Followers

Sunday, August 1, 2010

Guru berpolitik bakal lahir pemimpin berkaliber: Mustapa

KOTA BHARU: Keputusan kerajaan membenarkan Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri dalam politik bakal melahirkan pemimpin berkaliber untuk negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata "suara guru" dalam iklim politik negara sangat diperlukan kerana mereka sangat diterima masyarakat dan langkah itu sebenarnya memberikan kesan positif kepada negara.
"Ia bakal melahirkan politik kepimpinan dan keputusan kerajaan ini telah memberikan kesan yang sangat positif ketika kita ketandusan pemimpin berkaliber, berintegriti, dihormati dan disegani," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pameran Karya Seni Visual STPM dan Program Usahawan Sosial untuk Pembangunan Ekonomi (SEED) di Universiti Malaysia Kelantan di sini, hari ini.
Mustapa yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri berkata demikian ketika mengulas pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang membenarkan Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri dalam politik mulai hari ini.

Bagaimanapun, beliau menasihati guru terbabit supaya mementingkan kerjaya dan tidak menjejaskan prestasi di sekolah kerana jika itu berlaku ia boleh menjejaskan pelajar.

Mustapa juga mengingatkan pembangkang yang mendakwa kononnya keputusan kerajaan itu bagi membolehkan guru berpolitik untuk menyokong kerajaan semata-mata dan bukannya untuk pembangkang.

"Kerajaan putuskan guru boleh berpolitik dan dakwaan pembangkang yang karut marut ini tidak harus berbangkit. Ini tidak berasas dan mereka (pembangkang) tidak patut buat begini," katanya.
Sementara itu, Mustapa berkata, mana-mana pelajar miskin yang tidak tersenarai sebagai penerima wang ihsan boleh membuat rayuan kepada Jawatankuasa Tabung Wang Ihsan Kelantan.

Katanya, dakwaan nama pelajar itu sengaja tidak disenaraikan di peringkat kampung lagi mungkin ada kebenaran tetapi keluarga pelajar itu dinasihat supaya membuat rayuan kepada jawatankuasa terbabit.

"Kita tak nafi ada berlaku mungkin sebab peribadi tetapi kita tidak mahu perkara kecil ini jadi masalah yang diperbesar dan kita minta buatlah rayuan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini pengagihan wang ihsan itu berjalan dengan lancar dan program pemberiannya akan tetap berjalan ketika Ramadan nanti.

Mengulas program SEED oleh UMK itu, Mustapa berkata, ia bakal memberikan manfaat kepada kampung terpilih untuk meningkatkan pendapatan penduduk apabila UMK bersama universiti luar negara akan mencari kaedah penambahbaikan kepada hasil penduduk kampung.

"Mereka akan ke kampung dan membuat kajian bagaimana hasil pendapatan penduduk boleh ditambahbaik lagi dan ia adalah satu manfaat besar kepada penduduk kampung," katanya.

Program SEED itu adalah kerjasama Pusat Penyelidikan Asia, Universiti Of St Gallen, Switzerland telah memilih beberapa perkampungan di sekitar Pantai Sri Tujuh, Tumpat bagi kajian mereka. - Bernama

Tawau diisytihar daerah pertama bebas kemiskinan di Sabah

TAWAU: Tawau hari ini diisytiharkan sebagai daerah pertama di Sabah yang bebas daripada belenggu kemiskinan tegar.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman ketika mengumumkan perkara itu berkata, kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan pelbagai program membasmi kemiskinan tegar oleh kerajaan negeri dan persekutuan yang dilaksanakan di negeri itu termasuk perladangan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Mini Estet Sejahtera (MESEJ).
"Hari ini kita mencapai satu sejarah di mana Tawau sudah menjadi sifar miskin tegar dan ini jelas menunjukkan usaha-usaha kerajaan kini sudah berjaya. Usaha ini bukan saja kita laksanakan di Tawau, tetapi di seluruh Sabah.
"Semua ini adalah hasil pertolongan kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Saya amat menghargai usaha Sawit Kinabalu, iaitu salah sebuah agensi kerajaan negeri yang telah membantu kerajaan membangunkan ladang-ladang PPRT di Sabah.

"Hasilnya, kita dapat membayar dividen kepada peserta-pesertanya yang terdiri daripada golongan miskin tegar serta menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka sebagai pendapatan tambahan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bayaran dividen sebanyak RM2,400 kepada 393 peserta Ladang PPRT Kalabakan di sini, hari ini.

Menurut Musa, kerajaan akan meneruskan usaha berkenaan bagi memastikan semua rakyat di Sabah mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus menjadikan negeri itu sifar miskin tegar.
Katanya, bagi memastikan semua program membasmi kemiskinan tegar di Sabah berjalan seperti dirancang, kerajaan negeri menubuhkan "Focus Group" iaitu sebuah jawatankuasa yang memantau program berkenaan.

Beliau berkata, ia dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi peringkat negeri manakala pegawai daerah menjadi pengerusi jawatankuasa itu di daerah masing-masing.

Sehubungan itu, Musa menafikan dakwaan pembangkang yang kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk membela rakyat kerana kejayaan projek PPRT telah membuktikan bahawa tuduhan itu meleset.

"Tuduhan golongan tertentu, khususnya pihak pembangkang yang menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri tidak membuat apa-apa terhadap rakyat adalah tidak betul sama sekali. Mereka cuma mahu mengelirukan rakyat," katanya.

Dalam ucapannya, Musa berkata, jumlah Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) di Sabah pada 21 Julai 2010 ialah 14,770 berbanding 18,294 pada 31 Disember 2009.

Musa berkata, kerajaan juga bercadang membina 30 lagi MESEJ pertanian dan MESEJ akuakultur di kawasan yang dikenal pasti sebagai lubuk kemiskinan di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan turut memperuntukkan sejumlah RM103 juta tahun ini bagi melaksanakan Program Bantuan Rumah untuk KIRMT di seluruh Sabah. - Bernama

Malaysia disaran sepadukan Model UN dalam sistem persekolahan

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Malaysia menyepadukan ''Model Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Model UN), satu simulasi akademik Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), ke dalam sistem persekolahan nasionalnya kerana model itu mampu memupuk pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda, kata seorang pegawai badan dunia itu, hari ini.
Penyelaras Residen PBB bagi Malaysia, Brunei dan Singapura, Kamal Malhotra, berkata program berkenaan, yang bermatlamat meningkatkan pengetahuan pesertanya tentang sivik, perkembangan semasa, komunikasi berkesan, globalisasi dan diplomasi pelbagai hala, boleh memberi manfaat kepada kurikulum sekolah di negara ini.
"Kami dalam PBB melihat pendekatan hak asasi manusia sebagai unsur yang amat penting dalam apa jua yang kami lakukan; oleh itu, sekiranya ia diguna pakai dalam sistem persekolahan di Malaysia, ia perlulah dijadikan sebahagian daripada langkah untuk melakukan reformasi terhadap kurikulum," katanya dalam temu bual baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, bagi Malaysia ia adalah satu cabaran kerana negara ini juga mempunyai sistem persekolahan bersifat vernakular.

"Ia berfungsi dengan cukup baik dalam konteks pelbagai budaya apabila setiap orang belajar di sekolah sama dan sebagai permulaan, Malaysia boleh mensasarkan sistem persekolahan nasional yang mempunyai pelajar daripada semua kumpulan etnik," katanya.

Kamal berkata, oleh kerana Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Model UN Global Kedua 2010 (GMUN) yang akan bermula pada 14 Ogos ini, maka ia boleh mempromosikan model itu dalam kalangan generasi mudanya.

"Di kebanyakan negara, sudah menjadi suatu tradisi, persidangan Model UN ini diadakan di peringkat sekolah, tetapi perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Mungkin, pelajar belum begitu terdedah kepada PBB, termasuk di peringkat universiti.
"Jadi, ia mungkin sesuatu yang baru bagi Malaysia, tapi saya rasa, adalah sesuatu yang baik sekiranya Malaysia dan pelajarnya didedahkan kepada Model UN ini kerana isu-isu berkaitan dengan dialog antara budaya amat relevan dalam konteks Malaysia memandangkan komposisi rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai etnik," katanya.

Kira-kira 1,000 pelajar paling pintar dari 90 negara anggota PBB dijangka menyertai GMUN 2010 yang dianjurkan Jabatan Penerangan Awam PBB, Perikatan Peradaban PBB dan Sekretariat Komanwel serta Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Malaysia akan diwakili 50 peserta pada persidangan itu yang bertemakan "Ke Arah Perikatan Peradaban: Merapatkan Budaya Ke Arah Mencapai Keamanan dan Pembangunan."

Persidangan lima hari itu akan menyaksikan peserta berusia antara 18 dan 24 tahun, yang terdiri daripada penuntut kolej dan universiti, membincangkan isu berkaitan budaya, globalisasi dan sosio ekonomi.

Pada akhir persidangan itu, perwakilan akan meluluskan satu resolusi yang akan dikemukakan kepada Presiden Perhimpunan Agung PBB.

Kamal berkata, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah persidangan itu amat relevan berdasarkan kedudukan geografi dan peranannya sebagai sebuah negara Islam.

"Malaysia terletak di persimpangan antara beberapa blok negara utama dan memainkan peranan penting dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Ia juga memainkan peranan penting dalam Asean dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM)," katanya.

Kamal melahirkan harapan supaya persidangan itu juga berusaha merapatkan jurang komunikasi dan mengurangkan salah tanggapan tentang budaya dan agama serta beberapa isu lain untuk membina jaringan lebih kukuh dalam kalangan belia sejagat.

GMUN pertama diadakan di Geneva, Switzerland pada Ogos tahun lalu. - Bernama

Pensyarah Afghanistan sambut baik projek pendidikan Malaysia-Australia

KUALA LUMPUR: Projek Pendidikan Malaysia-Australia untuk Afghanistan yang menawarkan kursus perguruan untuk pensyarah di maktab perguruan sejak tahun lalu mendapat sambutan baik daripada pensyarah.

Kumpulan kedua program itu yang terdiri daripada 30 pensyarah dan tiga jurubahasa berharap akan mendapat manfaat daripada kursus itu dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan di negara mereka terutama untuk pengajaran Bahasa Inggeris dan pengajian Islam.
Salah seorang peserta, Abdul Latip Hamdard, 24, berkata program itu sangat berfaedah dan berguna untuk Afghanistan kerana ia dapat mendedahkan pensyarah tersebut mengenai keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti yang telah diamalkan di Malaysia.
Beliau berharap tempoh latihan itu dapat dilanjutkan kepada enam bulan kerana tempoh sekarang iaitu tiga bulan tidak mencukupi bagi mereka untuk belajar dan mendapat ilmu pengetahuan dalam bidang perguruan.

"Saya berharap kerajaan boleh menganjurkan program ini setiap tahun dan beri peluang kepada guru-guru lain untuk merasai pengalaman ini. Saya sangat menghargai apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dan Australia kepada negara kami," katanya di sini, hari ini.

Kesemua mereka sedang menjalani latihan di Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Antarabangsa (IPG KBA) bermula bulan ini meliputi melatih tenaga pengajar iaitu melatih pensyarah kolej tersebut dalam bidang latihan selain menguasai Bahasa Inggeris.

Ia adalah untuk membantu guru-guru Afghanistan meningkatkan pengetahuan, pertukaran pengalaman dan meningkatkan pembangunan penyampaian dalam pengajaran, selain menambah pengetahuan dalam teknologi maklumat (ICT) dan ajaran Islam.
Ketika Malaysia menyediakan kemudahan dan tenaga pengajar, kerajaan Australia menyediakan peruntukan kewangan untuk mengendalikan kursus tersebut yang bermula tahun lepas susulan perjanjian antara Malaysia dan Australia pada 2008.

Walaupun kursus itu dikendalikan dalam Bahasa Inggeris, ia akan diterjemah ke dalam bahasa Afghanistan oleh tiga jurubahasa tersebut untuk lebih difahami.

Sementara itu, Regeena Jafari, salah seorang guru dari 10 guru wanita dalam kumpulan tersebut berharap melalui program itu beliau akan memperoleh lebih banyak pengalaman dan pengetahuan yang dapat membantu beliau meningkatkan tahap literasi di kalangan warga Afghanistan.

Regeena berkata, kekurangan guru profesional dan kemudahan termasuk teknologi telah menyebabkan tahap literasi di negaranya adalah rendah iaitu sekitar 40 peratus.

Di sesetengah kawasan, pelajar masih duduk di atas lantai di dalam kelas," katanya sambil melahirkan perasaan kagum dengan sistem pendidikan Malaysia yang lebih moden dan maju.

"Malaysia mempunyai segala-galanya, kemudahan yang baik, bahan yang lebih banyak dan lebih ramai guru profesional. Terlalu banyak perbezaan antara sistem pendidikan di sini dengan negara kami," kata pensyarah berusia 26 tahun itu.

Bagi Mahbobi Mahmood, 39, yang amat kagum dengan pengajaran Islam di Malaysia berkata sistem pengajaran Islam di sini adalah sangat baik kerana ia menggunakan pendekatan yang lebih menarik di mana ia sangat sesuai untuk digunakan di Afghanistan.

"Pengajaran Islam di Malaysia adalah sangat bagus. Kami harap akan dapat mempelajari teknik ini dan melaksanakannya di negara kami," katanya.

Bagi Ketua Jabatan Antarabangsa dan Korporat IPG KBA merangkap penyelaras program, Aslam Khan Samahs Khan, berkata kejayaan Projek Pendidikan Malaysia-Australia bagi Afghanistan (MAEPA 1) yang diadakan pada tahun lalu mendorong kerajaan Afghanistan memohon agar program ini diadakan sekali lagi pada tahun ini.

Beliau berkata, program itu dapat membantu kerajaan Afghanistan meningkatkan tahap pendidikan di negara itu memandangkan program ini memberi penekanan kepada pendidikan ''melatih tenaga pengajar'' selain membantu guru-guru tersebut menguasai Bahasa Inggeris, pengajaran Islam dan teknologi maklumat.

"Misi kerajaan adalah membawa pendidikan negara kita ke peringkat antarabangsa. Ini merupakan penghargaan yang amat tinggi kepada Malaysia," katanya. - Bernama

Usahawan Bumiputera berjaya jika amal nilai positif: Musa

TAWAU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yakin lebih ramai peniaga dan usahawan bumiputera berjaya boleh dilahirkan jika mereka teguh mengamalkan nilai-nilai positif dalam urusan perniagaan.
Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata nilai positif seperti memberi komitmen penuh dalam apa juga bidang yang diusahakan serta bekerja lebih kuat seharusnya ada dalam diri setiap usahawan berkenaan.
"Peniaga dan usahawan bumiputera mesti bekerja dan berusaha sepenuh hati. Tidak boleh bekerja separuh jalan. Mesti ada ketabahan dan memastikan apa juga yang diusahakan mencapai kejayaan," katanya ketika berucap merasmikan Program Juara Rakyat di Balung Cocos, dekat sini, malam tadi.
Program bertemakan "Bulan Ekonomi dan Usahawan" itu dihadiri lebih 4,000 rakyat berbilang kaum.

Menurut Musa, usahawan bumiputera, terutama usahawan baru mesti berdisiplin dan bijak mengatur perbelanjaan bagi mengelak mereka daripada berbelanja melebihi pendapatan.

Musa juga berkata, usahawan bumiputera boleh belajar dan mencontohi kejayaan rakan usahawan daripada kalangan bukan bumiputera dengan meniru cara mereka bekerja sehingga mencapai kejayaan.

"Kalau kaum bukan bumiputera boleh berjaya, kaum bumiputera juga boleh berjaya. Yang penting bagi usahawan bumiputera ialah mereka perlu bekerja dengan tekun," katanya.
Musa juga menasihatkan usahawan bumiputera supaya berdisiplin membayar balik pinjaman bank supaya institusi kewangan tidak ragu-ragu untuk memberi mereka pinjaman pada masa depan.

Mengulas program Juara Rakyat, Musa berkata, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat di mana sahaja ia dianjurkan di Sabah sekali gus menandakan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional.

Katanya program berkenaan merupakan landasan terbaik bagi pemimpin dan agensi-agensi kerajaan untuk bertemu dan mendengar segala permasalahan rakyat peringkat akar umbi untuk diselesaikan.

Pada majlis berkenaan, Musa turut meluluskan permohonan penduduk Balung Cocos untuk membina sebuah masjid baru bagi menggantikan masjid lama untuk kemudahan masyarakat Islam di kawasan berkenaan. - Bernama

Bayi nyaris dimakan anjing liar


SHAFIEN (kanan) berkata sesuatu kepada jururawat di Hospital Sungai Bakap mengenai keadaan bayi perempuan yang ditemui di depan sebuah kedai di Taman Cegar, semalam.
SHAFIEN (kanan) berkata sesuatu kepada jururawat di Hospital Sungai Bakap mengenai keadaan bayi perempuan yang ditemui di depan sebuah kedai di Taman Cegar, semalam.

Pemilik kedai terkejut temui budak perempuan kesejukan dalam balutan kertas

NIBONG TEBAL: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat hampir menjadi habuan sekumpulan anjing apabila ditinggalkan di depan sebuah kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat di sini, pagi semalam.
“Kasihan... ketika saya jumpa, bayi ini menangis dan menggigil kesejukan walaupun dibalut kain dan kertas.
“Saya sangkakan bunyi anjing tetapi apabila memeriksa bungkusan itu, saya dapati seorang bayi. Nasib baik saya jumpa lebih awal, kalau tidak mungkin dimakan anjing yang sering berkeliaran,” kata pemilik kedai itu, Ng Song Huat.

Bayi yang cukup sifat seberat 2.58 kilogram itu, ditemui kira-kira jam 7.56 pagi dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk pemeriksaan lanjut.

Ng ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila melihat satu bungkusan di depan kedainya sebaik membuka premis itu untuk pergi membeli barangan dapur.

Dia yang pada awalnya menyangkakan bunyi anjing dalam bungkusan yang dimasukkan ke dalam plastik, terkejut apabila mendapati seorang bayi menangis dan menggigil kesejukan.
Berikutan itu, dia memanggil isterinya untuk memberi bantuan. Pasangan itu kemudian menghubungi polis sebelum membawa bayi itu ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata bayi berkenaan dipercayai dilahirkan di tempat lain sebelum dibersihkan dan ditinggalkan di kaki lima itu.

Katanya, pihaknya sedang menyiasat untuk mengesan ibu bayi berkenaan dan setakat ini belum dapat mengenal pasti keturunan bayi itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu dan mana-mana klinik serta hospital yang merawat wanita baru bersalin dalam keadaan mencurigakan, diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.