Followers

Wednesday, August 26, 2009

Sabah&Sarawak: Kadar zakat fitrah di Sabah ditetap RM6.60

KOTA KINABALU: Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Sabah tahun ini ditetapkan pada kadar RM6.60 seorang, berkurangan 14.28 peratus atau RM1.10 berbanding RM7.70 tahun lalu.

Penurunan itu adalah yang pertama sejak tiga tahun lalu selepas kenaikan di antara empat hingga 48 peratus, iaitu daripada RM5 pada 2006 kepada RM5.20 pada 2007 dan RM7.70 tahun lalu.

Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Datuk Syed Abas Syed Ali, berkata kadar itu diputuskan Majlis Tertinggi Muis berasaskan harga semasa satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras di Sabah.

Berikutan penurunan itu, katanya, Muis mensasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.6 juta dengan sejuta pembayar tahun ini, berbanding RM7.4 juta yang dikutip tahun lalu daripada 958,325 umat Islam di seluruh negeri.

"Jumlah itu meningkat RM2.37 juta berbanding RM5.03 juta daripada 976,621 umat Islam pada 2007.

"Sasaran tahun ini berkurangan kerana kadar fitrah diturunkan tetapi kita menjangkakan bilangan pembayar zakat bertambah selepas berlaku kemerosotan 1.88 peratus atau 18,296 pembayar tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengisytiharan kadar zakat fitrah bagi Sabah tahun ini dan majlis penerimaan zakat perniagaan daripada Public Islamic Bank Berhad serta syarikat Wisma Harta Sdn Bhd di Wisma Muis, di sini, semalam.

Bagi memudahkan kutipan, Syed Abas berkata, Muis melantik 35 amil dan 2,000 wakil amil tahun ini untuk melaksanakan tugas mengutip fitrah di seluruh negeri.

"Mereka merangkumi Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), penjawat awam, imam kariah, ketua kampung, pemimpin masyarakat dan individu yang memiliki sifat amanah serta berbudi pekerti mulia.

"Muis akan membekalkan mereka dengan kad kuasa bagi mengelak masyarakat Islam mengeluarkan fitrah kepada orang tidak bertanggungjawab dan tidak bertauliah," katanya.

Sementara itu, Syed Abas berkata, jumlah kutipan zakat di Sabah tahun lalu ialah RM23.8 juta, termasuk kutipan zakat harta sebanyak RM16.4 juta.

Kutipan itu, katanya, menunjukkan peningkatan 36 peratus atau RM6.3 juta berbanding RM17.52 juta dikutip pada 2007.

"Tahun sebelumnya peningkatan yang dicapai hanya 5.3 peratus. Jadi, kenaikan tahun lalu adalah yang tertinggi pernah direkodkan Muis sejak ditubuhkan pada 1972," katanya.

Bagi kutipan zakat harta tahun lalu, katanya, jumlah tertinggi diperoleh daripada zakat perniagaan sebanyak RM10.25 juta yang dibayar oleh 287 individu dan syarikat.

Penyumbang kedua tertinggi, katanya, ialah zakat penggajian RM4.15 juta daripada 9,190 orang pembayar di seluruh negeri, diikuti zakat simpanan sebanyak RM1.2 juta daripada 716 pembayar.

"Zakat lain termasuk zakat pendapatan RM699,776, saham (RM74,438), emas dan perak (RM41,822), pertanian (RM6,558) dan ternakan (RM7,950),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sejumlah RM19.4 juta wang zakat diagihkan kepada enam asnaf sepanjang tahun lalu berbanding RM18.82 juta pada 2007.

Katanya, golongan fakir menerima jumlah tertinggi sebanyak RM6.6 juta, diikuti miskin (RM4.6 juta), fisabilillah (RM4.2 juta), amil (RM2.5 juta), mualaf (RM1.5 juta), ibnu sabil (RM20,077) dan gharimin (RM410).

Sepanjang Ramadan tahun ini, Muis memperuntukkan RM5.5 juta untuk diagih kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf sebagai persediaan mereka menyambut 1 Syawal.

0 comments: