Followers

Monday, March 1, 2010

Gempa bumi sederhana gegar Mindanao

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan Mindanao, Filipina pada jam 11.15 pagi hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa bumi itu berlaku di 67 kilometer (km) timur laut Davao, Filipina dan 926km timur laut Lahad Datu, Sabah.

Tiada ancaman tsunami akibat gegaran itu. - Bernama

Tentera laut dipersalah lewat keluar amaran tsunami di Chile

SANTIAGO: Menteri Pertahanan Chile, Francisco Vidal berkata tentera laut membuat kesilapan kerana lewat menyalurkan amaran berlakunya tsunami susulan gempa bumi kuat, kelmarin.

Sekiranya amaran tsunami itu dikeluarkan segera, ia boleh membantu penduduk di pesisir pantai dan perkempungan nelayan menyelamatkan diri ke tempat selamat.

Francisco berkata, amaran hanya dikeluarkan oleh ketua pelabuhan dan jika ia dipercepatkan mampu menyelamatkan ribuan nyawa.

“Tentera laut mengakui melakukan kesilapan kerana tidak mengeluarkan amaran tsunami dengan segera," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sebaik gempa berukuran 8.8 skala Richter, Sabtu lalu, Presiden Chile, Michelle Bachelet mengumumkan bahawa tidak berlaku tsunami sebaliknya ia membabitkan ombak besar.

Bagaimanapun, beberapa perkampungan di sekitar pesisir pantai teruk dilanda ombak sehingga pihak berkuasa menyedari ia sebenarnya tsunami.

Vidal berkata, tentera laut sepatutnya mempunyai pelan kecemasan yang membolehkan setiap pelabuhan memantau kenaikan paras laut dengan memberikan amaran bahaya kepada orang ramai. 0 AFP

Gempa di Chile: 48 masih hidup terperangkap dalam bangunan runtuh

CONCEPCION: Seramai 48 orang dipercayai masih hidup dan terperangkap dalam sebuah bangunan pangsapuri yang runtuh selepas lebih 24 jam gempa bumi kuat melanda Chile.

Pegawai bomba dan penyelamat, Ignacio Carrizo mengesahkan setakat ini lapan mayat sudah dikeluarkan dari bangunan berkenaan sejak gempa kuat 8.8 skala Richter melanda, kelmarin.

"Kami percaya ada 48 penghuni lagi masih terperangkap dan mereka masih hidup," katanya yang mengetuai pasukan penyelamat dengan dibantu anjing pengesan.

"Kami akan teruskan usaha dan kami tidak akan berhenti rehat selagi semua mereka yang masih hidup dapat dikeluarkan," kata seorang lagi anggota bomba, Francisco Contreras.

Sekatat ini, angka rasmi jumlah korban akibat gempa yang turut membawa tsunami itu ialah 708 orang seperti diumumkan Presiden Chile, Michelle Bachelet, awal hari ini. - AFP

Ganda usaha capai pertumbuhan 6 peratus: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mahu jentera pentadbiran kerajaan menggandakan usaha bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak enam peratus, tahun ini.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya sempena perhimpunan bulanan kakitangan awam di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, di sini, sebentar tadi.

Angka korban gempa di Chile cecah 700 orang

CONCEPCION: Angka korban akibat gempa bumi di Chile kelmarin kini meningkat kepada 700 orang dengan pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mereka yang masih terselamat dalam bencana terburuk itu.

Kerajaan Chile juga mengisytiharkan perintah berkurung di dua kawasan yang teruk di landa gempa bumi berukuran 8.8 skala Richter itu iaitu di tengah Maule dan Concepcion.

Pihak polis bersiap sedia untuk menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan pencuri yang mengambil kesempatan.

Presiden Michelle Bachelet berkata, angka korban dijangka meningkat lagi dan mengakui kerajaannya gagal memberi amaran awal mengenai risiko tsunami berikutan gempa kuat itu.

Stesen televisyen melaporkan lebih 300 mayat ditemui di sebuah perkampungan nelayan di Constitucion.

Ombak besar menghempas pekan dan kampung serta menghanyutkan penduduk, rumah dan harta benda.

"Ombak datang dan menyapu bersih semua rumah. Ia setinggi enam meter (20 kaki)," kata seorang penduduk, Carlos Palma yang tinggal di pekan pesisir pantai di Penco.

Data rasmi daripada Pusat Amaran Tsunami Pasifik merekodkan ombak tsunami paling tinggi dicatatkan ialah 2.6 meter (lapan kaki, enam inci). - AFP

Hubungan Malaysia-AS semakin mesra: Nazri

WASHINGTON: Perhubungan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang agak dingin kini semakin mesra dengan perubahan dasar luar Malaysia terhadap negara itu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, usaha kerajaan Malaysia untuk berbaik-baik dengan AS telah diketahui kerajaan Amerika dan dapat dirasai pegawai kerajaan, ahli Kongres dan Senator negara itu yang ditemuinya di sini.

Nazri yang mengetuai Ahli Parlimen Malaysia untuk lawatan kerja lima hari sejak Selasa, berkata pertemuan dengan pegawai kanan AS dan ahli Kongres dan Senator berkisar kepada isu kawalan eksport, rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-AS dan memerangi keganasan.

Malah, katanya, Timbalan Wakil Perdagangan Amerika, Demterios Marantis, Senator Kitt Bond dan ahli Kongres Eni Faleomavaega (Samoa Amerika) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar mengenai Asia dan Pasifik serta Alam Sekitar Sejagat mereka menghargai kehadiran mereka.

Beliau berkata, usaha sudah bermula untuk memulihkan semula hubungan Malaysia-AS dengan kerjasama ahli kongres Eni dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

“Insyallah apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) datang pada April nanti maka kita boleh lancar semula kaukus Malaysia-Amerika ini.

"Kaukus ini telah wujud lama, 10 tahun lebih. Oleh kerana tidak bergerak jelas menunjukkan hubungan yang tidak rapat di masa lepas," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya kaukus itu yang juga satu platform untuk kedua-dua negara merapatkan hubungan, "kita boleh ada perancangan dan program tertentu membabitkan ahli Kongres dan Ahli Parlimen kedua negara."

Delegasi Parlimen itu terdiri daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ronald Kiandee, Datuk Haji Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Wee Choo Keong (Wangsa Maju) dan Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Kamaruddin Mohamed Baria.

Nazri berkata, beliau turut menjemput Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed, yang kini Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk ke Washington bagi mengambil bahagian dalam seminar anjuran "Center for Strategic and International Studies (CSIS) bertajuk "Governance and Rule of Law and Malaysian Legislative Initiatives".

"Ini adalah kerana mereka kebetulan berada di Uruguay untuk menyiasat kes kehilangan dua jet enjin Tentera Udara Diraja Malaysia yang turut membabitkan kes rasuah," katanya.

Mengenai dakwaan penulis blog Malaysia Today yang mendakwa kerajaan membayar AS$20 juta (RM67.3 juta) kepada pelobi di Washington untuk membersihkan imej Malaysia yang kononnya tercemar akibat kes perbicaraan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nazri berkata lawatan itu menggunakan peruntukan yang diberikan kerajaan kepada pejabatnya serta Ahli Parlimen.

“Saya tidak tahu dari mana datang jumlah AS$20 juta ini. Ini tuduhan liar dan tuduhan yang dibuat oleh pembangkang. Malah tak ada keperluan untuk membersihkan imej Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, isu Anwar langsung tidak dibangkitkan dalam perbincangannya dengan pegawai, ahli Kongres and Senator AS.

"Isu Anwar cuma dibangkitkan dalam seminar itu sebagai satu soalan yang diajukan seorang wakil NGO (badan bukan kerajaan), dan saya juga tak berminat nak bercakap mengenai kes itu sebab ia terlalu kecil untuk menjejaskan hubungan dengan AS.

"Takkanlah sebab satu individu itu akan menjejaskan hubungan kita.

“Kita tahu di Malaysia dia (Anwar) cuba hendak gugurkan tuduhan terhadapnya di mahkamah dan minta Parlimen bersidang mencampuri urusan kehakiman.

"Bila dia (Anwar) nak didakwa di mahkamah, dia suruh kita (legislatif) pula campur tangan dan Lim Kit Siang menuntut supaya diadakan sidang Parlimen khas. Kita tak akan campur tangan urusan mahkamah,” katanya. - Bernama

Perairan Sabah bebas kenaikan paras laut, gelora

KUALA LUMPUR: Perairan Sabah didapati bebas daripada kenaikan paras laut akibat tsunami susulan gempa bumi kuat di Chile semalam.

Sehubungan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia menarik balik amaran awalnya hari ini.

Menurut kenyataan jabatan yang dikeluarkan petang ini, tiada sebarang kenaikan paras air laut di perairan Malaysia serta perairan Sabah.

"Ini bermakna perairan Malaysia, khususnya perairan Sabah bebas daripada kenaikan paras laut dan laut bergelora akibat daripada tsunami susulan itu," menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, jabatan itu berkata nasihat waspada kepada penduduk di pantai timur Sabah ditamatkan.

Pagi ini jabatan itu mengeluarkan amaran waspada kepada penduduk di kawasan pantai timur Sabah, meliputi Tawau, Sandakan dan Lahad Datu, supaya menjauhi pantai kerana terdapat kemungkinan akan berlaku keadaan laut bergelora dan kenaikan paras laut bermula 12 tengah hari sehingga 6 petang hari ini.

Ini berikutan gempa bumi di Chile yang mencetuskan ombak tsunami di beberapa kawasan di pantai Chile, Mexico, Tahiti, Hawaii, Tonga, Kepulauan Samoa dan New Zealand.

Pada pukul 2.34 petang semalam, satu gempa bumi kuat berukuran 8.8 pada skala Richter melanda pantai Chile Tengah dan sehingga kini lebih 300 orang dilaporkan terkorban di negara itu. - Bernama