsunami dikesan. - BERNAMA

Elemen disiplin tidak harus dikompromi: Raja Dr Nazrin

TAIPING: Budaya menghormati undang-undang dan menghormati penguatkuasaan undang-undang, mencerminkan tahap disiplin yang berjaya diasuh, dididik, dipupuk dan diterapkan di kalangan warga sesebuah negara bangsa.
Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah elemen disiplin tidak harus dikompromikan dalam membina kekuatan warga dan membina kegemilangan budaya sebuah negara bangsa.
"Melentur hendaklah semasa rebung...Oleh itu, penyemaian disiplin hendaklah bermula dari permulaan hayat, bermula dari saat anak masih dalam kandungan, disemai rapi di dalam keluarga, disuburkan di alam sekolah, diperkukuhkan di alam kerja," titahnya di sini, pagi tadi.
Baginda bertitah demikian di Hari Anugerah Cemerlang Ke-27 Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, dekat sini.

Raja Dr Nazrin turut memetik beberapa insiden remaja sekolah melanggar anggota polis dalam sekatan jalan raya di Kuala Terengganu dan Kota Bharu bulan lalu.

Semalam, Cif Inpektor Khairul Zaini Mohd Zain, 32, meninggal dunia dalam operasi mengejar 'mat rempit' yang merempuh sekatan polis di Jalan Taman Datuk Senu, Kuala Lumpur.

Baginda bertitah, kejadian itu antara banyak kejadian jenayah yang semakin berani dilakukan oleh remaja dalam usia persekolahan.
Titahnya, perbuatan mereka lebih menyulitkan tugas penguatkuasa undang-undang kerana ada kalanya apabila berlaku kemalangan nyawa, masyarakat terlalu cepat menyalahkan pihak berkuasa.

Raja Dr Nazrin bertitah, kejadian yang berlaku itu, nyata memperlihat perilaku remaja yang sama sekali tidak menghiraukan undang-undang malah sudah mencapai peringkat berani tidak bertempat, melakukan provokasi, mencabar pihak berkuasa.

"Menyemaikan budaya berdisiplin adalah komponen penting pendidikan.

"Hari ini, dikhuatiri, komponen penting ini bagai mula diketepikan.

"Disiplin bermula dari memberi perhatian teliti kepada perkara yang tidak harus dianggap kecil.

"Antaranya amalan kebersihan, menghargai waktu, mengurus harta awam dengan baik, mematuhi janji, mengawal pembaziran hinggalah ke peringkat mendaulatkan undang-udang dan menghormati penguatkuasa undang-undang," titahnya.

Tun Mahathir dimasukkan ke Hospital Melbourne

ELBOURNE: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke sebuah hospital di sini, malam tadi bagi rawatan "batuk dan selesema".

Beliau kini sedang berehat di Hospital Epworth.
Dalam jawapan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof mengesahkan bekas perdana menteri dimasukkan ke hospital itu untuk rawatan bagi selesema dan batuk.
Dr Mahathir, 85, tiba di sini beberapa hari lalu untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di University of Melbourne hari ini.

Beliau dijadual berkongsi pandangan dan pendapatnya mengenai topik "Are We Ready for 1Malaysia: Does Race Still Play A Part?" (Adakah Kita Bersedia Bagi 1Malaysia: Adakah Bangsa Masih Memainkan Peranan).

(1Malaysia ialah prinsip yang digariskan untuk membina sebuah negara yang bersatu dan progresif pada Abad ke-21 melalui pemupukan semangat dan nilai kekitaan tanpa mengira bangsa dan agama.)

Sejurus sebelum seminar itu bermula, juruacara majlis mengumumkan Tun Mahathir tidak dapat hadir pada majlis itu yang beliau (Dr Mahathir) nanti-nantikan dan sedih kerana tidak dapat berbuat demikian.
Beliau meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed untuk berucap pada seminar itu bagi mewakilinya.

Tun Mahathir menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur pada Januari 1989 dan menjalani pembedahan kedua di Institut Jantung Negara pada September 2007.

Beliau adalah penasihat syarikat pengeluar kereta nasional, Proton dan perbadanan minyak negara, Petronas, serta sering ke luar negara untuk menghadiri persidangan antarabangsa berikutan beliau terus menjadi pilihan pihak penganjur untuk menyampaikan syarahan pada majlis tempatan dan antarabangsa. - BERNAMA