Followers

Thursday, August 27, 2009

Sabah & Sarawak: 'Rumah kolam kumbahan'


WARGA emas penempatan atas air Kampung Sembulan merenung lautan sampah yang menjadi pemandangan harian penduduk kampung berkenaan.

KOTA KINABALU: Sayup azan berkumandang dari masjid berhampiran menandakan masuk waktu berbuka. Suasana langit bertukar jingga dapat dilihat dari celah dinding kayu kediaman sambil sesekali alunan air laut pasang memukul tiang rumah.

Senarionya sempurna untuk menikmati juadah bersama keluarga selepas seharian berpuasa, namun jika dialih pandangan ke luar jendela, ada kemungkinan selera makan terhenti tiba-tiba dan lapar serta dahaga tidak lagi diutamakan.

Lautan sampah-sarap mengelilingi kehidupan penduduk di penempatan atas air Kampung Sembulan. Carilah apa saja - plastik, botol, sisa makanan, kayu binaan, pakaian, tayar dan tin buruk - semuanya ada dengan jarak kurang satu meter.

Malah, tidak keterlaluan jika kawasan berkenaan diibaratkan ‘kolam kumbahan terbuka’ yang dipenuhi najis dan sisa domestik dari tandas serta dapur setiap rumah berikutan ketiadaan sistem kumbahan untuk mengalirkan bahan buangan secara sempurna.

Selamat datang ke `kampung sampah'. Masih berselera menikmati hidangan?

Ketika seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Aboy ditanya sama ada persekitaran itu mengganggunya, beliau memandang lautan sampah-sarap mengelilinginya dan menyoal kembali: "Apa yang tidak kena? Macam biasa saja saya tengok."

Biasa baginya sebagai penghuni di situ, tetapi janggal bagi masyarakat luar yang tidak sanggup hidup dikelilingi sampah.

Ketika penulis berjalan di pelantar yang menghubungkan rumah ke rumah, seorang penduduk dilihat mencampak sebaldi sampah menerusi tingkap dapur ke luar tanpa riak bersalah atau prihatin terhadap kemungkinan penularan pelbagai penyakit terutama denggi dan Influenza A (H1N1) yang rakus menyerang ketika ini.

Persekitaran itu bertentangan dengan usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mencapai misi menjadikan bandar raya kawasan bebas sampah, ditambah dengan lokasi Kampung Sembulan hanya satu kilometer (km) dari pusat bandar dan dikelilingi projek pembangunan komersial seperti Harbour Square dan South China Sea Place.

Tinjauan Berita Harian mendapati, beberapa pusat pengumpulan sampah tersedia di sepanjang jambatan, selain pusat pengumpulan khas DBKK di daratan sebagai kemudahan penduduk membuang sampah.

DBKK turut menyediakan pusat pembelian semula sampah kitar semula sebagai galakan kepada penduduknya membersihkan kawasan tetapi tetap tiada perubahan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan DBKK, Robet Lipon, berkata pihaknya turut menyediakan tong sampah di setiap hujung lorong masuk ke penempatan itu bagi kemudahan penduduk.

"Sudah banyak program kesedaran dianjurkan di kampung itu dan yang terbaru bulan lalu dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS). Malangnya, hanya kanak-kanak menyertai program.

"Pernah jawatankuasa dibentuk bagi mengutip sampah dari pusat pengumpulan di setiap simpang jambatan tetapi gagal kerana penduduk enggan membayar bil perkhidmatan bulanan.

"Mereka lebih suka membuang sampah dari tingkap terus ke air dan hidup dikelilingi sampah.

"Lokasinya di kawasan bandar menyebabkan ia mudah dilihat. DBKK sentiasa melaksanakan tugasnya, kini terpulang kepada penduduk sama ada mahu berubah atau hidup diselubungi sampah sepanjang masa," katanya.

0 comments: