Followers

Sunday, December 6, 2009

Modul BTN perlu dikekalkan: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Modul Biro Tatanegara (BTN) perlu dikekalkan dan tidak dirombak kerana ia sudah cukup baik dalam memupuk semangat kenegaraan di kalangan rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berpendapat, kurikulum BTN dapat memupuk semangat perpaduan kerana kursus anjuran agensi itu turut dihadiri rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

"Tidak perlu dirombak... saya ingat kekal (modul BTN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Aids Sedunia 2009 di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Isu kursus anjuran BTN mendapat perhatian ramai apabila kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini melarang kakitangan awam dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri mengikuti kursus berkenaan berkuatkuasa serta-merta kerana didakwa sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman, memecahbelahkan penduduk pelbagai kaum, agama dan menimbulkan kebencian kepada pembangkang.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, tidak ada apa-apa yang tidak betul mengenai kursus BTN kerana kurikulumnya cukup baik untuk memberi kesedaran tentang pentingnya kehidupan bernegara.

Malah, katanya beliau juga pernah memberikan syarahan pada kursus anjuran BTN dan antara perkara yang diterangkan ialah mengenai sejarah Malaysia.

"Kadang-kadang ramai orang tidak faham nilai yang dapat menerusi kursus BTN. Saya tidak nampak BTN buruk selain dapat diterangkan tentang sejarah negara," katanya.

Sementara itu mengulas saranan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pemerhati bebas dari Australia dilibatkan bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13, Dr Mahathir dengan sinis berkata: "Kalau orang putih dia percaya, kalau orang Melayu dia tak percaya."

Mengenai langkah kerajaan merancang memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula Dr Mahathir berkata, perlu ada kajian mendalam mengenai perkara itu supaya tidak membebankan rakyat.

Sebelum ini, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pengenalan GST di Malaysia adalah satu bentuk keperluan jangka panjang memandangkan pergantungan negara kepada sektor petroleum sebagai penyumbang utama pendapatan perlu diganti dari sekarang. - Bernama

Sistem pelajaran perlu diubah untuk keperluan pelajar pintar cerdas: PM

BANGI: Sistem dan kaedah pembelajaran serta pengajaran untuk pelajar pintar cerdas perlu diperbaiki serta diperhebatkan selepas sekian lama ia seakan terabai kerana tumpuan lebih diberikan kepada pelajar golongan khas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sistem pendidikan negara selama ini hanya memberi keutamaan dan tumpuan kepada pelajar golongan khas tanpa menyedari tumpuan yang sama harus diberikan kepada pelajar pintar.

"Selama ini kita lihat dasar pendidikan negara kita ada kelas untuk pelajar biasa dan ada kelas khas untuk pelajar cacat penglihatan, cacat pendengaran, autisme, sindrom down dan segala aspek daripada segi kecacatan dan kelemahan diambil kira tapi kita lupa ada pelajar yang kecerdasan mereka, merupakan golongan luar biasa.

"Luar biasa daripada segi mereka berfikir, luar biasa daripada segi mereka belajar. Mereka juga perlukan pembelajaran yang baik," katanya semasa merasmikan perkhemahan cuti sekolah PERMATA Pintar Negara di sini hari ini.

Najib berkata sudah tiba masanya aspek pembelajaran dan pengajaran yang sesuai untuk golongan pelajar pintar cerdas diadakan selepas sekian lama ia terbiar sedangkan ia telah lama wujud di negara-negara lain.

"Sudah sampai masanya kita melakukan perancangan untuk keperluan pelajar-pelajar seperti ini. Saya yakin program seperti ini sama ada tadika pintar, sekolah pintar, akan membawa perubahan besar pada pembentukan jati diri bangsa yang lebih hebat untuk masa akan datang," katanya. - Bernama

Tiga Menteri Kabinet dahului senarai anugerah darjah kebesaran

PEKAN: Seramai 143 penerima hari ini menerima anugerah darjah dan pingat kebesaran negeri Pahang sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah ke-79, 24 Oktober lalu.

Anugerah disampaikan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini.

Mendahului senarai ialah tiga Menteri Kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed yang dianugerahkan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran "Datuk Seri".

Penerima darjah SSAP lain ialah Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Ibrahim Jaapar; Presiden Limkokwing University of Creative Technology, Tan Sri Lim Kok Wing; Penguambela dan Peguamcara Datuk Muhammad Shafee Md Abdullah; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Integrated Petroleum Services Sdn Bhd, Datuk Hadian Hashim; Pengarah Rickoh Holdings Sdn Bhd Datuk Koh Kin Lip dan Pengerusi Kumpulan London Biscuits Berhad Datuk Liew Kuek Hin.

Seramai enam penerima dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran "Datuk".

Antara mereka ialah Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar; Panglima Logistik Udara Pangkalan Udara Kuala Lumpur Mejar Jen. Datuk Ackbal Abdul Samad; Ketua Staf Markas Tentera Darat Kuala Lumpur Mejar Jen. Datuk Mazelan Kasap; Pesara Pegawai Kanan Polis Datuk Harun Md Idris dan Pengarah Urusan Eden Tours & Travel Sdn Bhd Wong Kian Boon.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif B. Grimm & Co, Harald Link pula adalah penerima tunggal anugerah DSAP Kehormat yang turut membawa gelaran "Datuk".

Seramai 74 penerima pula dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran "Datuk" termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang kawasan Padang Tengku, Abdul Rahman Mohammad; Adun Kerdau, Zaharuddin Abu Kassim; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datin Asariah Mior Shaharuddin; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Dr Gan Wee Beng; Presiden Persatuan Karyawan, Frederick John Fernandez; Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ruhaidini Abd Kadir; Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Sdn Bhd, Leong Chin Tung dan Ketua Pegawai Eksekutif First Dairy Farm (M) Sdn Bhd Muhammad Alwi Ramesh Abdullah.

Pada istiadat itu juga, seramai lima orang menerima Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), sembilan penerima Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP), tujuh penerima Darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) serta lapan penerima Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP).

Seramai 10 penerima pula menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), enam penerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan lapan menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK). - Bernama

MTUC mohon kerajaan isytihar pengampunan bagi pekerja asing

PELABUHAN KLANG: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memohon kerajaan untuk mengisytiharkan pengampunan bagi membolehkan sejumlah 2.1 pekerja asing tanpa izin meninggalkan negara ini.

Naib Presidennya, A Balasubramaniam, berkata langkah itu kaedah terbaik bagi mengurangkan bilangan pekerja asing di negara ini.

Beliau berkata program pengampunan terakhir pada 1 Julai 2004 hingga Februari 2005 amat berjaya dengan 230,000 pekerja tanpa izin pulang ke negara masing-masing secara sukarela.

Beliau berkata, MTUC menerima ratusan permohonan daripada pekerja seumpamanya terutama mereka yang tempoh visa telah tamat dan berhasrat pulang ke negara asal mereka.

Katanya, kos untuk mendapatkan dokumen berkenaan agak tinggi dan pekerja berkenaan tidak mampu.

"Pekerja perlu membayar sejumlah RM2,000 untuk mendapat dokumen berkenaan, meliputi denda RM300 kerana tinggal melebihi tempoh, RM600 untuk tiket penerbangan dan RM1,100 bagi pemprosesan permohonan menerusi agen khusus.

"Di bawah program pengampunan, pekerja tidak perlu membayar apa-apa kerana kos penghantaran balik akan ditanggung oleh kerajaan negara asal mereka," katanya.

Balasubramaniam berkata program pengampunan akan memberi manfaat kepada negara kerana ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan, mengurangkan jumlah depoh tahanan, penempatan semula pegawai penguatkuasa, risiko lebih rendah penularan penyakit berjangkit dan membantu pekerja asing daripada dieksploitasi majikan tidak bertanggungjawab.

"Selain itu, Malaysia juga memperoleh jalinan hubungan muhibbah persatuan pekerja di kedua-dua negara ini dan negara asal pekerja," katanya. - Bernama

Banjir di Terengganu semakin reda

KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di seluruh Terengganu secara keseluruhannya semakin reda dengan jumlah mangsa berada di pusat pemindahan berkurangan kepada 829 orang pagi ini berbanding 1,077 malam tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, keadaan di Hulu Terengganu dan Marang baik dengan jumlah mangsa kini 14 dan 21 orang.

Beliau berkata Kemaman yang paling teruk dilanda banjir gelombang ketiga menunjukkan keadaan semakin reda dengan jumlah mangsa masih berada di pusat pemindahan kini 475 orang.

"Jumlah mangsa di pusat pemindahan di Kuala Terengganu dan Dungun berkurangan iaitu masing-masing 190 dan 120 orang," katanya hari ini.

Semua jalan utama termasuk Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu boleh dilalui semua kenderaan tetapi terdapat beberapa jalan negeri ditutup iaitu Hulu Terengganu (tiga), Dungun (dua) dan Kemaman (dua).

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan paras air sungai di sungai utama di Terengganu berada di bawah paras biasa pagi ini.

Di KUANTAN, mangsa banjir di empat daerah di Pahang meningkat kepada 1,803 orang pagi ini berbanding 346 orang semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir negeri berkata, Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi mangsa dipindahkan ke 10 pusat pemindahan iaitu 1,639 orang.

Katanya pusat pemindahan terbaru di Sekolah Kebangsaan Agama Rakyat As-Sidik di Taman Tas Jaya dibuka jam 4 pagi tadi.

Di Pekan, seramai 26 orang daripada lima keluarga berada di pusat pemindahan di Balai Raya Padang Rumbia dan dewan serbaguna Kelab Rendang yang dibuka malam tadi.

Jurucakap itu berkata, mangsa banjir di daerah Maran kini tinggal tujuh sekeluarga dari Kampung Baru Sungai Chedong yang masih berada di Dewan Perpaduan Teladas kerana selebihnya sudah pulang ke rumah masing-masing bermula semalam selepas air surut dan cuaca baik.

Mangsa banjir di Bera kekal 131 orang dari Kampung Paya Tateh yang ditempatkan di Kompleks Rakan Muda Kerayong.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang berkata paras bacaan Sungai Triang di Triang melebihi paras berjaga-jaga iaitu 34.42 meter manakala bacaan sungai lain pada paras normal. - Bernama