Followers

Wednesday, November 25, 2009

Usaha mewujudkan akta perhubungan awam dipertimbangkan: Rais

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menimbang untuk mewujudkan akta perhubungan awam bagi melindungi dan mengiktiraf profesion itu seperti mana yang diterima bidang kerja lain.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata bagi menjayakannya Jabatan Penerangan dan Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) sudah diminta menentukan tahap kuasa, fungsi serta faedah yang harus dimasukkan dalam cadangan penggubalan undang-undang itu.

Beliau berkata, usaha ke arah tersebut perlu dilakukan segera dan sebuah jawatankuasa penggerak perlu ditubuhkan bagi mengkaji segala aspek sebelum cadangan itu dibawa ke kabinet.

"Oleh kerana ia adalah profesion yang membabitkan pelbagai jurusan maka pegawai-pegawai perhubungan awam harus diberi pengiktirafan dari segi penghargaan terhadap nilai khidmat mereka.

"Satu cara ialah mewujudkan perundangan yang sesuai dengan profesion ini," katanya selepas menyampaikan ucapan bertajuk "Peranan dan Tanggungjawab Pengamal Perhubungan Awam Dalam Merealisasikan 1Malaysia" dan pelancaran buku tulisan Presiden IPRM Datuk Mohd Hamdan Adnan di sini, hari ini.

Rais berkata, sebelum ini wujud pertikaian berhubung definisi yang tepat mengenai perhubungan awam untuk dimuatkan dalam perenggan tertentu sesuatu akta bagi mengelak timbulnya masalah berhubung tafsirannya kelak.

Bagaimanapun, beliau berkata, pertikaian mengenai definisi sebenarnya tidak boleh menjadi penghalang kepada penggubalan akta tersebut.

Beliau menyarankan supaya kajian perbandingan dibuat dengan amalan profesion perhubungan awam di negara lain bagi menjamin ia dapat melaksanakan fungsi dan peranan yang sewajarnya dalam proses pembinaan negara.

Menurutnya, akta yang bakal digubal itu itu juga harus mampu melahirkan kakitangan awam yang terlatih dari sudut ilmu, sahsiah dan gaya agar ia mampu mencapai tahap tertinggi. - Bernama

0 comments: