Followers

Wednesday, November 25, 2009

ATM sedia guna helikopter pindahkan mangsa banjir

KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk menyediakan perkhidmatan helikopternya untuk memindahkan mangsa banjir sekiranya keadaan banjir semakin buruk sehingga menyebabkan jalan perhubungan darat terputus dan menyukarkan agensi penyelamat lain sampai ke lokasi untuk membantu mangsa.

Panglima Briged Kelapan Infantri, Brig Jeneral Abdul Rahim Abdul Mutalib, berkata tindakan itu akan diambil setelah mengambil kira keperluan semasa dan tempat yang hendak dituju sukar dilakukan oleh pengangkutan darat seperti trak atau bot penyelamat yang disediakan.

"Tetapi pada kebiasaan mangsa berpindah lebih awal ke tempat yang selamat bagi mengelak bencana banjir lebih buruk lagi, mereka berpindah sendiri," katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Anak-Anak Tentera 2010 di sini, hari ini.

Penyampaian bantuan itu disampaikan oleh Pengerusi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Tentera Darat, Puan Seri Maggie Rosmaliza Abdullah.

Abdul Rahim berkata, ketika ini kira-kira 300 anggota tentera pelbagai pangkat terbabit dalam membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu termasuk membekalkan air bersih kepada mangsa yang terbabit.

"Kita juga menyediakan trak untuk menghantar dan membawa pulang pelajar yang menghadapi peperiksaan sekarang ke pusat peperiksaan di sekolah masing-masing," katanya.

Menyentuh kawalan di kawasan sempadan ketika banjir, beliau berkata, kawalan digerakkan sepenuh masa sebagai mana sebelum banjir sekalipun dua pos yang menempatkan pasukan petugas dinaiki air hampir dua meter.

"Kita sentiasa bertugas dan kawalan dilakukan sebagai mana biasa, selepas banjir nanti kita kembali ke pos masing-masing menjalankan tugas harian," katanya. - Bernama

0 comments: