Followers

Monday, August 30, 2010

Pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas behubung isu perkauman: TPM

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan sentimen perkauman agar ia tidak menimbulkan natijah yang buruk, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan seumpama itu, tegas Timbalan Perdana Menteri, harus dilaksanakan secara berterusan walaupun mungkin ia sudah diambil sebelum ini.
"Kita tidak mahu rakyat berasa tidak selamat..jika perbuatan ini dbiarkan berleluasa, maka ia akan mencetuskan ketidakseimbangan dalam masyarakat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) Kelima di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video klip terbaru yang menyentuh isu perkaumanan oleh Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.

Namewee yang berasal dari Muar, Johor, sebelum ini pernah menimbulkan kemarahan orang ramai apabila menghasilkan video klip yang menghina lagu kebangsaan, Negaraku.

Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, juga telah menyatakan bahawa isu seumpama ini akan diberi perhatian serius.

"Pihak berkuasa telah diarahkan supaya mengambil tindakan yang serius dalam soal seperti ini, termasuk perbuatan yang mencemarkan bendera dan yang boleh mencetuskan perasaan bimbang di kalangan rakyat," katanya.
Ketika ditanya mengenai tindakan terhadap Namewee, beliau berkata tiada kompromi terhadap perkara yang bersangkut paut dengan keharmonian dan keamanan negara.

"Kalau ada yang beranggapan (perbuatan) itu tidak menerima tindakan atau kerajaan lambat bertindak atau memilih-milih, sebenarnya ia tidak begitu. Apa yang penting sekarang ialah tindakan tegas kerana kita tidak akan berkompromi dengan isu seperti ini," katanya.

Mengenai kenyataan berbaur perkauman oleh Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor, baru-baru ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa khas yang menyiasat perkara itu telah menyerahkan laporan berkenaan.

Katanya, kes itu diserahkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, untuk mengambil tindakan berdasarkan peraturan disiplin jabatan. - BERNAMA

Jangan biarkan isu perkauman hancurkan semua yang dibina: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan diasak oleh budaya kejumudan serta sikap melampau yang terjelma melalui isu perkauman serta agama.

"Segala apa yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai, boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada," kata Perdana Menteri dalam perutusannya sempena Hari Kemerdekaan ke-53 yang akan disambut esok.
Beliau berkata, sudah tiba giliran generasi sekarang untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi.
Perdana Menteri berkata, cabaran sebenar rakyat Malaysia hari ini adalah untuk mentransformasikan negara supaya menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ke arah itu, katanya, kerajaan telah memasakkan asas yang kukuh dalam bentuk pelan transformasi kerajaan (GTP) dan pelan transformasi ekonomi (ETP) sebagai pelan hala tuju yang jelas ke arah matlamat mulia tersebut.

Najib berkata, kejayaan mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana, adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan.

"Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo sedia ada dan kesanggupan berubah, pendahulu kita telah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara.
"Hari ini tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil yang melampaui kebiasaan," katanya.

Menyingkap perjuangan tokoh ternama negara, Najib berkata bapa kepimpinan negara tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar manapun cabaran yang melanda.

"Mereka sentiasa mendambakan dan berusaha ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata, setiap seorang anak Malaysia adalah penting dan berkemampuan menyumbang kepada penciptaan kemakmuran dan kesejahteraan nasional dan sudah tiba masanya untuk memanfaatkan sepenuhnya bakat-bakat tempatan yang ada.

"Alangkah ruginya negara jika bakat-bakat yang kita latih dengan segala susah payah, berhijrah bagi mencari padang yang lebih subur, hanya dek kegagalan kita mengadakan persekitaran terbaik untuk mereka menyumbang.

"Ini kerana fenomena globalisasi bukan sahaja menyaksikan pengaliran mudah modal dan teknologi merentas sempadan tetapi juga melibatkan pengaliran bebas modal insan," katanya.

Najib berkata, bagi mencapai matlamat masa depan yang lebih baik, Malaysia mestilah mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan selama ini.

Untuk itu, katanya, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum seperti mana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara dan termaktub dalam Perlembagaan persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.

Najib turut mengingatkan rakyat bahawa kerajaan yang ada amat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang ada daripada ancaman dalam mahupun luaran.

"Ingatlah bahawa, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kebahagiaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan, kita akan bersemadi," katanya.

Beliau menyeru warga Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini untuk sama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk menjadikan Malaysia negara yang terbaik.

"Demi masa depan anak-anak kita, kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat," katanya. - BERNAMA

AS ucap tahniah kepada Malaysia sempena Hari Kemerdekaan

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) hari ini mengucapkan tahniah kepada Malaysia sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-53 esok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kedutaan AS di sini, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, berkata Amerika Syarikat berharap hubungan antara kedua-dua negara akan terus dipertingkat dan diperkukuhkan.
"Bagi pihak Presiden Obama dan rakyat Amerika Syarikat, saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kemerdekaan ke-53 pada 31 Ogos.
"Pertukaran dalam bidang pendidikan dan kebudayaan yang telah lama wujud telah membuahkan persefahaman erat antara rakyat Malaysia dan Amerika, dan kerjasama kita dalam ekonomi dan keselamatan menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara," katanya.

Sementara itu, kedutaan AS di sini akan ditutup sehari esok. Untuk kecemasan ia boleh dihubungi melalui talian 03-21685000. - BERNAMA

Isu di Indonesia tidak jejas pelaburan: Mustapa

KOTA BHARU: Tindakan segelintir rakyat Indonesia yang berdemonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta baru-baru ini sehingga sanggup membakar Jalur Gemilang dan melontar najis sama sekali tidak menjejas hubungan erat kedua-dua negara dan pelaburan sedia ada.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata apa yang berlaku hanya membabitkan segelintir rakyat negara itu yang langsung tidak ada kena mengena dengan dasar kerajaan dan aspirasi sebahagian besar rakyatnya.
"Hubungan kita dengan Indonesia sangat baik sekali dan saya dengan rakan sejawat di Indonesia sering mengadakan perbincangan setiap tiga bulan sekali lebih-lebih lagi kita dalam semangat ASEAN.
"Banyak syarikat besar Malaysia buat pelaburan di sana dan pelabur sama-sama menyumbang bagi kebaikan kedua-dua negara dan kita berharap isu itu langsung tidak mengganggu-gugat hubungan sedia ada," katanya selepas majlis bersahur bersama lebih 60 anak yatim di Pusat Jagaan Rohaniah di Taman Uda Murni di sini, hari ini.

Mustapa berkata, apa yang berlaku itu berkemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan hubungan baik itu dan yakin mereka yang terbabit tidak akan berjaya berbuat demikian.

"Apa pun kita akan terus memupuk hubungan yang sangat baik ini dan kita berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba menggugat hubungan ini," katanya. - BERNAMA