Followers

Wednesday, November 25, 2009

Angin kuat, laut bergelora di pantai timur hingga Sabtu

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi mengesan satu pembentukan lekuk tropika di Laut China Selatan, Timur Semenanjung, Malaysia berkedudukan di 6.5 Utara, 107.2 Timur dan 470km Timur Laut dari pantai Terengganu dengan angin berkelajuan sehingga 60 kilometer sejam (kmsj).

Lekuk angin yang bergerak perlahan ke arah utara atau timur laut yang dijangka berterusan sehingga 28 November ini, menyebabkan laut bergelora dengan ketinggian ombak mencecah 4.5 meter di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur) Condore dan Bunguran.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata keadaan ini turut menyebabkan kawasan pantai di pantai Timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Johor Timur) terdedah kepada kenaikan paras air laut dan berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Selain itu, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50kmsj dengan ombak pada ketinggian 3.5 meter berlaku di perairan Sarawak, Reef North, Layang-Layang, Palawan, Labuan dan Sabah (Pantai Barat dan Kudat) dijangka berterusan sehingga esok.

Jabatan itu juga turut melaporkan, ribut petir yang membawa angin kencang sehingga 40kmsj berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak Barat, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-layang dijangka berterusan sehingga esok manakala ribut petir di perairan Langkawi dan Pulau Pinang dijangka berterusan sehingga awal petang ini.

Keadaan ini boleh menyebabkan laut bergelora dengan membawa ombak pada ketinggian 2.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil. - Bernama

0 comments: