Followers

Monday, March 22, 2010

6 maut terhidu gas beracun di Beaufort

KOTA KINABALU: Enam mati dipercayai terhidu gas beracun selepas terperangkap dalam tangki air konkrit yang sedang dalam pembinaan di Kampung Lawa, Beaufort, lewat petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Khiruddin Derahman, berkata mangsa dipercayai pekerja yang terbabit dalam pembinaan tangki berkenaan.

"Operasi menyelamat dan mengeluarkan mayat mangsa berakhir kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi" katanya ketika dihubungi di sini, hari ini

MAS diperintah bayar ganti rugi kepada penumpang hilang bagasi

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret Sivil di sini, hari ini memerintahkan Sistem, Penerbangan Malaysia Bhd (MAS) membayar ganti rugi berjumlah RM9,675 kepada seorang penumpangnya yang kehilangan bagasi di tempat pengambilan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, empat tahun lalu.

Majistret Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan ganti rugi yang difailkan seorang pengurus syarikat penerbangan, Kang Guat Pheng, 51, dari Kuantan, Pahang pada 30 Mei 2007.

"Selepas mendengar keterangan saksi, hujahan kedua-dua pihak dan nas undang-undang yang dikemukakan, mahkamah putuskan untuk membenarkan permohonan plaintif (Kang) seperti yang dipohon dalam tuntutan. “Mahkamah juga memerintahkan defendan (Mas) membayar kos dan faedah lapan peratus setahun atas tuntutan plaintif bermula dari tarikh penghakiman hari ini sehingga tarikh penyelesaian sepenuhnya," katanya.

Sepanjang perbicaraan, Kang yang diwakili peguam Zaidi Abdul Hamid mengemukakan dua orang saksi sementara MAS yang diwakili peguam Hariharan Tara Singh memanggil tiga orang saksi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Kang mendakwa 26 Disember 2006 beliau menaiki penerbangan MAS dari Bandar Ho Chi Minh, Vietnam ke KLIA dan dalam penerbangan itu beliau turut mendaftarkan sebuah bagasi seberat 10kg.

Kang mendakwa apabila tiba di KLIA, beliau mendapati bagasi miliknya hilang di tempat pengambilan bagasi menyebabkan beliau menanggung kerugian kerana kehilangan barangan peribadi bernilai RM9,675.
Plaintif berkata, beliau mengalami kesusahan dan tekanan akibat kehilangan bagasi dan harta benda kesayangan yang tidak dapat dijumpai sehingga hari ini walaupun ia telah dilaporkan kepada pihak MAS serta merta pada hari kejadian.

Sehubungan itu, Kang menuntut ganti rugi khas berjumlah RM9,675, faedah lapan peratus setahun dari 26 Disember 2006 sehingga tarikh kes selesai sepenuhnya, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

MAS sebelum ini dalam pembelaannya, antara lain mendakwa Kang tidak mengisytiharkan harta bendanya yang berharga sebelum penerbangan itu.

Syarikat penerbangan itu dalam pembelaannya juga berkata, pihaknya ada menawarkan kepada Kang untuk membayar ganti rugi berjumlah AS$300 bagi kehilangan beg beliau tetapi plaintif tidak bersetuju dengan jumlah yang ditawarkan dan membawa kes itu ke mahkamah. - Bernama

Bayi perempuan ditemui di tempat buang sampah

IPOH: Seorang bayi perempuan yang berbalut dengan sehelai kain ditemui ditinggalkan di tempat pembuangan sampah di sebuah pusat membeli belah di sini semalam.

Bayi yang baru dilahirkan itu ditemui orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Timbalan Pengarah HRPB, Dr Raimi Goon, berkata bayi yang cukup sifat itudikejarkan ke hospital berkenaan selepas ditemui orang awam pada kira-kira 6 petang.
Beliau berkata, bayi itu sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias, berkata polis menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan dan sedang menyiasat.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Beri peluang kepada pemimpin muda memimpin: Wee

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong menyeru semua ahli parti yang muda untuk memberikan sokongan mereka kepada calon generasi muda pada pemilihan parti 28 Mac ini.

Beliau berkata, inilah masanya untuk membuat pembaharuan dalam parti bagi memberi laluan kepada calon muda menduduki tempat kepimpinan utama seperti Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengumumkan hari ini akan bertanding bagi kali pertama jawatan timbalan presiden parti pada pemilihan tersebut.

"Saya akan berikan sokongan penuh kepada beliau (Liow). Ia adalah sebahagian daripada meremajakan parti dan kita perlu lebih ramai pemimpin muda untuk menduduki tempat utama. "Pada hakikatnya, saya ingin merayu kepada perwakilan pada pemilihan ini, supaya beri banyak peluang kepada calon muda yang dinamik dan berkemampuan di kalangan ahli CC (jawatankuasa pusat) atau VP (naib presiden) yang akan dipilih," katanya selepas Liow mengumumkan akan bertanding bagi jawatan nombor dua tertinggi parti di Wisma MCA, di sini hari ini.

Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, beliau gembira melihat ramai calon muda seperti Liow tampil bertanding, sama ada bagi jawatan timbalan presiden atau CC. - Bernama

PM lancar pusat pekerjaan JobsMalaysia Khamis depan

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 12 pusat pekerjaan atau "JobsMalaysia Centre" (JMC) akan dibuka di seluruh negara bagi membantu pencari kerja di kalangan masyarakat tempatan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan serentak semua JMC di seluruh negara dari JMC Cyberjaya, Khamis ini.

JMC lain adalah di Pelabuhan Klang dan Kelana Jaya di Selangor; Johor Bahru (Iskandar Malaysia) dan Segamat di Johor; Sungai Petani di Kedah; Kota Bharu, Kelantan; Ipoh, Perak; Georgetown, Pulau Pinang; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah; dan Kuala Terengganu, Terengganu. “Selain menyediakan perkhidmatan dan kemudahan penjodohan kerja secara dalam talian, JMC juga akan mengendalikan proses temuduga serta mewujudkan hubungan dengan majikan bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, pusat tersebut juga akan menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kerjaya, bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT), sekolah, jabatan kerajaan dan pihak swasta untuk menjalankan aktiviti pendaftaran, penempatan dan promosi pekerjaan selain melaksanakan program penempatan pekerjaan.

Dr Subramaniam berkata, matlamat penubuhan JMC termasuk mempromosikannya sebagai pusat yang menyediakan kemudahan percuma kepada rakyat untuk mendapatkan pekerjaan.

“Kita juga ingin memberi pendedahan kepada pencari kerja mengenai peluang-peluang pekerjaan yang sedia ada,” katanya. Beliau menjangkakan kalangan pencari kerja yang akan menyertai JMC ialah seperti siswazah menganggur, pekerja yang diberhentikan, orang kurang upaya, ibu-ibu tunggal, pesara, pelajar IPT dan majikan.

Katanya, pelancaran JMC di Cyberjaya akan membabitkan pendaftaran pencari kerja dan majikan secara dalam talian; program penempatan pekerjaan membabittkan 180 majikan pelbagai sektor dan 10,000 kekosongan pelbagai kategori jawatan bagi siswazah dan bukan siswazah.

“Aktiviti lain termasuk ceramah kerjaya oleh Angkasawan Negara, temuduga terbuka, taklimat penyediaan butir-butir peribadi, panduan menghadiri temuduga, pameran oleh jabatan dan agensi di bawah kementerian dan program khas iaitu rakaman program televisyen Jejak Kerjaya oleh RTM di tapak perasmian di Cyberjaya,” katanya. - Bernama

Rakyat Malaysia gunakan lebih 51 gram gula dalam minuman sehari

KUALA LUMPUR: Orang dewasa di negara ini didapati memasukkan tujuh sudu teh atau 51 gram gula sehari dalam minuman mereka, iaitu melebihi saranan pengambilan gula yang disyorkan oleh badan kesihatan dunia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pengambilan gula dalam minuman itu melebihi saranan tidak lebih 50 gram atau 10 peratus daripada keperluan tenaga harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Ini belum lagi ditambah dengan gula yang dijadikan ramuan dalam kuih-muih, bubur, kek, ais krim, coklat dan sapuan roti yang kita makan setiap hari," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula 2010 di sini, hari ini. Kempen selama enam bulan itu turut dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Liow berkata, individu perlu menaiki tangga setinggi 14 tingkat untuk membakar 20 kilo kalori tenaga yang dibekalkan dalam satu sudu teh gula.

"Bayangkan, kita perlu menaiki tangga setinggi 98 tingkat jika mengambil tujuh sudu teh gula yang membekalkan 140 kilo kalori tenaga sehari," katanya.

Liow berkata, masyarakat perlu menyedari pengambilan gula yang banyak tanpa diiringi aktiviti fizikal yang seimbang dan bersesuaian akan menyebabkan individu mengalami kegemukan atau obesiti dalam jangka masa panjang.
“Kajian kementerian itu juga mendapati orang dewasa yang berlebihan berat badan telah meningkat hampir dua kali ganda iaitu daripada 16 peratus pada 1996 kepada 29.1 peratus pada 2006.

"Manakala orang dewasa yang obesiti pula meningkat tiga kali ganda daripada 4.4 peratus pada 1996 kepada 14 peratus pada 2006 dan mendapati pesakit diabetes di kalangan penduduk berumur 30 tahun ke atas meningkat 8.3 peratus kepada 14.9 peratus dalam tempoh yang sama," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mengadakan rundingan dengan industri makanan untuk menghasilkan produk makanan dan minuman yang kurang gula supaya masyarakat dapat menikmati gaya hidup yang lebih sihat. - Bernama