Followers

Thursday, November 19, 2009

Sabah&Sarawak: Lanun mengganas


DOL menangkap ikan di pesisir pantai kerana khuatir diserang lanun.

Nelayan Tuaran takut tangkap ikan terlalu jauh dari pesisiran pantai

TUARAN: "Saya tak berani lagi turun ke laut jauh-jauh sebab takut diserang lagi. Saya takut dicederakan atau dibunuh dan perahu serta enjin kami dibawa lari. Kalau kena rompak dan dicampak di laut, siapa yang tahu?"

Itu yang diluahkan nelayan, Dol Padang, 46, dari Kampung Mengkabong, dekat sini, mengenai kebimbangan nelayan sekitar daerah itu turun ke laut terlalu jauh dari pesisir pantai, gara-gara keselamatan mereka diancam oleh apa yang didakwa sebagai perompak di laut atau lanun.

Dakwaan itu mungkin tidak masuk akal bagi sesetengah pihak, tetapi ia dialami kebanyakan nelayan yang menangkap ikan di perairan pesisir pantai.

Dol mendakwa, dalam kejadian terbaru kira-kira dua bulan lalu, beliau turun ke laut bersendirian di kawasan agak jauh dari pantai Lok Nunuk, dekat sini. Ketika itu beliau menangkap ikan dengan menggunakan kira-kira 300 mata kail yang diturunkan ke dasar laut atau istilah tempatan ‘merawai’ pada jam 11 malam.

Tiba-tiba beliau terlihat sebuah perahu dipercayai dinaiki tiga lelaki menghampirinya.

"Saya terus meninggalkan rawai dan melarikan diri ke tepi pantai. Mereka mengejar saya. Apabila saya tiba di pesisir pantai, mereka tak kejar lagi. Itu kali kedua saya dikejar kerana sebulan selepas itu pun pernah berlaku," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Berikutan kejadian itu, Dol dan nelayan lain tidak berani lagi menangkap ikan jauh dari pesisir pantai kerana lebih mengutamakan keselamatan diri berbanding mencari rezeki di tengah laut.

"Sekarang saya tangkap ikan di tepi pantai saja. Hasil memang kurang tetapi saya tidak mahu menggadai nyawa," katanya.

Mengulas kejadian itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tuaran, Hayati Majat, berkata dakwaan Dol ada kesahihannya kerana ada nelayan di daerah itu dirompak ketika menangkap ikan di perairan daerah beberapa tahun lalu.

"Bagaimanapun, keadaan bertambah baik sekarang kerana rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin menyebabkan kejadian sedemikian semakin berkurangan.

"Bagaimanapun, apa yang membimbangkan kami ialah tindakan sesetengah nelayan terutama dari luar daerah ini menangkap ikan menggunakan bom, di samping kerakusan pengusaha bot pukat tunda yang menangkap ikan di zon larangan," katanya.

Beliau mendakwa, pengusaha bot pukat tunda dikesan beroperasi selepas senja. Ada antara mereka memukat di kawasan yang sudah dipasang unjam (daun kelapa yang diikat dengan guni pasir sebagai lokasi ikan berkumpul) oleh nelayan tempatan.

Hayati yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Sabah (Pengasah) mendakwa, setiap kali bot pukat tunda menarik pukat di kawasan berkenaan, bukan setakat ikan yang ditarik masuk ke dalam pukat tetapi turut merosakkan unjam yang dihasilkan dengan titik peluh nelayan tempatan.

Beliau mendakwa, kedua-dua kegiatan tidak bertanggungjawab itu kerap dikesan berhampiran Pantai Dalit, Sabandar dan Lok Nunuk.

Lebih membebankan nelayan tempatan ialah mereka diancam nelayan bot pukat tunda dan nelayan yang mengebom ikan jika melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Hayati meminta pihak berkuasa terutama Jabatan Perikanan, polis marin dan APMM meningkatkan rondaan bagi memastikan sumber ikan dan hasil laut yang lain tidak pupus akibat sikap tamak pengusaha bot pukat tunda dan pengebom ikan mengaut keuntungan dengan cara menindas nelayan pesisir pantai.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim, yang dihubungi Berita Harian, berkata polis marin akan menyiasat dakwaan berkenaan dan jika ada kesahihan, polis akan meningkatkan rondaan bagi memastikan keselamatan nelayan.

"Saya akan meminta polis marin meningkatkan rondaan di kawasan itu dan kawasan lain yang mungkin menghadapi masalah yang sama. Polis belum menerima aduan daripada nelayan di Tuaran atau kawasan lain mengenai apa yang didakwa mereka sebagai perompak di laut," katanya.

0 comments: