Followers

Friday, October 8, 2010

Panggilan semula Gen2, Satria Neo sebahagian komitmen Proton

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd Proton menganggap langkahnya memanggil semula model Gen2 dan Satria Neo ekoran kerosakan bahagian komponen sebagai satu tindakan positif, dengan menyatakan ia tidak akan memberi kesan buruk kepada prestasi syarikat.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir, berkata keselamatan pelanggan merupakan yang paling penting bagi syarikat dan panggilan semula itu merupakan komitmen pengurusan untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.
"Pemilik model yang terlibat boleh menghubungi mana-mana pusat servis sah Proton bagi pemeriksaan percuma, dan semua kos buruh dan alat-alat ganti berkaitan dengan penggantian clock spring adalah percuma.
"Kami mempunyai bajet dan ia bukanlah dalam jumlah yang besar yang kami perlu peruntuk, ia sekitar RM4 hingga RM5 juta dan saya tidak rasa ia akan menjejaskan Proton," katanya kepada pemberita semasa kunjungannya ke Pusat 3S Platinum Mutiara Damansara, di sini, hari ini.

"Tugas kami bukan untuk bimbang tentang kos tapi untuk memastikan kami membaiki masalah itu dengan segera bagi keselamatan pengguna," katanya.

Ditanya mengapa Proton mengambil "masa yang agak lama" untuk membetulkan masalah itu, Syed Zainal berkata ia bukan masalah mengambil masa yang lama kerana ia perlu menyediakan langkah yang betul bagi masalah itu.

"Berdasarkan kepada bilangan kes, berdasarkan kepada amalan kualiti global standard kami yang membawa kepada beberapa tindakan tertentu yang perlu diambil, kami mengambil langkah tindak balas dengan segera, bekerjasama dengan pembekal kami bagi memastikan langkah timbal balas dilaksanakan," katanya.
"Selepas pengujian dilakukan di kilang kami dan sehingga kami berpuas hati, barulah kami kemudiannya mengambil tindakan ini," katanya.

Proton pada Khamis lalu membuat panggilan semula suka rela kereta Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008 berikutan kerosakan clock spring yang mencetuskan potensi kebimbangan keselamatan.

Clock spring itu menghubungkan suis dan beg udara kepada radio, hon dan kawalan kruis.

Panggilan sukarela itu, sebahagian daripada program Jaminan Kualiti Global syarikat, melibatkan 15,911 unit kereta di seluruh dunia (dua peratus) daripada 660,000 kereta yang dikeluarkan dan dijual dalam tempoh empat tahun berkenaan.

Sejumlah 5,836 kereta di Malaysia terdiri daripada 4,128 Gen.2 1.6 A/T H-Line dan 1,708 Satria Neo 1.6 A/T Hi-Line disediakan dengan fungsi kruis auto.

Bagaimanapun, masalah itu tidak dianggap serius kerana hanya terdapat beberapa kes beg udara yang dilaporkan terpelatuk secara tiba-tiba.

Sehingga semalam, semua 22 negara yang terlibat telah dimaklumkan secara rasmi dan bahagian-bahagian telah dihantar bagi tindakan panggilan semula itu, kata Syed Zainal.

Setakat ini, kira-kira dua juta kereta terdiri daripada pelbagai model Proton berada di atas jalan raya. - BERNAMA

Panggilan semula Gen2, Satria Neo beri impak minimum ke atas Proton

KUALA LUMPUR: Proton Holdings hanya mengalami impak minimum berikutan panggilan semula kereta Gen2 dan Satria Neo, kata MIDF Research hari ini.

"Kami menjangkakan menerima reaksi negatif akibat panggilan itu, namun penyusutan harga saham Proton mungkin menyediakan peluang untuk membeli saham-saham pada paras rendah," katanya dalam nota kajiannya hari ini.
MIDF bagaimanapun berkata ia mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Proton, dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.80.
Semalam, pembuat kereta nasional itu membuat panggilan semula sukarela Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008 disebabkan kerosakan "clock spring" yang boleh menjejaskan keselamatan.

Panggilan semula sukarela itu, yang menjadi sebahagian daripada program Jaminan Kualiti Global, melibatkan 15,911 (dua peratus) daripada 660,000 kereta yang dikeluarkan dan dijual dalam tempoh empat tahun.

Komponen "clock spring" menghubungkan suis dengan beg udara ke radio, hon dan kawalan "cruise".

OSK Research berkata saham Proton dijangkakan menyaksikan reaksi negatif sementara hari ini memandangkan tanggapan kualiti yang dipertingkat, akan dinilai semula oleh pelabur berpotensi.
"Ini akan memberi tekanan ke atas jualan Proton sehingga lebih banyak penjelasan dan statistik diberikan dan bagaimana kes itu muncul," katanya dalam nota penyelidikan.

Ia juga mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Proton, dengan harga sasaran RM5.67.

"Tekanan menurun hari ini akan memberi peluang kepada pelabur untuk mengumpul ketika kami terus mengekalkan unjuran positif ke atas Proton," katanya.

OSK bekata Proton tidak memperlihatkan sebarang impak ketika panggilan terakhir membabitkan 34,000 kereta Proton Savvy berikutan kemungkinan masalah galas roda yang boleh menyebabkan air memasuki tayar, pada April 2008.

Meskipun begitu, perolehan tidak terjejas memandangkan jualan Proton kekal berdaya tahan kerana Savvy bukan penyumbang utama kepada jumlah jualan berikutan jumlahnya yang kecil.

Ia berkata harga saham Proton tidak terjejas semasa panggilan semula itu berdasarkan potensi pendapatan daripada pelancaran baharu Proton Saga ketika itu. - BERNAMA

Tangkapan warga Iran edar dadah di Malaysia bertambah

KUALA LUMPUR: Penglibatan warga Iran dalam kegiatan pengedaran dadah di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dalam masa dua tahun ini dengan 138 rakyat negara itu diberkas tahun ini berbanding 16 tangkapan pada 2009.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata daripada jumlah itu, 121 tangkapan terdiri daripada "keldai dadah", iaitu orang yang dipergunakan untuk membawa dadah, dan bakinya disyaki pengendali dan anggota sindiket dadah.
"Dadah jenis syabu turut diseludup menggunakan kargo udara iaitu penerbangan dari Tehran melalui transit Dubai, Armenia, Kish, Doha, Colombo, sebelum tiba di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehingga 5 Oktober lalu, rampasan syabu ialah 288.65 kilogram (kg), cecair syabu (466kg), minyak syabu (327kg) dan kokain (4kg).

Abu Seman yang baru pulang daripada selama lima hari ke Iran, berkata bahawa dalam perbincangannnya dengan pihak berkuasa Iran, beliau telah membangkitkan isu tentang warga Iran yang ditangkap di Malaysia kerana kesalahan mengedar dan memiliki dadah.

Katanya beliau telah menekankan pentingnya kerjasama kedua-dua pihak untuk menyekat laluan kemasukan dadah di kedua-dua negara dan usaha mempertingkatkan kemampuan agensi penguatkuasa masing-masing.

"Satu pelan tindakan dirangka bagi meneliti beberapa bidang seperti mesyuarat secara berkala diadakan oleh kedua-dua agensi penguatkuasa, pertukaran maklumat dan kerjasama untuk menyekat warga Iran menjadi keldai dadah, perkongsian kepakaran dalam mengesan sindiket dadah dan penubuhan kumpulan kerja untuk mempertingkatkan kerjasama membasmi penagihan dan penyeludupan dadah," katanya.

Beliau juga berkata delegasi Malaysia juga dapat mempelajari satu kaedah rawatan penagihan dadah di Iran yang menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif kepada penagih dadah.

"Saya berharap program tersebut dapat diserapkan dan dilaksanakan di klinik Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, 1Malaysia yang telah beroperasi sejak Julai lalu," katanya. - BERNAMA

Pegawai SKMM mungkin dalami bidang forensik di luar negara: Rais

GUADALAJARA (Mexico): Beberapa pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mungkin dihantar ke luar negara bagi mendalami kepakaran bidang forensik komputer dalam usaha kerajaan menangani jenayah siber, terutama dalam kes menghina Sultan, menghasut dan pornografi kanak-kanak.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pegawai-pegawai itu akan dilatih untuk menjadi pakar "penyusul dan merungkai" segala keterangan yang diperlukan bagi mendakwa mereka yang terlibat dengan jenayah siber di mahkamah.
"Bagaimanapun tidak dinafikan kos untuk menjalani kursus ini agak tinggi," katanya kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri hari keempat Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Pusat Ekspo Guadalajara di sini hari ini.
Rais berkata dengan adanaya kepakaran forensik mengenai komputer, segala maklumat yang dihapuskan masih boleh dapat dikesan daripada cakera keras.

Katanya kepakaran dalam bidang perundangan dan pembuktian perlu ada walaupun negara mempunyai Akta Keterangan dan Akta Telekomunikasi untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam jenayah siber.

Namun, kata beliau, kepakaran mengenai Akta Keterangan 1950 dan Akta Telekomunikasi tidak mencukupi tanpa kecekapan dan kepakaran untuk mengemukakan bukti yang kukuh mengenai kesalahan yang dilakukan.

Rais berkata tindakan untuk mendakwa mereka yang bersalah dalam kegiatan jenayah siber bukanlah semudah mendakwa mereka yang terlibat dengan kes mencuri dan sebagainya kerana jenayah siber memerlukan pelbagai peringkat siasatan dan turut mempunyai beberapa hadangan.
"Akta Keterangan 1950 sendiri mempunyai berberapa hadangan menyebabkan Peguam Negara sendiri tidak semudah yang dijangka untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap mereka yang didapati melakukan jenayah siber, terutama dari segi keterangan dan bukti," katanya.

Rais berkata bagi memastikan sesuatu kes itu dapat dihadapkan ke mahkamah, kesahihan keterangan itu bukan sahaja perlu ditentukan oleh sesuatu pihak tetapi juga oleh pegawai kementerian dan SKMM memandangkan mereka mempunyai kepakaran dan rumusan tersendiri.

Untuk itu pegawai kementerian dan juga bahagian penguatkuasa SKKM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara supaya beberapa kes penting ini dapat disusuli, kataya.

"Kami di kementerian dan SKMM mempunyai kepakaran dan rumusan tersendiri di mana mungkin pegawai lain tidak maklum. Jadi kami akan bantu mereka seperti dalam kes-kes menghina Raja, menghina Islam, memecah belah masyarakat dan hasutan serta pornografi kanak-kanak," katanya.

Rais berkaa beliau bercadang untuk mengadakan perbincangan bersama pihak polis, Peguam Negara, SKMM serta pihak swasta yang mempunyai kepentingan pada bulan depan.

"Saya akan terangkan skopnya dan mereka boleh cadangkan fokus mereka. Azam kita ialah untuk melakukannya dengan cekap," katanya.

Baru-baru ini, Rais berkata bahawa sudah ada 13 kes dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara, membabitkan cubaan memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak serta Sultan Johor, menghina agama lain, menghasut, menyebarkan pembohongan, mencuri data dan membangkitkan sentimen perkauman yang sensitif.

Pada persidangan hari ini, beliau turut mengambil bahagian dalam pemilihan jawatan setiausaha agung dan timbalan setiausaha agung ITU di mana Dr Hamadoun Toure kekal sebagai setiausaha agung dan Zhou Houlin kekal sebagai timbalan.

Walaupun kedua-dua mereka tidak dicabar, proses pengundian tetap diteruskan. Toure dari Mali mendapat 151 undi daripada 157 negara yang hadir manakala Zhou dari China mendapat 155 undi.

Rais, yang diiringi isterinya Datin Seri Masnah Rais, berlepas pulang ke Malaysia tengah hari ini setelah berada di sini sejak Isnin bagi menghadiri persidangan itu. - BERNAMA

Rundingan damai Palestin dengan Israel 'mustahil'

RAMALLAH: Rakan rapat kepada Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata adalah mustahil untuk mengadakan satu rundingan damai yang serius dengan pentadbiran kerajaan Israel sekarang.
Yasser Abed Rabbo, seorang daripada anggota pasukan rundingan Palestin itu berkata, ini berikutan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak mahu melanjutkan larangan pembinaan penempatan di Tebing Barat yang menjadi isu utama rundingan yang ditaja Amerika Syarikat itu.
“Ia tidak akan menjadi satu proses rundingan yang serius selagi Netanyahu berada dalam kerajaan," kata Abed Rabbo dalam satu temubual dengan AFP.
“Kerajaan ini (Israel) tidak serius dalam mencapai perdamaian di rantau ini," kata sempena Sidang Kemuncak Liga Arab yang bakal diadakan di Sirte, Libya.

Pada sidang kemuncak itu, Abbas dijadual akan menyatakan keputusan muktamadnya sama ada akan menyambung rundingan damai yang ditaja Amerika Syarikat itu atau sebaliknya.

Sementara itu, Penasihat Media Majlis Kebangsaan Palestin, Khaled Mesmar, berkata, selepas mesyuarat di Amman, lewat malam semalam, Abbas memberi isyarat bahawa beliau akan memberitahu "perkara baru dan penting" ketika Sidang Kemuncak Liga Arab di Libya nanti.

“Antara perkara baru itu termasuk kemungkinan untuk menarik diri daripada rundingan damai ini," kata Mesmar. - AFP

Malaysiakini, Zunar dibenar cabar pengharaman buku

KUALA LUMPUR: Portal web berita Malaysiakini.com danseorang penerbit buku kartun politik hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah
Tinggi untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan penjualan duabuku.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zawawi Salleh memberi kebenaran untuk
semakan kehakiman yang dikemukakan oleh kedua-dua pemohon agar perintah
pengharaman penjualan kedua-dua buku itu dibatalkan selepas mendengar hujah
daripada peguam pemohon, K. Shanmuga, dan Peguam Kanan Persekutuan Noorhisham
Ismail yang mewakili responden.

Shanmuga memberitahu pemberita bahawa Noorhisham tidak membantah terhadap permohonan itu dan mahkamah menetapkan 8 Nov ini untuk pengurusan kes.

Shanmuga mewakili pemohon, MKINI Dotcom Sdn Bhd dan syarikat penerbitan,
Sepakat Efektif Sdn Bhd, manakala Noorhisham mewakili Menteri Dalam Negeri dan
timbalannya.

Pada 26 Julai lepas, MKINI Dotcom, yang mengendalikan Malaysiakini dan
Sepakat Efektif, bagi pihak Zulkiflee SM Anwarul Haque, seorang kartunis politik
dengan nama pena 'Zunar', memfailkan dua permohonan berasingan bagi mencabar
keputusan mengharamkan buku bertajuk '1 Funny Malaysia' dan 'Perak Darul
Kartun'.

Dalam permohonan itu, MKINI Dotcom berkata buku versi Inggeris, '1 Funny
Malaysia', diterbitkan oleh Malaysiakini pada November 2009 di mana hampir semua
kartun dalam buku itu disiarkan dalam web Malaysiakini dari Oktober 2006 hingga
November 2009, adalah kompilasi kartun yang dihasilkan oleh Zunar yang
mengandungi kartun-kartun politik berbentuk sindiran atau satira mengenai isu
polilik Malaysia dan pentadbiran.

Dalam permohonannya, syarikat penerbitan itu berkata buku versi Bahasa
Melayu 'Perak Darul Kartun', diterbitkan pada November 2009 dan menyiarkan
kartun politik oleh beberapa artis tempatan yang dipimpin oleh Zunar.

Mereka berkata pada 25 Mei lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri bagi pihak
menteri telah mengeluarkan perintah melarang penerbitan, produksi, penjualan,
pengedaran atau pemilikan dua buku itu dengan alasan ianya memudaratkan
ketenteraman awam.

MKINI berkata kartun dalam buku itu telah diterbitkan di laman web
berkenaan lebih dua tahun dan buku itu telah berada di pasaran selama tiga bulan
sebelum dirampas.

Sepakat Efektif pula mendakwa buku 'Perak Darul Kartun' telah berada di
pasaran selama enam bulan sejak November 2009 dan mereka tidak menerima
sebarang laporan mengenai buku itu mengancam ketenteraman awam.

Pemohon menuntut antara lainnya perintah membatalkan pengharaman buku itu dengan alasan pengharaman itu tidak sah kerana melanggar Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan juga bertentangan dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. -- BERNAMA

BN umum calon DUN Galas 24 Oktober: Muhyiddin

SYDNEY: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan, 24 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beberapa nama calon yang difikirkan layak sudah diperoleh untuk dipertimbang dan diputuskan.
"Antara nama-nama yang dikemukakan, kita sudah mendapat maklumat latar belakang personaliti yang dianggap sesuai," katanya di sini, hari ini.
Kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu, manakala pengundian pada 4 November.

Dr Mahathir dijadual pulang ke KL hari ini

MELBOURNE: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual pulang ke Kuala Lumpur tengah hari ini dengan menaiki sebuah pesawat khas.

Pesawat berkenaan dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Tullamarine di sini kira-kira 3 petang (1 tengah hari waktu Malaysia).
Dr Mahathir dimasukkan ke Hospital Epworth di sini Sabtu lepas kerana jangkitan di dada.
Beliau dibenarkan keluar dari hospital pada Selasa dan kemudiannya berehat di sebuah hotel di sini.

Bekas Perdana Menteri, yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dijadual berucap kepada pelajar Malaysia dalam sebuah bengkel di sini pada Sabtu namun dibatalkan selepas beliau sakit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menggantikan Dr Mahathir pada seminar itu.

Seorang pembantu kepada Dr Mahathir, ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau akan pulang ke tanah air lewat hari ini. - BERNAMA

Laporan cadangan pemansuhan UPSR, PMR siap

KUALA LUMPUR: Laporan penuh berhubung cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk diganti dengan penilaian berdasarkan sekolah telah siap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya, ia akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi tarikhnya belum ditetapkan.
Beliau berkata, keputusan sama ada memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu perlu dibuat secara berhati-hati bagi memastikan ia merupakan satu keputusan yang memberi manfaat kepada pelajar sekolah di negara ini.
"Ia juga perlu memenuhi objektif kita yang melihat betapa pentingnya pembangunan modal insan ini diberi perhatian untuk melaksanakan penilaian berdasarkan sekolah dalam sistem pendidikan kita," katanya ketika mengulas isu berkenaan pada sidang media selepas menutup Projek Pendidikan Malaysia-Australia untuk Afghanistan atau MAEPA di sini, hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin telah menyatakan bahawa keputusan sama ada untuk memansuhkan atau mengekalkan kedua-dua peperiksaan itu akan dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sebanyak dua sesi perbincangan meja bulat telah diadakan oleh kementerian itu berhubung cadangan pemansuhan UPSR dan PMR yang melibatkan pelbagai pihak.
Perbincangan meja bulat yang pertama pada 19 Julai dikhususkan untuk wakil pendidik, termasuk pegawai kanan kementerian, pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, kesatuan dan persatuan guru, pengetua, guru besar serta kaunselor sekolah.
Perbincangan kedua pada 27 Julai pula dikhususkan untuk mereka di luar kementerian seperti tokoh pendidikan, ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), ahli politik, wakil agensi kerajaan, wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain yang berminat dan berkepentingan dalam isu ini.

Mengulas mengenai tindakan menukar seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Skudai, Johor yang mengedarkan risalah ubat penguat tenaga batin di sekolahnya, Mohd Puad berkara ia merupakan satu amaran bahawa tindakan yang lebih keras akan dikenakan jika guru tersebut mengulangi perbuatannya.

Katanya kementerian tidak akan bertolak-ansur sama sekali dengan perbuatan yang tidak bermoral seperti itu terutamanya apabila melibatkan pelajar sekolah.

"Kita sentiasa memantau isu-isu disiplin di sekolah bukan sahaja di kalangan pelajar, malah guru-guru, kerana ini merupakan soal integriti institusi pendidikan di Malaysia," katanya.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan pertukaran guru terbabit dilakukan selepas laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa mengedar risalah berkenaan kepada pelajar di sekolahnya.

Sementara itu, MAEPA yang diadakan buat kali kedua pada tahun ini adalah projek usahasama Malaysia dan Australia untuk melatih jurulatih utama dari Afghanistan ubagi mempelajari kemahiran pedagogi dan penyampaian pendidikan dalam meningkatkan kualiti pendidikan di negara peserta.

Seramai 30 orang peserta dari Afghanistan termasuk 10 wanita dan tiga penterjemah terlibat dalam projek yang berlangsung selama 14 minggu bermula 5 Julai lalu.

Mereka diberi penekanan dalam aspek penguasaan Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam, literasi dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta mendapatkan pengalaman berasaskan sekolah di beberapa sekolah untuk meningkatkan kaedah pengajaran di negara asal mereka. - BERNAMA