Followers

Wednesday, April 28, 2010

50 kluster H1N1 dikesan di MRSM Bentong

KUANTAN: Sebanyak 50 kes kluster simptom Influenza A (H1N1) dikesan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, sehingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang, Datuk Hoh Khai Mun, berkata daripada jumlah itu, seramai 16 pelajar yang terdiri daripada 10 pelajar perempuan dan enam lelaki masih ditempatkan di bilik pengasingan di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, tiga daripada mereka telah dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, semua pelajar terbabit telah diberikan antiviral dan berada dalam keadaan stabil serta tidak kritikal dan kini dipantau pakar perubatan.

"Seramai 31 pelajar pula sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan diberikan penerangan mengenai aspek pencegahan dan kawalan yang perlu dilakukan sepanjang tempoh pengasingan di rumah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Bentong akan terus menjalankan pemantauan setiap hari ke atas pelajar dan kakitangan MRSM itu bagi mengesan sebarang kes baru jika ada. - Bernama

Malaysia mahu tingkat perdagangan dua hala dengan Finland: PM

PUTRAJAYA: Malaysia berharap dapat meningkatkan hubungan perdagangan dua hala dengan Finland kerana jumlah perdagangan antara kedua-dua negara masih agak "kecil", kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, ketika ini jumlah perdagangan Malaysia-Finland bernilai AS$600 juta.

Najib berkara lebih banyak syarikat Finland digalakkan untuk membuka operasi di Malaysia bagi meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara.
"Ya. Kami mahu menggalakkan syarikat Finland melabur di Malaysia kerana jumlah nilai pelaburan masih kecil dan kami berharap ia akan menjadi lebih besar di masa depan.

"Finland terkenal dengan inovasinya, kami berharap Malaysia boleh menjadi pusat inovasi bagi rantau ini," katanya pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Finland Matti Vanhanen.

Vanhanen tiba hari ini bagi lawatan kerja selama dua hari ke Malaysia.

Najib berkata, ketika ini lebih daripada 40 syarikat Finland beroperasi di Malaysia dan berharap bilangan itu akan meningkat di masa depan.
Beliau berkata, Finland mempunyai beberapa kepakaran khusus di mana Malaysia boleh berkongsi pengalaman seperti dalam inovasi dan telekomunikasi.

"Walaupun jumlah pelaburan agak kecil, kami berharap jumlah dan saiz pelaburan akan meningkat di masa depan.

"Sudah tentunya Nokia adalah nama yang sangat terkenal di Malaysia dan akan terus menjadi sumber penting dari segi telekomunikasi dan telefon mudah alih dalam pasaran Malaysia," katanya.

Najib juga memaklumkan kepada Vanhanen akan kepentingan tenaga boleh diperbaharui yang lestari dan Malaysia berharap dapat menggunakan tenaga biomas sebagai sumber berpotensi tenaga boleh diperbaharui. - Bernama

Malaysia, Australia tubuh jawatankuasa antikeganasan

PUTRAJAYA: Malaysia dan Australia bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Antikeganasan bagi menangani isu berkaitan keganasan di rantau ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Katanya, jawatankuasa itu akan ditubuhkan berlandaskan model dan mekanisme yang digunakan oleh Kumpulan Kerja Malaysia-Australia berkaitan isu Penyeludupan Manusia dan Pemerdagangan Orang.

"Keputusan penubuhan jawatankuasa itu juga didasari oleh beberapa aktiviti penyeludpan manusia yang turut membuka ruang kepada pengganas untuk menyelinap masuk tanpa dikesan ke sesebuah negara.
"Mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan di Kuala Lumpur dalam tempoh tiga bulan ini," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Duta Antikeganasan Australia, Bill Paterson, di pejabatnya, di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, beberapa isu tertentu telah dikenalpasti untuk perbincangan dan semua agensi keselamatan akan terbabit dalam jawatankuasa berkenaan.

Sementara itu, Paterson berkata lawatan keduanya ke Malaysia sejak November lalu mencerminkan komitmen dua hala untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani keganasan.

"Ada skop untuk membawa kerjasama ini ke tahap yang lebih terperinci antara kedua-dua agensi masing-masing. Ia adalah cabaran untuk kami melihat jangkaan sesuatu masalah daripada bertindak selepas itu," katanya.
Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata Malaysia dan Arab Saudi akan memeterai satu persefahaman berkaitan isu keselamatan berikutan kunjungan rakan sejawatnya, Nayef Abdul Aziz, yang juga Timbalan Perdana Menteri Kedua Arab Saudi, ke Malaysia tidak lama lagi. - Bernama

Satu medan cari gali minyak di luar perairan Kelantan keluarkan hasil: Najib

KUALA LUMPUR: Hanya sebuah medan cari gali minyak yang terletak di luar perairan Kelantan yang mengeluarkan hasil pada masa ini, Datuk Seri Najib Razak memberitahu Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, medan itu ialah medan Bumi Selatan yang terletak dalam Blok PM301 bersempadan dengan Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

“Pengeluaran dari medan Bumi Selatan ini bermula pada Mei 2008 dan hasil jualan gas daripada medan itu sehingga Disember 2009 berjumlah AS$147.70 juta," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Mumtaz Md Nawi yang meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan telaga minyak yang dicari gali di perairan Kelantan yang berada melebihi tiga batu nautika dan jumlah pendapatan daripadanya.
Najib berkata, daripada jumlah pendapatan AS$147.70 juta itu, perolehan yang diterima Petronas ialah AS$21.31 juta merangkumi royalti, keuntungan dan ses penyelidikan selepas ditolak bayaran kepada kontraktor.

Mumtaz pada sidang media di Lobi Parlimen pula mendesak kerajaan supaya menyatakan jumlah sebenar bilangan medan cari gali minyak yang terdapat di seluruh perairan negeri Kelantan.

Katanya, jawapan yang diberikan agak mengelirukan jika dibandingkan dengan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

"Ini adalah satu kekeliruan kerana melalui buku yang kita dapat yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2004 secara jelas menyatakan bahawa untuk pendapatan Sabah, Kelantan dan Terengganu menyumbang kepada 62.5 peratus hasil pengeluaran petroleum dengan pendapatan kasar AS$46 bilion.
"Persoalan kita ialah kalau yang rasmi melebihi tiga batu nautika pengeluarannya pada Mei 2008 berjumlah AS$147.7 juta, dari manakah angka AS$46 bilion yang dibuat sebagai asas kepada statistik Jabatan Perangkaan," katanya.

Beliau berkata, perkara itu perlu diperjelaskan bagi memudahkan kerajaan negeri itu membuat tuntutan sebenar royalti yang perlu dibayar oleh kerajaan persekutuan. - Bernama

SKMM terima 165 aduan terhadap laman web, tutup 81 laman lucah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima 165 aduan dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini berhubung kandungan laman web atau blog yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, berkata daripada jumlah tersebut, 90 aduan adalah bagi kandungan lucah, 72 kandungan bersifat mengancam atau jelik dan tiga aduan bagi kandungan berunsur palsu.

"Bagi kandungan bersifat lucah, tindakan siasatan dan sekatan akan dilakukan.
"Selain itu, laporan penyalahgunaan juga akan dihantar kepada moderator laman-laman web sosial seperti Facebook, blogspot dan YouTube," katanya ketika menjawab soalan Datuk Zaitun Mat di Dewan Negara hari ini, yang bertanyakan jumlah aduan yang diterima SKMM berhubung kandungan laman web atau blog mengikut AKM 1998.

Katanya, bagi kandungan bersifat mengancam dan jelik serta kandungan palsu pula, nasihat dan amaran akan dikenakan oleh SKMM kepada pemilik laman-laman berkenaan dan sekiranya cukup bukti bagi mensabitkan kesalahan, pendakwaan boleh dikenakan terhadap pihak tersebut.

Menjawab soalan tambahan Fatimah Hamat yang ingin tahu langkah kerajaan dalam menangani laman web lucah yang mudah dilayari di kafe siber, Joseph Salang berkata, SKMM setakat ini sudah menutup serta-merta 81 laman web yang didapati menerapkan unsur lucah seperti menyediakan video aksi lucah dan perkongsian cerita lucah dengan teman berbual.

"Ada antara laman web sosial yang turut mengandungi elemen lucah walaupun telah mendapat aduan tetapi tidak dapat diambil tindakan memandangkan moderator laman web tersebut mendapati ia dianggap tidak lucah disebabkan oleh faktor budaya negara masing-masing," katanya. - Bernama