Followers

Wednesday, November 25, 2009

Sabah & Sarawak: RM515,000 untuk tadika luar bandar

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah memperuntukkan RM515,000 bagi Program Pembangunan Sosial untuk mewujudkan beberapa pusat pengembangan kanak-kanak, termasuk taman didikan kanak-kanak (tadika) di luar bandar.

Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata kemudahan itu memberi peluang kepada kanak-kanak di luar bandar mendapat pendedahan berkaitan sosialisasi dan pembelajaran awal.

"Ia turut memberi peluang kepada ibu bapa yang bekerja untuk melaksanakan tugas dengan lebih selesa kerana mempunyai tempat untuk menghantar anak kecil mereka.

"Aktiviti lain turut dirangka dalam program itu ialah menggalakkan penjagaan warga emas dan orang kurang upaya (OKU)," katanya, di sini semalam.

Azizah berkata, turut menjadi fokus dalam perancangan pembangunan kementerian itu menerusi Jabatan Hal Ehwal Wanita ialah pembangunan ibu tunggal.

"Beberapa program menerusi Jabatan Hal Ehwal Wanita membabitkan ibu tunggal sudah dilaksanakan seperti program kemahiran bagi meningkatkan keupayaan ekonomi dan pemberian geran untuk memulakan perniagaan, termasuklah motivasi untuk membantu ibu tunggal menjalani kehidupan," katanya.

Mengenai kepenggunaan, beliau berkata, kementeriannya akan mewujudkan kelab pengguna di institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/S) dan institut pendidikan guru (IPG) bagi meningkatkan pengetahuan kepenggunaan di kalangan penuntut.

Katanya, penubuhan kelab berkenaan juga bertujuan memperkasa kesedaran dan kefahaman generasi muda mengenai hak mereka sebagai pengguna.

"Kita mahu mewujudkan pengguna yang tahu hak mereka. Kita mahu ia bermula peringkat generasi muda agar memahami peranan sebagai pengguna yang bermaklumat dan menjaga hak serta kepentingan mereka," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kementerian itu akan melipatgandakan usaha mengadakan program dan aktiviti pendidikan untuk pengguna di negeri ini.

"Kerjasama dan penyelarasan antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan penting dalam mengutarakan isu dan masalah dihadapi pengguna.

"Ia termasuk aspek keselamatan makanan, kesihatan, harga barangan, perkhidmatan, bekalan dan pemasaran," katanya.

0 comments: