Followers

Wednesday, September 30, 2009

PM umum dasar FDI hari ini


NAJIB diiringi Forbes ketika menghadiri majlis makan malam Forbes Global CEO Conference di KLCC, malam tadi.

Pelaburan Arab jadi tumpuan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan membuat pengumuman penting hari ini membabitkan pelaburan langsung asing (FDI) di Asia Barat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri yang menyertai program Bicara Minda dengan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Forbes, Steve Forbes sempena Persidangan CEO Global Forbes Kesembilan 2009, di sini, malam tadi, enggan mendedahkan butiran lanjut perkara itu sebelum ia dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Katanya, pencapaian Malaysia selaku peneraju utama dunia dalam bidang perbankan Islam menjadikan negara sebagai pilihan utama pelabur negara Islam, terutama dari Asia Barat dan ia harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Itulah sebabnya kita sedang giat membangunkan infrastruktur fizikal bagi menampilkan negara sebagai Pusat Perbankan Islam Sejagat mempromosi pelbagai produk kewangan Islam yang sudah diperkenalkan setakat ini.

"Khidmat perbankan Islam seperti insurans, dana modal dan bon Islam atau sukuk membolehkan sektor kewangan Islam bertumbuh pada kadar dua angka sejak beberapa tahun yang lalu, selaras dengan hasrat mencapai taraf negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Justeru, kita (Malaysia) perlu meningkatkan daya saing sehingga kelihatan di persada khidmat perbankan dan kewangan antarabangsa," katanya dalam bual bicara hampir sejam itu.

Forbes, yang juga Ketua Pengarang Forbes Magazines, menjadi pengantara sesi Bicara Minda yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Najib berkata, kerajaan sudah pun melaksanakan beberapa pendekatan bagi mempromosi khidmat kewangan yang ditawarkan, termasuk liberalisasi 27 sektor perkhidmatan dan kewangan.

Mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat, Perdana Menteri berkata, Malaysia berminat untuk memeterai perjanjian itu tetapi syaratnya perlu boleh diterima.

"Saya rasa Pusingan Doha akan siap secepat mungkin. Saya harap pentadbiran (Barack) Obama akan menyediakan kepemimpinan dalam memastikan konsep perdagangan bebas," katanya.

Sementara itu, Najib akan melawat Perancis selama em pat hari bermula Ahad ini dan dijadual membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa dengan Presiden Nicolas Sarkozy dan Perdana Menteri Perancis, Francois Fillion.

"Dalam lawatan sulung beliau ke Perancis sejak menjadi Perdana Menteri pada April lalu, Najib dan pemimpin negara itu akan turut bertukar-tukar pendapat mengenai krisis kewangan global dan alam sekitar," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan, semalam.

Wawasan 2020 elak bergantung kos buruh rendah: Dr M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Wawasan 2020 yang bermatlamat menjadikan Malaysia menjadi negara maju dalam tempoh 11 tahun lagi tidak akan tercapai sekiranya kerajaan terus bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI), yang menawarkan kos buruh yang rendah.

Bekas Perdana Menteri berkata, strategi terus bergantung kepada syarikat asing perlu ditukar kerana ia tidak menguntungkan negara pada jangka panjang, tambahan pula, Malaysia terpaksa berhadapan dengan persaingan sengit dengan negara lain yang menawarkan peluang pelaburan yang lebih kondusif.

Beliau berkata, sudah sampai masanya kerajaan menukar strategi dengan membantu syarikat besar tempatan membangun produk berkualiti bagi pasaran dunia menggunakan teknologi terkini yang diteroka dari negara luar.

Katanya, usaha itu bukan saja dapat membantu meningkatkan ekonomi negara malah meningkatkan pendapatan rakyat dengan menikmati gaji yang lebih tinggi setanding dengan produktiviti yang mereka tawarkan.

“Kita tidak boleh bergantung kepada FDI berdasar kepada kos buruh rendah dan kemudahan yang ada, kalau tidak, kita akan ketinggalan, tidak akan capai Wawasan 2020.

“Kita patut fikir cara lain untuk capai (Wawasan 2020), menjadi negara berpendapatan tinggi, yang bermaksud pekerja turut mendapat gaji yang tinggi hasil produktiviti mereka,” katanya menyampaikan ceramah bertajuk Wawasan 2020: Mengimbau Kembali Pencapaian Kita Setakat ini dan Langkah Seterusnya di sini, semalam.

Mengulas lanjut bila wawasan itu boleh dicapai, Dr Mahathir berkata sukar ditentukan kerana bergantung kepada pelbagai faktor yang tidak boleh dijangka.

Malaysia, Arab Saudi bentuk syarikat usaha sama AS$2.5 bilion

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Arab Saudi hari ini memasuki era baru dalam kerjasama ekonomi dengan penubuhan sebuah syarikat usaha sama dengan modal AS$2.5 bilion yang akan mengendalikan aliran pelaburan langsung asing dari Timur Tengah serta membuat pelaburan strategik dalam projek berimpak tinggi di Malaysia.

Syarikat usaha sama berkenaan merupakan hasil perkongsian antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Limited (PSI).

Usaha teroka itu adalah yang pertama dilaksanakan oleh PSI di rantau ini dan menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia dan prospek ekonomi di sini, demikian menurut kedua-dua syarikat berkenaan dalam kenyataan bersama.

Maklumat lanjut mengenai usaha sama berkenaan akan diumumkan hari ini.

1MDB, syarikat milik penuh kerajaan Malaysian, ditubuhkan baru-baru ini bagi memacu inisiatif strategik untuk pembangunan ekonomi mampan jangka panjang dan menggalakkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

PSI, berpangkalan di Al-Khobar, Arab Saudi, bertanggungjawab melaksanakan pelaburan yang boleh mengukuhkan hubungan antara antara Arab Saudi dan negara utama di seluruh negara. Objektif syarikat usaha sama berkenaan adalah bagi mendapatkan, meneroka dan mengambil bahagian dalam peluang ekonomi dan perniagaan yang menghasilkan peningkatan dan penggalakkan kemakmuran masa depan dan pembangunan ekonomi mampan jangka panjang Malaysia.

Ia dijangka melabur secara aktif dalam sektor tenaga diperbaharui.

Syarikat usaha sama itu juga dijangka menjadi perantara bagi pelaburan dari Timur Tengah ke rantau ini dengan itu memberi kelebihan kepada Malaysia dalam menarik pelaburan dari rantau yang kaya dengan wang dan sumber berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PSI, Sheikh Tarek bin Essam bin Ahmad berkata: “Malaysia telah lama menjadi model kestabilan dan pembangunan untuk negara membangun.

"Kami percaya dasar liberalisasi ekonomi terbaru yang diumumkan Perdana Menteri akan menjadikan Malaysia sebagai tempat yang menarik untuk pelabur.

"Kami menjangka Malaysia akan menjadi rakan penting untuk negara Arab Saudi."

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Halmi yang menyambut baik penubuhan syarikat usaha sama itu berkata: “Syarikat usaha sama itu bersedia untuk terus meningkatkan FDI dari Timur Tengah, terutamanya Arab Saudi. Kami akan memanfaatkan kedudukan kukuh PSI di peringkat antarabangsa, rangkaian dan kepakaran mereka untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.”

Syarikat usaha sama itu akan melaksanakan projek dalam pelbagai sektor yang memberi manfaatkan bersama dan seiring dengan misi 1MDB untuk memacu pembangunan ekonomi mampan jangka panjang di Malaysia. - Bernama

Mangsa banjir Filipina cecah dua juta orang

MANILA: Angka mereka yang menjadi mangsa banjir besar di Filipina akibat Taufan Ketsana mencecah lebih dua juta orang.

Angka terbaru dikeluarkan kerajaan itu menyebut, seramai 389,616 kini penuh sesak mendiami 561 pusat pemindahan sementara di sekitar ibu negara Manila dan wilayah timur negara itu.

Sementara 346,581 orang lagi menetap di kediaman masing-masing atau menumpang di rumah rakan dan sanak saudara, menurut Majlis Koordinasi Bencana Filipina, hari ini.

Angka kematian kini kekal 246 orang manakala 42 orang masih dilaporkan hilang.

Ribut tropika Ketsana yang membawa hujan paling lebat dalam tempoh 40 tahun melanda Manila serta 80 peratus kawasan di pinggir ibu negara itu. - AFP

Angka korban gempa, tsunami Samoa meningkat 36 orang

APIA: Angka kematian akibat gempa kuat dan tsunami di Kepulauan Pasifik kini meningkat kepada 36 orang dan angka itu dijangka bertambah lagi.

Setakat ini, 22 orang disahkan maut di Samoa Amerika manakala 14 lagi di Samoa berikutan gempa berukuran 8.0 magnitud yang menyebabkan tsunami melanda negara terbabit awal pagi tadi.

"Setakat ini 22 orang disahkan terbunuh dan angka itu dijangka lebih tinggi lagi," kata Michael Sala, Pengarah Keselamatan Dalam Negera, Samoa Amerika. - AFP






Tiada rakyat Malaysia mangsa tsunami Samoa

KUALA LUMPUR: Tidak ada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kejadian tsunami di kepulauan Samoa hari ini, yang mengakibatkan 80 orang terbunuh.

Jurucakap Wisma Putra juga berkata, tidak ada laporan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa taufan Ketsana yang melanda Vietnam hari ini.

Ketsana menyebabkan 40 orang mati di Vietnam dan 246 terbunuh di Filipina. - Bernama

Sabah&Sarawak: Rela gadai nyawa


BEGINILAH sikap kebanyakan pejalan kaki di bandar raya Kota Kinabalu yang gemar melintas ketika lampu isyarat hijau.

Pejalan kaki tak hirau keselamatan, lintas jalan raya sesuka hati

KOTA KINABALU: Satu antara dua - sama ada mereka benar-benar tidak faham atau sengaja tidak mahu ambil tahu aspek keselamatan diri sendiri. Itulah yang harus ditanya kepada kebanyakan pejalan kaki di bandar raya ini yang sama ada tidak tahu atau tidak mahu mematuhi undang-undang jalan raya.

Apakah mereka tidak mahu menjaga keselamatan diri sendiri? Apakah kebanyakan pejalan kaki terbabit lebih rela menyerahkan keselamatan diri sendiri kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal?

Anda tidak percaya? Cuba perhatikan sikap kebanyakan pejalan kaki di bandar raya ini, terutama di depan Terminal Bas Wawasan dan Kompleks Beli-Belah Center Point di tengah bandar raya ini. Boleh dikatakan kebanyakan mereka tidak mematuhi peraturan lalu lintas. Mereka melintas jalan ketika lampu isyarat hijau.

Pemandu kenderaan, termasuk kenderaan berat seperti bas dan lori, apatah lagi kereta atau penunggang motosikal terpaksa memberi laluan kepada pejalan kaki yang sengaja melintas jalan ketika lampu isyarat jelas berwarna hijau.

Bagi pemandu kenderaan yang agak laju, mereka terpaksa segera menekan brek untuk mengelak melanggar pejalan kaki yang tidak mengendahkan lampu isyarat.

KEBANYAKAN pejalan kaki di Kota Kinabalu yang tidak mementingkan keselamatan diri sendiri.

Walaupun perkara ini sudah biasa di bandar raya ini tetapi ia tidak mungkin dapat dilihat di bandar raya lain, terutama Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Boleh dikatakan, pejalan kaki di bandar raya berkenaan lebih berdisiplin ketika melintas jalan. Mereka lebih mementingkan nyawa daripada masa.

Yang peliknya, apabila pemandu kenderaan membunyikan hon sebagai tanda amaran ada sesetengah pejalan kaki yang menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu.

Pejalan kaki harus sedar di Sabah, mereka adalah golongan pengguna jalan raya yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi. Ia agak pelik jika dibandingkan dengan kes kemalangan maut di negeri lain yang kebanyakannya lebih menjurus kepada penunggang motosikal dan pemandu serta penumpang kenderaan.

Dari Januari hingga Ogos lalu, 54 kes daripada keseluruhan 197 kes kemalangan maut membabitkan pejalan kaki. Ia meningkat 11 kes (26 peratus) berbanding 43 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Berdasarkan statistik Jabatan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi, iaitu 17 diikuti Tawau (lima) dan Lahad Datu serta Sandakan masing-masing empat kes.

Kebanyakan kes kemalangan maut membabitkan pejalan kaki berlaku di jalan Kota-Kinabalu-Sepanggar, iaitu berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Jumlah kemalangan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini turut meningkat kepada 10,047 kes berbanding 9,498 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sebanyak 197 kes kemalangan maut dicatatkan dalam tempoh berkenaan berbanding 192 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu. Purata kes kemalangan bagi lapan bulan pertama tahun ini adalah 47 kes sehari berbanding 45 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Sebanyak 16,127 kenderaan terbabit dalam kemalangan jalan raya dalam tempoh Januari hingga Ogos lalu dengan kereta mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 8,945 kes dan diikuti kenderaan pacuan empat roda (3,629), lori (926), van (865), motosikal (782), pikap (217), treler (203), bas (136), teksi (132), lain-lain (125), bas mini (121), bas sekolah (25) dan basikal (21).

Sehubungan itu, Polis Trafik, terutama di bandar raya ini harus bertindak menyaman pejalan kaki yang sengaja melintas jalan ketika lampu isyarat hijau. Hanya dengan tindakan seumpama ini mampu mendidik mereka supaya lebih berdisiplin ketika melintas jalan.

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kementerian Pengangkutan di negeri ini harus berfungsi lebih aktif dalam mendidik pejalan kaki mengenai aspek keselamatan diri sendiri.

Kempen keselamatan jalan kaki, khusus untuk pejalan kaki harus diadakan dengan tujuan mendidik mereka untuk lebih menghormati undang-undang lalu lintas, sekali gus menjamin keselamatan diri sendiri dan bukannya menyerahkannya kepada pemandu kenderaan.

Kampung 'ditelan' tsunami akibat gempa di Samoa

APIA: Gempa bumi kuat 8.0 magnitud yang melanda Kepulauan Pasifik Selatan di Samoa awal pagi ini menyebabkan banyak kampung 'ditelan' tsunami serta mengorbankan 10 orang setakat ini.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 14 orang dilaporkan maut di Samoa Amerika dengan penduduk mendakwa ombak setingga lebih 9 meter (30 kaki) membadai perkampungan mereka.

Seorang wartawan tempatan memberitahu AFP, keseluruhan perkampungan di pantai Samoa dihanyutkan oleh tsunami yang disifatkan paling buruk.

Kawasan itu dilaporkan mempunyai ribuan penghuni.

Ibu negara Samoa, Apia kini tenggelam dengan pihak berkuasa berusaha untuk menyelamatkan ribuan mangsa ke tempat lebih tinggi.

Saksi memberitahu, ombak menghanyutkan kereta, bangunan dan rumah penduduk dengan keadaan seperti 'padang jarak padang terkukur'.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat mencatatkan gempa berukuran 8.0 magnitud melanda jam 6.48 pagi waktu tempatan (1748 GMT) di kedalaman 18 kilometere (km) di 195km selatan ibu negara Apia. - AFP

Jepun keluar amaran tsunami

TOKYO: Jabatan Meteorologi Jepun sebentar tadi mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa kuat serta tsunami melanda Kepulauan Samoa.

Amaran itu menyebut ombak bakal melanda sehingga 50 sentimeter (20 inci) yang melanda Kepulauan Pasifik.

Ombak pertama dijangka melanda Pulau Ogasawara di 1,000 kilometer (km) di Selatan Tokyo, sekitar jam 11 pagi waktu tempatan (0200 GMT), menurut agensi itu.

Ombak susulan pula dijangka tiba ke pantai Jepun sekitar tengah hari ini. - AFP

Tiga warga Korea antara yang maut akibat gempa di Samoa

SEOUL: Tiga warga Korea Selatan dilaporkan maut manakala seorang lagi hilang di Samoa Amerika selepas negara Kepulauan Pasifik itu dilanda gempa bumi kuat sehingga membawa tsunami, awal pagi ini.

Pegawai Kementerian Luar di Seoul mengesahkan mengenai kehilangan nyawa rakyatnya itu.

Agensi berita Yonhap pula melaporkan, angka kematian membabitkan warga Korea Selatan mungkin meningkat.

“Menurut Kedutaan Korea Selatan di New Zealand, setakat ini tiga warga kami terbunuh dan seorang lagi dilaporkan masih hilang, dikhuatiri dihanyutkan tsunami," katanya. - AFP

Australia, New Zealand sedia hantar misi bantuan ke Samoa

WELLINGTON: New Zealand dan Australia bersetuju menghantar bantuan kemanusiaan segera ke Samoa selepas negara di Kepulauan Pasifik Selatan itu dilanda gempa bumi dan tsunami, awal pagi ini.

New Zealand akan menghantar pesawat Air Force Orion ke Samoa untuk membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa, kata Menteri Luar, Murray McCully.

Beliau berkata, New Zealand masih menunggu laporan sejauh mana kesan buruk bencana itu sebelum menghantar pesawat tentera berkenaan ke Samoa.

"Pegawai diplomatik New Zealand di seluruh Pasifik Selatan kini sedang bersedia bersama pihak berkuasa tempatan untuk mengumpulkan maklumat sebelum misi bantuan itu dilancarkan," katanya.

Australia juga sedang menyiapkan misi untuk membantu Samoa yang disifatkan 'amat memerlukan bantuan' selepas dilanda bencana buruk itu.

Setiausaha Parlimen Australia Bagi Kerjasama Pembangunan, Bob McMullan berkata, setakat ini tiada permintaan bantuan daripada kerajaan Samoa susulan kejadian gempa itu.

"Namun kita bersiap sedia untuk memberikan bantuan yang diminta mereka.

"Mereka adalah negara sahabat dan jiran kami yang akan dibantu dengan apa cara sekalipun," katanya. - AFP

28 maut gempa bumi, tsunami landa Samoa

APIA: Seramai 28 orang dilaporkan terbunuh selepas gempa bumi kuat yang membawa tsunami melanda Pasifik Selatan, khususnya di Samoa dan Samoa Amerika.

Menurut Palang Merah dan laporan media setakat pagi ini, masing-masing 14 maut di Samoa dan Samoa Amerika dalam kejadian jam 6.48 pagi waktu tempatan (1748 GMT).

Menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat, gempa berukuran 8.0 mangnitud itu cukup kuat untuk menyebabkan tsunami di dua negara kepulauan Pasifik Selatan itu. - AFP