Followers

Saturday, July 10, 2010

UMNO perlu kenal pasti mereka yang belum berdaftar: Shafie

BESUT: Faktor kesuntukan masa dan anggapan proses daftar pemilih sebagai susuatu yang tidak penting, dikenal pasti sebagai punca mengapa ramai pengundi yang layak masih belum mendaftar sebagai pemilih, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, UMNO akan mengubah pendekatan dalam menarik orang ramai mendaftar sebagai pemilih sebelum berlangsung pilihan raya umum ke-13 nanti, dengan memberi keutamaan kepada dua kumpulan itu.
Katanya, ahli UMNO perlu meningkatkan usaha itu dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan, menjelajah semua sektor, kilang dan sebagainya untuk mendekati kumpulan berkenaan.
"DAP bulan lalu (Jun) sahaja mendaftar 13,000 pengundi (baru), sedangkan UMNO hanya daftar 7,000 hingga 8,000 sahaja," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, UMNO ketika ini mempunyai 4.3 juta pemilih berdaftar di seluruh negara dan usaha kini ditumpukan kepada 1.9 juta penduduk Melayu yang layak tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Sementara itu Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, berkata Terengganu adalah antara negeri yang diberi tumpuan oleh kementerian itu terutamanya dalam aspek pembinaan rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Sepanjang tahun ini, 16,000 rumah PPRT dibina di Terengganu, dengan 1,400 sudah siap manakala selebihnya masih dalam proses," katanya.
Katanya, setakat ini 44 projek bernilai RM20 juta sedang dilaksanakan di daerah ini, merangkumi pembinaan jalan raya, elektrik, air dan kemudahan sosial seperti pembinaan jambatan.

Terdahulu, Shafie merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zain, yang juga Ahli Parlimen Besut. - BERNAMA

Banyak lagi produk 1Malaysia akan diperkenal: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata lebih banyak lagi produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan gagasan 1Malaysia akan diperkenalkan kepada rakyat.
Perdana Menteri berkata, kerajaan memulakan langkah itu dengan memperkenalkan Klinik 1Malaysia dan meningkatkan kemampuan Jabatan Imigresen untuk mengeluarkan pasport antarabangsa dalam tempoh 1 jam.
Katanya, produk dan perkhidmatan lain yang selaras dan menepati konsep dan gagasan itu sedang dikenal pasti.
"Gagasan 1Malaysia ini tidak terhad kepada soal perpaduan sahaja dan ia lebih luas daripada itu.

"Ia adalah sebahagian daripada rangkaikata Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, yang bererti mesti kaitkan produk 1Malaysia yang menjurus kepada kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Bunga dan Taman (Floria) Putrajaya di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan konsep 1Malaysia yang juga visi Perdana Menteri.

Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Najib berkata, konsep 1Malaysia adalah konsep dan gagasan yang perlu difahami dan dihayati.

"Pada peringkat sekarang, ia lebih kepada aspek 'ceremonial' dan kefahaman tentang gagasan ini. Selepas ini akan masuk dalam fasa untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang ada kaitan dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 26 cawangan Jabatan Imigresen kini mampu mengeluarkan pasport antarabangsa dalam masa sejam.

Katanya, beliau meminta setiap cawangan jabatan itu mempamerkan poster mengenai pasport antarabangsa yang boleh dikeluarkan dalam masa sejam dan menggunakan simbol 1Malaysia, dengan memberi penekanan kepada angka 1. - BERNAMA

Laut terbelah di Korea

Keajaiban di Pulau Jindo bentuk laluan sementara 2.8 kilometer selama sejam

APA saja yang disebut sebagai keajaiban memang tidak pernah gagal menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi apabila kisah di sebaliknya sukar dijelaskan. Malah, banyak sebenarnya fenomena menakjubkan berlaku di dunia ini yang kurang diketahui ramai biarpun berlaku hampir saban tahun.
Salah satu fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut terbelah yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea Selatan. Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo. Bayangkan dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.
Kejadian itu pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa yang ‘membelah laut’ bagi membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman Firaun.

Namun, kejadian moden belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak yang menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.

Ini menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air. Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut Terbelah Jindo.
Malah Pesta Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April.

Acara itu juga membolehkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman di laut dan menyaksikan pemandangan unik serta budaya Jindo. Pesta itu diserikan dengan lagu rakyat Jindo dan tarian khas Korea, Ganggangsullae, turut dipersembahkan. Tarikan lain sepanjang pesta itu termasuk pertunjukan bunga api, pertunjukan laser, persembahan muzik tradisional serta permainan dram.

Bagi mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan, orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau berjalan-jalan sendiri di laluan itu.

Malah, siapa yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain.

“Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik media tempatan, baru-baru ini.

Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.

Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kisah atau kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu. Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau yang menyebabkan penduduk berlari ke pulau Modo untuk berlindung. Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dalam keadaan serba tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan membantu wanita malang itu lari daripada haiwan liar berkenaan.

Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan. Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal dengan tenang.”

Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong.

Selain di Korea, kejadian itu turut dipopularkan di Jepun, selepas penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi, menghasilkan lagu fenomena Jindo itu pada 1996.

Kisah Nabi Musa belah samudera

Fenomena laut terbelah dua bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi Musa yang ketika membawa pengikutnya yang taat kepada Allah melarikan diri daripada kekejaman Firaun, pemerintah Mesir.

Namun begitu, besar perbezaan dengan apa yang berlaku di Korea Selatan kerana perkataan terbelah dan membelah itu sendiri membawa makna berlainan. Kejadian laut terbelah di Korea Selatan berpunca daripada faktor saintifik sedangkan keupayaan Nabi Musa membelah Laut Merah pada tanggal 10 Muharam dengan tongkatnya adalah disebabkan mukjizat yang dikurniakan Allah kepada baginda.


Kekejaman Firaun yang mengaku dirinya Tuhan sudah sampai di kemuncak, menyebabkan Nabi Musa membawa pengikutnya lari untuk mengelak daripada diseksa.
Pelarian membawa mereka ke tepi Laut Merah. Sekali pandang, Nabi Musa dan pengikut baginda bakal menjadi habuan kebuasan Firaun kerana terperangkap - di depan laut dan di belakang pula tentera Firaun semakin mendekati.

Namun Allah SWT mempunyai perancangan tersendiri untuk menyelamatkan Rasul serta makhluk-Nya yang beriman. Allah mengarahkan Nabi Musa mengetuk tongkat baginda, yang sebelum itu berjaya membuatkan ahli sihir Firaun ketakutan selepas menjelma menjadi ular besar menelan semua ular yang dijelmakan ahli sihir berkenaan, ke laut.

Dengan izin-Nya, Laut Merah itu terbelah dua, menyediakan laluan untuk Nabi Musa dan pengikut baginda menyeberang dengan selamat.

Firaun dan bala tenteranya yang ghairah mahu membunuh Nabi Musa dan pengikut baginda akhirnya masuk ke dalam perangkap maut apabila laut kembali bersatu sebaik mereka berada di tengah-tengah dan selepas Nabi Musa dan pengikut baginda sudah selamat tiba di tebing.

Bukti kejadian itu diungkap oleh seorang pakar arkeologi, Ron Wyatt, yang mendakwa menemui beberapa roda kenderaan perang purba di dasar Laut Merah. Katanya, ia mungkin sebahagian sisa kenderaan perang tentera Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa.

Katanya, selain roda kenderaan perang berkuda, Wyatt bersama pasukannya turut menemui tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama. Penemuan itu mengukuhkan dakwaan ia adalah sisa tulang tentera Firaun apatah lagi hasil kajian yang dilakukan di Universiti Stockholm ke atas tulang berkenaan mengesahkan ia berusia sekitar 3,500 tahun, sama waktu kejadian Nabi Musa membelah Laut Merah berlaku.

Apapun, kedua-dua kejadian itu berlaku atas kehendak Allah SWT yang cuma mengarahkan laut terbelah mengikut jadual, dan itulah yang akan terjadi.

INFO: Laut terbelah Jindo

  • Berlaku dua kali setahun iaitu sama ada Mac atau Mei serta Julai.
  • Secara saintifik, kejadian itu disebabkan penurunan mendadak paras air laut akibat pertembungan air pasang dan surut secara serentak.
  • Ia juga disebabkan tarikan graviti antara bulan dan matahari.
  • Fenomena itu berlaku selama sejam dan mendedahkan sebahagian dasar lautannya yang membentuk laluan menghubungkan daratan Jindo dan pulau sekitarnya.
  • Menjadi antara acara tarikan utama pelancong ke Korea Selatan, setiap tahun.