Followers

Monday, May 3, 2010

Lima koridor terima RM244.3b pelaburan



TUN Abdullah Ahmad Badawi (tengah) menghadiri mesyuarat dan taklimat status pelaksanaan projek pembangunan di bawah lima koridor pertumbuhan dan perancangan RMK-10 di Kuching, Sarawak, semalam.
KUCHING - Lima koridor pembangunan di negara ini menerima komitmen pelaburan keseluruhan bernilai RM244.3 bilion sejak ia dilancarkan pada 2006.
Penasihat Pembangunan Koridor, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, daripada lima koridor pembangunan itu, Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) merupakan koridor yang paling banyak menerima pelaburan iaitu mencecah nilai RM87 bilion.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kesemua projek pembangunan koridor berkenaan kini berjalan baik dan mengikut perancangan yang ditetapkan.
''Sebanyak 75 peratus daripada projek pembangunan koridor di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ketika ini sedang dalam peringkat pelaksanaan secara berperingkat-peringkat.
''Saya percaya baki peratusan (25 peratus) pembangunan projek itu dijangka akan dapat dijayakan dalam RMK-10 yang akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat status pelaksanaan projek pembangunan di bawah lima koridor pertumbuhan dan perancangan RMK-10 di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Dr. Ali Hamsa.
Selain SCORE, terdapat empat lagi koridor pembangunan iaitu Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).
Abdullah memberitahu, kerajaan mahu pelaksanaan projek pembangunan kelima-lima koridor itu ditumpukan kepada pelaburan swasta dan tidak semata-mata bergantung kepada peruntukan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berharap agar semua koridor berkenaan memberi keutamaan kepada pengambilan pekerja-pekerja tempatan supaya mereka berpeluang menikmati pekerjaan dengan gaji lumayan.
''Ini supaya anak-anak muda kita berminat untuk merebut setiap peluang pekerjaan yang wujud di koridor-koridor pembangunan tersebut di mana mereka mendapat pekerjaan yang dapat memberi pendapatan yang tinggi kepada mereka," katanya.
Sementara itu, Abdullah berkata, kerajaan akan tetap menyediakan Tabung Kemudahan kepada kelima-lima koridor berkenaan sebagai insentif kepada pelaksanaan koridor-koridor berkenaan.
Beliau menambah, baki RM700 juta daripada RM2 bilion peruntukan yang disediakan kerajaan pada RMK-9 akan digunakan bagi melaksanakan 25 peratus projek yang belum siap pada RMK-10.

Kementerian timbang wujudkan insurans pertanian bantu petani - Noh


BANGI  - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menimbang untuk memperkenalkan insurans pertanian bagi melindungi petani yang mengalami kerugian kerana hasil pertanian dan penternakan mereka musnah akibat sesuatu bencana.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, sebagai permulaan, insurans pertanian itu mungkin akan ditawarkan kepada petani-petani kecil ekoran tuntutan kos yang tinggi terpaksa ditanggung kerajaan bagi melaksanakannya.
Jelasnya, kertas cadangan itu sepatutnya sudah dibawa ke perhatian Kabinet, namun, mengambil kira kos yang perlu ditanggung amat tinggi, kementerian itu memerlukan masa untuk mengkajinya semula.
"Kita akan lihat jika ada cara untuk kerajaan tidak berbelanja dengan jumlah yang amat besar tetapi dapat mendatangkan faedah kepada rakyat.
"Jika cadangan ini menjadi kenyataan, sekurang-kurangnya petani atau penternak bakal menerima ganti rugi daripada syarikat insurans kerana kerajaan tiada peruntukan khas beri ganti rugi kepada petani selain bantuan Majlis Keselamatan Negara. Itu pun cuma untuk bencana alam," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat lokasi 218 ekor lembu mati dipercayai akibat diracun di Ladang Connemara di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Johan Abd. Aziz; Ketua Pengarah Jabatan Veterinar, Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin dan Pengarah Veterinar Selangor, Dr. Abdul Latif Borhan.
Sementara itu, Noh memberitahu kementeriannya turut bercadang membina sebuah kilang membuat makanan ternakan di Kluang bagi mengatasi masalah harga makanan tinggi yang dialami penternak.
Beliau berkata, kementeriannya sedar masalah yang dihadapi penternak, terutamanya yang mengamalkan sistem penternakan fidlot kerana makanan yang dibeli terpaksa diimport dari luar negara.
Bagaimanapun katanya, terdapat pelbagai alternatif di dalam negara boleh digunakan terutamanya di dalam industri penternakan lembu seperti kelapa sawit, rumput napier dan jagung khas untuk makanan binatang.
"Kementerian kini di peringkat perancangan untuk membina kilang membuat makanan binatang di Kluang, Johor. Selain itu, syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC) juga dikhabarkan akan membina kilang yang sama di negara ini.
"Dengan itu, kos pengeluaran akan menjadi lebih rendah sekali gus membawa keuntungan kepada penternak di negara ini," katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan kementerian memberi bantuan makanan binatang kepada penternak di negara ini.
"Itu kita akan bincangkan. Bantuan itu tidaklah seratus peratus tetapi setidak-tidaknya dapat juga membantu golongan penternak mendapat lebih keuntungan," katanya.

Mualaf bantah isu perlembagaan

PUTRAJAYA - Seorang mualaf hari ini mempertikaikan kewajaran bekas isterinya yang masih beragama Hindu mengemukakan isu-isu perlembagaan dalam kes perebutan hak penjagaan dua anak mereka berikutan status wanita itu yang menghadapi perintah menghina mahkamah.
Peguam M. Menon yang mewakili Dr. Muhammad Ridzwan Mogarajah, 42, mengemukakan bantahan awal bahawa penghujahan isu perlembagaan itu tidak wajar diteruskan berikutan ketidakhadiran ketiga-tiganya pada prosiding itu kerana dipercayai kini berada di Australia.
Menon berhujah, S. Shamala, 38, yang diberikan hak penjagaan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menghadapi perintah menghina mahkamah kerana enggan membenarkan Muhammad Ridzwan, 42, melawat kedua-dua anak mereka sejak enam tahun lalu.
''Shamala perlu hadir untuk membersihkan perintah itu terlebih dahulu sebelum layak mengemukakan persoalan undang-undang dalam rayuan kes perebutan hak penjagaan dan pertukaran agama anak-anaknya,'' hujah beliau.
Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi akan memutuskan bantahan awal itu pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.
Hakim Zaki menyatakan, panel tersebut tidak mahu tergesa-gesa memberikan keputusan kerana isu yang dibangkitkan agak kompleks dan memerlukan pembacaan teliti serta perhatian mendalam.
Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar lima persoalan undang-undang yang dirujuk oleh Shamala (dengan persetujuan Muhammad Ridzwan) sebelum rayuan kedua-dua pihak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi didengar di Mahkamah Rayuan.
Ia antara lain berkaitan percanggahan undang-undang Islam dan sivil melibatkan pertukaran agama dan hal ehwal keluarga serta Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama.
Panel itu akan menentukan kesahihan pertukaran agama kanak-kanak daripada satu perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh bapa atau ibu tanpa persetujuan dan pengetahuan pihak yang tidak menukar agama.
Pada prosiding hari ini, Datuk Dr. C. V Dass memohon bantahan awal itu ditolak atas alasan isu-isu perlembagaan itu menarik perhatian umum melibatkan hak penjagaan anak bagi ibu bapa yang bercerai dalam keadaan seorang daripada mereka bertukar agama.
Dass berhujah, ia amat penting kerana keputusan mahkamah kelak akan memberi kesan bukan sahaja kepada kes Shamala-Muhammad Ridzwan tetapi juga melibatkan keseluruhan masyarakat secara umumnya.
Beliau menghujahkan, mahkamah perlu mentafsir sama ada Seksyen 95(b) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 bercanggah dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.
Dass menyatakan, Shamala perlu diberi peluang mencabar undang-undang Islam yang memberikan hak kepada bekas suaminya menukar agama anak mereka daripada perkahwinan sivil tanpa pengetahuan dan persetujuannya yang masih beragama Hindu.
Shamala berkahwin dengan dengan M. Jeyaganesh mengikut undang-undang perkahwinan sivil pada 1998 tetapi empat tahun kemudian, suaminya memeluk agama Islam dengan nama Muhammad Ridzwan Mogarajah.
Muhammad Ridzwan turut menukar agama kedua-dua anak lelaki mereka, Saktiwaran dan Theiviswaran yang ketika itu berumur tiga dan dua tahun kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan persetujuan Shamala.
Shamala yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu kemudian ke Mahkamah Tinggi dan memperoleh hak penjagaan sementara menyebabkan bekas suaminya memfailkan pula permohonan hak penjagaan (hadanah) di Mahkamah Syariah.
Muhammad Ridzwan berjaya dalam permohonan itu menyebabkan Shamala dikenakan waran tangkap di bawah undang-undang Islam kerana gagal hadir dan mengemukakan kedua-dua kanak-kanak tersebut.
Pada Julai 2004, Shamala memperoleh hak penjagaan sebenar terhadap dua anak lelakinya itu dan diperintah untuk tidak mengajar agama kepercayaannya kepada kedua-dua anaknya itu atau memberi mereka makan babi.

Ramai lulusan perubatan UKM ‘lari’ bekerja di Singapura


KUALA LUMPUR  – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati semakin ramai siswazah perubatannya ditawarkan kerajaan Singapura untuk berkhidmat di hospital negara itu dengan tahun ini sahaja seramai 20 orang telah berbuat demikian.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, dijangkakan seramai 80 lagi akan mengikuti jejak kumpulan itu dan jika ini berlaku ia pasti merugikan negara yang mengeluarkan peruntukan besar membiayai universiti awam.
Sehubungan itu, beliau meminta siswazah perubatan UKM mengutamakan semangat nasionalis dengan berbakti kepada rakyat negara ini dan bukannya mengejar tawaran gaji lumayan di negara asing.
“Setakat ini 20 daripada 209 siswazah perubatan UKM yang tamat pengajian pada 26 Mac lalu telah menerima tawaran dari kerajaan Singapura dan menjangkakan seramai 80 lagi akan turut berkhidmat di negara itu.
“Sebagai doktor pelatih di Singapura, mereka ditawarkan gaji pokok $2,690 dolar Singapura (RM6,187) manakala doktor pelatih di negara ini dibayar gaji RM3,665 dengan purata elaun antara RM500 dengan RM1,000 sebulan.
“Walaupun ganjaran agak rendah berbanding Singapura, mereka perlu bangga berkhidmat di negara sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Asia Pasifik Sains Pertuturan, Bahasa dan Pendengaran anjuran Jabatan Audiologi dan Sains Pertuturan UKM di sini hari ini.

18 lagi kes baru wabak H1N1 dikesan kelmarin


KUALA LUMPUR - Sebanyak 18 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan sehingga pukul 5.30 petang semalam menjadikan jumlah terkumpul kes itu adalah sebanyak 13,762 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican bagaimanapun berkata, tiada laporan kematian diterima dan jumlah terkumpul kematian disebabkan H1N1 sehingga hari ini kekal 81 orang.
Beliau memberitahu, hanya satu kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) dilaporkan berlaku di Ukay Perdana, Ampang sehingga pukul 8 pagi ini.
"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad seluruh negara adalah sebanyak 601 kes.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 81 kes disahkan positif H1N1 dan bilangan pesakit yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah sebanyak tujuh kes iaitu lima daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mohd. Ismail berkata, majoriti kematian yang dikaitkan dengan jangkitan virus H1N1 ialah melibatkan mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti asma, diabetes, penyakit buah pinggang, penyakit jantung, penyakit paru-paru, ibu mengandung dan kegemukan.
Tegas beliau, golongan tersebut mudah mengalami komplikasi penyakit sedia ada atau jangkitan bakteria sekunder yang menyebabkan sepsis dan boleh membawa maut.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang awam yang mempunyai faktor risiko supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara.

Brunei punyai hak

KUALA LUMPUR – Brunei mempunyai hak kedaulatan ke atas dua blok minyak yang diserahkan Malaysia kepada negara itu pada tahun lalu berdasarkan kehendak Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, Pertukaran Surat 16 Mac 2009 antara Malaysia dan Brunei turut melibatkan persetujuan mengenai isu persempadanan maritim dan penentuan kawasan komersial (CAA) bagi sumber minyak dan gas.
Menurut kenyataan itu, ia bagi membolehkan kedua-dua negara berkongsi hasil daripada sumber petroleum itu.
Sehubungan itu, jelas Wisma Putra, penyerahan dua kawasan blok minyak iaitu Blok L dan M kepada Brunei melalui Pertukaran Surat antara Malaysia dan negara itu adalah selari dengan undang-undang antarabangsa.
“Kawasan minyak Malaysia di Blok L dan M secara kebetulan sama dengan kawasan minyak Brunei di Blok J dan K, ia diiktiraf dalam perjanjian tersebut memandangkan kedua-duanya terletak dalam kawasan perairan Brunei, yang membawa maksud negara itu mempunyai kedaulatan terhadapnya mengikut UNCLOS,” katanya.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta penjelasan Wisma Putra berhubung status dua kawasan pengeluaran minyak bernilai RM320 bilion yang kini dikatakan menjadi milik Brunei.
Dr. Mahathir mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran bagi Limbang.
Abdullah yang menandatangani Pertukaran Surat pada Mac 2009 menjelaskan bahawa perjanjian darat dan laut dengan Brunei diluluskan oleh Kabinet dan Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usahasama pembangunan minyak dan gas atas dasar komersial di kedua-dua kawasan itu bagi tempoh 40 tahun.
Sementara itu, Petronas pula berkata, ia telah dipelawa oleh Brunei untuk membangunkan dua kawasan penerokaan luar pesisir tersebut atas dasar persetujuan komersial.
Petronas berkata, syarikat itu telah menubuhkan sebuah pasukan dan memulakan rundingan dengan Brunei untuk memperincikan terma bagi pembangunan kedua-dua kawasan itu yang kini dikenali sebagai Blok CA1 dan CA2.
Sementara itu, kata kenyataan itu, penamatan kontrak perkongsian pengeluaran membabitkan Blok L dan M, yang diberikan Petronas kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Murphy Oil pada 2003, adalah selaras dengan pewujudan CAA seperti yang ditetapkan dalam Pertukaran Surat.
Menurut Wisma Putra, selain mendapat kelulusan Kabinet mengenai isi kandungan Pertukaran Surat antara kedua-dua negara, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga dirundingi dan diberikan taklimat penuh mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, tambah kenyataan itu, Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei telah menyelesaikan isu-isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara melalui penyelesaian secara baik.
Katanya, perkembangan baik yang membuka lembaran baru hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu adalah hasil daripada rundingan sukar selama 20 tahun antara Malaysia dan Brunei mengenai pelbagai isu termasuk maritim dan sempadan.

4 lagi kes baru H1N1 dikesan

KUALA LUMPUR: Empat lagi kes positif Influenza A(H1N1) yang terbaru dikesan di Ukay Perdana, Ampang sehingga pukul 8.30 pagi ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Beliau berkata tiga pesakit dari taman perumahan itu dimasukkan ke hospital swasta manakala seorang lagi diberi rawatan sebagai pesakit luar, dan semua mereka diberikan rawatan anti viral.
"Ini menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan setakat ini 13,748 orang," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.


Beliau menggesa orang awam yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti asma, diabetes, penyakit buah pinggang, jantung, paru-paru, ibu mengandung dan kegemukan supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 dengan segera.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan pelalian vaksin berkenaan di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara.

"Majoriti kematian yang dikaitkan dengan jangkitan virus H1N1 melibatkan mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko itu. Mereka ini mudah mengalami komplikasi penyakit sedia ada atau jangkitan bakteria sekunder yang menyebabkan sepsis dan boleh membawa maut," katanya. - Bernama

1.92 juta pekerja asing dalam negara sehingga 31 Disember lalu

KUALA LUMPUR: Lebih 1.92 juta pekerja asing yang sah berada di negara ini sehingga 31 Disember tahun lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata jumlah yang direkod itu adalah berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia.
Beliau berkata, daripada 1,918,146 pekerja asing itu, Indonesia mencatat bilangan paling tinggi iaitu 991,940 orang, diikuti Bangladesh (319,020), Nepal (182,668), Myanmar (139,731) dan India (122,382).
Abu Seman berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ir Zamri Yusuf mengenai statistik pendatang tanpa izin dan pekerja asing berpermit ke negara ini pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan pendatang tanpa izin kerana kemasukan golongan itu adalah tidak sah dan tidak direkod oleh mana-mana agensi.

"Bagaimanapun kerajaan menganggarkan pada masa ini terdapat seramai 1.9 juta pendatang tanpa izin iaitu berdasarkan anggaran bagi setiap seorang pekerja asing yang sah terdapat seorang pendatang tanpa izin," katanya.

Mengenai langkah kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing sektor perkhidmatan, Abu Seman berkata kerajaan telah memperketatkan kelulusan pengambilan pekerja itu.
"Kita hanya membenarkan pengambilan di sektor perkhidmatan untuk jawatan tukang masak restoran, pekerja pembersihan dan pencucian serta pekerja pulau peranginan. Pekerja asing juga tidak dibenar bekerja di barisan hadapan," katanya. - Bernama