Followers

Tuesday, April 13, 2010

Bilangan pekerja asing mungkin dihad kepada 1.5 juta orang

PUTRAJAYA: Bilangan pekerja asing di negara ini akan dikawal dan mungkin dihadkan kepada 1.5 juta sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya ia satu daripada 55 cadangan awal daripada Makmal Pengurusan Warga Asing yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing yang dijadual penghujung bulan ini.
"Angka itu dicadangkan hasil analisis yang mengambil kira kos dan keuntungan kepada ekonomi negara," katanya kepada pemberita di sini selepas melawat Makmal Pengurusan Warga Asing itu. Turut sama Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.
Hishammuddin berkata bahawa pada masa ini terdapat 1.8 juta pekerja asing di Malaysia, 39 peratus daripadanya di sektor pembuatan, 19 peratus pembinaan, 14 peratus perladangan, 12 peratus pembantu rumah, 10 peratus perkhidmatan, dan selebihnya di sektor pertanian.

Mengikut pecahan negara pula, rakyat Indonesia meliputi 50.9 peratus, Bangladesh 17.4 peratus, Nepal 9.7 peratus, Myanmar 7.8 peratus, India 6.3 peratus dan selebihnya Vietnam.

Hishammuddin berkata makmal itu turut membincangkan impak pekerja asing terhadap dasar kerajaan termasuk Model Ekonomi Baru di mana sektor-sektor tertentu yang menjadi fokus negara masih memerlukan pekerja asing.
"Isu keselamatan, keganasan dan layanan majikan kepada pekerja juga diambil kira," katanya.

Makmal itu melibatkan perbincangan selama sebulan bermula 23 Mac lalu, antara 14 kementerian, 11 jabatan dan agensi, 30 organisasi, majikan-majikan dan pertubuhan-pertubuhan yang berkepentingan.

Subramaniam pula berkata makmal itu mendapati Malaysia masih memerlukan pekerja asing tetapi ia harus dikurangkan kepada suatu tahap yang boleh diuruskan dengan lebih baik.

"Kadar itu boleh dihadkan kepada 1.5 juta orang untuk memenuhi keperluan di dalam beberapa sektor di mana kita tidak boleh elak penggunaan pekerja asing.
"Kita harap ia dapat dilaksanakan dalam tiga tahun akan datang," katanya.

Subramaniam berharap makmal itu dapat menghasilkan satu kaedah pengurusan supaya pekerja asing akan dibawa masuk melalui satu sistem yang sah dan akan pulang apabila tempoh pekerjaan mereka tamat.

"Isu berkaitan mereka ketika ini adalah cara untuk menguruskan mereka (kerana) ada yang datang tetapi tidak balik. Isu ini diharapkan dapat diselesaikan oleh makmal nanti,” katanya. - Bernama

Timor Leste minta tempoh pasukan pengaman Malaysia dilanjutkan

KUCHING: Timor Leste meminta tempoh operasi pasukan pengaman Malaysia Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Ops UNMIT Timor Leste di bawah Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) yang akan berakhir pada 2012 dilanjutkan setahun lagi.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am), Datuk Salleh Mat Rasid, berkata pasukan itu yang dikenali sebagai Formed Police Unit (FPU) telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang penyertaan dalam Ops UNMIT di Timor Leste sejak 2006.
"Kerajaan Timor Leste baru-baru ini ketika lawatan terakhir saya bersama Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) tahun lalu mahu khidmat pasukan PDRM dilanjutkan setahun lagi," katanya selepas menyaksikan demonstrasi ketenteraman awam pasukan MAL-FPU di Ibu Pejabat PGA Sarawak di sini, hari ini.
Selain Malaysia, tiga lagi negara yang turut menghantar pasukan pengaman ke Timor Leste ialah Portugal, Bangladesh dan Pakistan.

Katanya, setakat ini PDRM sudah sembilan kali menghantar pasukan pengamannya ke Timor Leste dengan pertukaran setiap pasukan baru untuk tempoh enam bulan iaitu seramai 136 anggota lain pangkat selain empat lagi anggota dari Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Salleh berkata, PDRM sentiasa bersedia untuk menghantar pasukannya sekiranya Kerajaan Malaysia dan PBB bersetuju dengan tawaran kerajaan Timor Leste itu.

"Perkara ini dimaklum secara lisan oleh pemimpin tertinggi Timor Leste, kita serah kepada kerajaan dan PDRM sentiasa bersedia.
“Kerajaan Timor Leste turut meminta supaya PDRM melatih pasukan polis negara tersebut untuk proses kenaikan pangkat,” katanya.

Pasukan baru, MAL-FPU yang juga terdiri daripada 136 anggota lain-lain pangkat selain empat pegawai kor perubatan ATM dijangka berangkat ke Timor Leste pada 1 Mei dan 8 Mei depan untuk menggantikan pasukan MAL-FPU yang sedia ada di sana. - Bernama

Najib yakin hubungan KL-Washington lebih positif

WASHINGTON: Malaysia melihat hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS) akan menjadi lebih positif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak susulan pertemuan sulung beliau dengan Presiden Barack Obama, di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua negara berada pada permulaan baru yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan dan keamanan serantau.
Bercakap kepada wartawan Malaysia, Najib berkata, Obama menyatakan beliau puas hati dengan hubungan dua hala itu dan beliau juga melihat perkembangan yang sangat positif di Malaysia.
Beliau berkata, kesediaan Obama untuk mendengar dan membabitkan negara Islam serta tidak mengambil pendekatan bermusuhan dengan dunia Islam berbeza dengan rejim Bush sebelumnya.

"Saya rasa perubahan oleh pentadbiran baru ini amat memberangsangkan dan saya harap ia bukan sekadar pada corak dan pendekatan tetapi juga pada isinya," kata Perdana Menteri yang mengadakan perbincangan dengan Obama sebelum bermulanya Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang bermula di sini, hari ini.

Najib adalah antara 46 pemimpin dunia termasuk kuasa-kuasa nuklear dan negara-negara maju selain yang sedang membangun, yang dijemput oleh Obama ke sidang kemuncak itu untuk mencari jalan bagi menghalang bahan nuklear jatuh ke tangan kumpulan pengganas.

Obama mengadakan pertemuan dua hala dengan sembilan pemimpin dan Najib dan Presiden Hu Jintao dari China yang juga adalah dua pemimpin Asia yang diberi penghormatan itu.
"Ini satu pengiktirafan kepada kita dan menggambarkan Malaysia bukan saja nasional tetapi sebuah negara komuniti global yang mana kedudukan perhubungan kita boleh membantu dunia menjadi lebih aman dan stabil," katanya yang turut diundang ke jamuan makan tengah hari bersama Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Perbincangan Najib dengan pemimpin-pemimpin Amerika itu berkisar pada langkah-langkah untuk menjadikan dunia bebas daripada senjata nuklear.

Obama berharap Malaysia dapat memainkan peranan dalam menyekat senjata nuklear khususnya berhubung Iran.

"Presiden Obama sedar kita ada hubungan rapat dengan Iran. Saya beritahu kepada Presiden Obama dasar kita dalam hal ini adalah jelas.

"Iran ada hak menggunakan kuasa nuklear untuk tujuan penjanaan kuasa elektrik atau untuk tujuan baik saja dan kita tidak sokong Iran bangunkan senjata nuklear" kata Perdana Menteri.

Najib berharap Iran dapat memenuhi tanggungjawab untuk bersama komuniti global untuk tidak mencari kesempatan mengembangkan kemampuan nuklearnya yang boleh membawa kepada konfrontasi dan tidak kestabilan.

Pada pertemuan itu, Obama juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana meluluskan Rang Undang-undang Perdagangan Strategik di Dewan Rakyat baru-baru ini bagi membanteras penyeludupan bahan bagi mengeluarkan senjata nuklear yang boleh menyebabkan kehancuran meluas.

Najib berkata, ia membuktikan Malaysia sudah mengambil tindakan yang amat bermakna untuk mencegah sebarang bahan senjata api digunakan oleh sesetengah kumpulan.

Perdana Menteri juga memberitahu Obama tentang usaha Malaysia membantu dalam pembinaan semula Afghanistan. - Bernam

Najib-Obama anjak hubungan Malaysia, AS ke tahap baru

WASHINGTON: Hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat maju
setapak lagi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan

Presiden Barack Obama pertama kali mengadakan pertemuan dua hala di sini padaIsnin. Permulaan perbincangan berkisar kepada perkara-perkara ringan sebelum kedua-dua
pemimpin itu menyentuh beberapa isu besar melibatkan perdagangan dan
ketakcambahan nuklear, kata pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim
kepada Bernama.

"Pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dan meyakinkan. Saya rasa
perbincangan ini membawa hubungan dua hala ke satu tahap kesungguhan yang lebih
tinggi," kata Rais yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
Malah, semasa delegasi Malaysia hendak beredar, Obama mengajak Najib berbual dengan beliau untuk beberapa minit lagi.

Semasa perbincangan selama 40 minit antara kedua-dua pemimpin itu, mereka
menyentuh mengenai kerjasama ekonomi, dan Obama tahu tentang Model Ekonomi Baru
yang Najib umumkan dua minggu lepas bertujuan antara lainnya untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. - Bernama

Peguam di Johor Bahru korban terbaru H1N1

PUTRAJAYA: Seorang peguam lelaki berusia 42 tahun dari Johor Bahru menjadi korban terbaru akibat selesema babi atau Influenza A (H1N1), menjadikan mangsa ke-78 sejak wabak itu melanda tahun lalu.

Peguam berkenaan meninggal dunia semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi.