Followers

Thursday, January 28, 2010

Kerajaan tidak akan henti lakukan perubahan: PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk terus melakukan perubahan melalui pelaksanaan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sehinggalah rakyat mengalami sendiri penambahbaikan dalam kehidupan mereka, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bersikap telus dalam melaksanakan perubahan itu kerana sedar akan prinsip kebertanggungjawaban sebagai kerajaan.

"Kerajaan tidak akan berhenti sehingga rakyat boleh melihat, menyentuh dan mengalami penambahbaikan kehidupan mereka. IsyaAllah, dengan komitmen semua pihak dan dengan izin Allah, kita akan berjaya," katanya ketika berucap melancarakan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kerajaan.

Najib berkata, kerajaan bersedia untuk dinilai oleh rakyat sama ada ia telah berjaya melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat apabila sampai masanya kelak.

"Dalam sistem demokrasi berparlimen, kalau rakyat buat kesimpulan bahawa kita ini tidak dapat memenuhi janji kita kepada rakyat, kita sedar risikonya. Tetapi sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita reda dinilai dan ditentukan oleh rakyat apabila sampai masanya. Inilah sebenarnya komitmen ikhlas kita kepada rakyat." - Bernama

0 comments: