Followers

Monday, September 27, 2010

Proses pertukaran petugas imigresen selesai November: KP

PELABUHAN KLANG: Proses pertukaran petugas Jabatan Imigresen di Pelabuhan Klang yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berkuatkuasa hari ini dijangka selesai selewat-lewatnya November depan, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman.
Beliau berkata, pertukaran petugas di Pelabuhan Klang yang membabitkan Pelabuhan Barat, Utara dan Selatan termasuk di Jeti Penumpang Pulau Ketam ke beberapa cawangan negeri akan melalui sekurang-kurangnya tiga fasa rombakan.
"Kita sudah mulakan pertukaran secara berperingkat iaitu membabitkan kira-kira 22 petugas Imigresen (di Pelabuhan Klang) dan pegawai baru pun dah mula melaporkan diri.
"Kita berharap dengan ada (pegawai) yang baru operasi akan lebih baik kerana orang baru lebih cekap. Kena bersedia untuk berubah, itu yang saya jangkakan," katanya pada sidang media di pejabat Imigresen Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini rombakan yang dilakukan terhadap petugas jabatan itu bertugas di pintu keluar masuk yang dikategorikan sebagai "kawasan panas" di seluruh negara dalam usaha membersihkan jabatan itu daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Akhbar sebelum ini melaporkan terdapat anggota dan pegawai Imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Mengulas mengenai isu itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan dan mengambil tindakan susulan terhadap petugas awam yang terbabit dalam rasuah.
Abdul Rahman berkata, proses rombakan petugas terbabit adalah langkah pertama yang diambil pihaknya dan sekiranya wujud isu salah laku membabitkan petugas, tindakan sewajarnya akan diambil selepas siasatan dijalankan.

"Kita telah bekerjasama dengan SPRM untuk bantu kita daripada segi data kelakuan pegawai. Mungkin juga prosedur perlu diperbaiki dan ditambah baik. Pertukaran petugas adalah keputusan kerajaan dan kita laksanakan sahaja.

"Ini (rombakan kakitangan) bukan isu terbabit atau tidak (dalam salah guna kuasa). Mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan, setiap tiga tahun memang kena tukar pegawai dan kakitangan Imigresen yang sudah ditukarkan ialah mereka yang dah bertugas kira-kira tiga tahun atau kita panggil mereka sebagai 'hot officers' (pegawai yang terdedah kepada salah guna kuasa)," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata pelaksanaan perkhidmatan "1Kaunter" di Pejabat Imigresen Pelabuhan Klang bermula 21 Mei lalu adalah satu kesinambungan terhadap usaha penambahbaikan perkhidmatan jabatan itu untuk memudahkan orang ramai berurusan di kaunter pasport.

Beliau berkata, perkhidmatan itu, urusan seperti proses pembayaran dan pemprosesan pasport boleh dilakukan dalam satu kaunter sahaja dan seterusnya urusan penyerahan pasport dapat dilakukan oleh jabatan itu dalam tempoh sejam daripada waktu pembayaran dilakukan.

"Sejak pejabat ini mula beroperasi menggunakan 1Kaunter, kita telah keluarkan sejumlah 4,321 pasport untuk Jun, 4,041 pasport untuk Julai dan 4,242 pasport untuk Ogos. Secara puratanya pejabat ini menghasilkan kira-kira 4,000 pasport setiap bulan.

"Perkhidmatan 1Kaunter ini diperkenalkan hasil pandangan orang ramai. Buat masa ini perkhidmatan 1Kaunter dilaksanakan di pejabat Imigresen yang baru sahaja iaitu di Pelabuhan Klang dan akan datang di Subang Jaya. Sekiranya cara ini diterima oleh orang ramai kita akan perluaskan ke pejabat Imigresen yang lain," katanya. - BERNAMA

0 comments: