Followers

Wednesday, November 25, 2009

Kerajaan tak cadang tubuh Suruhanjaya Pendidikan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan memandangkan Kementerian Pelajaran sudah mengamalkan sikap terbuka dan mendengar pandangan pakar pendidikan dalam membuat dan melaksanakan dasar pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian itu juga ditadbir secara profesional oleh pegawai yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik, bagi memberi pendidikan yang berkualiti kepada rakyat.

"Saya tahu kebimbangan Yang Berhormat adalah pasal campur tangan politik. Kita tidak akan mencampurkan politik dalam pendidikan dan kita tidak akan mempolitikkan anak-anak kita yang masih kecil, apatah lagi yang ada di tadika.

"Pihak sana (pembangkang) yang mempolitikkan tadika dan pihak pembangkang suka sangat nak buat suruhanjaya, tapi apabila buat suruhanjaya macam SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pun tidak percaya," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (PKR-Balik Pulau) yang mahu kerajaan menyatakan pendiriannya mengenai campur tangan politik terhadap sistem dan hal ehwal pendidikan negara dan apakah keputusan kementerian terhadap cadangan agar hal-ehwal pendidikan diserahkan kepada sebuah Suruhanjaya Pendidikan yang dianggotai tokoh pendidikan dan bukan orang politik. - Bernama

0 comments: