Followers

Wednesday, November 25, 2009

Sabah & Sarawak: Bayi kena penyakit kuning perlu rawatan segera

TAMPARULI: Masyarakat luar bandar terutama wanita baru bersalin, diingatkan supaya mengambil berat mengenai jangkitan penyakit kuning di kalangan bayi baru dilahirkan yang memerlukan rawatan segera.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, berkata keadaan itu tidak boleh dipandang mudah atau sekadar diatasi dengan rawatan kampung memandangkan klinik kesihatan menyediakan perkhidmatan rawatan lebih meyakinkan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan masyarakat supaya mengelak daripada mendapatkan rawatan tradisional dalam mengatasi penyakit kuning kerana ia mungkin membahayakan nyawa bayi.

"Langkah terbaik ialah membawa anak berjumpa doktor di hospital untuk mendapatkan rawatan segera.

"Kita mahu ibu bapa, keluarga dan masyarakat benar-benar memahami kesan jangkitan penyakit kuning terhadap bayi.

"Penyakit kuning berpunca daripada peningkatan kadar `bilirubin' iatu sejenis bahan yang terhasil kesan pemecahan sel darah merah dan ia biasanya berlaku dua hingga tiga hari selepas bayi dilahirkan.

"Perubatan moden membolehkan keadaan ini diatasi dengan syarat ibu bapa segera membawa bayi mereka untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika melancarkan siri ceramah dan dialog kesihatan sempena Projek Pendidikan Kesihatan di Dewan Pusat Giat Belia di sini, kelmarin.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Kawasan Tamparuli, Dr Syed Niamat; Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Edip Abun; Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Tamparuli, Datin Malianah Ugau dan Pengerusi penganjur, Haripah Bahar.

Taklimat penyusuan susu ibu dan penyakit kuning di kalangan bayi disampaikan panel kesihatan, bertujuan meningkatkan pengetahuan penduduk mengenai masalah berkenaan.

Program sehari yang julung kali diadakan itu dianjur bersama Pelatih Jururawat Kesihatan Awam, Klinik Kesihatan Tamparuli dan Penduduk Kampung Bontoi, Tamparuli.

Sementara itu, Haripah berkata, program bertujuan mengeratkan hubungan anggota kesihatan dan penduduk kampung bagi menyedarkan golongan sasar terhadap kesan penyakit kuning.

0 comments: