Followers

Thursday, January 28, 2010

GTP: Taraf hidup rakyat berpendapatan rendah ditingkatkan

KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk mempertingkatkan taraf kehidupan isirumah berpendapatan rendah:

* Membasmi bilangan 44,000 isi rumah yang miskin tegar sepenuhnya pada akhir 2010.

* Mengurangkan tahap insiden kemiskinan daripada 3.6 peratus kepada 2.8 peratus antara tahun 2010 dan 2012.

* Meningkatkan jumlah usahawan wanita baru yang terlatih daripada bilangan isirumah berpendapatan rendah sebanyak 2,000 orang yang akan dilaksanakan secara berperingkat antara tahun 2010 hingga 2012.

Takrifan isi rumah berpendapatan rendah (LIH) adalah isi rumah yang mempunyai jumlah pendapatan kurang daripada atau bersamaan dengan RM2,000 sebulan, yang mewakili 75 peratus median pendapatan di negara ini.

Miskin pula adalah isi rumah dengan jumlah pendapatan kurang daripada atau bersamaan dengan RM750 sebulan, manakala miskin tegar menggambarkan isi rumah yang mempunyai jumlah pendapatan kurang daripada atau bersamaan dengan RM440 sebulan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah agensi yang bertanggungjawab memastikan jurang sosio-ekonomi antara golongan kaya dan miskin tidak terus melebar.

Pelbagai inisiatif dan insentif telah dan akan diperkenalkan oleh kementerian dalam memastikan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang disasar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) itu tercapai.

Sebagai permulaan, kerajaan telah memastikan pengagihan bantuan kebajikan Persekutuan diterima pada hari pertama setiap bulan bagi membantu mengurangkan kesempitan hidup golongan miskin dan miskin tegar bermula pada 1 September 2009 bagi Semenanjung dan 1 Januari 2010 bagi Sabah dan Sarawak.

Kerajaan juga akan menyediakan bantuan perumahan kepada mereka yang memerlukan sepertimana yang diumumkan dalam Bajet 2010 dengan menawarkan kira-kira 44,000 rumah kos rendah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) kepada penyewa pada harga kira-kira RM21,500 sehingga RM35,000 seunit, selain menawarkan 74,084 rumah sewa pada harga yang rendah.

Bagi melengkapkan golongan miskin dan miskin tegar dengan keupayaan untuk meningkatkan pendapatan mereka, kerajaan akan memperkenalkan program Gerakan 1Azam bertujuan membina keupayaan mereka dan mewujudkan peluang pekerjaan melalui gabungan pekerjaan dan keusahawanan.

Gerakan 1Azam terbahagi kepada beberapa inisiatif iaitu 1 Azam Kerja, 1 Azam Niaga, 1 Azam Khidmat dan 1 Azam Tani yang berlandaskan konsep pemacuan produktiviti dan pengurusan bantuan, bagi mengangkat taraf kehidupan golongan miskin dan miskin tegar.

Selain itu kerajaan juga mensasar pembukaan 50 buah kedai runcit Jimat 1Malaysia tahun ini dengan satu kedai di setiap daerah menjelang 2011 bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan sasaran.

Kerajaan juga akan membangunkan mekanisme untuk memberi kredit mikro kepada isi rumah berpendapatan rendah yang layak bagi mereka memulakan perniagaan kecil supaya dapat beransur-ansur menghentikan mereka daripada bantuan kewangan jangka panjang kredit.

Sekurang-kurangnya satu projek perintis akan diperkenalkan bagi setiap negeri pada suku pertama 2011.

Dalam sektor kesihatan, kerajaan mensasarkan untuk menambah bilangan klinik kesihatan di bandar, luar bandar dan klinik kesihatan bergerak, iaitu sekurang-kurangnya satu klinik kesihatan bergerak bagi setiap negeri bagi membekalkan perkhimatan kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Langkah itu akan dapat membantu mengekalkan tahap kesihatan ahli keluarga dalam isi rumah berpendapatan rendah supaya mereka dapat terus bekerja bagi menyara keluarga, dan sebagai permulaan, Bajet 2010 memperuntukkan RM10 juta bagi menubuhkan klinik komuniti 1Malaysia di kawasan bandar.

Kerajaan juga akan memperluaskan bantuan kewangan kepada rakyat isi rumah berpendapatan rendah bagi membeli anggota badan tiruan dan prostetik, selain membina sekurang-kurangnya satu pusat prostetik di setiap negeri agar mereka yang memerlukannya dapat bekerja semula.

Kerajaan juga sedang mengkaji kaedah penetapan gaji minimum bagi membolehkan semua rakyat Malaysia mendapat gaji sekurang-kurangnya di tahap Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI) iaitu RM750 sebulan atau lebih kurang RM4.70 sejam, dan langkah ini tidak akan dilaksanakan sebelum 2012 dan akan dilaksanakan secara berperingkat supaya tidak memberi kejutan kepada majikan.

Inisiatif dalam bidang pendidikan akan terus dititik beratkan di mana kapasiti asrama bersubsidi akan ditambah bagi membantu pelajar yang memerlukan penginapan, misalnya daripada kawasan luar bandar, meneruskan pelajaran mereka.

Melalui pendidikan, kerajaan menjangka dapat melatih dan membangunkan tambahan 2,000 usahawan wanita daripada kalangan isi rumah, akan dilatih di antara 2010 dan 2012.

Selain itu, kerajaan juga meletakkan sasaran untuk semua isi rumah miskin tegar menikmati perlindungan insurans yang turut meliputi polisi kematian dan penyakit kritikal pada 2012, dan bagi mencapai sasaran itu, kerajaan akan bekerjasama dengan institusi insurans swasta bagi menawarkan skim insurans 1Malaysia.

Bagi memastikan kesemua inisiatif di atas dilaksanakan secara berkesan dan lancar, kementerian akan melaksanakan beberapa perubahan struktur antaranya menubuhkan entiti Perkhidmatan Pembangunan Sosial (SDS) bersepadu, menubuhkan Inspektorat Bebas Bagi Pembangunan Sosial dan menginteraksi pangkalan data.

Masyarakat awam pula diminta memainkan peranan untuk membantu pihak yang bertanggungjawab untuk mengenalpasti isi rumah berpendapatan rendah yang difikirkan layak menerima bantuan dan menolong mereka untuk mendaftar dalam e-Kasih melalui internet. - Bernama

0 comments: