Followers

Thursday, January 28, 2010

GTP: Pengangkutan awam bandar ditingkat 2012

KUALA LUMPUR: Berikut adalah intipati Program Tranformasi Kerajaan (GTP) dalam mempertingkatkan pengangkutan awam bandar:

*Meningkatkan peratus penggunaan keseluruhan pengangkutan awam daripada 10 peratus kepada 13 peratus pada 2010.

*Meningkatkan bilangan pengguna pengangkutan awam daripada 240,000 kepada 265,000 pada tahun ini.

*Meningkatkan kebolehcapaian dan hubungan keseluruhan peratusan jumlah penduduk yang menetap dalam jarak 400 meter daripada laluan pengangkutan awam daripada 63 peratus kepada 75 peratus.

Sasaran utama kerajaan adalah untuk meningkatkan standard pengangkutan awam di pusat populasi utama di Malaysia, bermula dengan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam pada waktu puncak iaitu dari jam 7 hingga 9 pagi dengan sebanyak 25 peratus di Lembah Klang pada 2012, dan seterusnya di Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Kerajaan juga mensasarkan peningkatan tahap kebolehpercayaan iaitu masa perjalanan hanya 60 minit pada waktu puncak, selain meningkatkan tahap kepuasan pengguna dengan memberi keselesaan dan kemudahan pengangkutan awam.

Usaha meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di bandar akan diberi tumpuan termasuk meningkatkan kebolehpercayaan dengan tumpuan kepada ketepatan masa perkhidmatan, seterusnya mengurangkan masa perjalanan.

Selain itu, meningkatkan kualiti perjalanan pengangkutan awam dengan keselesaan dan kemudahan, memastikan rakyat mendapat akses mudah kepada pengangkutan awam serta menyediakan kapasiti pengangkutan yang mencukupi bagi penumpang sedia ada dan penumpang baru.

Lima tindakan utama yang dikenal pasti bagi mempertingkat pengangkutan awam antara tahun 2009 hingga 2012 ialah dengan menyelaraskan kapasiti sistem yang sudah mencapai hadnya iaitu dengan meningkatkan kapasiti KTM Komuter dan LRT sebanyak 1.7 hingga empat kali ganda.

Selain itu, antara usaha yang akan dilakukan bagi merangsang permintaan untuk menarik rakyat menggunakan pengangkutan awam melalui inisiatif ialah mengintegrasikan tiket dan struktur tambang, menambah kira-kira 6,800 tempat meletak kereta baru di 14 stesen rel utama, mempertingkat perkhidmatan bas pengantara ke stesen rel dan menaik taraf stesen yang mempunyai bilangan trafik yang tinggi.

Penguatkuasaan dan pemantauan pula adalah penting bagi memastikan semua operator mematuhi standard operasi dan perkhidmatan minimum dan bagi mencapai tujuan ini, usaha untuk menyediakan sistem teknologi maklumat (IT) bersepadu secara menyeluruh, dan pelaksanaan penguatkuasaan merentasi semua agensi penguatkuasaan utama adalah diperlukan.

Kenderaan berat juga akan dihalang daripada memasuki Kawasan Perniagaan Pusat (CBD) apabila tiga terminal pengangkutan bersepadu (ITT) utama di luar bandar diwujudkan dan akan dimulakan dengan ITT Bandar Tasik Selatan.

Di pusat bandar pula akan diwujudkan dua jenis pusat pengangkutan awam iaitu Terminal Antara Bandar dan Hentian Akhir Bandar (HAB) dan 14 HAB akan disediakan bagi memudahkan pergerakan penumpang dan kenderaan pengangkutan awam di dalam pusat bandar.

Regulatori pula akan disusun semula dengan mempercepatkan formasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung 2010.

Ia kerana prasyarat kejayaan adalah mewujudkan satu badan yang bertanggungjawab bagi perancangan dasar dan pemantauan kawal selia.

Buat masa ini, terdapat 13 kementerian dan pelbagai agensi terbabit dalam aspek pengurusan pengangkutan awam dan tiada satu badan yang menyelaraskan usaha merentasi pelbagai sistem pengangkutan awam secara keseluruhan.

Antara projek pengangkutan awam bandar yang telah dirancang pada tahun ini, ialah 800 perhentian bas yang akan dinaiktaraf, 4,000 petak letak kereta baru di stesen rel dan 200 bas baru akan disediakan.

26 set tren empat koc di LRT Kelana Jaya sudah mula beroperasi, selain pelancaran empat koridor baru bagi "bas expressway transit (BET) di Lembah Klang".

Semua operator pengangkutan awam pula diwajibkan mempunyai sistem tanpa tunai dan menawarkan tambang diskaun bagi tiket tanpa tunai, tahun ini.

Bermula 2010 juga, permohonan pembaharuan cukai jalan akan ditolak bagi pemandu yang tidak membayar saman, dan kenderaan berat tidak dibenar masuk ke pusat bandar pada waktu puncak. - Bernama

0 comments: