Followers

Wednesday, November 25, 2009

Sabah & Sarawak: Dilema kahwin awal


BELIA Pulau Mantanani, Kota Belud diajar memasak menggunakan tenaga solar kelolaaan Persatuan Pandu Puteri Kota Belud.

Remaja di Pulau Mantanani warisi kemiskinan keluarga

PULAU MANTANANI (KOTA BELUD): Belia di Pulau Mantanani berdepan dilema agak membimbangkan kerana sebahagian besarnya mengambil keputusan berkahwin ketika remaja dengan ada yang sudah mempunyai dua anak pada usia 18 tahun, sekali gus menyukarkan mereka menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Keadaan itu turut menyebabkan majoritinya mewarisi kemiskinan keluarga dan tidak mempunyai ruang luas untuk bekerja atau meningkatkan ekonomi kehidupan kerana kekurangan dalam pelbagai aspek.

Ketua Kampung Pulau Mantanani, Albi Alad, berkata ada belia di penempatan itu yang mendapat tawaran belajar ke universiti tetapi tidak sanggup hidup di luar pulau lalu membuat keputusan belajar setakat semester pertama sebelum kembali ke kampung halaman.

"Selepas pulang ke pulau, mereka berkahwin dengan penduduk setempat dan menjadi nelayan atau suri rumah sepenuh masa.

"Kita tidak boleh menghalang mereka berumahtangga, tetapi pada masa sama sayang juga rasanya kerana mereka mempunyai masa depan lebih cerah jika menyambung pelajaran di universiti.

MUSTAPHA (dua dari kiri) bersama ahli Persatuan Pandu Puteri, Kota Belud melawat Pulau Mantanani baru-baru ini.

"Kemungkinan, golongan muda ini bercinta lebih awal dan apabila seorang daripada mereka dapat tawaran melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT), mereka membuat alasan rindukan keluarga atau tidak dapat membiasakan diri dengan cara hidup di bandar.

"Seterusnya mereka pulang ke pulau, berkahwin dan berkeluarga pada usia muda. Tanpa kelulusan dan keengganan berhijrah, mereka sekadar menjadi generasi penyambung cara hidup ala kadar yang dibebani kemiskinan," katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, kelmarin.

Albi berkata, pemikiran terbatas terhadap keinginan keluarga dan meneruskan kehidupan di pulau menyebabkan majoriti belia setempat tergolong dalam kelompok berpendidikan rendah.

Malah, katanya, bukan perkara menghairankan jika ada yang bersekolah setakat darjah tiga atau empat kerana tidak berminat, selain kurang dorongan keluarga yang lebih memikirkan soal mencari rezeki berbanding keperluan anak mereka menimba ilmu.

Pulau Mantanani yang berada di tengah Laut China Selatan, terletak kira-kira 20 kilometer (km) dari Jeti Kampung Kuala Abai, di sini dan 15 km dari Jeti Kampung Rampayan Laut, di sini.

Walaupun jaraknya secara relatif disifatkan dekat dengan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam dari tanah besar menggunakan bot tempatan atau 'lansa,' kemiskinan melingkari penduduk pulau itu membuatkan jaraknya seolah-olah 100 km dari tanah besar.

Albi berkata, ramai penduduk pulau berkenaan berhijrah ke Kampung Kuala Abai, Kampung Buah Pandai dan Kampung Indah Rang Bulan di sini, selain Kampung Baru-Baru di Tuaran untuk mencari kehidupan baru terutama menyekolahkan anak.

Katanya, keluarga yang sudah berhijrah dapat mengelak dilema anak mereka berkahwin pada usia remaja berbanding mereka yang kekal di pulau kelahiran.

"Bayangkan ada penduduk di sini yang baru berusia 35 tahun tetapi sudah ada 10 anak.

"Mereka ini sekadar bergantung hidup kepada penjualan hasil laut seperti produk ikan masin, menyebabkan ramai yang hidup miskin kerana pekerjaan itu dilakukan oleh sebahagian besar penduduk," katanya.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Mustapha Sakmud, berkata berdasarkan program interaktif belia yang dijalankan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP) Sabah, Jabatan Perdana Menteri bersama MBS dan Persatuan Pandu Puteri daerah, belia di pulau berkenaan memerlukan pelbagai kemudahan untuk meningkatkan ekonomi keluarga termasuk penyertaan dalam bengkel kraf tangan dan jahitan.

Katanya, bengkel sedemikian penting diwujudkan bagi kemudahan belia kerana ia bukan saja membuka peluang lebih luas bagi mencari nafkah keluarga, malah penduduk pulau itu juga tidak perlu lagi ke pekan untuk membuat tempahan pakaian terutama menjelang hari raya.

"Bengkel itu adalah antara pendekatan yang wajar dilaksanakan kerana ramai golongan belia sudah berkeluarga dan tiada pendapatan tetap," katanya.

0 comments: