Followers

Thursday, October 7, 2010

Kenaikan harga susu tak dapat dielak

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga susu di negara ini sekiranya harganya meningkat di pasaran dunia.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata harga penjualan susu termasuk produk tenusu tempatan dijangka meningkat tidak lama lagi disebabkan kenaikan harga bahan mentah di pasaran dunia.
"Kenaikan itu tidak dapat dielakkan memandangkan pengeluar dan pengilang tempatan terpaksa menanggung kos belian import yang tinggi.
"Biasalah, apabila kita beli barang dengan harga mahal, sudah pasti kita terpaksa jual dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun, buat masa ini harga susu kita masih dikekalkan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung harga tepung susu tanpa lemak yang merupakan bahan mentah tenusu utama dijangka meningkat kepada lebih US$3,000 (RM9,630) satu tan metrik tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) satu tan metrik dalam suku keempat tahun lalu.

"Sekatan harga tidak boleh dilakukan ke atas barangan itu disebabkan ia di luar dari kawalan kita. Ini kerana kita membeli barang yang diimport. Perkara ini sudah banyak kali berlaku. Sebagai contoh, bawang putih, harganya terpaksa dinaikkan berikutan harga import dari China turut meningkat," katanya.

Katanya meskipun kementerian akan membentangkan Akta Anti Pencatutan 2010 di Parlimen bulan ini bagi tujuan menyekat peniaga mengaut keuntungan tidak munasabah, ia masih tidak boleh menghalang pengeluar untuk menaikkan harga barang itu.
"Ini kerana sekiranya pengeluar mempunyai bukti bahawa harga bahan mentah itu benar-benar meningkat di seluruh dunia, maka kita tidak boleh menghalang ataupun mengambil tindakan terhadap mereka menaikkan harga susu. Akta ini hanya boleh menyekat dan mengenakan tindakan terhadap peniaga yang menjual barangan untuk mencari keuntungan berlebihan tanpa sebab yang munsabah.

"Sebagai contoh, topeng muka, peniaga beli 30 sen dan jual 50 sen tetapi apabila permintaan meningkat dan mereka masih membeli dengan harga 30 sen sekeping tetapi jual sampai RM5, yang ini memang boleh dikenakan tindakan di bawah akta ini," katanya. - BERNAMA

Tarikh tutup permohonan Matrikulasi 2011/2012 dilanjutkan hingga 30 November

KUALA LUMPUR: Tarikh tutup permohonan Program Matrikulasi bagi sesi 2011/2012 dilanjutkan dari 10 Oktober kepada 30 November ini, menurut Kementerian Pelajaran.

Dalam kenyataan kementerian itu hari ini, ia menyatakan bahawa semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 boleh membuat permohonan melalui laman sesawang baru di http://apps.emoe.gov.my/permohonan_matrikulasi.
Pembelian nombor pengenalan individu (NPI) pula boleh dibuat di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan bayaran RM6 bagi permohonan melalui internet.
Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan Bahagian Matrikulasi 03-88844036/4040 mulai jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang (hari bekerja sahaja) untuk sebarang maklumat lanjut. - BERNAMA

Ustazah hampir dicabul bomoh

KANGAR: Seorang ustazah berusia 35 tahun nyaris menjadi habuan kerakusan nafsu seorang bomoh selepas dikatakan dipukau lelaki terbabit sebelum dicabul ketika mendapatkan khidmat rawatan tradisional di rumah baru miliknya, di Bintong, di sini, petang semalam.

Ustazah itu bagaimanapun bernasib baik kerana tersedar ketika bomoh berusia 51 tahun itu sedang asyik meraba alat sulitnya, sebelum terus bangkit dan berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Selepas mendapati bomoh berkenaan berlalu meninggalkan kediaman terbabit, mangsa kemudian keluar daripada tempat persembunyiannya sebelum terus ke Balai Polis Kangar untuk membuat laporan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, mengesahkan menerima laporan daripada mangsa kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Berdasarkan laporan itu, katanya, polis kemudian menjalankan gerakan mengesan suspek sebelum bomoh berkenaan berjaya ditahan kira-kira sejam kemudian.

Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang selepas mangsa mendapatkan khidmat bomoh berkenaan yang berasal dari Kodiang, Kedah untuk memulihkan masalah kedinginan rumah tangga yang dialami.

Pelakon Abu Bakar Ariffin meninggal dunia

KANGAR: Pelakon Abu Bakar Ariffin, 58, yang pernah membintangi beberapa filem dan drama sekitar 80-an meninggal dunia di rumahnya di Kampung Padang Melangit, Bintong, dekat sini, selepas mengadu sesak nafas malam tadi.

Allahyarham yang agak sinonim dengan watak garang dan penjahat termasuk membintangi drama Gerak Khas, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.30 malam di pangkuan isterinya, Siti Armah Samsuddin, 52.
Selain isteri, Allyarham meninggalkan empat anak berusia 23 hingga 29 tahun serta dua cucu .
Siti Armah ketika ditemui berkata, arwah malam kelmarin secara tiba-tiba mengadu sesak nafas ketika sedang berehat di ruang tamu rumah.
"Saya cuba membantu dengan mengurut dan memicit badan suami untuk memudahkannya bernafas, tetapi takdir sudah menentukan ajalnya sudah sampai dan arwah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.
"Arwah sebelum itu kelihatan biasa saja dan pada sebelah pagi, dia kelihatan begitu ceria berbasikal ke pusat perkelahan di Sungai Batu Pahat. Malah, arwah juga sempat melayari laman sembang facebook beberapa jam sebelum meninggal dunia," katanya.
Siti Armah berkata, arwah mengambil keputusan menetap di kampung asalnya di Perlis selepas bersara sebagai Pegawai Sumber Manusia di Syarikat Apson Toyocom Corporation di Seri Damansara, Kuala Lumpur, sejak Disember tahun lalu.

Polis nafi Ayah Pin kembali

BESUT: Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan hari ini menafikan laporan dua akhbar bahawa ketua ajaran sesat Ariffin Mohamad atau dikenali sebagai Ayah Pin kembali bergerak aktif di Hulu Besut dan sedang mengumpul pengikutnya.
Katanya pemantauan polis mendapati tiada sebarang kegiatan berlaku di perkampungan peninggalan Ayah Pin di Batu 13, Hulu Besut.
"Polis percaya buat masa ini Ayah Pin masih berada di negara jiran," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Besut di Kampung Raja di sini hari ini.
Dua akhbar itu hari ini melaporkan Ayah Pin, 70, dikesan aktif menghidupkan kembali apa yang dikenali sebagai "Kerajaan Langit" pimpinannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, di sini.

Menurut laporan akhbar itu, pengikut Ayah Pin yang hadir itu ada antaranya datang dari Selangor, Pahang dan Johor dengan menaiki pelbagai kenderaan mewah.
Tinjauan Bernama di perkampungan berkenaan mendapati keadaan di situ tenang dan beberapa penduduk menjalani kegiatan masing-masing.

Namun beberapa penduduk luar dan orang tertentu mendakwa masih wujud kegiatan yang meragukan di perkampungan itu terutamanya pada hari Ahad.
Mereka meminta pihak bertanggungjawab menyiasat kegiatan itu secara terperinci.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Shaikh Harun Ismail yang dihubungi enggan mengulas tentang perkara itu. - BERNAMA

TPM Thai letak jawatan esok

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suthep Thaugsuban akan meletakkan jawatannya esok untuk bertanding dalam pilihan raya Parlimen akhir bulan ini.

Suthep yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan berkata beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, esok.
Suthep yang juga setiausaha agung parti Demokrat akan bertanding dalam pilihan raya di kawasan Surat Thani 1 pada 30 Oktober.
Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Agung mendapati penyandang dari parti Demokrat, Chumpol Kanchana, bersalah kerana membuat pengisytiharan palsu mengenai harta-hartanya.

Kawasan itu bukan asing kepada Suthep kerana beliau pernah menjadi Ahli Parlimen di sana sehingga meletakkan jawatan tahun lalu selepas dituduh oleh Suruhanjaya Pilihan Raya melanggar peraturan kerana memiliki sahama dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau kemudian dilepaskan oleh Mahkamah Perlembagaan.

Banyak spekulasi telah dibuat oleh media tempatan mengenai penyertaan Suthep dalam parlimen sebagai rancangan sokongan jika parti Demokrat yang memerintah dibubarkan oleh mahkamah kerana melanggar undang-undang pilihan raya.
Parti Demokrat kini menghadapi dua kes perundangan yang boleh menyebabkan parti berusia 64 tahun itu dibubarkan dan pengharaman pemegang jawatannya.

Parti itu didakwa menerima sumbangan haram berjumlah 258 juta Baht (kira-kira RM26.5 juta) pada 2005 dan begitu juga dengan dakwaan bahawa parti itu telah menyalah guna 29 juta Baht (kira-kira RM2.98 juta) yang diberikan pada 2005 daripada biro dana politik Suruhanjaya Pilihan Raya.

Mahkamah dijangka membuat keputusan mengenai perkara itu, bulan depan.
Abhisit merupakan pemimpin parti manakala Suthep bukan pemegang jawatan pada 2005.

Suthep disebut-sebut mengambil alih kepimpinan dan menubuhkan sebuah parti baru bagi mengekalkan kerajaan campuran sedia ada jika keadaan yang lebih buruk berlaku.

Bagaimanapun, Suthep menafikan semua spekulasi itu. - BERNAMA

Jangan dekati mereka yang gadai bangsa kerana politik: Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini menasihatkan Orang Besar Daerah supaya menjauhkan diri daripada pihak yang sanggup menggadaikan bangsa sendiri demi mencapai cita-cita politik mereka.
Baginda mahu supaya Orang Besar Daerah menumpukan perhatian penuh kepada tugas masing-masing demi kebaikan rakyat dan biarlah masalah politik dikendalikan oleh ahli politik.
"Sebagai wakil Beta di daerah-daerah, mereka (Orang Besar Daerah) hendaklah berkecuali dalam apa jua aktiviti politik kepartian dan sentiasa bersikap adil dan jujur untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan bangsa supaya dapat terus kukuh dan bersatu dalam menikmati kesejahteraan dan kemakmuran," titahnya pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Daerah, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di Istana Bukit Kayangan.
Menurut baginda, Orang Besar Daerah sewajarnya menasihatkan rakyat supaya jangan menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh mengakibatkan salah faham dan perpecahan kaum.

Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Selangor berharap setiap Orang Besar Daerah menjadi “mata dan telinga” baginda bagi mengawasi pentadbiran dan pengurusan setiap masjid dan surau di daerah masing-masing supaya kesucian tempat beribadat itu tidak dicemari perkara yang bertentangan dengan ajaran dan tuntutan Islam.

Baginda turut menyeru Hakim Mahkamah Syariah di negeri itu supaya menyelesaikan setiap kes yang dihadapkan di mahkamah dengan segera terutamanya yang membabitkan hal ehwal kekeluargaan.

"Percepatkanlah tempoh perbicaraan setiap kes demi menjaga kepentingan semua pihak terbabit bagi mengelak berlakunya gejala maksiat serta tidak bermoral sekiranya jangka masa kes-kes itu berlanjutan," katanya. - BERNAMA

Timbalan PM Thai letak jawatan esok

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suthep Thaugsuban akan meletakkan jawatannya esok untuk bertanding dalam pilihan raya Parlimen akhir bulan ini.

Suthep yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan berkata beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, esok.
Suthep yang juga setiausaha agung parti Demokrat akan bertanding dalam pilihan raya di kawasan Surat Thani 1 pada 30 Oktober.
Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Agung mendapati penyandang dari parti Demokrat, Chumpol Kanchana, bersalah kerana membuat pengisytiharan palsu mengenai harta-hartanya.

Kawasan itu bukan asing kepada Suthep kerana beliau pernah menjadi Ahli Parlimen di sana sehingga meletakkan jawatan tahun lalu selepas dituduh oleh Suruhanjaya Pilihan Raya melanggar peraturan kerana memiliki saham dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau kemudian dilepaskan Mahkamah Perlembagaan.

Banyak spekulasi dibuat media tempatan mengenai penyertaan Suthep dalam parlimen sebagai rancangan sokongan jika parti Demokrat yang memerintah dibubarkan oleh mahkamah kerana melanggar undang-undang pilihan raya.
Parti Demokrat kini menghadapi dua kes perundangan yang boleh menyebabkan parti berusia 64 tahun itu dibubarkan dan pengharaman pemegang jawatannya.

Parti itu didakwa menerima sumbangan haram berjumlah 258 juta Baht (kira-kira RM26.5 juta) pada 2005 dan begitu juga dengan dakwaan bahawa parti itu telah menyalah guna 29 juta Baht (kira-kira RM2.98 juta) yang diberikan pada 2005 daripada biro dana politik Suruhanjaya Pilihan Raya.

Mahkamah dijangka membuat keputusan mengenai perkara itu, bulan depan.

Abhisit adalah pemimpin parti manakala Suthep bukan pemegang jawatan pada 2005.

Suthep disebut-sebut mengambil alih kepimpinan dan menubuhkan sebuah parti baru bagi mengekalkan kerajaan campuran sedia ada jika keadaan yang lebih buruk berlaku.

Bagaimanapun, Suthep menafikan semua spekulasi itu. - BERNAMA